Saturday, June 28, 2008

Sudah lama jari ini tidak dapat menekan papan kekunci komputer riba kerana menjalani ujian amali di Pasir Bogak, Pulau Pangkor. Seronok juga kerana dapat berada di pulau yang mendapat namanya daripada seorang berbangsa cina iaitu Che Pang Kor ataupun mungkin juga mengambil nama bahasa Thai sebagai “pulau sakit” kerana pernah menjadi penempatan orang sakit. Ujian amali yang dijalankan menguji kami daripada aspek berkayak, “abseiling”, “orienteering”, kem solo, perkhemahan dan gadjet. Aku tiada masalah melakukan operasi menyelamat menggunakan teknik H-I dan formasi “diamond” walaupun aku dengan Ann tidak pernah menjadi pasangan aku sewaktu latihan, walaupun sepatutnya Nor yang menjadi pasangan aku. Ini menunjukkan aku dan Ann mempunyai “chemistry” dalam banyak perkara.
-
Untuk “abseiling” aku tiada masalah untuk melakukannya walaupun hanya pernah melakukannya sekali lebih sepuluh tahun dahulu, cuma aku tidaklah dapat membuat terjunan tiga kali seperti Fadhly mahupun “australian run” seperti Mezad. Secara mengejut dilantik mengetuai orienteering membuatkan aku sedikit terkejut, tetapi seperti biasa sebenarnya yang penting adalah bagaimana tugas diagihkan daripada pembaca kompas hinggalah kepada pelapor membuatkan kami mendapat tempat pertama daripada empat kumpulan. Walaupun secara peribadi aku tidak dapat menjalankan tugas dengan baik kerana terlalu mengantuk, namun kerjasama kumpulan menyelesaikan sepuluh tugas di sekitar pulau menutup lompang kelemahan aku.
-
Kem solo yang diadakan di sekitar satu kilometer jalan ke jambatan gantung bukanlah sesuatu yang indah kerana kedudukan stesen 4,5 dan 6 berada sangat jauh daripada kelompok yang lain kerana terletak di atas bukit dan jambatan gantung tempat makhluk tidak bertamadun memuja nombor ekor. Tiga nombor tersebut sebenarnya dikhaskan untuk makhluk-makhluk degil seperti Panjang, Najib, Syafiq, Tom dan aku sendiri. Dengan berbekalkan tiga batang mancis, puncho, hammock, mestin, mee segera dan telur aku terpaksa bermalam bersendirian di lereng bukit betul-betul di bawah jambatan gantung. Nasib baiklah badan aku terlampau penat dapatlah aku tidur nyenyak di sebelah unggun api jika tidak sudah tentu aku terpaksa mendengar segala macam bunyi hilaian dan tapak kaki pada waktu malam seperti kawan-kawan aku yang lain, yang pada hemat aku ia mungkin hilaian siamang dan babi hutan yang banyak di hutan simpan tersebut.
-
Banyak lagi perkara yang aku perlu belajar tentang prinsip-prinsip asas perkhemahan walaupun sudah biasa sangat mendaki gunung sebelum ini terutama tentang pelan atur perkhemahan dan gajet di mana aku sendiri yang ditugaskan untuk merancang ia sejak bulan Febuari lagi. Sangat memenatkan kerana ia mengambil masa yang panjang terutama sekali latihan mengadakan gadjet yang sesuai dan praktikal dengan kehidupan di hutan terutama kepada aku yang tiada asas pengakap di sekolah dulu. Dimarah hampir setiap setengah jam dan berjaga 24 jam memastikan gajet sinki, rak menyimpan barang, pagar, pintu gerbang dan lubang sampah, siap selain daripada empat gajet utama yang dinilai iaitu rak kasut, penyidai kain, meja makan dan dapur siap sepenuhnya membuatkan kadang-kala kami hilang kesabaran. Itu belum termasuk diuji jenis-jenis ikatan secara mengejut oleh penilai luar yang “mengendorse” markah yang kadang-kala mengganggu emosi dengan kata-kata kasar. Namun semuanya berbaloi dengan markah A dan cemerlang oleh penilai luar dan masih diakui menduduki antara tempat teratas di antara 27 institusi di seluruh Malaysia.

No comments: