Bukan aku mahu memburuk-burukkan bumi Kuantan tetapi ia selalu mengecewakan aku, kali ini Sham, Kamarul dan Azlan turut terkena badi “Kuantan”. Pagi 1 jun 2008 menyaksikan aku berlari untuk Kuantan Beach Run dari Taman Gelora ke Baluk sejauh 16 kilometer dengan catatan 1jam 31 minit, tersasar seminit daripada matlamat aku. Gagal mendapat “top 50” daripada tidak sampai 250 peserta sudah cukup mengecewakan kami dan hampir-hampir mustahil ia berlaku. Pantai yang terbuka lebih 10 kilometer memungkinkan segalanya berlaku tambahan pula banyak jalan tikus di situ, walaupun penganjur menetapkan 4 “check point” yang perlu dicapai. Keyakinan kami adalah berdasarkan kiraan kasar kelompok di hadapan semasa garisan permulaan dan “rangking” semasa kami. Secara peribadi aku memberikan 3.5 bintang kepada penganjur untuk teknikal, jumlah hadiah dan makanan walaupun semua peserta masih mengungkit cerita duit pendaftaran tahun lepas yang masih belum dipulangkan kerana dibatalkan. Ini adalah trek yang paling aku gemari, mungkin jika tidak memakai kasut adalah lebih baik cuma perlu menjaga kaki pada 2 kilometer pertama laluan bertar (Taman Gelora-Teluk Chempedak) dan sedikit laluan berakar di kawasan bukit di Teluk Chempedak ke Baluk.
No comments:
Post a Comment