Thursday, May 29, 2008

Tasik Chini

Anatomi

Tasik Chini merupakan sebuah tasik air tawar yang kedua terbesar di Malaysia dengan keluasan 12,565 ekar, ia mengandungi 12 tasik (disebut “laut” oleh masyarakat asli tempatan) yang bercantum di antara satu sama lain. Ia dianugerahkan dengan alam semulajadi yang kaya dengan biologi dimana terdapat 138 spesis flora, 300 spesis hidupan bukan akuatik dan 144 spesis ikan air tawar. Dalam bulan Ogos-September setiap tahun ia menjadi sebuah taman terapung yang dipenuhi dengan pokok bunga teratai, dengan kelopak-kelopak putih dan jingga yang kembang menghiasi permukaan tasik. Memancing adalah satu kegiatan yang popular di sini waktu memancing yang paling baik ialah Nov-Jan dimana musim hujan menyebabkan paras air naik dan keluasan tasik bertambah.

Legenda

Mengikut legenda tempatan pada suatu ketika dahulu sekumpulan orang asli yang dikenali sebagai Jakun telah datang ke kawasan hutan tebal, mereka telah membuka tanah tersebut untuk bercucuk tanam. Pada suatu hari, sedang mereka berkumpul untuk bercucuk tanam tiba-tiba muncul seorang wanita tua ganjil yang bertongkat memberitahu mereka bahawa tanah itu miliknya dan perlu mendapat keizinannya dan ia membenarkan pembukaan tanah tersebut setelah Batin memohon maaf. Sebagai menguatkan tuntutannya ia mencacakkan tongkatnya diitengah-tengah kawasan yang telah dibersihkan dan memberikan amaran supaya tidak mencabut tongkat tersebut.


Kumpulan itu terus bercucuk tanam, tiba-tiba mereka mendengar salakan anjing di pinggir kawasan tempat kawasan yang mereka bersihkan. Seorang daripada mereka mengambil keputusan untuk mencari puncanya dan terperanjat ia datang daripada sebatang kayu hitam besar yang lapuk. Dia membaling tugalnya ke aarah kayu tersebut dan terkejut melihat darah memancut keluar dari kayu tersebut. Dalam keadaan gementar dia terus lari mendapatkan kawan-kawan dan menceritakan perkara yang berlaku namun tiada seorangpun yang percaya.


Salakan anjing itu tidak berhenti-henti, setelah disiasat darah masih belum berhenti memancut daripada batang kayu tersebut. Tanpa berfikir panjang mereka terus melemparkan tugal mereka pada batang kayu tersebut dan darah semakin banyak memancut. Tiba-tiba awan hitam menggelilingi angkasa, diikuti oleh guruh dan kilat, kemudian hujan lebat mula membasahi bumi. Mereka kemudiannya berpecah lari mencari tempat perlindungan, di dalam kelam kabut tersebut salah seorang daripada mereka secara tidak sengaja mencabut tongkat yang dicacakkan oleh wanita ganjil tadi, dengan serta merta air memancut keluar daripada lubang tersebut, bumi mula bergegar dan terbenam. Kawasan yang dibersihkan tadi menjadi tasik besar yang kini dikenali sebagai Tasik Chini. Dongeng orang tempatan menyatakan bahawa batang kayu tersebut ialah jelmaan seekor naga yang dikenali sebagai Naga Seri Gumum.


Terdapat juga cerita mengatakan kononnya pada zaman dahulu ia adalah tapak sebuah kota besar Khmer yang telah tenggelam dan dijaga oleh makhluk misteri. Khabarnya juga makhluk misteri ini pernah ditemui oleh penduduk tempatan, namun ia masih belum dapat diibuktikan secara saintifik.

Secara jujur tasik ini sebenarnya sudah tidak terurus, samada jeti dan chaletnya walaupun sebenarnya masih kelihatan ramai pengunjung ke sini. Tiada tempat perkhemahan disediakan melainkan tempat memanggang kerana di sini aktiviti menaiki bot lebih popular untuk melihat 12 tasik yang mungkin memakan masa selama tiga jam bergantung kepada keadaan kewangan masing-masing. Aku dan Tom terpaksa melupakan aktiviti memancing kerana cuma ikan Toman sahaja yang banyak di sini dengan menggunakan ikan keli, mungkin lebih baik aku panggang ikan keli tadi untuk dibuat makan. Walaupun dari segi anatominya ia digambarkan sangat cantik, ia mungkin indah khabar dari rupa kerana tasik-tasik di sini sudah tidak terurus kerana banyak tumbuhan yang merosakkan ekologi tasik seperti ekor kucing. Namun aku bersyukur kerana dapat ke sini kerana ia menawarkan persekitaran tenang dan damai disebalik misteri dan legenda zaman berzaman yang masih belum terungkai.





No comments: