Mengaum juga Honda NSR aku di atas jalan setelah “merajuk” denganku kerana tidak membelainya lebih daripada sebulan kerana itulah aku amat menyayanginya seperti bini muda walaupun aku sendiri belum berbini. Kembara aku dan Tom ke Pahang sudah berakhir dua hari lepas dengan menamatkannya di hadapan rumah Siti Nurhaliza yang terletak di Kuala Lipis. Kembara yang mengikut haluan rumah Azie, Nizam dan Juli di laluan Chini-Pekan-Kuala Lipis selama tiga hari banyak memberikan pengalaman baru kepada aku yang jarang sekali melihat cara hidup orang Pahang. Antara yang menarik di Kuala Lipis ialah terdapat sebuah kampung yang didiami oleh pendatang Melayu dari Slim River yang menyeberangi banjaran Titiwangsa sewaktu zaman darurat dahulu. Begitulah akrabnya orang Pahang dan Perak tidak dapat dipisahkan dan sewaktu aku menuntut ilmu asal usul dahulu kawasan Sungkai dan Pahang adalah satu mengikut “syarat” Panglima Hitam dan kerana itulah pokok Sesungkai tumbuh melata di Sungai Pahang. Sempat jugalah kami menyambut hari lahir Julie di Pantai Teluk Chempedak dan yang paling penting aku sudah dapat mengatasi trauma bumi Kuantan yang paling banyak memberi sejarah hitam buat aku. Aku terkedu bila Azie memilih Restoren Taj untuk kami berlima menjamu selera tempat dimana sejarah hitam itu bermula walaupun masih banyak restoren lain yang ada di situ, mungkin ada hikmah di situ untuk aku memperbaiki diri agaknya.
No comments:
Post a Comment