Sunday, November 30, 2008

Shah Alam Green Adventure

Hari ini adalah hari yang paling teruk dalam hidup aku sepanjang tahun 2008, dari hujung kepala hingga ke hujung kaki masih terasa bisanya. Hendak mengetuk papan kekunci komputer riba aku dirasa amat sukar kerana luka pada jari aku dan pembengkakan yang berlaku dan hendak berjalan ke Restoren Salmah Beevi dirasakan amat sukar sekali kerana luka pada tapak kaki kanan. Semuanya mungkin tidak akan berlaku jika Ayob tidak menghubungi aku untuk melibatkan diri dengan sukan ekstrem Shah Alam Green Adventure di Taman Tasik Shah Alam anjuran Majlis Bandaraya Shah Alam dengan kerjasama Hikers Climber Adventure Team semalam. Tawaran hadiah yang lumayan setinggi RM3000, yuran ditanggung oleh UEM Builders dan pelbagai acara disediakan adalah faktor-faktor yang membuatkan tidak boleh tidur seminggu memikirkannya.

Masalah tidak dapat mengadakan latihan akibat kecederaan lama dan cuaca yang tidak baik membuatkan persiapan tidaklah sebagus seperti yang direncanakan. Pihak penganjur tidak memberikan maklumat awal mengenai acara tersebut untuk bersikap adil kepada semua peserta. Untuk memastikan ia berlaku penyediaan lokasi acara dilakukan pada malam sebelum pagi sabtu dan taklimat pada krew mereka diadakan pada saat-saat akhir untuk mengelakkan kebocoran maklumat kepada peserta. Dari segi mental ini akan membuatkan ramai peserta yang tidak bersedia begitu juga dengan persediaan peralatan yang sesuai digunakan.

Pertandingan dibahagikan kepada tiga seksyen iaitu seksyen A, B dan C dan ia diadakan secara tidak serentak mengikut undian. Aku dan Ayob yang menggunakan nama pasukan UEMB Drift walaupun secara peribadi aku selesa menggunakan nama “Chop Ayam” untuk pertandingan ini. Kami memulakan pertandingan dengan Seksyen B iaitu aktiviti air. Aku memulakan larian pada tahap perlahan berbanding dengan peserta lain hingga tiba di check point (CP) 1 kami dikehendaki menangkap itik dan ia berjaya dilakukan oleh Ayob, pada CP 2 kami dikehendaki berenang sejauh 200 meter di dalam tasik yang kotor dan berbau. Ayob sentiasa berada di depan aku kerana aku tidak selesa memakai jaket keselamatan kerana menggangu momentom aku.

Di CP 3 kami dikehendaki membuat rakit berasaskan dua tayar, sebatang buluh dan seutas tali rapia. Ia juga sejauh 200 meter tetapi keadaan amat memenatkan kerana cuma diberi satu pendayung membuatkan Ayob berenang di belakang rakit bertindak sebagai “motorboat”. Perjalanan ke CP 4 dirasakan amat rumit walaupun ia cuma berada dihadapan kami, kami sudah mula hilang punca dan fokus begitu juga kepada peserta lain. Kami sudah tersasar jauh dari CP 4 kerana tiada panduan daripada krew yang sepatutnya berada di situ, apabila menjumpai Poonton Brigde” aku telah kerugian 20 minit hingga tidak dapat melaksanakan aktiviti kayak pada CP 5 dan tanpa membuang masa aku berlari ke Fiza yang menawan selaku urusetia untuk catatan masa.

Keadaan amat memenatkan aku berharap di seksyen A dapat membantu kerana ia lebih kepada acara darat. Kali ini aku dan Ayob merancang strategi untuk lebih berhati-hati dan mengikut segala panduan yang ada tanpa perlu mengikut kumpulan yang lain. Seperti yang dijangka tiada masalah untuk “road running” sejauh 3 km di CP 1, golek tayar di CP 2, kereta sorong di CP 3, berbasikal di atas kayu di CP 4, mengergaji kayu di CP 5, mengira pokok di CP 6 dan kukur kelapa di CP 7. Kami telah berjaya mendapat kayu sebesar peha setelah diundi oleh Ayob tetapi mengejutkan penganjur dapat memotong kepada tiga bahagian dengan masa yang sedikit. Kesilapan peserta lain ialah menggunakan dua gergaji berbanding kami yang hanya menggunakan satu gergaji untuk tugas tersebut, di sini teknik yang betul amat membantu. Aku tidak berpuashati dengan penganjur untuk acara kukur kelapa kami perlu memakan isi kelapa yang telah diparut sebagai tugas. Apakah yang akan terjadi jika nafas kami tersekat dengan isi kelapa kerana kami baru melaksanakan aktiviti kardiovaskular?

Jam sudah menunjukkan 12.30 tengahari apabila acara mahu dimulakan jumlah peserta sudah mula berkurangan, kami harus melaksanakan seksyen C dimana kami bertekad untuk memenuhi semua check point untuk mengelakkan ditolak masa oleh penganjur. Di CP 1 (oreintering) kami harus mencari 10 tempat antaranya ialah Laman Budaya, Aquarium, Wet World, Taman Anggerik, New Boat House, sampan di tasik, air terjun, restoren terapung, dan pondok Pulau Undan. Masalah besar mula bermula di CP 2 iaitu “traversing” menggunakan kabel besi menyeberangi tasik. Ayob sudah keletihan dan luka pada pada tangannya akibat memegang kabel membuatkannya tidak dapat bergerak dan tergantung hingga memaksa aku ke tengah tasik untuk melepaskan karabiner Ayob pada kabel untuk menjatuhkannya. Kami kerugian masa yang sebanyak 15 minit di sini dan kelihatan semua peserta lain sudah mendahului kami.

Di CP 3 kami dikehendaki melakukan “wall climbing”, ini membuatkan aku agak gayat kerana pertama kali melakukannya hingga terpaksa berehat di tengah untuk menenangkan diri. Di CP 4 kami dikehendaki memanjat pokok kelapa dengan bantuan tali, namun dengan tiba-tiba kecederaan “hamstring” berlaku pada kaki kiri aku sewaktu memanjat. Aku diturunkan kembali dan direhatkan sementara Ayob memanjat dua kali pokok tersebut sebagai menggantikan tempat aku. Di CP 5 aku diberikan 5 peluru untuk menembak dengan tepat sasaran yang diberikan, kalau tidak silap aku tidak ada satupun sasaran yang mengena. Seterusnya dengan baki tenaga yang ada, aku meninggalkan Ayob yang keletihan untuk mengejar Fiza bagi catatan masa.

Apabila keputusan diumumkan aku dan Ayob agak terkejut kerana hampir berada di kedudukan 10 terbaik iaitu di tempat ke 12 di dalam 27 pasukan. Untuk seksyen A masa kami ialah 43.5 minit, seksyen B - 91 minit dan seksyen C - 78.46. Setelah di tolak dan campur mengikut kaedah tugas yang berjaya kami laksanakan kami mengambil masa 213 minit untuk ketiga-tiga seksyen. Pasukan pertama (Dwi Unggul) mengambil masa 133.66 minit, kedua (Score Boad TV3) 147.13 minit dan ketiga (Kenobi Advanture Team) 149.91 minit.

Rumusannya aku cuma memberikan 3 bintang untuk penganjurannya kerana masih terdapat banyak kelemahan iaitu krew sendiri tidak faham tentang tugas mereka dan kebanyakannya tidak berada di “check point” dan beberapa arahan manual yang tidak jelas. Namun pujian harus diberi kepada penganjur kerana dengan tegas telah mengeluarkan peserta elit yang cuba menipu semasa orientering walaupun mengugut untuk melaporkan kepada media. Penggunaan peralatan yang sesuai untuk sukan ini seperti kasut air dan sarung tangan banyak membantu disamping penggunaan teknik yang betul untuk semua acara.

Thursday, November 27, 2008

Sekali lagi aku ditegur oleh penceramah kerana tertidur semasa ceramahnya, mana tidaknya sebagai penjawat awam kami membicarakan soal-soal cuti sahaja mengambil masa selama 2 jam. Jika cuti-cuti ini diamalkan di sektor swasta ia boleh menalkinkan banyak syarikat gergasi. Itu belum lagi menyentuh tentang kenaikan pangkat dan gaji serta tindakan tatatertib. Terdapat 8 jenis cuti iaitu Cuti Rehat Khas, Gantian Cuti Rehat, Cuti Separuh Gaji, Cuti Tanpa Gaji, Cuti Atas Sebab Perubatan, Cuti Kerja Haji, Cuti Berkursus, dan Cuti Tiada Berekod. Untuk Cuti Atas Sebab Perubatan sahaja terdapat 7 jenis berbanding sektor swasta hanya 3.

Monday, November 24, 2008


Gunung Telapak Burok -1112 Meter (3703 kaki)

15 November 2008

Apabila Encik Jalil mengutarakan idea untuk menjelajah gunung ini aku mula tertanya-tanya kerana tidak banyak maklumat yang diperolehi tentang Gunung Telapak Burok yang terletak di daerah Jelebu ini semasa mencarinya di internet. Tapi yang pasti ia tidak popular dan tidak ramai yang pernah mendakinya kerana kesukaran mendapatkan orang yang mengetahui laluannya, cuma maklumat awal ia boleh dimasuki dari Jeram Toi yang terletak kira-kira 24km dari Seremban.

Menurut cerita lisan penduduk di situ perkataan Telapak Burok berasal dari Taratak Burok yang merupakan milik makhluk bunian di situ. Mengikut maklumat awal oleh renjer laluan ini pendaki perlu mendaki 15 bukit dan menyusuri 4 buah sungai sebelum sampai ke puncak, dan perjalanan mengambil masa lebih kurang 8 jam. Pilihan lain ialah dengan menaiki kenderaan pacuan empat roda menggunakan jalan yang telah dibina ke menara telekomunikasi dan semboyan.

Kami bertolak seawal jam 9.00 pagi dengan kekuatan 53 pendaki dan enam penunjuk arah, kami bergerak dari “base camp” Jeram Toi ke kaki bukit di seberang jalan, jika dari Seremban ia terletak di sebelah kanan. Laluan masuknya terletak di antara papan tanda Jeram Toi - 300 meter dan laluan masuk Jeram Toi. Didapati laluan sudahpun ditandai oleh stiker “awas” oleh Jabatan Belia dan Sukan sewaktu program Eksplorasi Gunung Telapak Burok pada bulan Ogos yang lalu.

Awal-awal lagi kami terpaksa mendaki bukit yang menegak membuatkan perjalanan sangat perlahan, sampai di puncak bukit tersebut Mariam sudahpun terbaring kerana penyakit asmanya, dia meminta untuk dihantar pulang ke “base camp”. Aku membuat keputusan menghantarnya pulang sementara Vicky membantu aku menguruskan kumpulan hadapan yang pada awalnya diberi kepada aku supaya perjalanan berjalan dengan lancar.
Sewaktu menuruni bukit untuk menghantar Mariam pulang tiba-tiba Rushdee mengalami sesak nafas, dia direhatkan sebentar sebelum dihantar pulang, begitu juga dengan Agus yang cedera pada kakinya yang termasuk ke dalam lubang. Di sini aku melihat dari sudut positif penarikan diri mereka dari ekspedisi kerana tidak mahu melihat kawan-kawan mereka gagal menawan gunung Telapak Burok disebabkan oleh mereka. Aku, Hadi dan Tom meneruskan perjalanan selepas menghantar mereka pada laluan masuk tadi dan dalam masa satu jam berjaya masuk kepada kedudukan asal kami. Aku diberitahu bahawa Mizi telah pengsan selepas bukit pertama dan apabila pulih ia bersemangat meneruskan perjalanan.
Matlamat kami ialah untuk sampai ke Sg. Gemenci, pada jam 11.00 pagi kami sampai pada tempat tersebut yang merupakan sebuah empangan kecil yang tidak digunakan. Seterusnya perjalanan kami melalui jalan balak yang sangat panjang melalui bukit-bukau tetapi lebih kepada laluan mendaki. Tamat sahaja jalan balak kami melalui kawasan permatang yang sangat panjang dan perjalanan agak rata memudahkan perjalanan kami.
Jam sudah menunjukkan 12.30 tengahari kami membuat keputusan untuk makan tengahari di sungai yang kedua yang terletak kira-kira satu jam perjalanan dari kawasan akhir permatang. Hujan turun dengan lebatnya menyukarkan penndakian kami kerana laluan menjadi lecah dan berlumpur, keadaan menjadi sukar sama-ada mendaki ataupun menurun. Perjalanan yang mendaki yang sepatutnya cuma mengambil masa 10 minit menjadi 30 minit, ramai peserta sudah mula mengeluh kerana tergelincir dan terjatuh.
Akibat hujan lebat tersebut kumpulan kami berpecah menjadi tiga kumpulan besar mengikut kemampuan masing-masing berbanding lima kumpulan asal. Jam 2.05 petang Vicky menghantar laporan bahawa kumpulannya sudah berada di sungai yang kedua manakala Hadi masih jauh di belakang aku. Kami meneruskan perjalanan dengan harapan akan sampai ke tempat Vicky tetapi apabila jam menunjukkan pukul 2.45 petang sungai yang dicari masih belum dijumpai lalu aku membuat keputusan berhenti makan tengahari di kawasan puncak bukit.
Habis sahaja makan tengahari kumpulan tiga sampai ke tempat kami, dan meneruskan perjalanan ke sungai kedua yang hanya lima belas minit mengikut laporan Vicky. Sampai di sungai kedua Nyong kelihatan pucat kerana disengat penyegat, keadaannya sangat lemah dan diberi makan ubat penahan sakit. Keadaan semua peserta sangat letih di tambah pula dengan hujan lebat tidak menentu.Kami meneruskan perjalanan ke sungai ketiga pada jam 3.00 petang, perjalanan berbukit-bukau dan melalui beberapa alur sungai yang kecil. Jam menunjukkan 6.15 petang tetapi sungai ketiga masih belum ketemu, aku mengambil keputusan merehatkan kumpulan aku dan memberitahu supaya semuanya bersedia untuk berjalan malam dan menyediakan lampu suluh. Lampu suluh sudah mula digunakan pada jam 7.00 malam kerana keadaan yang sangat gelap, setelah sejam melalui beberapa bukit barulah kami menjumpai sungai ketiga yang agak dalam berbanding dua sungai sebelum ini.Vicky menghantar laporan mengatakan bahawa kumpulannya sudah berada di atas sebuah bukit menanti kami setengah jam yang lalu, aku merasa sangat terkilan kerana lima orang penunjuk arah kami berada di hadapan bersama kumpulan satu, cuma seorang berada di kumpulan tiga sementara tiada langsung untuk kumpulan aku. Perjalanan sangat sukar seperti “ala-ala Trans Titiwangsa” dengan laluan mendaki dan menurun yang curam lagi licin. Pada jam 9.20 malam kumpulan aku sampai ke tempat kumpulan satu yang sudah membuat unggun api, namun Atan yang berada pada kumpulan tiga pula menghadapi masalah kekejangan otot dan terpaksa “dipujuk” naik ke atas.

Di sini kami berehat dan berbincang mengenai puncak yang masih jauh lagi, walaupun ada suara yang mahu tidur sahaja di situ, kami membuat keputusan untuk meneruskan perjalanan kerana suasana sangat sejuk dan banyak agas. Bantuan diminta dari “base camp” untuk menghantar makanan dari puncak ke sungai keempat.

16 November 2008

Kami mengumpulkan semua yang tercedera di hadapan dan memastikan setiap mereka dibantu oleh rakan mereka. Perjalanan masih lagi sukar seperti sebelumnya dimana kebanyakannya lebih kepada mendaki dan kami sampai ke sungai keempat pada jam 2.30 pagi, dimana bantuan makanan telahpun sampai. Setelah makan dan berehat kami meneruskan perjalanan ke puncak kali ini kami sudah berada di kaki gunung Telapak Burok, semua perjalanan adalah mendaki cerun yang tajam.

Aku, Tom, Nizam dan Fadhly bergilir-gilir menarik Atan supaya sampai ke puncak, apabila cahaya merah pencawang telekomunikasi dapat dilihat laluan sudah tidak cerun melainkan laluan balak yang berlumpur. Jam menunjukkan 5.30 pagi akhirnya kami berlima sebagai peserta terakhir selamat tiba di puncak. Kami menuruni puncak menggunakan pengangkutan pacuan empat roda untuk menjimatkan masa ke “base camp” yang mengambil masa kira-kira 30 minit perjalanan.

Puncak Telapak Burok tidaklah indah kerana ia menjadi tapak semboyan dan menara telekomunikasi, yang indah ialah kesukaran mencedoknya yang terletak di tengah-tengah banjaran. Perjalanan memang sangat sukar ia lebih kerana faktor cuaca yang menyebabkan laluan menjadi licin, seeloknya pendaki harus mempunyai persediaan mental fizikal dan mental yang cukup kerana laluannya lebih sukar dari gunung Nuang walaupun tidak securamnya kerana laluan yang harus ditempohi sangat panjang.




Sunday, November 23, 2008

Ulu Bendul-Gunung Angsi-Bukit Putus

Max sudah meninggalkan aku pagi tadi untuk pulang ke Tanjung Karang, itu menandakan aku akan meninggalkan Bandar Seremban sedikit masa lagi sebelum dihantar bertugas ke destinasi yang belum diputuskan oleh majikan aku. Alhamdulillah aku berjaya juga melakukan Trans Angsi semalam walaupun ramai yang menarik diri kerana faktor cuaca, ia terpaksa dilakukan sebagai memenuhi “tanggungjawab sosial” aku di Seremban. Mungkin betul kata Ustaz Kamal bahawa faktor cuaca langsung tidak diambil kira oleh aku untuk mendaki gunung, sebagai menyokong kata-katanya aku cuma memberi kata dua kepada para peserta iaitu hari akan hujan pada masa pendakian dan adakah mental mereka bersedia untuk itu dan sudah tentulah yang tinggal hanya tinggal orang gila seperti Max, Tom, Suhaimi, Ustaz Nizam dan Ustaz Kamal yang mengikut aku.



Pada malam Jumaat kami sampai pada jam 11.45 malam di kawasan rekreasi Ulu Bendul setelah “disembelih” oleh pemandu teksi sebanyak RM45.00 dari Panchor Jaya di kediaman Ustaz Nizam. Untuk mengelakkan dicukai sebanyak RM5.00 oleh pihak renjer, kami berjalan menuju ke hutan simpan tanpa menggunakan lampu suluh kerana melalui pejabat renjer. Hujan lebat pada waktu petang agak melicinkan laluan disamping pokok-pokok tumbang yang kelihatan masih baru. Kami sampai di kawasan astaka sebelum melintasi jeram Kak Lang pada jam 1.30 pagi, perjalanan agak santai kerana aku tidak menetapkan masa untuk sampai ke puncak. Suasana perut Angsi agak sejuk jika hendak dibanding dengan puncak Nuang walaupun hari tidak hujan membuatkan kami banyak kali berhenti sambil “mengeqah” Gudang Garam kepunyaan Suhaimi.
Jam menunjukkan 4.00 pagi dengan perjalanan agak curam membuatkan Ustaz Nizam kehilangan tenaga walaupun sudah hampir sangat dengan puncak. Lalu aku menyuruh Tom dan Max ke atas dahulu semenatara aku memasak mee segera di tengah jalan untuk memberikan tenaga kepada Ustaz Nizam. Belumpun sempat Gudang Garam habis ditangan aku, dia sudahpun pulih dan bersedia untuk meneruskan perjalanan. Kami berempat sampai di puncak pada jam 5.00 pagi dimana Tom dan Max sudahpun dibuai mimpi akhil baligh.
Suasana di bandar Senawang sangat cantik dari puncak kerana gemerlapan lampu-lampunya cuma sayang ia tidak dapat diabadikan menggunakan kamera biasa. Ia samalah indahnya melihat Kuala Lumpur dan Genting Highlands dari puncak Nuang. Azan subuh dari Senawang jelas kedengaran dari puncak dan hujan rahmat tiba-tiba membasahi bumi seolah-olah meraikan pengalaman kami mendaki malam. Aku cuma tidur di bawah “puncho” bersama Suhaimi sebelum bangun pada jam 7.00 pagi untuk memasak mee segera telur, cucur tepung, sardin dan teh o.
Ketika aku sibuk memasak seperti biasa Ustaz Nizam dan Ustaz Kamal menghantar laporan kepada isteri masing-masing kerana sayangkan isteri mereka walaupun pada hakikatnya mereka “takut bini”. Jam 8.00 pagi selepas hujan berhenti, Stadium Paroi jelas kelihatan dari puncak mungkin sudah rezeki Suhaimi yang pertama kali mendaki gunung, walhal aku empat kali mendaki baru dapat melihatnya.
Tepat jam 9.15 pagi Tom mengetuai kami menuruni jalan lain, laluan ini sangat cantik melalui permatang-permatang yang tidak curam cuma mempunyai banyak simpang yang mengelirukan. Sejam perjalanan kami sudah sampai ke jalan balak yang membosankan namun tidak curam dan mempunyai sumber air. 15 minit kemudian jalan sudah mencerun dan kedengaran bunyi kenderaan berat di jalan Bukit Putus, di sini terdapat sedikit kawasan rata dimana dibina kawasan berehat yang “simple”. Ia mungkin dibina oleh pendaki –pendaki yang tidak menggunakan laluan Ulu Bendul kerana mengelakkan dicukai oleh renjer . 15 minit kemudian perjalanan masih mencerun kami sudah betul-betul berada di papan tanda larangan berhampiran laluan masuk supaya tidak menceroboh hutan simpan Angsi dan tentulah ia ditujukan kepada kami berenam.
Setelah hampir 20 minit menunggu bas di kawasan rehat Bukit Putus yang terletak kira-kira 3km daripada Ulu Bendul jika dari Seremban ahkirnya bas kedua “chap ayam” sudi mengambil kami, jika hendak diharapkan bas MARA maka kami terpaksalah berjalan ke hentian bas yang terdekat iaitu di pintu masuk Ulu Bendul. Setelah hampir setahun berada di Seremban akhirnya berjaya juga aku menjadi sebahagian dari Angsi dengan melengkapkan perjalanan malam dan melakukan perjalanan sehala.

Friday, November 21, 2008

Thursday, November 20, 2008

Sudah hampir seminggu kursus induksi berlalu, namun aku rasa daripada sepuluh perkara yang “dikongsi” oleh penceramah adalah satu atau dua perkara yang masuk dalam kepala ini, yang sembilan lagi tidak masuk kerana kepala aku tidak berfungsi kerana asyik tertidur. Petang semalam tiga kali aku ditegur kerana tertidur di hadapan penceramah malu juga aku dibuatnya, hairan juga dengan badan aku ini kalau berjalan 19 jam seperti mendaki gunung Telapak Burok hingga buruk tapak tangan dan kaki tiada pula rasa mengantuk. Mungkin kursus ini patut dijalankan di atas gunung barulah tidak mengantuk agaknya.

Monday, November 17, 2008

Penangan Gunung Telapak Burok membuatkan hidup aku buruk seketika, aku tertidur daripada pukul 4.10 petang semalam hingga 6.30 pagi tadi kerana kepenatan. Jangkaan yang tidak tepat tentang topografinya menyebabkan kerana tiada maklumat tentang gunung menyebabkan aku merasakan ia agak mudah seperti Gunung Dato’ hasilnya ia seperti mendaki Gunung Dato’ kemudian turun ke kaki gunung dan naik semula ke puncak. Pelbagai komen yang diberi, dimana rata-rata peserta tidak akan ke situ untuk kali kedua walaupun diupah seribu ringgit mahupun namanya diubah kepada Telapak Cantik. Nasib baiklah hari ini cuma ada perasmian Kursus Induksi tanpa celoteh yang berjela-jela dari penceramah jika tidak sudah tentu ramai yang tidur maka sempatlah juga aku memulihkan diri aku hinggga besok hari. Hingga sekarang tekak aku berasa kering walaupun sudah bergelen-gelen menelan air tetapi urat yang bersimpul di belakang lutut aku tidak pula berasa sakit seperti selalu.

Thursday, November 13, 2008

Kontrak Sosial

Jika seorang guru masuk ke kelas yang pertama kali di ajarnya sudah menjadi kebiasaan ia akan mengambil masa beberapa minit untuk menetapkan beberapa perjanjian (kontrak sosial) dengan murid-muridnya yang kadang-kala merupakan peneguhan kepada peraturan bertulis yang sedia ada. Jika melihat dari sudut sastera sejarah rumpun melayu berlaku kontrak sosial apabila peristiwa waadat antara Demang Lebar Daun (rakyat) dan Sang Sapurba (pemerintah) seperti berikut:-

"…hendaklah pada akhir zaman kelak anak cucu bapa hamba jangan derhaka pada anak cucu kita, jikalau ia zalim dan jahat pekerti sekalipun." Baiklah, Tuanku. Tetapi jika anak buah tuanku dahulu mengubahkan dia, maka anak cucu patikpun mengubahkanlah."

Natijah daripada perlanggaran waadat tersebut empayar Melaka telah lenyap hingga sekarang. Secara mudah kontrak sosial dapat di definisikan sebagai perjanjian bertulis atau tidak bertulis lebih daripada dua pihak, jika berlaku perlanggaran terhadap perjanjian tersebut maka keadaan akan menjadi tidak harmoni.

Selepas kekuasaan parti UMNO merosot selepas PRU 12 yang lepas terdapat beberapa pihak yang cuba mencabar perlembagaan Malaysia di mana di dalamnya tertulis jelas kontrak sosial yang telah dicapai sejak zaman pra kemerdekaan. Bermula dengan tuntutan tidak masuk akal HINDRAF, Gerakan, MCA dengan di sokong oleh orang Melayu sendiri membuatkan aku tertanya-tanya adakah sistem pendidikan yang ada sekarang sudah tidak mencukupi menjelaskan perkara tersebut.

Dimana silapnya pengajaran dan pembelajaran matapelajaran sejarah tidak dapat merungkai kehebatan orang melayu memberikan kerakyatan kepada orang Cina dan India secara "jus soli" dengan syarat mereka tidak akan mengungkit empat perkara iaitu:-

i. Agama Islam sebagai agama persekutuan (Perkara 3)
ii. Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi (Perkara 152)
iii. Hak-hak keistimewaan orang Melayu (Perkara 153)
iv. dan Majlis Raja-Raja. (Perkara 38/181)

Terdapat banyak bantahan terhadap agama Islam seperti seruan azan yang tidak sampai lima minit, tuntutan supaya agama lain juga diberikan peruntukan, mencabar undang-undang syariah, mengadakan forum mengkaji kedudukan Islam serta bermacam karenah yang didiamkan sahaja. Kalau difikir secara logik sudah namanya agama persekutuan sudah tentulah ia mendominasi segala keperluan yang ada, namun mereka harus bersyukur kerana mereka amat bebas mengamalkan segala ajaran agama mereka tanpa gangguan cuma tidak dibenarkan untuk penyebarannya.

Orang Melayu dengan Islam tidak mungkin dipisahkan jika meminjam kata-kata Prof. Hamka iaitu “orang Minangkabau tanpa Islam hilang “minang”nya jadi kerbaulah ia dan orang Melayu tanpa Islam hilang “me”nya, jadi layulah dia. Untuk memenuhi keperluan tersebut pelbagai agensi berteraskan agama persekutuan ditubuhkan memastikan orang Melayu tidak layu dan dalam masa yang tidak pernah menindas agama lain.

Lim Guan Eng yang baru memerintah Pulau Mutiara sudah menunjukkan belangnya mencampur-adukkan lain-lain bahasa dalam papan tanda jalan mungkin meniru kepimpinan Theresa Kok yang melakukan perkara yang sama di Bukit Bintang. Mungkin mereka meniru “stail” mentor mereka di Singapura yang menjahamkan bahasa Melayu walaupun sehingga sekarang ia masih merupakan bahasa kebangsaan di situ. Seingat aku sejarah susur galur bahasa Melayu (austranesia) hanya meliputi sekitar kepulauan Borneo, kepulauan Indonesia, tanah Melayu dan Indocina. Sekaligus menunjukkan orang Cina dan India adalah kaum pendatang berbanding dengan orang Melayu yang merupakan penutur asal kawasan Tanah Melayu dan kawasan serumpun.

Di dalam sistem pendidikan pun tidak kurang hebatnya dengan sesuka hatinya cendiakawan yang ada menukar bahasa Melayu kepada bahasa Malaysia dalam kurikulum walaupun hingga setakat ini perlembagaan Perkara 152 mengenai status bahasa Melayu tidak pernah berubah. Bila bercerita tentang soal hak-hak keistimewaan orang Melayu, keadaan menjadi lebih parah. Dari soal perjawatan di sektor awam, kuota biasiswa, pertempatan di IPTA, permit dan lesen serta perlaksanaan DEB. Bayangkan jika kita pergi ke jabatan kerajaan yang didominasi oleh orang Cina dan India di kaunter, sudah tentu tidak nampak suasana Melayunya tanah air ini! Lagipun kerajaan tidak pernah melarang iklan perjawatan di dada akhbar yang hanya di khususkan kepada orang Cina dengan meletakkan simbolik ayat “boleh berbahasa Mandarin” sebagai syaratnya.

Orang Cina yang dilihat masih tidak berpuas hati dengan pemberian biasiswa 65-45 kepada orang Melayu dan kaum lain dikalutkan lagi dengan kenyataan Khalid Ibrahim yang mencadangkan pembukaan UITM kepada kaum lain. Bagi Anwar Ibrahim mahupun Khalid Ibrahim kenyataan ini menggambarkan seolah-olah merekalah yang paling adil di planet bumi ini dengan dasar liberal mereka demi cita-cita mereka. Tanpa Perkara 153 aku sendiri mungkin tidak dapat melanjutkan pelajaran ke universiti kerana merit STPM aku yang rendah ketika itu. Apalah yang boleh diharapkan dengan budak kampung seperti aku dengan suasana pembelajaran yang tidak kondusif dan kekangan kewangan jika hendak dibandingkan dengan Anwar Ibrahim yang mempunyai segala-galanya itupun kedengaran keputusannya cuma “cukup makan”.

Jika melihat soal-soal kenapa tender-tender kerajaan diberi kepada orang Melayu sebenarnya orang Cina masih lagi mengaut keuntungan kerana kontraktor Melayu masih lagi terpaksa membeli bekalan mentah dari orang Cina yang mengawal kegiatan perniagaan di sini. Juga mereka masih lagi mendahului orang Melayu walaupun DEB sudah lama dilancarkan. Sebenarnya maksud keadilan di Malaysia mahupun dalam Islam bukan bermaksud pembahagian sama rata sebenarnya, ia lebih kepada bagaimana pembahagian mengikut keperluan supaya semua pihak tidak tertindas.

Mungkin membuat analogi perhubungan adik-beradik lebih mudah difahami oleh rakyat Malaysia, katakanlah ibubapa kita membantu adik-beradik kita dalam soal kewangan kerana ketidakstabilan ekonominya, adakah kita akan marah perbuatan itu walhal dalam masa yang sama kita adalah orang kaya. Jika kita marah maknanya ada sesuatu yang tidak kena dengan kita kerana sepatutnya kita turut membantu adik-beradik kita.

Dalam soal Majlis Raja-Raja kita seolah-olah melupakan peranan mereka, jika dilihat dalam soal struktur pemerintahan negara Yang Di Pertuan Agong adalah bertindak sebagai Ketua Negara manakala untuk negeri ketuanya adalah sultan. Hanya Majlis Raja-Raja yang boleh melantik Yang Di Pertuan Agong bukannya parti-parti politik yang memerintah. Sekarang ini berlaku pula provokasi di media massa oleh parti-parti politik terhadap sultan-sultan tentang siapa yang patut dilantik sebagai Ketua Menteri di negeri mereka, ini jelas berlaku di negeri Perak, Perlis dan Terengganu. Bagi aku setiap rakyat harus taat setia kepada sultan mereka kerana negeri ini kepunyaan mereka dan mereka berhak menentukan siapakah yang patut mentadbir negeri mereka selagi mereka tidak berlaku zalim kepada kita seperti waadat yang telah dijalankan.

Sebenarnya jika orang Cina dan India mempertikaikan empat perkara di atas mereka seolah-olah mempertikaikan soal kerakyatan mereka sendiri sebagaimana kontrak sosial yang telah dibuat. Mereka harus bersyukur dengan kerakyatan yang diperolehi mereka mempunyai segalanya di sini berbanding dengan orang Melayu walaupun mempunyai perlembagaan yang melindungi mereka tetapi masih jauh ketinggalan.

Sebelum aku berhenti menulis eloklah aku memberikan sedikit teks “Zion Protocol” (10) mungkin ia memberikan idea apa yang sedang berlaku sekarang.

“…kita mesti mengeruhkan hubungan di antara rakyat dan pemerintah di semua negara dengan menimbulkan perbalahan, kebencian, pertentangan, iri hati, bahkan dengan menyebabkan seksaan, kebuluran, penyakit, kemiskinan supaya kaum-kaum goyim (manusia babi) tidak nampak jalan lain melainkan mencari perlindungan di bawah pemerintahan kita yang mempunyai kedaulatan atas kewangan dan sekalian yang lain. Tetapi kalau kita berikan negara-negara di dunia ini berpeluang berfikir dan membuat keputusan, maka saat yang kita nanti-nantikan sudah tentu tidak akan tiba”.

Wednesday, November 12, 2008

Suasana Pagi di Puncak Batu Puteh

Tuesday, November 04, 2008

Latihan Plyometrik

Definisi

Plyometrik ialah sejenis latihan tubi yang amat sesuai untuk menghasilkan otot kuasa letupan seperti latihan lompatan yang sangat diperlukan untuk acara sukan yang memerlukan kuasa letupan. Latihan plyometrik memerlukan banyak rutin melompat dan melantun. Teknik untuk melakukan aktiviti-aktiviti plyometrik ialah melompat, mendarat, dan melonjak. Latihan ini dibuat melintasi bangku atau kon atau melompat ketingting dan melantun di rungan yang ada. Ahli-ahli sukan dilatih untuk mencuba mengurangkan masa yang digunakan untuk penukaran arah kelajuan masa dan kuasa.

Konsep

Latihan plyometrik dapat membina kecepatan otot untuk mengecut maksima dalam masa singkat. Dapat membentuk keanjalan otot iaitu faktor terpenting untuk kuasa. Pendaratan daripada aktiviti lompatan akan memaksa otot di bahagian kaki merenggang dengan penuh tekanan dalam masa yang singkat. Ini merupakan asas kepada pembentukan kekuatan.

Objektif

Membina dan meningkatkan kekuatan dan dayatahan otot. Keupayaan mengeluarkan kuasa dalam masa yang singkat. Membina dan meningkatkan koordinasi. Meningkatkan daya tahan kardiovaskular.

Prosedur

Tentukan intensiti latihan terlebih dahulu. Ambilkan kadar latihan. Memanaskan badan. Tunjukcara lakuan aktiviti. Tempatkan subjek dan pembantu di stesen masing-masing. Tentukan juga masa rehat antara set yang bernisbah 1:2 atau 1:3.

Prinsip-prinsip

Intensiti

Beri lebih penekanan daya kepada bahagian otot yang hendak di tumpu.

Ulangan

Semakin banyak ulangan yang diberi, semakin cepat dan berkesan sesuatu latihan.

Kekerapan

Sekiranya intensiti tinggi, kekerapan perlu dikurangkan supaya tidak mendatangkan kecederaan otot dan begitulah sebaliknya.

Pengkhususan

Pengkhususan hendaklah ditumpukan kepada keperluan objektif yang hendak dicapai. Contoh untuk membina kekuatan melompat maka tumpuan hendaklah diberi kepada bahagian otot kaki.

Variasi

Variasi latihan perlu dibuat samada variasi dari segi masa, tempat, ulangan atau kekerapan untuk menngelakkan kejemuan sehingga menjejaskan objektif.

Jenis-jenis latihan plyometrik

Melantun dengan dua belah kaki (lompat jauh)

Prosedur :

Melonjak kuat ke hadapan dan ke atas sambil menghayun lengan ke hadapan. Mendarat segera dan melonjak semula.

Melantun kaki bergilir-gilir

Prosedur :

Tangan di belakang kepala, melonjak seberapa jauh dan tinggi yang boleh sebelum mendarat di atas sebelah kaki.

Lompatan pantas kedua-dua belah kaki

Prosedur :

Melonjak dan menghayun ke atas seberapa tinggi dan lutut di bawa ke dada, mendarat kemudian melonjak semula.

Skip

Prosedur :

Cuba “terapung” dengan melonjak sebelah kaki kehadapan dan sebelah kaki ke belakang. Hayunan tangan kehadapan dan ke atas.

Lompat kangkang

Prosedur :

Tapak tangan di belakang kepala. Melonjak seberapa tinggi yang boleh, mendarat dengan membengkokkan kaki ke hadapan dan melonjak semula.

Lompat naik dan turun

Prosedur :

Melompat dengan dua belah kaki melepasi kotak yang diletakkan berjarak. Lompatan diteruskan, mendarat dan seterusnya sehingga selesai.

Double leg jump

Prosedur :

Melompat dua belah kaki ke atas kotak. Turun dari kotak, mendarat dua belah kaki dan naik ke kotak kedua, turun dan seterusnya. Buat 8 ulangan iaitu 3 set. Ketinggian kotak : 36 inci.

Horizontal swing.

Prosedur :

Memegang beban, membuat hayunan kekiri, kanan dan kebelakang. Buat 12 ulangan 3 set. Berat beban : 10 kg.

One leg zig-zag

Prosedur :

Melompat rintangan berbentuk zig-zag. Buat 8 ulangan/3 set. Ketinggian halangan ; 36 inci.

Sistem Tenaga

Manusia, sama ada semasa aktif atau berehat, sentiasa menukar tenaga dari satu bentuk kepada bentuk yang lain. Umpamanya di dalam permainan badminton, tenaga digunakan untuk mengekalkan aktiviti otot. Begitu juga di dalam aktiviti berlari dan melompat dan pergerakan yang memerlukan koordinasi dan imbangan dimana tenaga diperlukan berterusan.

Tenaga dibebaskan bila bahan kimia yang kaya dengan tenaga yang dipanggil adenosine triphosphate (ATP) dipecahkan kepada yang lebih kecil yang dipanggil adenosine diphosphate (ADP). Sel-sel di dalam badan tidak akan mengambil nutriet yang terdapat di dalam makanan untuk mendapat bekalan tenaga dengan serta-merta. Sebaliknya, ATP yang tersimpan di dalam sel-sel otot, merupakan bahan bakar yang digunakan untuk mengeluarkan tenaga segera.

Walaupun ATP merupakan pembekal tenaga kepada semua sel, bekalannya adalah terhad dan hendaklah dibina secara berterusan untuk memberi bekalan yang berpanjangan. Terdapat tiga sistem asas di mana atp boleh dibekalkan ke sel-sel otot untuk menghasilkan penguncupan dan pergerakan. Dua daripadanya tidak memerlukan oksigen dan dipanggil sistem anaerobik. Sistem yang ketiga memerlukan oksigen dan dipanggil sistem aerobik. Sistem anaerobik dipecahkan kepada dua iaitu sistem atp-pc dan sistem asid laktik.


Sistem ATP-PC

ATP di dalam otot dan satu lagi bahan kimia yang kaya dengan tenaga yang dipanggil phosphocreatine (PC) bersama-sama membekalkan tenaga yang cukup untuk usaha maksima antara 5-10 saat. Hanya sebahagian kecil ATP disimpan di dalam sel-sel otot dan ia perlu dibina semula untuk mengelakkan daripada kehabisan. PC yang juga tersimpan di dalam sel-sel otot membantu membina semula ATP.

Simpanan PC di dalam sel-sel hanya dapat bertahan beberapa saat sahaja di dalam latihan yang berintensiti tinggi dan merupakan sumber utama bekalan ATP semasa beberapa saat pertama larian pecutan. Dengan latihan yang rapi keupayaan sistem ini boleh ditingkatkan.


Sistem Asid Laktik

Apabila simpanan PC di dalam sel-sel otot kehabisan, glikogen di dalam otot yang terdiri daripada unit-unit glukosa yang dikumpul bersama dan merupakan simpanan karbohidrat di dalam badan, melalui proses yang dipanggil glikosos berpecah menjadi asid pyruvic dan menukar menjadi asid laktik dengan ketiadaan oksigen. Pengumpulan asid laktik di dalam otot akan menganggu peroses penguncupan dan melambatkan pergerakan dan akhirnya menyebabkan kelesuan .Aktiviti yang berintensiti tinggi seperti larian 400m dan renang 100m yang mengambil masa 45-60 saat akan membawa kepada kelesuan.


Sistem Aerobik

Sumber tenaga panjang melibatkan pengeluaran ATP daripada berbagai bahan bakar dengan penggunaan oksigen. Sumber utama ialah karbohidrat dan lemak. Pengeluaran ATP melalui sistem ini agak perlahan berbanding dengan sistem yang lain dan memakan masa 2-3 minit kerana oksigen perlu disalurkan ke otot melalui saluran darah. Dengan kehadiran oksigen asid pyruvic berpecah menjadi karbon dioksida dan air dan membebaskan ATP yang banyak, lebih daripada sistem yang lain.

Di dalam acara sukan yang memakan masa yang panjang seperti marathon seseorang pelari mungkin terpaksa melambatkan larian ataupun berhenti kerana kehabisan bahan bakar glikogen dan terpaksa menggunakan bahan bakar yang lain seperti protin untuk menamatkan larian.


Sumbangan Sistem Tenaga Kepada Sukan

Sebenarnya sistem tenaga anaerobik dan aerobik menyumbang kepada persembahan sukan cuma persoalannya ialah yang mana satu mendominasinya. Umpamanya, di dalam sukan olahraga, acara larian pecut jarak dekat mendapat sebahagian besar bekalan tenaga daripada sistem anaerobik iaitu, ATP-PC dan Asid Laktik manakala acara larian jarak jauh yang memerlukan dayatahan kardiovaskular mendapatkan sebahagian besar bekalan tenaga daripada sistem aerobik. Maka sistem ATP-PC masih beroperasi semasa badan kita berehat dan sistem aerobik beroperasi semasa larian pecut jarak dekat.

Di dalam permainan seperti bola sepak, ketiga-tiga sistem tenaga sentiasa bertukar-ganti penguasaan mereka. Begitu juga semasa permainan badminton rally pendek, ia mendapat bekalan tenaga daripada sistem ATP-PC dan Asid Laktik manakala perlawanan yang berpanjangan mendapatkan bekalan tenaga daripada sistem aerobik. Di dalam permainan bola sepak dan hoki, larian pecut mengejar bola atau mengekori pemain lawan yang sedang menyerang mendapat bekalan tenaga daripada sistem ATP-PC dan Asid Laktik.

Sedih sedikit hari ini kerana aku terpaksa “melepaskan” Panther yang paling aku sayangi di atas alasan kekangan kewangan, walaupun aku masih mempunyai Honda NSR untuk disayangi tetapi aku masih menyayanginya kerana jasanya. Mungkin sebab personaliti sayang semuanya aku masih belum dapat memilih awek yang betul-betul disayangi untuk dikahwini. Sudah masuk hari kedua peperiksaan, potensi untuk mendapatkan markah A masih samar-samar kerana semua soalan yang diramal keluar tetapi fikiran aku tiba-tiba “blank” bila melihat Azie begitu comel sewaktu menjawab soalan seperti mahu mengisi borang kahwin. Manakala besok adalah kertas terakhir sebelum aku menjalani Kursus Biro Tata Negara selama seminggu di Muar dan Kursus Induksi di sini yang akan berakhir 6 Disember dan kemudian bercuti panjang. Ramai yang kecewa kerana tidak dapat mengikut aku ke Gunung Dato’ tiga minggu lepas kerana peluang itu tidak datang kembali melainkan aku di hantar bertugas di sini tahun depan.

Sunday, November 02, 2008

Pertemuan dengan ahli-ahli OGKL menyebabkan aku tidak dapat membantu Nor dalam pengendalian sukaneka semalam, daripada aku dimarahi oleh mereka aku mengambil keputusan singggah ke Mid Valley melihat ekspo barang “outdoor” yang di jual. Tiada apa yang menarik untuk dibeli melainkan aksesori yang kecil, dan aku berjumpa dengan Abang Ngah yang kelihatan berurusan dengan “taukeh” salah sebuah kedai di situ. Ternyata aku adalah antara anak murid perguruannya yang mempunyai minat yang sama dengannya. Beliau telah melepaskan “Rekreasi Muara Tesong” yang pernah kami usahakan bersama dulu kerana banyak masalah. Terkejut juga aku kerana dia menawarkan lot “camp site” berhampiran dengan Sungai Klah Hot Spring kepada aku, namun aku menolak secara baik kerana lebih suka mengadakan program “outdoor” secara “ad hoc” dan “freelance” tanpa terikat dengan mana-mana pihak, lagipun kerja baru aku menjadikan aku stabil dari soal kewangan.

Gunung Batu Puteh -6993 kaki

24 Oktober 2008 (Jumaat)


Ini adalah kali kedua aku mengikut OGKL dalam pendakian cuma kali ini jumlahnya cukup ramai iaitu seramai 32 orang. Sejak jam 9.00 malam aku sudah berada di Restoran Yusof Zakir yang terletak berhampiran Pasar Seni menanti Zafrul dan Jo Han. Selepas pukul 11.00 malam barulah pihak OGKL dapat mengaturkan perjalanan dengan menggunakan 11 buah kereta. Kami bermalam di kawasan rekreasi Kuala Woh pada jam 2.00 pagi sementara menantikan matahari terbit. Kami perlu ke kaki Bukit Tapah yang terletak berhampiran Empangan Sg. Odak untuk memulakan pendakian, perjalanan cuma mengambil masa 20 minit dari Kuala Woh dan jalannya adalah bertar tetapi sangat kecil tidak sesuai untuk kenderaan besar.25 Oktober 2008 (Sabtu)

Secara jujurnya urat di belakang kaki aku masih terasa sakit, aku cuma mengharapkan janji Zafrul dan Jo Han akan membantu aku jika berlaku masalah semasa perjalanan. Tepat jam 9.50 pagi semuanya mula bergerak dalam satu kumpulan bergerak ke “check point” pertama iaitu jambatan buluh Sungai Y, perjalanan tersebut cuma mengambil masa sejam sahaja. Melintasi jambatan tersebut perlulah berhati-hati kerana struktur binaannya sama taraf dengan jambatan MRR2 yang hendak runtuh itu.


Kami cuma berhenti rehat pada jam 12.30 tengahari di Sungai Tengas untuk makan tengahari. Menurut perkiraan aku yang gagal matematik ini terdapat 16 anak sungai dari perjalanan Bukit Tapah ke Sungai Tengas. Kemudian kami meneruskan perjalanan ke Kem Balak 1, keadaan mula mendaki menyebabkan kumpulan yang satu berpecah-pecah kepada kumpulan kecil, tumbuhan berduri mula memenuhi kiri dan kanan laluan mengganggu momentum kami.


Zafrul dan Jo Han asyik bermain teka-teki berapa jam perjalanan untuk Kem Balak 1 yang mana seorangpun di antara mereka tidak berjaya meneka dengan betul, lebih kurang dua jam kami sampai ke Kem Balak 1. Belum sempat aku merehatkan diri, Pak Syeikh telah membulatkan keputusan untuk terus ke Gua Azan dengan tujuan bermalam di situ kerana masa yang masih panjang. Dari sudut fizikal Kem Balak mampu menampung lebih 6 buah khemah “4 men tent” dan mempunyai sumber air yang dekat sangat sesuai untuk berkhemah. Perjalanan kami di teruskan ke Gua Azan dengan perjalanan mendaki dan menurun melalui bukit-bukau selepas melalui Kem Balak 2 dengan mengambil lorong kiri, jika mengambil lorong kanan ia akan terus menuju ke Puncak Batu Kak yang tiada punca air di situ.

Tepat jam 5.10 petang aku memandang ke atas dan terpegun melihat sebongkah batu yang sangat besar mungkin sebesar separuh kapal terbang” boeing 747” terletak pegun di atas tebing sebuah bukit, kalaulah aku dapat memberikan hadiah sebegini besar kepada awek aku sudah tentu menitik air mata bakal mak mentua aku melihatnya. Secara fizikalnya ia berbentuk agak leper dan seolah-olah sebuah UFO yang sedang mendarat dan kami boleh tidur dengan selesa pada “sayapnya”. Pada “kakinya” ia mengeluarkan air dari batu yang cukup untuk semua pendaki mandi hadas jika perlu.
Walaupun kami tidak dapat berdiri dengan selesa pada sesetengah bahagian gua kami masih merasakan ia selesa kerana “kehangatan” yang diberi, di ketika itu apa yang merunsingkan aku ialah jam sudah menunjukkan jam 8.30 malam tetapi “sweeper” masih belum kelihatan bersama-sama pendaki terakhir hingga Pak Syeikh terpaksa menghantar bantuan. Syukur lebih kurang pukul 9.00 malam aku sudah terdengar suara kepenatan mereka, apa yang membuatkan aku tabik pada mereka ialah sebaik sahaja sampaai terus memasak ayam masak merah untuk kami!.
26 Oktober 2008 (Ahad)

Keadaan pagi tidaklah sejuk seperti yang disangka tetapi cukup untuk melenakan kami supaya dibuai mimpi. Selepas bersarapan kami mula mengemaskan barang kerana pihak OGKL merancang untuk tidur di puncak, walaupun pada asalnya mahu melakukan pendakian secara “day pack”. Aku mula tertanya-tanya adakah tindakan mereka betul kerana berdasarkan pemerhatian aku terdapat beberapa pendaki yang kelihatan tidak bermaya. Kami meneruskan pendakian pada jam 10.05 pagi dan berhenti sekejap di simpang tiga antara Gua Azan-Kem Balak-puncak Batu Putih untuk meletakkan barang-barang yang tidak diperlukan.

Selepas sejam perjalanan bentuk muka buminya lebih banyak kepada batu-batu besar hingga menyukarkan pendakian kerana terpaksa berpaut pada kayu dan tali yang ditinggalkan oleh pendaki terdahulu. Terdapat juga sebuah batu besar yang betul-betul terletak di sebelah gaung yang cukup bahaya mengingatkan aku kepada Batu Hampar di Ledang. Sampai di Puncak Batu Kak kami singgah sekejap melihat puncak Gunung Batu Putih mengikut masyarakat asli dan mengikut peta (tentera). Bagi aku unjuran Gunung Batu Putih yang diberikan oleh masyarakat asli lebih menepati maksudnya kerana ia tersergam seperti batu putih yang licin disekelilingnya sebesar banglo Siti Nurhaliza. Apapun permandangan 360 darjah dari Puncak Batu Kak sangat indah jika mahu melihat Gunung Batu Putih, samala indahnya melihat Everest dari puncak Kala Pattar.
Kemudian kami menuruninya dan meneruskan perjalanan ke Air Terjun Terbunuh iaitu “last water point” untuk mengisi bekalan air, tidak sampai 10 minit kami menjumpai kawasan yang sesuai untuk berkhemah tetapi tiada punca air. Perjalanan seterusnya berlangsung selama tiga jam melalui permatang yang curam di kiri dan kanan tetapi tiada pokok-pokok duri yang mengganggu perjalanan kami. Di “last water point” terdapat kawasan perkhemahan yang boleh memuatkan 6 khemah “4 men tent” pada satu-satu masa. Semasa mengambil air barulah aku tahu kenapa air terjun tersebut bernama begitu kerana kita boleh terbunuh untuk menuruninya.
Kami meneruskan perjalanan ke puncak setelah memastikan bekalan air mencukupi, sepanjang satu jam setengah kami melalui kawasan berlumpur, celah-celah batu besar dan rimbunan daun-daun pokok pokok pain yang cukup subur di sini. Pelbagai teori doreamon yang dikeluarkan oleh Zafrul dan Jo Han bagaimana pohon bukan tropika itu boleh berada di sini hingga kami tidak sedar kami sudah berada di puncak yang sebesar padang bola jaring di mana terdapat sebuah beirut yang masih teguh di situ sayangnya aku tidak dapat melihat permandangan di sekeliling kerana dikelilingi oleh pokok-pokok renek.

Ahad sudah menjalankan tugasnya memasang “flysheet” besar yang dapat menampung jumlah pendaki yang besar dan kelihatan kumpulan-kumpulan lain memasang khemah. Cuaca sangat sejuk biarpun jam menunjukkan jam 5.10 petang, aku sudah mula membuat anggaran bahawa Pak Syeikh cuma dapat sampai pada jam 9.00 malam berdasarkan pengamatan aku terhadap pendaki yang dibawanya. Telahan aku betul, mereka seperti semalam masih lagi komited menyediakan makanan berlaukkan daging untuk kami walaupun dalam kepenatan.


26 Oktober 2008 (Isnin)

Pagi di sini sangat sejuk hingga sampai ke tulang sum-sum membuatkan kami tersasar memulakan perjalanan iaitu pada jam 9.10 pagi. Perjalanan menurun di rasakan sangat lambat kerana keadaan muka buminya yang curam, aku lebih mengambil langkah berhati-hati kerana menjaga “minyak gris” pada kaki. Terdapat beberapa pendaki yang laju di hadapan, aku berhenti di “last water point” dan Kem Balak mengisi perut setibanya di suatu kawasan lapang selepas Kem Balak, Johan mengalami kekejangan otot yang teruk. Zafrul menyuruh Jo Han berjalan perlahan-lahan walaupun ia sudah berputus asa, kami bersependapat bahawa Jo Han perlu dikeluarkan dari perut Batu Putih sebelum malam menjelma. Kami memberikan tekanan dengan berjalan di belakang Jo Han yang sudah bertongkat dua. Hujan yang sangat lebat menyukarkan usaha kami kerana banyak kali tergelincir di tebing yang curam.

Melepasi Sungai Tengas kami sudah mula kelaparan, tiba-tiba kami dikejutkan dengan kehadiran sungai yang sangat besar terjadi akibat hujan lebat hingga menghilangkan jejak pendaki. Aku terpaksa melakukan “rekke”, nasib aku baik kerana sungai tersebut cetek, melalui pemerhatian aku jalan mendaki di sebelah kanan menuju ke kebun orang asli ini bermakna jalan menyusur tebing sungai yang bahaya ke sebelah kiri adalah jalan yang betul. Kami membuat keputusan mengeluarkan Jo Han hingga melepasi tebing batu sungai walaupun tindakan itu bahaya kerana tidak pasti jarak Pak Syeikh di belakang yang dirasakan amat jauh.
Kami berjaya melakukannya walaupun dengan pergerakan yang perlahan dan meneruskan perjalanan ke jambatan gantung Sungai Y, bila melepasinya Jo Han serta merta memeluk aku dan Zafrul kerana baginya ia seperti berjaya melepasi “near to death”. Tepat jam 9.30 malam kami sampai ke Bukit Tapah, Jo Han direhatkan serta merta dan di hantar pulang ke Kuala Lumpur. Selesai membersihkan diri jam menunjukkan 11.00 malam, tetapi Pak Syeikh bersama sebelas pendaki yang masih belum sampai.
27 Oktober 2008 (Selasa)

Aku menidurkan diri pada jam 4.00 pagi kerana menjangkakan Pak Syeikh berehat sementara menanti pagi. Aku tidak bersetuju dengan cadangan Tok Batin supaya melakukan laporan polis di atas kelewatan Pak Syeikh dan kumpulannya, bagi aku Pak Syeikh, Tok Gajah dan Amy adalah orang sangat berpengalaman dalam bidang ini. Jika polis dan renjer melakukan tugas menyelamat pun mereka akan melakukan pendakian dengan membawa makanan kepada pendaki yang lemah. Jam 5.30 pagi aku terjaga dimana semuanya selamat tiba, perjalanan mereka perlahan kerana terdapat beberapa pendaki yang mengalami kecederaan ringan.


Secara peribadinya puncak gunung Batu Putih tidaklah hebat seperti yang di war-warkan kerana kami tidak dapat melihat permandangan di sekililingnya melainkan pokok-pokok renek dan rangka beirut yang usang. Yang indah ialah bagaimana melihat alur air menjadi sungai yang besar, melihat permandangan gunung-gunung dari Puncak Batu Kak, kehebatan Gua Azan dan Air Terjun Terbunuh. Walaupun terdapat pendaki yang sampai ke empangan seawal pukul 2.30 petang ia bukanlah suatu kejayaan yang boleh dibanggakan. Apa kejayaan yang membanggakan aku ialah “survival” Pak Syeikh, Amy dan Tok Gajah dalam memastikan semua anak buahnya selamat sampai ke puncak dan selamat pulang ke empangan.

Sumber gambar: aleng05@multiply.com