Sunday, November 23, 2008

Ulu Bendul-Gunung Angsi-Bukit Putus

Max sudah meninggalkan aku pagi tadi untuk pulang ke Tanjung Karang, itu menandakan aku akan meninggalkan Bandar Seremban sedikit masa lagi sebelum dihantar bertugas ke destinasi yang belum diputuskan oleh majikan aku. Alhamdulillah aku berjaya juga melakukan Trans Angsi semalam walaupun ramai yang menarik diri kerana faktor cuaca, ia terpaksa dilakukan sebagai memenuhi “tanggungjawab sosial” aku di Seremban. Mungkin betul kata Ustaz Kamal bahawa faktor cuaca langsung tidak diambil kira oleh aku untuk mendaki gunung, sebagai menyokong kata-katanya aku cuma memberi kata dua kepada para peserta iaitu hari akan hujan pada masa pendakian dan adakah mental mereka bersedia untuk itu dan sudah tentulah yang tinggal hanya tinggal orang gila seperti Max, Tom, Suhaimi, Ustaz Nizam dan Ustaz Kamal yang mengikut aku.



Pada malam Jumaat kami sampai pada jam 11.45 malam di kawasan rekreasi Ulu Bendul setelah “disembelih” oleh pemandu teksi sebanyak RM45.00 dari Panchor Jaya di kediaman Ustaz Nizam. Untuk mengelakkan dicukai sebanyak RM5.00 oleh pihak renjer, kami berjalan menuju ke hutan simpan tanpa menggunakan lampu suluh kerana melalui pejabat renjer. Hujan lebat pada waktu petang agak melicinkan laluan disamping pokok-pokok tumbang yang kelihatan masih baru. Kami sampai di kawasan astaka sebelum melintasi jeram Kak Lang pada jam 1.30 pagi, perjalanan agak santai kerana aku tidak menetapkan masa untuk sampai ke puncak. Suasana perut Angsi agak sejuk jika hendak dibanding dengan puncak Nuang walaupun hari tidak hujan membuatkan kami banyak kali berhenti sambil “mengeqah” Gudang Garam kepunyaan Suhaimi.
Jam menunjukkan 4.00 pagi dengan perjalanan agak curam membuatkan Ustaz Nizam kehilangan tenaga walaupun sudah hampir sangat dengan puncak. Lalu aku menyuruh Tom dan Max ke atas dahulu semenatara aku memasak mee segera di tengah jalan untuk memberikan tenaga kepada Ustaz Nizam. Belumpun sempat Gudang Garam habis ditangan aku, dia sudahpun pulih dan bersedia untuk meneruskan perjalanan. Kami berempat sampai di puncak pada jam 5.00 pagi dimana Tom dan Max sudahpun dibuai mimpi akhil baligh.
Suasana di bandar Senawang sangat cantik dari puncak kerana gemerlapan lampu-lampunya cuma sayang ia tidak dapat diabadikan menggunakan kamera biasa. Ia samalah indahnya melihat Kuala Lumpur dan Genting Highlands dari puncak Nuang. Azan subuh dari Senawang jelas kedengaran dari puncak dan hujan rahmat tiba-tiba membasahi bumi seolah-olah meraikan pengalaman kami mendaki malam. Aku cuma tidur di bawah “puncho” bersama Suhaimi sebelum bangun pada jam 7.00 pagi untuk memasak mee segera telur, cucur tepung, sardin dan teh o.
Ketika aku sibuk memasak seperti biasa Ustaz Nizam dan Ustaz Kamal menghantar laporan kepada isteri masing-masing kerana sayangkan isteri mereka walaupun pada hakikatnya mereka “takut bini”. Jam 8.00 pagi selepas hujan berhenti, Stadium Paroi jelas kelihatan dari puncak mungkin sudah rezeki Suhaimi yang pertama kali mendaki gunung, walhal aku empat kali mendaki baru dapat melihatnya.
Tepat jam 9.15 pagi Tom mengetuai kami menuruni jalan lain, laluan ini sangat cantik melalui permatang-permatang yang tidak curam cuma mempunyai banyak simpang yang mengelirukan. Sejam perjalanan kami sudah sampai ke jalan balak yang membosankan namun tidak curam dan mempunyai sumber air. 15 minit kemudian jalan sudah mencerun dan kedengaran bunyi kenderaan berat di jalan Bukit Putus, di sini terdapat sedikit kawasan rata dimana dibina kawasan berehat yang “simple”. Ia mungkin dibina oleh pendaki –pendaki yang tidak menggunakan laluan Ulu Bendul kerana mengelakkan dicukai oleh renjer . 15 minit kemudian perjalanan masih mencerun kami sudah betul-betul berada di papan tanda larangan berhampiran laluan masuk supaya tidak menceroboh hutan simpan Angsi dan tentulah ia ditujukan kepada kami berenam.
Setelah hampir 20 minit menunggu bas di kawasan rehat Bukit Putus yang terletak kira-kira 3km daripada Ulu Bendul jika dari Seremban ahkirnya bas kedua “chap ayam” sudi mengambil kami, jika hendak diharapkan bas MARA maka kami terpaksalah berjalan ke hentian bas yang terdekat iaitu di pintu masuk Ulu Bendul. Setelah hampir setahun berada di Seremban akhirnya berjaya juga aku menjadi sebahagian dari Angsi dengan melengkapkan perjalanan malam dan melakukan perjalanan sehala.

1 comment:

nyOng.is.me said...

ruginyer x ikut ri tu!!!!!