Saturday, March 28, 2009

Tangan aku bercalar-balar kerana mencari punca kenapa tiada air gunung yang turun walaupun hujan lebat. Perjalanan ke punca air bersama Kalong sangat teruk kerana melalui banyak parit dan belukar yang sangat tinggi serta malam yang gelap. Ia harus diselesaikan segera kerana aku menerima pelawat seramai 38 orang yang tentunya tidak dapat menerima alasan ketiadaan air untuk mereka menyelesaikan “natural call”. Wee pelawat dari Song yang kepenatan berjalan jauh dari Song mengakui bahawa tempat kami sangat jauh dari apa yang tergambar di dalam kotak fikirannya. Dalam pada yang sama satelit sebesar kawah nasi minyak sudah tiba di jelatong dan sekali lagi aku menerima jawatan yang baru sebagai penyelaras school net.

Friday, March 27, 2009

Masalah keputusan bekalan air semakin menjadi-jadi pula kebelakangan ini walaupun hujan turun dengan lebat, mungkin empangan tersumbat di atas gunung. Hari ini awal pagi lagi aku menerima kehadiran Manisha yang tidak datang sejak awal januari dengan alasan tiada siapa yang mahu menghantarnya ke asrama sekolah, bermakna sekarang aku sudah mempunyai 7 orang murid untuk tahun dua. Persiapan keceriaan sekolah berjalan lancar tambahan pula kami akan menerima pelawat yang agak banyak pada sabtu ini maka semangat kami bertambah daripada kebiasaan.

Monday, March 23, 2009

Moses hadir pada hari ini dengan rambut pendeknya, aku tidak tahu apa soalan yang hendak ku lontarkan kepadanya. Kerana sudah tentu dia tidak faham soalan aku dan aku sendiri tidak faham dengan jawapan yang diberikan, lebih baik aku menumpukan untuk memulihkan penulisan hurufnya yang masih jauh ketinggalan berbanding dengan murid pra sekolah.

Sunday, March 22, 2009

Syukur aku kepada tuhan kerana aku mendapat perahu pulang ke Segaham, jika tidak terpaksalah aku menanti bot ekspress yang singgah ke Belaga pada petang esok untuk pulang. Mujur Apok sanggup menunggu aku berjam-jam lamanya di Belaga setelah menghantar anaknya di asrama SMK Belaga jika tidak sudah tentu wang aku melayang membayar kos hotel. Perjalanan “Land Cruiser” yang biasanya selama 4 hingga 5 jam dari Bintulu ke Belaga menjadi 3 jam semalam oleh Ah Kiat, hingga menyebabkan rasa macam hendak terkeluar segala isi perut aku. Rasanya aku lebih selesa dengan kelajuan 4 jam seperti biasa.

Aku sudah kembali ke Bumi Kenyalang setelah berada di Perak selama 5 hari, bosan melihat media yang tidak habis-habis bercerita tentang keadaan politik di Perak yang kucar-kacir macamlah orang di Perak tiada kerja untuk dibuat selain berpolitik seperti penasihat parti mata satu. Aku lihat perjalanan pentadbiran berjalan seperti biasa walaupun bertukar pemimpin dan tiada pula berlaku pertengkaran di antara mereka, mungkin betul telahan sesetengah pihak bahawa yang lebih sudu dari kuah ialah orang dari negeri luar yang memandai-mandai memberi pendapat tentang apa yang betul di Perak hingga tahap menghina Sultan.
-
Aku bersyukur di atas kucar-kacir tersebut kerana dapat mematahkan usaha segelintir pihak yang mahu menghakmilikkan tanah lombong setelah memagar tanah tersebut yang merupakan kawasan orang ramai memancing selain tanah pertanian yang lain. Jika tidak beribu-ribu hektar tanah akan tergadai begitu sahaja, silap-silap aku tidak dapat melalui jalan pintas Kuala Bikam kerana sudah menjadi milik kekal.
-
Zul tidak dapat pulang ke sini kerana terlepas penerbangannya sudah tentu dia kerugian beratus ringgit. Untuk membeli tiket baru sudah tentu memakan kos RM400 ke atas untuk Air Asia. Penerbangan Air Asia sudah banyak berubah kerana tiada lagi perlu berebut-rebut tempat duduk seperti menaiki bas lompat nak masuk ke Felda kerana tempat duduk telah ditentukan pada tiket. Kos bas untuk ke LCCT pun sangat murah iaitu RM8.00 berbanding ERL berjumlah RM35.00. Apa yang penting orang seperti aku ini sampai ke destinasi, keselesaan adalah perkara nombor dua namun faktor keselamatan tidaklah diabaikan. Cuma apabila berlaku pertukaran altitud terasa sakit telinga yang amat sangat di situ dapat dilihat bahawa juruterbang MAS lebih berpengalaman dalam soal ini.

Thursday, March 19, 2009

Hanya anjing Cho Yok sahaja yang menyambut kepulangan aku kerana selalu menyalak tanpa henti-henti bila melihat aku, yang sedih Lion sudah tiada menggesel badannya di kaki aku kerana sudah mati kerana luka teruk. Aku jarang keluar dari rumah tanpa urusan kerana banyak kerja-kerja yang perlu dibereskan sejak menambah rumah belakang sejak tiga bulan lepas yang kelihatan tidak berapa sempurna dari segi “piping”. Begitu juga janji aku pada bos untuk menyiapkan video sekolah membuatkan aku tidak boleh ke mana-mana kerana penyuntingan video selama 5 minit memakan masa selama hampir 2 jam.

Sejarah SK Long Segaham

Terjah!!!

Kraft tangan Orang Ulu

Latihan Bola Sepak

Memburu pelajar Tahun Satu

MSSD Kapit

Menuai Padi Bukit

Peralatan Orang Ulu

Rokok Kayan

The Great Lost of Rumah Apan

Cerita Sebuah Tongkang

Salong

Sejarah SK Long Segaham

SK Long Segaham di tubuhkan pada 14 Febuari 1964 dengan menggunakan nama “Long Segaham Primary School” dan diwartakan pada 1965 di bawah Majlis Daerah Kapit. Idea penubuhannya bermula apabila kesusahan yang dihadapi oleh penduduk Long Menjawah, Long Segaham dan Long Semuang hingga terpaksa menghantar anak-anak mereka ke SK Abun Matu, Belaga yang terletak kira-kira 40 km.
-
Keadaan ini menyulitkan penduduk tersebut untuk menghantar anak mereka kerana terpaksa berkayuh empat hingga enam jam untuk menghantar anak pergi ke sekolah dan pulang ke rumah. Ini kerana mereka terpaksa mengharungi Batang Rajang yang deras dan berbahaya hingga mendedahkan kepada risiko kemalangan. Di atas faktor-faktor tersebut berlaku keciciran pelajaran di kalangan anak-anak mereka kerana tidak menerima pelajaran yang sempurna.
-
Untuk mengatasi masalah tersebut, penduduk empat buah Rumah Panjang iaitu Uma Kejaman (Long Segaham), Uma Apan dan Rumah Nyaving (Long Menjawah)serta Uma Lahanan (Long Semuang) bersepakat membina sebuah sekolah di kawasan yang di fikirkan bersesuaian di kawasan ini. Setelah mencapai kata sepakat Mendiang Lasah Abun pemimpin Umah Kejaman memberikan sebidang tanah untuk bangunan sekolah dengan mengambil kira kedudukannya yang terletak di tengah-tengah di antara Long Menjawah dan Long Semuang.
-
Bangunan asal terdiri daripada dua buah bangunan, di mana bangunan yang pertama ialah bangunan dua tingkat yang menempatkan tiga buah kelas dan kediaman Guru Besar, manakala bangunan kedua mer upakan asrama pelajar. Bangunan kayu ini dibina daripada papan dan kayu belian dan diusahakan secara bergotong-royong oleh penduduk kampung.
-
Pengambilan pertama murid ialah seramai 75 orang murid dan dibahagikan kepada dua buah kelas iaitu, Primary One dan Primary Two. Encik Lating Abun yang berasal dari Uma Balui Ukap, Batu Kalo dilantik menjadi pengurus pentadbiran sekolah yang pertama.
-
Pada tahun 1979 apabila ia mendapat peruntukan kewangan dari Bank Dunia, beberapa bangunan baru di bina. Bangunan tersebut ialah sebuah blok yang menempatkan 4 buah bilik kelas, sebuah blok asrama yang dibahagikan kepada 2 unit, 2 kuarters guru dan sebuah dewan makan yang dilengkapi dapur memasak. Pada tahun 2009 pelajarnya berjumlah 78 orang yang kebanyakannya terdiri daripada masyarakat Orang Ulu seperti Kejaman, Kayan, Lahanan, Kenyah, Sekapan, Punan dan Beketan.

Saturday, March 14, 2009

Bermalam di Ung Ping Inn Bintulu sementara menunggu kapal terbang ke Semenanjung dirasakan berbaloi kerana dengan mengeluarkan wang sebanyak RM35 mereka menyediakan penghawa dingin dan TV 29 inci yang mempunyai Astro dan TV satelit Indonesia. Sistem sekuriti yang menggunakan pas elektronik untuk setiap tingkat adalah perkara penting terutama bila terlampau banyak kaum pendatang Indonesia yang berkeliaran di sini.
-
Membeli belah di tingkat satu Pasar Utama Bintulu untuk barangan seperti batik Sarawak dan baju T adalah pilihan yang bijak walaupun tidak banyak pilihan seperti di Park City kerana jauh lebih murah. Namun aku masih merasakan tempat yang terbaik untuk barangan tersebut ialah di Kuching kerana banyak pilihan dan murah kecuali barang keluaran kraft tangan orang Ulu lebih baik di beli di sini ataupun di Belaga iaitu tempat asalnya.
-
Barang-barang keperluan di sini dijual dengan harga yang sama di semenanjung malah ada yang lebih murah seperti ikan dan udang kecuali makanan yang dijual agak mahal seperti teh ais berharga RM2.00 dan rojak ayam berharga RM5.00. Tempat seperti Li Hwa Plaza harus dielakkan kerana pendatang Indonesia akan bergerak secara berkumpulan dan mempunyai sejarah hitam dengan orang tempatan di sini.

Monday, March 09, 2009

Penat sungguh mengikut Fredie dan Peter menuai padi bukit, keadaan sangat susah kerana terpaksa menuai di lereng-lereng bukit dan membawa hasil tuaian pulang. Padi ini tidak dijual melainkan hanya untuk makanan seisi keluarga, jika di jual harganya sangat mahal berpadanan dengan keringat yang dikerah iaitu RM10-RM15 segantang. Insaf aku melihat cara mereka menjamu selera tanpa lauk pauk melainkan tiga jenis sayur iaitu cangkuk manis, kuchai dan umbut bayas yang dimasak bersama garam dan cili untuk makan tengahari.

Sunday, March 08, 2009

Hari ini perburuan murid-murid tahun satu untuk tahun 2010 bermula di Rumah Menjawah, Rumah Lahanan dan dua penempatan kem balak. Kami terpaksa meredah Batang Rajang dan masuk ke penempatan-penempatan tersebut bermula jam 10.30 pagi dan berakhir jam 4.00 petang. Hasilnya kami cuma dapat mendaftarkan cuma dua orang murid dari Rumah Menjawah kerana rata-rata mereka lebih senang menghantar anak mereka ke kawasan agak maju seperti di Belaga. Hasil yang sedikit dengan usaha yang sangat-sangat banyak itu adalah perkara biasa untuk guru-guru di penempatan paling hulu (P3). Oleh itu kepada sesiapa yang nak merasa elaun yang banyak bolehlah menyahut cabaran mengajar di sini!.

Saturday, March 07, 2009

Tom akhirnya keluar dari pertapaannya di Long Apoi, Baram Tengah setelah menaiki sampan selama sejam, melalui jambatan gantung sebelum mengambil pacuan empat roda selama 4 jam untuk ke jeti melalui jalan balak. Perjalanan bot ekspress ke Marudi adalah selama 4 jam yang merupakan pusat pentadbirannya dan terpaksa menambah 4 jam lagi ke Miri untuk pulang ke Semenanjung. Ini bermakna kos yang dikeluarkan oleh Tom ialah sebanyak lebih kurang RM700 jika pergi secara individu dan RM300 jika secara berkumpulan. Ini bermakna Tom menduduki tempat yang kedua paling susah keadaannya di Sarawak selepas Losung Laku berdasarkan pengalaman aku yang sedikit ini.

Friday, March 06, 2009

Bekalan air gunung tiba-tiba putus dari petang semalam kerana hujan sudah tidak turun selama dua hari, begitu juga keadaan Batang Rajang sangat cetek airnya. Hari ini masih ramai yang bercerita tentang hantu yang menyerupai aku, sebenarnya aku bukanlah gemar sangat tentang sensasi ala-ala Nyang Rapik kalau disensasikan berkahwin dengan Fasha Sandha mungkin sedap didengar. Aku terpaksa keluar ke Belaga di atas urusan seri paduka baginda yang harus diselesaikan sebelum 13 mac, terbang juga wang aku kerana terpaksa menyewa hotel kerana tiada perahu untuk pulang ke Segaham selain daripada tambang perahu yang agak mahal daripada biasa kerana kurang penumpang.

Tuesday, March 03, 2009

Andrew merajuk tidak mahu bercakap seharian kerana pokok durian di belakang rumah kami sudah di tebang hingga menyebabkan dia sudah tidak boleh tidur petang kerana keadaan yang sangat panas. Mungkin rajuknya mempunyai asas kerana Hamidin pemandu pelancong yang dating membawa bersamanya lima pelancong dari Australia terkejut dengan perubahan kawasan hijau yang sudah berubah menjadi padang.

Monday, March 02, 2009

Pagi ini sekali lagi aku berpeluang menyanyikan lagu ibu pertiwi (Lagu Sarawak), ia satu permulaan baik kerana musim kemarau sudahpun berakhir. Air gunung sudahpun boleh dinikmati seperti biasa begitu juga dengan perkhidmatan bos ekspress. Selepas menjalani musim kemarau aku lebih rela mengharungi hujan lebat etiap hari walaupun ia sukar juga walaupun musim kemarau menjadikan tempat latihan aku sangat selesa.

Dari sudut lain hari ini juga amat mengecewakan kerana lawatan KSU seramai 40 dibatalkan, mungkin senang bagi sesetengah pihak, namun ia member kesan besar kepada sekolah pedalaman kerana mana hendak diletakkan bahan mentah yang telah dipesan.

Fredie ternampak hantu di padang sekolah pada pukul 7.00 malam hingga menyebabkan bulu romanya naik. Pada mulanya ia menjeritkan nama aku kerana menyangkakan aku yang gila ini sedang berlari mengelilingi padang seperti biasa, namun bila dekati lembaga putih tersebut di tepi tiang gol tiba-tiba ia menghilang. Moses sudah tujuh hari tidak hadir ke sekolah untuk menuntut air gulanya daripada aku, ini amat mengecewakan kerana sudah menjadi kebiasaan beberapa pelajar tidak hadir ke sekolah berbulan-bulan lamanya kerana menolong ibubapa mereka menanam padi.