Mengikut perancangan 6 bulan lepas kedatangan aku ke Singapura pada hujung tahun ini adalah untuk menyertai Standard Chartered Marathon namun malangnya ia tidak berlaku kerana kecederaan lutut kiri masih belum sembuh. Life must goes on, terpaksalah aku melakukan easy walk sekitar Singapura selama 5 hari 4 malam untuk mengubat duka. Tanpa perancangan rapi, aku dan Ayob menaiki bas dari KL terus ke Lavender selama 6 jam pada jam 10.30 pagi, (jika menaiki bas dari Larkin akan berhenti di Bugis atau Kranji dan jika KTM di Tanjong Pagar).
Kami berpusing-pusing selama 3 jam mencari hotel di sekitar Lavender, Kallang, Rochor, Bendemeer, Geylang Baru, Boon Keng hinggalah berjumpa dengan Ark259lodge di kawasan Farrer Park. Dengan bayaran $22 sehari kami mendapat extra 1 hari kerana membayar asrama (bilik air di luar) untuk 3 hari dan disertakan sarapan roti bakar yang harus dibuat sendiri (pelanggan dikehendaki mencuci sendiri pinggan dan mug).
Makan bukanlah masalah besar di Singapura jika tekak boleh menerima masakan mamak mungkin yang paling banyak pilihan ialah di Mustafa Center kawasan membeli belah 24 jam di mana MRT terdekat adalah Farrer Park. Cenderamata paling murah boleh di dapati di kedai-kedai kecil sekitar sini, Mustafa Center lebih kurang seperti Mydin di Malaysia dari segi harganya tetapi jika membeli minyak wangi berjenama inilah tempatnya dan sangat berbaloi.
Esplanade adalah stesen MRT yang harus disinggahi untuk melihat Merlion Park, Singapore Flyer, War Memorial dan kawasan permulaan dan penamat maraton. Di sini berjalan sejauh 15 minit hingga 20 minit adalah suatu perkara biasa terutama untuk ke stesen MRT, mungkin memakai selipar adalah perkara yang bagus untuk mengelakkan kaki melecet jika berjalan dari pukul 8 pagi dan pulang ke asrama hanya pada pukul 11 malam seperti aku.
Sebenarnya pergilah berhenti dimana-mana perhentian MRT pasti ada sahaja shopping complex kerana itu kita perlu menahan nafsu. Tempat yang paling dasyat ialah syurga Orchard Road sepanjang 1 km sejajar dengan MRT Orchard, Somerset dan Dhoby Ghaut. Di sini terletaknya gedung-gedung berjenama seperti Prada dan Giorgio Armani cuma aku rasa tidak selesa berjalan jika orang terlampau ramai seperti berjalan di Jalan Masjid India menjelang Hari Raya dan dipenuhi oleh pelancong Filipina dan Indonesia.
Kawasan Little India sangat mengecewakan terutamanya pada hari ahad bila ia cuma kawasan bangunan lama yang cantik yang banyak menjual top up ke Bangladesh dan Nepal disertai lautan manusia Bangladesh dan Nepal yang berdiri dan duduk tanpa tujuan. Hendak berjumpa kedai makan yang halal pun agak susah di sini, adalah lebih baik berjalan ke arah Mustafa Center untuk berjalan-jalan atau membeli belah.
Selain itu Bugis adalah satu tempat yang harus disinggahi kerana ia merupakan street market yang terbesar di Singapura, ia menjual pelbagai cenderamata dan pakaian. Mungkin kita dapat menyamakannya seperti Petaling Street, secara jujur ia lebih menarik dari Chinatown. Di Bugis terdapat kedai-kedai (selalunya di tingkat 1 dan 2), whole sale seperti barangan elektrik, tupperware dan telefon bimbit.
Jika terlampau percayakan peta yang di dapati di setiap hotel di sini juga kadang-kadang membawa kesusahan (peta Singapura mudah didapati secara percuma di setiap hotel), sebagai contoh untuk ke Arab Street dan Kampong Gelam perlu menggunakan MRT Nicoll Highway walhal ia lebih dekat dengan MRT Bugis. Arab Street tidaklah menarik sangat kerana ia cuma menjual karpet dan kain ela, namun untuk mencari kedai makan Melayu inilah tempatnya dan sangat murah. Di sini kita juga boleh melawat Istana Kampong Gelam untuk mengetahui sejarah Singapura.
Terdapat tiga jenis MRT di sini, untuk ke mana-mana hanya perlu membeli satu tiket sahaja dan tiket yang paling mahal pernah aku bayar ialah $1.60 namun ada yang mengecewakan di sini ialah tiada paip air di tandas awam untuk nature call. Begitu juga di food court mungkin kita terpaksa membayar $0.30 cuma untuk membasuh tangan dan terpaksa membeli tisu kerana ia tidak disediakan.
Jika ke Singapura tanpa ke Sentosa Island seperti tidak lengkap, ia boleh dicapai dengan monorel Sentosa di Harbour Front. Monorel tersebut singgah Waterfront, Imbiah dan Beach (semua di dalam Sentosa Island), untuk ke sini boleh juga menggunakan bas dan cable car. Sentosa Island ini samalah seperti Genting Highlands secara jujur aku lebih sukakan Genting Higlands, namun Universal Studios Singapore membuatkan pulau ini istimewa. Terletak di Waterfront, tiket pula sentiasa sold out hinggakan kami terpaksa datang sekali lagi untuk bermain di sini. Adalah lebih baik jika membeli tiket secara online dan membayar $50 tambahan (harga tiket $66) untuk memotong Q.
Terdapat beberapa tempat yang menarik di sini iaitu Madagascar (belum siap), Far Far Away, The Lost World, Ancient Egypt, Sci Fi City (belum siap), New York dan Hollywood. Kebanyakan tempat akan menyediakan roller coaster untuk menakutkan diri (aku pun tidak faham kenapa perlu membayar untuk menakutkan diri sendiri!). Yang betul-betul menarik ialah WaterWorld (The Lost World), Shrek 4-D Advanture (Far Far Away), Light, Camera, Action (New York) dan bertemu dengan character seperti Charlie Chaplin dan Maryln Monroe.
Kesimpulannya untuk berbelanja di sini tidak rugi dan tidaklah juga untung kerana kebanyakan barangnya menyamai harga di Malaysia. Namun untuk mencari suasana baru dan melihat dan membiasakan diri di negara lain inilah pilihan terbaik. Adalah tidak digalakkan membawa beg yang besar semasa berjalan-jalan di kawasan MRT untuk mengelakkan menjalani pemeriksaan oleh pihak polis.
Perbelanjaan
7 Magnetic Fridge $18
4 helai T Shirt $32
4 Korea Brooch $10
Mug $5
Tabung Ceramic $12
Tambang MRT $23.60
Ark259lodge $66
Bas Singapore-Larkin $2.40
Bayaran masuk Singapura $15
Makan dan minum $58
Universal Studio(Sentosa Island) $66
Bayaran masuk Sentosa Island $3
Skyride (Sentosa Island) $8
Luge (Sentosa Island) $17
Istana Kg Gelam $4
Bateri Sony Ericson (compatible) $15
Bas KL-JB RM31
Bas KL-Singapura RM35
Trivia
Casino Sentosa Island $100
Singapore Flyer $39.90
Cable Car $26