Para pembesar Belaga
Sukar hendak digambarkan perasaan apabila berjaya menamatkan perlumbaan dalam masa 1 jam 35 minit. Trek gunung-ganang sejajar dengan Batang Rajang sejauh 10 km ditambah 1 km di kawasan pekan Belaga menjadikan ia adalah jalan paling dasyat yang pernah aku lalui, (sebelum ini aku meletakkan trek Bukit Besi, Universiti Pertahanan Malaysia yang paling sukar). Sebelum itu peserta dibawa menikmati kebudayaan masyarakat Sekapan (Orang Ulu) pada malam semalam (majlis berlanjutan hingga jam 6.00 pagi), untuk memastikan aku tidur lena aku meminta bantuan guru besar SK Airpot mencarikan kuarters guru untuk aku tumpangi.
Garisan penamat di jeti Sg. Belaga/Batang Rajang
Garisan permulaan bermula di Rumah Panjang Sekapan yang terletak kira-kira 30 minit menaiki perahu 15 kuasa kuda dari pekan Belaga. Trek yang digunakan adalah laluan balak yang ditinggalkan (disebabkan jambatan balak telah rosak) sekian lama hingga menjadi hutan belukar hingga kelihatan jauh lebih sukar daripada jalan Gunung Nuang. Lubang laluan air yang tidak kelihatan, pokok tumbang, jambatan yang rosak, akar pokok menjalar, tiada penunjuk arah dan tiada langsung jalan rata sepanjang 10km membuatkan mental sedikit daripada 66 peserta lelaki tidak meneruskan perlumbaan. Aku sendiri tersungkur ke depan sebanyak 3 kali dan ini membuatkan aku berfikir lebih baik berhati-hati daripada cedera teruk kerana tiada siapa yang dapat menolong aku keluar dalam keadaan muka bumi yang begini.
Terdapat lima check point yang membekalkan air dan kupon di sepanjang perjalanan tidaklah menjanjikan bahawa para peserta tidak sesat. Aku sendiri sesat hingga terpaksa membuat jalan baru ke laluan yang betul dan begitulah yang dialami oleh seorang peserta dari etnik Penan yang terpaksa berpatah balik hingga ia gagal mendapat tempat pertama. Ini bermakna teori yang mengatakan orang Sihan tidak boleh dikalahkan adalah tidak benar jika peserta ini tidak sesat!. Walaubagaimanapun aku mengucapkan tahniah kepada etnik Sihan yang berjaya membolot tempat pertama hingga ketujuh dimana catatan tempat pertama ialah 1 jam 13 minit.
Murid SMK Belaga
Berada di nombor 29 bukanlah masalah besar kepada aku, lagipun aku tidak pernah menang pun selama ini kerana yang penting aku mendapat political mileage di Belaga (kawasan sebesar negeri Johor) dan memahami sukarnya kehidupan orang di sini seperti sukarnya Belaga Rainforest Marathon.
Orang yang sentiasa memastikan aku selamat semasa larian
Beberapa perkara yang harus diambil perhatian oleh penganjur:-
- Meletakkan tanda arah perjalanan.
- Menggantikan sistem kupon dengan riben supaya mudah dijaga.
- Memberikan sijil sebagai tanda pengiktirafan.
- Memberikan medal kepada peserta yang berjaya menamatkan larian dalam masa 2 jam.
Rumah Panjang Sekapan berada di kiri (tidak dapat dilihat) 11 km ke pekan Belaga (gambar)
*Entik Sihan cukup istimewa kerana cuma ada di Belaga, asalnya hidup nomad seperti entik Penan dan sekarang sedang cuba menyesuaikan diri dengan pembangunan. Tinggal di atas gunung seberang sungai pekan Belaga, untuk sampai ke sana kita perlu berjalan hingga 2 jam tetapi masa yang diperlukan oleh mereka cuma setengah jam. Fizikal mereka sangat sederhana tetapi tegap dan berkulit sawo matang cuma mata kelihatan agak sepet.