Monday, February 05, 2007

2183 Meter

Dengan bermodalkan RM150.00 aku mengambil masa empat hari bermula khamis lepas untuk sampai ke puncak Korbu, itupun terpaksa menaiki Hilux ke kaki gunung selama 40 minit. Perjalanan dari kaki gunung ke puncak banyak diselangi dengan kem-kem persinggahan yang semestinya mempunyai punca air. Hari pertama perjalanan memakan masa 8 jam 30 minit bermula dari kaki gunung, Kem Pangkin dan Kem Air Terjun Senoi hingga menyebabkan Mahendran mengalami kecederaan kaki. Perjalanan ke puncak kurang dua orang apabila keputusan dibuat untuk merehatkan Mahendran di Kem Air Terjun Senoi sambil ditemani oleh Warren.
-
Perjalanan ke puncak pada hari kedua melalui Kem View, “Last Water Point”, Kem Permatang dan Bonsai Tonggek mengambil masa 8 jam 6 minit. Perjalanan ini merupakan laluan yang baru kerana laluan yang lama telah ditelenggami air kerana pembinaan empangan. Mata air di Kem Permatang telah kering kontang akibat musim kering walaupun sebenarnya adalah mustahil hujan tidak turun di atas gunung walaupun musim kering.
-
Menu masakan ialah nasi goreng untuk sarapan dan masak lemak kobis bersama ikan kering untuk makan malam, manakala untuk makan tengahari pula adalah bergantung kepada snek yang di bawa untuk menjimatkan masa. Semua menu berjaya di masak dengan baik walaupun aku kekurangan 4 liter air semasa di puncak akibat kebangangan antara 9 makhluk yang tidak mengikut arahan Zafrul termasuklah Black yang kononnya sudah khatam G7 dan Kala Pattar.
-
Namun bagi aku masih berbaloi kerana sekurang-kurangnya ia telah menyelesaikan misteri kegagalan aku memasak nasi di Yong Belar yang semuanya mentah. Dalil yang diberikan oleh Fuzairi bahawa kadar PH pada sumber air di Kem Tudung Periuk pada ketinggian 6000 kaki menyebabkan air lambat mendidih bukannya kerana cuaca sejuk adalah benar. Ini dibuktikan apabila aku tiada masalah untuk memasak nasi sebanyak dua kali di ketinggian 7162 kaki di puncak Korbu. Namun Korbu pula meninggalkan misteri yang perlu diungkap bagaimana ada sepohon pain yang matang berada sebelah kanan di atas puncak selepas Bonsai Tonggek kerana setahu aku ia cuma hidup di luar negara.
-
Bandaraya Ipoh boleh di lihat dengan jelas dari puncak dan Kem View semasa berkhemah di situ. Secara keseluruhannya laluan ini adalah yang paling mencabar setakat ini kerana merupakan gunung yang kedua tertinggi selepas Tahan dan perjalanannya mengambil masa 16 jam 36 minit namun masih belum dapat merendahkan martabat Nuang daripada segi kecuramannya. Empat perkara yang asyik di bincangkan oleh aku, Ayob dan Zafrul iaitu “kehilangan” Farrah, berjimat cermat untuk ke Mekah balik hari, sifat-sifat Yahudi yang ada pada aku dan kebangangan Warren yang tidak memberitahu perkara asas mendaki gunung kepada Thomas, Mahendran dan Sassi yang menjadi tanggungjawabnya. Pujian harus di berikan kepada "Silver Outdoor Sports" kerana telah memaku plat-plat nama pada setiap kem.

No comments: