Monday, February 19, 2007

Puas aku mencari Eddie di pekan Sungkai, hendak mencari dia di Kg Rahmat Changkat Sulaiman rasanya lebih baik lupakan sahaja kerana nyawa aku lebih penting daripada tebu Makcik Mah yang ditebang itu. Menurut orang yang meniaga di stesen bas dia tidak sihat dan tidak berniaga sejak kebelakangan ini kerana demam dan mungkin penyakit lamanya masih belum pulih. Leteran Makcik Mah selama 4 hari itu ada asasnya kerana tebu yang sudah ditebang 4 hari lalu masih tidak diambil oleh Eddie seperti yang dijanjikan risau juga aku kalau-kalau Makcik Mah menyuruh aku memakan tebu-tebu tidakkah boleh kencing manis aku dibuatnya. Pejabat ADUN Sungkai sudahpun dipindahkan di sebelah pasar lama dan berwajah baru, dan jika tidak silap aku itu adalah bekas kediaman Ali yang merupakan kuartes kerajaan. Pejabat itu akan di buka pada setiap Selasa dan Khamis dan ini mungkin merupakan petanda pilihanraya akan berlangsung dalam masa 6 bulan dari sekarang.
-
Semakin hari semakin teruk pula demam yang melanda walaupun sudah 4 biji buah kelapa muda dan berbotol-botol air barli aku minum. Mungkin kerana alahan limau mandarin yang mempunyai banyak bahan pengawet di dalamnya ataupun aku merindui seseorang agaknya. Selepas Zohor tadi Makcik Hajar mengadakan kenduri untuk cucunya dan pada malam kelmarin Haji Kamaruddin juga mengadakan kenduri sebagai tanda "orang baru di sini, yang pasti masak lemak dan masak tauchu tidak pernah dilupakan berbanding masak tempoyak yang kononnya kegemaran orang Perak.
-
Rasanya perjalanan aku dan Shida sudah menemui jalan buntu, sampai sekarang aku masih belum menemui kimia di antara kami. Dia yang berumur 21 tahun hingga ke panggilan terakhir semalam masih memberi syarahan tentang "do and don't" dalam hidup aku. Pernah juga aku bertekak tentang perkara yang sangat kecil dengannya di KFC Alpha Angel hinggakan kalaulah bakal mak mertua aku berada di situ sudah tentu nama aku akan dipadamkan dalam senarai calon menantunya. Ini bermakna keinginan aku untuk mengetahui siapa makhluk yang memperkenalkan nama aku kepadanya tidak kesampaian.

2 comments:

nafastari said...

mana nak cari tebu berkulit hitam?

Maswafi Abd Samat said...

Susah sikit nak cari sekarang ni kerana tebu hitam ni orang jarang tanam kerana agak keras dan kurang air berbanding dengan tebu kuning. Boleh tau nak buat ape? kalau serius kau nak aku carikan kalau ada kat kampung aku.