Monday, February 26, 2007

Watak Pak Kinto dalam novel Senjakala yang menjadi gelaran pada Cikgu Zuhairi semasa aku di tingkatan empat sudah diterjemahkan kedalam drama di TV1 bermula sabtu lepas, sampai sekarang aku tidak tahu kenapa dia digelar Pak Kinto kerana setahu aku langsung tiada ciri-ciri seorang pemburu padanya melainkan dapat menghuru-harakan pembelajaran sastera di kelas aku dengan menggunakan teori sastera yang diperolehinya dari Indonesia. Jika novel Canggir Negara karya Zaen Kasturi dapat diterjemahkan ke dalam filem aku rasa sudah tentu ia seakan sama seperti filem “Lords of The Rings”.
-
Mak angkat aku sudah berkali-kali memujuk aku supaya berjumpa Aidil dengan harapan kereta Satria itu dapat berpindah tangan kepada aku dengan harga RM14,000.00. Puas jugalah aku mengelaknya untuk selama 2 minggu ini dan semalam aku memberi alasan “cakap sejadah” bahawa sekarang aku sedang mengumpul duit untuk ke Mekah yang akhirnya membuatkan dia sedikit senyap dan berdoa supaya aku cepat sampai ke sana.
-
Puas jugalah Didi, Anaz dan Fendi yang beria-ia mahu menjadi ejen jodoh aku di zon UNITAR Petaling Jaya memujuk aku mendaftar dalam MySpace. Termakan juga aku dengan niat murni mereka ini yang sanggup meletakkan aku sebagai “top friends” dalam laman web mereka disamping menunjukkan aku memang berusaha ke arah itu. Terpaksalah juga aku memantau segala proses itu kerana kalau dibiarkan mereka bermaharajalela, Dato’ Maharajalela pun boleh letak jawatan ini kerana habis semua awek-awek seksi berumur 21 tahun menjadi kenalan aku.
-
Keluar juga Rosli daripada sarangnya setelah 4 tahun tidak berjumpa itupun setelah dia melihat nama aku dalan ruangan iklan jawatan kosong di KOSMO 2 bulan lepas. Perasaan rendah dirinya menyebabkan ia yang bersarang di Pantai Dalam tidak diketahui oleh aku yang tinggal cuma satu kilometer dari rumahnya. Puas juga aku mengajaknya mengikut salah satu aktiviti aku namun pelbagai alasan yang diberi. Apa yang membuatkan muka aku seperti janda anak lima berkahwin dengan anak teruna ialah katanya bahawa aku tidak pernah berubah daripada yang dia kenal dahulu. Aku sendiri tidak pasti sama ada muka aku yang handsome yang tidak pernah berubah ataupun sifat keras kepala aku, iaitu ungkapan yang sama juga dikeluarkan oleh Tengku tahun lepas.

No comments: