Tuesday, November 21, 2006


Berbaloi juga kedatangan aku ke Tanah Tinggi Cameron Sabtu lepas kerana akhirnya dapat bersama Farrah melihat Gunung Irau daripada puncak Gunung Berinchang, untuk bersama Farrah pun sebelum itu hampir-hampir mustahil kerana ia dikawal ketat oleh Zafrul, Ayub dan Firdaus yang busuk hatinya daripada hati aku yang memang busuk ini. Mereka juga berjaya mentarbiyah Aida yang membawa dua anaknya hingga berpesan supaya tidak menggunakan dakyah yang dicipta oleh aku untuk “mengayat” para-para ibu jika berbuat salah. Dalam perjalanan ke Gunung Irau sekalipun tidak dapat aku mengenyitkan mata kepada Farrah kerana hebatnya kawalan mereka disamping diri ini yang asyik sibuk mengelak lumpur hitam yang terjadi daripada pereputan daun-daun kering dan mungkin juga hujan hampir sepanjang masa membatalkan niat jahat aku. Bila sampai disana barulah aku tahu kenapa filem Puteri Gunung Ledang tidak dibuat di Gunung Ledang tetapi di sini, bukan kerana Gunung Ledang tidak cantik dan bukan juga Puterinya yang marah tetapi inilah gunung yang paling cantik pernah aku lihat seumur hidup. Lupakan dakyah suratkhabar Khairy Jamaluddin yang mengatakan Irau telah dimusnahkan akibat pengambaraan filem Puteri Gunung Ledang kerana ia tidak pernah berlaku dan lumut yang berusia ratusan tahun itu masih menumpang di setiap pokok di situ hampir sama keadaannya dalam filem “Lord of the Ring”. Dengan bekalan 7.5 liter air kami berjaya berkhemah di puncaknya pada jam 5.30 petang setelah berlepas daripada puncak Berinchang pada pukul 11.40 pagi. Dalam perjalanan ke puncak tiada satu mata air pun ditemui untuk bekalan minuman dan semua perbelanjaan untuk menyakitkan diri ini harus dibayar RM40.00 kepada Zafrul.