Kak Nik telah di tahan di wad 221e semalam, mujur juga dia mahu mengikut kata-kata aku supaya ke hospital Taman Desa semalam kalau tidak sudah tentu aku terpaksa mengangkatnya jika dia pengsan tapi kalau Ros yang pengsan tiap-tiap hari pun tidak mengapa dan kalau Azam yang pengsan aku anggap tiada apa-apa yang berlaku. Emak si Shahrul yang tinggal di Bidor baru menghubungi aku meminta aku “menjaga” anaknya yang baru menetap di Vista Angkasa. Bila aku mengayat emaknya barulah aku tahu Shahrul ini anak mak dan yang paling merunsingkan aku ialah macam mana dia boleh kenal arwah Lebai Desa yang merupakan saudara aku. Bagaimana aku harus menuju masa depan yang gemilang, cemerlang dan temberang jika saudara yang agak rapat tinggal bersama aku. Radin yang singgah ke rumah aku terkejut dengan pemergian beberapa ahli rumah dan soalan mengapa aku menghalau mereka, kalaulah aku mak dia dah lama aku cili-cilikan mulut dia kerana menuduh aku tanpa usul periksa. Lagipun sebelum ini mana pernah aku menghalau ahli rumah cuma aku meletakkan almari baju mereka di luar kerana tidak membayar sewa rumah tidak lebih pun dari itu. Setelah diterangkan barulah dia faham dengan keadaan aku yang terpaksa menerima notis pendek keluar rumah oleh Pian dan Zaini. Pian siap meluahkan perasaan kalau dia tidak sesuai dengan rumah baru di Cheras dia mahu pulang kembali ke Vista Angkasa. Kata aku padanya tiada peluang kedua!