Friday, June 29, 2007

Ramai yang marah dengan aku kerana menuduh Nathan di pukul oleh Ah Long kelmarin hingga menyebabkan dia tidak dapat bekerja selama dua hari. Lebih baik aku sendiri yang menfitnah dia kerana sudah tentu ramai yang akan mengeluarkan kenyataan yang sama walaupun aku memberi tahu kejadian sebenar, kerana biasalah makhluk di planet bumi seperti aku sendiri sudah terlampau banyak mengingat sejarah hingga tiada ruang untuk seseorang itu berubah. Petang ini Nik Shafini sudah berada di landasan yang sebenar kerana aku sendiri turut bersubahat dengannya mengumpul segala kuih muih dan bihun untuk disimpan di laci berwarna putih yang terletak di sebelah kiri sudut meja sempena majlis perpisahan Encik Tajul. Manakala bos yang sangat Zafrul cintai dan sayangi kerana memberikannya Ipod yang seringgit lagi harganya seribu ringgit semasa hari terakhir dia bekerja tahun lepas akan berpindah ke tempat aku menggantikan tempat Encik Tajul. Agak-agaknya siapa pula yang akan menerima Ipod seperti Zafrul? Mudah-mudahan bukan aku kerana aku masih belum cukup modal untuk tidak tidak bekerja dan hanya bermain saham seperti Zafrul.

Wednesday, June 27, 2007

Trans Titiwangsa - Versi 2

Prolog

Aku seperti sudah tidak mahu bercakap tentang gunung buat masa dua minggu kerana masih terkejut dengan kejadian di Batu Leper dan segala kerosakan yang terjadi pada tubuh aku. Jika diikutkan hati aku, mahu sahaja aku pijak-pijak perut Zafrul kerana menipu aku kononnya kami cuma akan mendaki 7 gunung sahaja. Sebelum mendaki Trans Titiwangsa, aku tidak berada dalam keadaan stamina yang baik kerana sudah banyak meninggalkan latihan untuk memberi masa kepada lutut kiri aku untuk pulih selepas dilanyak semasa marathon penuh mac lalu. Sebelum ini sudah banyak kali aku menerima pelawaan untuk ke Kinabalu namun semuanya tidak pernah aku ambil pusing, cuma bila Zafrul menunjukkan aku peta projek Trans Titiwangsa Versi 2 terus aku menerima pelawaan tersebut walaupun terpaksa mengorbankan cuti tahunan aku sebanyak 3 hari. Zafrul lebih banyak melakukan persediaan tentang logistik yang perlu dibawa manakala aku pula cuma perlu menyediakan bahan mentah untuk memasak serta memastikan kami mendapat permit daripada Jabatan Hutan Kuala Kangsar.

Pagi 1 jun 2007, aku menerima emel peringatan terakhir daripada Zafrul tentang segala persiapan yang perlu dibawa malam nanti dan juga tempat perjumpaan kami di ruang legar kaunter tiket KTM Antarabandar di KL Sentral. Tepat 7.59 malam aku sudah sampai ke tempat yang dijanjikan cuma Fazli dan Thiagarajan yang muncul walaupun tidak turut serta. Akhirnya tepat jam 8.16 malam semua sudah berkumpul dan Zafrul mengagihkan barang untuk memudahkan perjalanan melalui keretapi dan kami bertolak tepat jam 9.03 malam dengan koc R2 berharga RM12.00. Kami dijadualkan sampai ke Sg. Siput jam 01.37 pagi namun ia tersasar sejam daripada jadual tersebut dan hampir terlepas stesen tersebut kerana tidak perasankan papan tanda, mujur Cikgu Rajan bertanyakan kepada salah seorang penumpang disitu dan kami berenam melompat daripada koc keretapi di dalam keadaan keretapi yang masih bergerak...................

Seronok juga bila orang memanggil aku dengan panggilan Mas sewaktu mesyuarat yang berlangsung 3 jam 16 minit tadi dan terpaksa jugalah aku menjawab 15 soalan maut yang berkaitan dengan Sumber Manusia. Tetapi seperti biasalah aku kalau menyusun perbendaharaan dan menabur janji-janji manis cukup hebat hinggakan kalau kucing tengah mengawan pun boleh berhenti kerana terpegun dengan kepetahan aku. Pulang dari mesyuarat Nathan dengan tergesa-gesa memberikan cek yang terkena darahnya pada aku, terkejut aku bila kepalanya sudahpun menerima dua jahitan dan pakaian seragamnya sudah dipenuhi darah. Menurutnya duit sebanyak RM600.00 telah dipau oleh dua lelaki melayu di lorong berhampiran stesen Komuter Seputeh petang tadi, mungkin benar katanya kali ini kerana kalau Ah Long yang melakukannya mereka cukup berani untuk datang ke sini memukulnya tanpa perlu mencari tempat yang tersorok seperti itu.

Selepas makan tengahari semalam, aku dikejutkan dengan kemasukan Marsha ke dalam Hospital Damansara kelmarin yang aku sendiri tidak tahu puncanya. Pernah juga aku rasa sedikit bersalah bila dia mengadu asyik mengalami demam selepas setiap kali mengikut aku dalam marathon semenjak Larian Shah Alam tahun lepas hingga doktor menasihatkan dia supaya berehat untuk seketika. Disebabkan awek lawa yang sakit semuanya buaya-buaya tembaga banyak bertanya khabar tentangnya entah-entah ada pula yang dalam diam-diam pergi melawatnya tanpa mengajak aku. Cuba kalau aku yang masuk hospital harapkan Azam Orang Minyak, Fadhli, Zainal dan Syahril sahaja yang datang melawat itupun tolong menghabiskan buah dan biskut yang ada di meja hospital.

Tuesday, June 26, 2007

Hari ini genap 6 tahun aku bekerja di sini, jika dikumpulkan semua duit sewaktu bekerja selama 2190 hari tiada masalah dibuat belanja kenduri kahwin sebanyak empat kali, sungguh murni cita-cita aku. Untuk orang yang keras kepala seperti aku ini susah untuk dijaga oleh kebanyakan bos aku kerana itulah aku banyak bertukar jabatan yang bermula dengan Jabatan Keselamatan, Pentadbiran dan sekarang yang paling lama bertahan ialah Sumber Manusia. Di jabatan ini rasanya aku sudah berjaya melengkapkan diri sebagai "HR Practitioner" kerana telah dapat melakukan tugas baru yang memang aku nantikan sejak dulu iaitu berkenaan gaji. Bukannya aku hendak tahu sangat berapa gaji Nik Shafini yang tak seberapa itu seperti gaji aku sendiri tetapi cuma cuba menguji diri dengan kerja yang lebih kritikal dan memerlukan "date line". Aku cukup bersyukur semenjak berpindah ke jabatan ini aku telah berjaya membalas dendam terhadap bekas bos aku yang selalu menengking dan menghina aku suatu masa dahulu. Hinaan "lembab" itu sudah bersemadi dengan diri aku apabila berurusan dengannya dan lembab jugalah semua proses bila dia berurusan dengan aku.

Monday, June 25, 2007

Marah betul aku dengan bas ekspress cap ayam ke Butterworth yang mengenakan tambang RM25.00 kerana berhenti di kedai makan Slim River walaupun tidak sampai suku perjalanan hanya kerana pemandu bas akan menerima 2 kotak Dunhill 20 batang. Jika aku menaiki bas ekspress Transnasional ataupun Plusliner tidaklah aku didajal sedemikian rupa namun apa pilihan yang ada jika mengambil tiket pada hari itu juga kerana keputusan aku untuk memasuki “Penang Brigde Marathon” pada saat-saat akhir. Walaupun pada asalnya Firdaus dan Farrah yang sepatutnya pergi bersama aku namun mereka menarik diri disaat-saat akhir dan Wan yang pergi keseorangan membuat keputusan mengikut aku. Fauzi sudahpun menunggu aku di Butterworth jam 3.10 petang dan membawa aku berjalan-jalan di sekitar Seberang Jaya iaitu kawasan pejabat dan rumahnya. Seperti yang dijanjikan ia mengotakan semua janjinya untuk membelanja aku makan jika aku singgah di sana sebelum menghantar aku ke Vistana Hotel tempat Ayob berkampung dengan kawan-kawannya mengumpul tenaga sebelum berlari. Cuma kali ini aku sudah serik untuk makan di Padang Kota Lama kerana sudah dua kali disembelih dan sebenarnya di tempat lain pun aku disembelih kecuali kedai masakan Tom Yam tempat Fauzi membelanja aku makan.

Ahad, seawal 3.15 pagi bas yang membawa rombongan Ayob ke padang USM dan kami terpaksa menapak sejauh satu kilometer kerana itu adalah jarak yang terdekat mampu dihampiri setelah semua jalan sudah ditutup pukul 2 pagi. Di padang USM ia sudah dipenuhi oleh seramai lapan ribu peserta lelaki dan sempat Zainul menegur kenapa aku tidak melakukan marathon penuh, mungkin dia sudah tidak sabar mengajak aku untuk marathon penuh di Putrajaya tiga bulan lagi agaknya. Walaupun aku bengang dengan nombor tulisan tangan pada baju aku yang diambil di Queensbay Mall petang sabtu namun aku berasa selesa dengan perjalanan garisan permulaan yang nampak sangat teratur berbanding tahun lepas walaupun pertambahan jumlah peserta yang sangat ramai.

10 minit pertama larian amat perlahan kerana tiada ruang untuk berlari hingga orang gila seperti aku ini mengambil keputusan untuk memanjat sahaja jambatan dan aku sudahpun mengelak stesen air pertama sebagai strategi menjimatkan masa. Hingga ke hujung jambatan aku masih boleh bertahan dengan langkah 60 minit 10 kilometer namun bila berpatah balik stamina aku sudah mula berkurangan dan mula benci dengan cuaca panas jambatan Pulau Pinang walaupun jam baru menunjukkan pukul 5.33 pagi. Sudahlah kepenatan dan lambat seperti kura-kura, aku terpaksa pula mengelak peserta 10km yang bergerak amat perlahan yang membuat pusingan ditengah-tengah jambatan. Dengan catatan 2 jam 32 minit itupun setelah mengelak untuk berhenti di tiga stesen air, aku rebah digarisan penamat dan disambut oleh Farid yang dapat menamatkan larian dibawah 2 jam. Ini adalah kali kedua aku rebah digarisan penamat namun aku bersyukur kerana tiada kerosakan yang berlaku kepada otot aku terutamanya lutut kiri. Secara keseluruhannya aku memberikan 3.5 bintang kepada jumlah peserta yang seramai 17 ribu orang, "happening", keselamatan dan "goodies bag" untuk Penang Brigde Marathon tahun ini.

Thursday, June 21, 2007

Sibuk betul aku mencari harta kekayaan sekarang ini tiada masa untuk membalas emel dan mesej telefon bimbit terutama jika Azam Orang Minyak yang menghantarnya. Walaupun aku sudah bertaubat dengan Makcik Mah bahawa aku tidak akan mendaki gunung lagi selepas Trans Ttiwangsa, rasanya taubat itu hanyalah taubat anaknya yang nakal seperti dahulu yang tetap mahu bermain disungai walaupun pernah lemas ditelan pusar Sg. Bikam. Semenjak didera oleh Zafrul di Trans Titiwangsa, aku semakin banyak menerima jemputan mendaki gunung dan salah satunya ialah Gunung Bah Gading yang terletak di kampung aku sendiri. Walaupun aku pernah lalu di situ namun tidak pernah sekalipun aku mengambil apakah nama gunung tersebut dan Faisal yang mengajak aku pun sebenarnya cukup gila kerana sejauh pengetahuannya kali terakhir manusia pernah mendaki gunung tersebut ialah empat tahun yang lepas. Bunyi ajakanannya seperti aku akan terpaksa berkongsi Nestum beramai-ramai seperti di Batu Leper Korbu kerana kebuluran dan hingga sekarang aku amat menghargai Nestum dan ketagih memakannya pagi dan petang.

Wednesday, June 20, 2007

Walaupun keadaan fizikal aku belum pulih sepenuhnya didalam kepala aku sudah mempunyai jadual marathon yang penuh terutama pada Julai ini hingga tiada ruang kosong dan syarikat aku sendiri akan menganjurkannya pada salah satu hari sabtu bulan tersebut. Aku sudah terpaksa memecah tabung ayam demi membeli ubat tambahan yang sebelum ini menjadi mangsa kutukan aku, tapi sudah nampak kesannya “Gamogen” yang bernilai lebih seratus ringgit itu kepada aku kerana sudah kering semua luka-luka di badan aku. Namun setakat hari ini aku masih tidak berani hendak memulakan latihan kerana bimbang kecederaan lutut kiri aku yang dipaksa bekerja keras semasa Trans Titiwangsa belum pulih lagi. Aku mungkin akan turun semua pertandingan dan menganggapnya ia sebagai latihan dan jika mendapat 100 terbaik itu sudah dikira bonus untuk orang gila seperti aku. Aku sudah berkira mahu ke Kuantan hujung bulan Julai untuk “Beach Run” kerana suasananya sangat berbeza daripada jalan tar seperti marathon yang lain. Aku masih ingat lagi nilai-nilai sentimental dikejar empat pengawal keselamatan Club Med Cherating sewaktu sedang menikmati keindahan banglo kayu hingga ke pantai kerana aku masuk melalui hutan pantai daripada resort berdekatan yang terletak 6 kilometer semuanya kerana aku “terlupa” membawa kad keahlian hinggakan Radin yang membawa aku kesitu menemankannya menggeleng kepala kerana dia ingatkan aku cuma bergurau sahaja pagi tersebut semasa mengajaknya ke Club Med.

Tuesday, June 19, 2007

Kaki kanan aku sudah semakin pulih dan aku sudah mencongak untuk melakukan ujian ke atasnya pada hari ahad ini dijambatan Pulau Pinang sejauh 22.3 km. Jika gerak hati aku tidak membenarkan aku berlari pun tiada masalah kerana aku akan menjadi penyokong di padang USM mengutuk Ayob dan Firdaus yang sudah tentunya keletihan kerana bahang panas pulau tersebut. Aku bersyukur hari ini bila membandingkan keadaan aku selepas turun daripada Trans Titiwangsa minggu lepas tidak ubah seperti penagih dadah yang terkena penyakit HIV kerana parut merah diseluruh badan akibat terkena duri. Hinggakan ada yang menegur aku semasa makan dikedai Lebai jika mereka tidak mengenali aku nescaya tidak sudi mereka makan disebelah aku.

Monday, June 18, 2007

Tersasar jauh aku makan tengahari hari ini hingga ke Jalan Bellamy cuma untuk memakan nasi goreng ayam dan cendol yang berharga kurang daripada RM5.00. Namun kerana Van Damm yang membayarnya aku tidak kisah sangat dan minyak Honda NSR aku pun tidak habis kerana menaiki Honda CRVnya yang baru. Semuanya kerana kerana aku terjumpa telefon bimbitnya yang berharga tiga ribu didalam tandas pagi tadi, kalaulah aku tahu nilainya sebegitu rupa mahu sahaja aku buangkan “sim card”nya dan simpan sahaja telefon bimbit di dalam poketku. Lagipun aku tidak terfikir pula untuk membuka bekasnya jika tidak sudah tentu aku tahu ia adalah sebuah Dopod. Terlalu banyak pertanyaan sampai bila aku mahu berhenti mendaki gunung tidakkah aku perlu mencari dua gunung yang sebenar. Kalaulah mudah jawapannya seperti memakan nestum di Batu Leper Korbu alangkah bahagianya, Wati yang minta dilepaskan dulu pun masih gagal menjawab soalan aku kenapa minta dilepaskan dan aku sudah tidak mahu memikirkan kenapa tiada siapa yang mahu berkahwin dengan aku. Terfikir juga aku mungkin itu lebih baik kerana jika aku kecewa, aku lebih banyak membinasakan diri sendiri.

Sunday, June 17, 2007

Perkampungan Sukan Bukit Jalil semalam masih lagi "rumah siap, pahat berbunyi" kerana kumpulan aku menang lagi. Empat kali gawang bolos tetapi hanya dengan tendangan jarak jauh dan menang tipis dalam kesemua tiga perlawanan menunjukkan bahawa sebuah pasukan yang baik adalah yang mempunyai strategi, "chemistry" dan meletakkan aku yang tidak tentu hala menendang bola ini di tempat yang betul. Hari ini adalah hari terakhir tiket manual akan dikeluarkan oleh RAPID KL dimana selepas ini hanya penggunaan Touch & Go dan TVM sahaja yang dibenarkan. Ini sudah tentu akan menyusahkan pengguna kerana untuk menambah nilai Touch & Go hanya boleh dibuat di stesen yang besar seperti KL Sentral manakala mesin TVM pula lebih baik simbahkan petrol dan cucuhkan api sahaja!

Friday, June 15, 2007

Hari ini semuanya sibuk bercakap tentang perlawanan futsal esok hari seolah-olah tidak sabar melihat kumpulan aku yang sememangnya tidak pernah cukup korum dan sudah tentu tidak mempunyai pemain simpanan itu disayur masak lemak kobis oleh mereka. Firdaus mungkin boleh tersenyum tanpa perlu bergaduh untuk menang dan Hazparizan tidak perlu melakukan rembatan jarak jauh hanya untuk mendapatkan mata kerana aku sendiri hendak berdiri tegak lama sedikit pun tidak mampu inikan pula hendak mengejar bola yang tidak pernah berhenti dalam masa 7 minit. Apa yang aku suka dengan Zack dan Razman ialah mereka tidak memperkecilkan kebolehan aku mengejar bola dan dapat menutup segala ketidak tahuan aku bermain bola, bagi mereka yang penting aku mempunyai kesungguhan untuk menjadi ahli kumpulan mereka. Wan sudahpun pulih daripada sakitnya dan mungkin akan pulang ke Kuala Lumpur dalam masa terdekat, aku sendiripun sudah tidak sabar untuk berjumpa dengannya sambil melihat gambar yang diambil di puncak View. Mungkin dengan melihat gambar-gambar tersebut aku dapat menyiapkan rencana tentang Trans Titiwangsa - (Yong Yap-Korbu) yang masih dalam 30% pembikinannya.

Thursday, June 14, 2007

Azam yang rindu sangat dengan aku melawat aku hari ini di pejabat, kononnya mahu mengurut kaki aku yang sakit katanya tapi tidak kesampaian dengan alasan bulu kaki aku terlalu lebat. Cuba kalau kaki Ros yang sakit silap-silap Azam datang "punch card" di sini sambil memberi alasan tersasul tempat kerja. Sudah beberapa hari aku asyik bertapa di dalam kapal selam kerana Stanley masih tidak dapat menyelesaikan masalah borang A KWSP dalam perisian Kaizen HR, menyesal juga aku menunggu penyelesaian daripadanya jika aku bertindak pantas tidaklah aku kelam kabut seperti Nemo di dalam akuarium seperti kata Linda. Dalam sesibuk itu Kak Nizah masih sempat mengaudit aku dan menghuru-harakan aku di dalam kapal selam aku sendiri, sesekali aku rasa seperti watak kartun Nemo dan rakan-rakannya pula.

Tuesday, June 12, 2007

Tadi Zafrul menerima panggilan daripada emak Wan di Melaka yang turut sama mengikut aku dalam projek Trans Titiwangsa (Yong Yap - Korbu) mengabarkan dia sedang tenat hinggakan tidak mampu untuk memegang sebiji gelaspun. Sudah dibawa berjumpa tiga orang doktor berlainan namun cuma jawapan demam biasa yang diterima. Akhirnya emaknya membawa ia berjumpa seorang ustaz dan mengatakan ada 2 "rakan" yang sedang menumpang dalam badannya. Aku masih mengharapkan teori aku betul iaitu badannya cuma kekurangan banyak air kerana aku pernah menegurnya supaya memperlahankan langkahnya yang terlalu laju kerana dia pasti akan cepat penat dan ini terbukti bila kami terpaksa berkhemah hari ketiga di lereng gunung yang berlumut diketinggian lebih 6000 kaki kerana Wan sudah tidak bermaya langsung. Aku berdoa mengharapkan teori aku betul kerana bulu roma aku tidak pernah tegak berdiri walaupun aku tidur di luar khemah selama 5 hari! Makin dibiarkan makin penuh pula kotak pendapat aku yang digunakan oleh yang tidak dikenali untuk mengutuk aku. Bukannya aku tidak mahu mencuba dua gunung tersebut tapi biarlah aku menjalani latihan gunung-gunung yang lain pula. Takut bila sudah menaiki dua gunung tersebut merajuk pula dia bila aku memanjat gunung yang lain silap-silap aku pula yang dikejarnya. Ada juga yang menegur aku kenapa muka aku "moody" semacam hinggakan mereka takut untuk menegur aku, percayalah walaupun muka aku kelihatan seperti neraka tetapi hati aku seperti syurga jadi janganlah khuatir untuk menegur aku.

Monday, June 11, 2007

Azam telah menyatakan “kerinduannya” terhadap aku kenapa sudah seminggu tidak mengutuknya dalam blog aku. Sebenarnya sudah seminggu aku tidak bertemu tamadun melainkan Zafrul, pokok-pokok yang menghijau dan sang monyet. Bukannya aku tidak mahu menulis tentang Trans Titiwangsa – (Yong Yap - Korbu) Versi 2 yang harus melalui 15 gunung itu sejak terjumpanya tamadun. Namun sesat di kaki Yong Yap, kebuluran dan hampir maut ditelan kepala air di Batu Leper Korbu hingga menyebabkan kami tersasar dua hari menghilangkan keghairahan aku mahu bercerita tentang gunung buat masa ini. Makcik Mah semasa memberi aku air kelapa buat penghilang panas badan aku kelmarin sudah memberi amaran supaya tidak melakukan pendakian tahap gaban lagi kerana rupa aku tidak ubah seperti seorang suami yang didera oleh sang isteri kerana habis bercalar balar seluruh badan, 3 kuku jari aku pecah dan masih berdarah lagi kaki kanan aku akibat terlalu lama memakai kasut. Bila Kak Su dan Nik Shafini bertanyakan aku kenapa aku perlu berbuat semua ini tadi di Kinik Bahari aku cuma mampu tersenyum kerana menahan kesakitan, sebenarnya ini semua adalah latihan sebelum mendaki dua gunung sebenar!