Wednesday, June 27, 2007

Trans Titiwangsa - Versi 2

Prolog

Aku seperti sudah tidak mahu bercakap tentang gunung buat masa dua minggu kerana masih terkejut dengan kejadian di Batu Leper dan segala kerosakan yang terjadi pada tubuh aku. Jika diikutkan hati aku, mahu sahaja aku pijak-pijak perut Zafrul kerana menipu aku kononnya kami cuma akan mendaki 7 gunung sahaja. Sebelum mendaki Trans Titiwangsa, aku tidak berada dalam keadaan stamina yang baik kerana sudah banyak meninggalkan latihan untuk memberi masa kepada lutut kiri aku untuk pulih selepas dilanyak semasa marathon penuh mac lalu. Sebelum ini sudah banyak kali aku menerima pelawaan untuk ke Kinabalu namun semuanya tidak pernah aku ambil pusing, cuma bila Zafrul menunjukkan aku peta projek Trans Titiwangsa Versi 2 terus aku menerima pelawaan tersebut walaupun terpaksa mengorbankan cuti tahunan aku sebanyak 3 hari. Zafrul lebih banyak melakukan persediaan tentang logistik yang perlu dibawa manakala aku pula cuma perlu menyediakan bahan mentah untuk memasak serta memastikan kami mendapat permit daripada Jabatan Hutan Kuala Kangsar.

Pagi 1 jun 2007, aku menerima emel peringatan terakhir daripada Zafrul tentang segala persiapan yang perlu dibawa malam nanti dan juga tempat perjumpaan kami di ruang legar kaunter tiket KTM Antarabandar di KL Sentral. Tepat 7.59 malam aku sudah sampai ke tempat yang dijanjikan cuma Fazli dan Thiagarajan yang muncul walaupun tidak turut serta. Akhirnya tepat jam 8.16 malam semua sudah berkumpul dan Zafrul mengagihkan barang untuk memudahkan perjalanan melalui keretapi dan kami bertolak tepat jam 9.03 malam dengan koc R2 berharga RM12.00. Kami dijadualkan sampai ke Sg. Siput jam 01.37 pagi namun ia tersasar sejam daripada jadual tersebut dan hampir terlepas stesen tersebut kerana tidak perasankan papan tanda, mujur Cikgu Rajan bertanyakan kepada salah seorang penumpang disitu dan kami berenam melompat daripada koc keretapi di dalam keadaan keretapi yang masih bergerak...................

No comments: