Friday, September 24, 2010

Sudah tiba masanya untuk memberi.

Jalan Menjawah-Bintulu sudah rosak teruk hingga menyukarkan kenderaan pacuan 4 roda untuk melepasinya. Lantas kami (kakitangan sekolah) memutuskan untuk membaiki jalan tersebut tanpa menunggu bantuan pembesar Belaga mahupun kerajaan negeri apatahlagi kerajaan persekutuan. Jalan ini sebenarnya terletak jauh dari sekolah (untuk sampai terpaksa menaiki perahu dan hilux selama sejam,) agak kecewa bila pihak yang kerap menggunakannya tiada inisiatif untuk membaikinya. Bila bercakap soal bantuan lebih baik jangan berharap apa-apa kerana mungkin sudah sampai masanya hidup ini kita pula memberi daripada asyik menerima.

Wednesday, September 22, 2010

Berhenti atau tiada lagi!


Sudah lama aku tidak mengadakan latihan kardiovaskular seperti biasa semenjak menyertai Belaga Rainforest Marathon (trek gunung-ganang sepanjang 11 km sejajar dengan Batang Rajang) sebulan setengah yang lalu. Rupanya ia adalah mimpi ngeri buat aku kerana telah merosakkan tulang rawan dan sendi lutut kiri aku sehingga aku terpaksa memakai pendakap lutut sepanjang masa. Aku masih lagi membuat perhitungan sama ada hendak berjumpa doktor pakar (yang terdekat adalah 6 jam perjalanan-hospital kerajaan [Bintulu] dan 8 jam perjalanan–hospital swasta [Sibu]) atau menjalani pemulihan kendiri dengan memakan ubatan (glucosamine) yang dibeli di farmasi yang sudah menunjukkan hasil positif semenjak seminggu yang lalu (telah memakannya selama 5 minggu). Ini bukanlah pertama kali masalah kecederaan menimpa aku, pada 2006 aku terpaksa didiamkan selama 4 hari di Hospital Taman Desa apabila MRI scan mendapati urat dalam peha kanan aku pecah. Dalam otak aku yang semak ini masih teringat lagi pesan doktor bahawa kita perlu tahu masa untuk berhenti dan bila hendak bermula kembali atau tiada lagi berjalan yang betul apatah lagi untuk berlari!.

Saturday, September 18, 2010

Hampir Menjadi Pusat Sumber!


Hari ini berasa agak kecewa dengan keputusan pembesar yang menidakkan kemudahan pusat sumber di sekolah. Pelbagai cara untuk aku dan Andrew mengadakan pusat sumber baru bagi menggantikan bangunan kayu dua tingkat sedia ada yang telah usang (dibina pada 1964). Kami (aku dan semua kakitangan sekolah) telah membaikpulih bekas rumah guru yang dibina secara gotong-royong, namun segalanya sia-sia kerana masih belum dapat bekalan cat dan tikar getah. Jika para pembesar datang banyak komen yang diterima seolah-olah aku dan Andrew tidak mengambil pusing keadaan pusat sumber tersebut. Jika semuanya kami sumbang (tenaga dan wang) lebih baik kami bina sahaja sebuah sekolah swasta!.

Wednesday, September 15, 2010

Hari pertama mengajar semasa Syawal 1431 Hijrah, suasana sekolah agak suram kerana ramai murid yang ponteng seolah-olah mereka pula yang menyambut Syawal. Agak kecewa juga dengan keadaan tersebut kerana semua guru Islam sudahpun menghadirkan diri kerana amanah yang diberi, pengajaran terpaksa diteruskan walaupun rata-rata hanya separuh murid daripada setiap kelas yang hadir. Alhamdulillah perjalanan dari Perak bermula jam 6.13 pagi sejauh 14001 km (mengikut garis lurus GPS) berjalan lancar dengan menaiki keretapi ETS, ERL, Kapal Terbang MAS, Hilux dan perahu 15 kuasa kuda hingga berjaya sampai di sekolah jam 7.00 malam. Sangat jarang aku mendapat perjalanan yang lancar seperti ini, kerana selalunya ada sahaja masalah yang menjelma hingga perjalanan menjadi 2 hari, mungkin berkat Syawal agaknya.

Wednesday, September 08, 2010

Pekan kecil Sungkai agak sibuk daripada Ahad lepas kerana banyak manusia yang membeli belah untuk keperluan lebaran. Hari Rabu masih ada lagi kawan-kawan aku yang masih bekerja di pejabat untuk minit-minit terakhir bagi memastikan supaya syarikat tidak gulung tikar disebabkan tidak beroperasi seperti biasa. Mungkin senang untuk meminta cuti tetapi bagaimana dengan syarikat yang terpaksa menanggung beban kos operasi (seperti sewa pejabat) seperti biasa, di sinilah tolak ansur penting antara pelanggan dan majikan. Begitu juga pelbagai soalan yang dilontar kepada aku kenapa balik ke Sarawak awal sangat iaitu pada 14 hb September, untuk ini harus tanya pada diri sendiri adakah akan adil membiarkan pelanggan atau murid aku (beragama Kristian) terkapai-kapai di dalam kelas kerana sekolah dibuka seperti biasa.

Rumah Iban, Kampung Budaya

Tuesday, September 07, 2010

Rumah Bidayuh, Kampung Budaya

Pembuatan Senjata, Kampung Budaya

Pondok Penan, Kampung Budaya

Pasar Satok, Kuching

Kayu Tas dan Gambir Sarawak

Lada Hitam dan Putih

Kayu Menjadi Batu!

Monday, September 06, 2010

Fort Margarita, Kuching

Cat Museum, Kuching