Wednesday, November 30, 2011

Getting Married

Lagi sepuluh hari aku akan ke jinjang pelamin, pelbagai persiapan telah diatur seperti dokumen pernikahan, hantaran, jamuan dan jemputan. Terlalu banyak yang perlu difikirkan dalam satu-satu masa membuatkan keadaan "stress" begitu memuncak. Kerana itulah "getting married" diletakkan dalam senarai teratas tahap "stress" (mengikut kajian sumber manusia) berbanding perkara-perkara lain seperti kematian pasangan atau putus cinta. Ada satu perkara yang agak pelik berlaku apabila aku menghantar sms jemputan kepada rakan-rakan, kerana ada segelintir rakan-rakan mengambil masa hingga 9 hari menjawab sms untuk memberikan alamat rumah!.

Wednesday, November 09, 2011

Haluan Kerja Pendidikan


Persepsi awal saya terhadap buku karangan Dato’ Ghafar Mahmud (Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia) ialah tentang bagaimana cara untuk naik pangkat adalah silap 100 peratus. Buku ini sebenarnya menyentuh tentang Hala Tuju Pendidikan, Agenda Transformasi Negara, Tuntutan Terhadap Jentera Pendidikan, Mengangkat Profesiolisme Kaum Guru dan Daripada Agenda kepada Inisiatif.

Pada awal buku ini ia cuba mengajak pembaca melihat sistem pendidikan Korea Selatan sebagai contoh yang terbaik dalam mengurus modal insan. Pada tahun 60an mereka menghantar pekerja mereka ke negara maju mendalami asas-asas ilmu dan asas-asas pemikiran yang terkandung dalam teknologi yang digunakan. Sekarang mereka mampu membina kapal dagang dan perang sendiri serta mampu mengesport kapal tangki, petroleum, penumpang dan perang ke negara luar. Malahan mereka juga mampu menghasilkan state-of-the-art technology bertaraf dunia, terutamanya dalam bidang teknologi nuklear, angkasa lepas dan telekomunikasi.

Perkara yang menarik minat saya ialah budaya inovasi yang memerlukan kita berfikir ‘think the unthinkable’. Ia merujuk kepada kisah seorang penyeludup dan seorang pegawai tentera di sebuah kawasan sempadan yang bertelagah. Setiap hari penyeludup membawa batu-batan menggunakan sebuah kereta sorong dan setiap hari pegawai tentera yang sama memeriksa kereta sorong tersebut dan mendapati tiada apa yang diseludup lalu dilepaskan. Rutin yang sama setiap hari dilakukan hingggalah kawasan yang bertelagah ini berdamai dan penyeludup ini tidak perlu melalui pemeriksaan sempadan. Bila pegawai tentera itu menyoal penyeludup itu apakah yang cuba diseludupnya setiap hari, penyeludup itu menjawab “kereta sorong”!.

Dalam kaedah pengurusan pula saya tertarik dengan petunjuk input (contoh: penyertaan guru & murid) dan petunjuk output (contoh : bilangan sekolah & bilangan kehadiran murid) sebenarnya adalah kaedah sangat primitif. Ia harus digantikan dengan petunjuk keberhasilan (contoh: prestasi murid, kesejahteraan murid dan amalan membaca) dan petunjuk impak (contoh: peningkatan celik huruf, peningkatan celik numerasi dan peningkatan celik digital).

Perkara yang juga menarik minat saya ialah “community of practice” yang diamalkan oleh Xerox dengan mengumpulkan maklumat kompetensi puluhan ribu juruteknik penyelenggara Xerox dalam satu pusat maklumat. Dengan maklumat ini ia mengupayakan setiap juruteknik mengdiognasis punca masalah dan penyebab krisis kepenggunaan dengan cekap dan berkesan kerana setiap orang membawa bersamanya kompetensi, pengalaman, pengetahuan dan kreativiti seluruh juruteknik Xerox di segenap pelusuk dunia hingga merangsang pendapatan mereka sebanyak US$22 bilion setahun. Tidak dapat dibayangkan jika kompetensi, pengalaman, pengetahuan dan kreativiti seluruh guru di Malaysia dapat dikumpulkan dan dianalisis, hasilnya mesti sungguh menakjubkan.

Monday, October 17, 2011

dabai

Pokok buah ini seperti pokok langsat namun buahnya seperti buah kelapa sawit. Buah ini harus direndam di dalam air panas selama 3 minit atau kaedah lain melumurkannya dengan minyak masak bersama kicap serta dijemur selama 30 minit. Rasanya berlemak seperti kacang badam versi lembut.
Bunga kunyit

Agak sukar hendak menemukan bunga kunyit melainkan jika pokok itu tidak "disentuh" selepas ditanam. Ia biasa di buat ulam atau kerabu oleh orang melayu, rasanya ada pedas-pedas sedikit seperti memakan daun sirih.
Terung Iban
Pokok Terung Iban

Rasa terung ini sangat masam, biasanya dibuat sup sahaja oleh orang Sarawak. Jika di bakar seperti ayam panggang semua rasa manisnya akan keluar.
buah ara
buah ara
Pokok buah ara

Biasanya hidup di tepi sungai dan menjadi makanan ikan-ikan juga boleh dibuat umpan memancing. Bentuknya seperti buah tin (yang biasa dibawa balik dari Mekah), buah yang sedap dimakan ialah yang merah hijau dan rasanya seperti buah kedondong versi lembut.
Daun Pai
Daun Pai

Daun ini tiada kegunaan, namun haruslah dielakkan kerana sangat gatal jika terkena kulit.
Tembakau Kayan

Tembakau ini rasanya amat keras, biasanya ditanam ditepi-tepi sungai. Kalau sesiapa yang pernah bekerja di kilang rokok rasanya seperti kualiti tembakau M4.
Daun Ngaing
Daun Ngaing
daun tuden
daun tuden

Kedua-dua jenis daun ini sangat sesuai untuk membungkus nasi kerana ia akan mengekalkan aroma daun dan menjadikan nasi tahan lama. Daun tuden biasanya digunakan juga oleh masyarakat cina untuk membungkus tauhu.

Sunday, October 16, 2011

Pembersihan Empangan Graviti

Awal-awal pagi ahad dimana semua orang sedang dibuai mimpi, beberapa penduduk kampung datang menjengah pintu kuarters aku. Ini merupakan tugas guru yang paling sukar (setakat hari ini) iaitu memastikan 84 orang murid tidak kebulur kerana ketiadaan bekalan air bersih. Ini semua gara-gara kerakusan pengurusan Balak Kem Teleng (tiada syarikat lain) menjarah kawasan tadahan air yang terletak 1 jam perjalanan kaki dari sekolah.

Tahap kesihatan aku sudah semakin baik walaupun terpaksa berjalan mendaki bukit ke punca air bersih tertinggi di Segaham. Jika tidak sudah tentu termengah-mengah melayan “pacing” penduduk kampung yang sangat laju. Cuma aku sangat lelah bila terpaksa mengeluarkan sampah yang terdiri daripada kayu balak dan batu-batu di dalam kawasan empangan.
Sebenarnya aku tidak kisah melakukan rutin penyelenggaraan empangan air, cuma mengalihkan balak dan batu adalah sangat tidak munasabah kerana sebelum ini kami cuma membersihkan daun-daun kering di dalam empangan. Adilkah aku kerana terpaksa berlawan dengan satu syarikat besar dibandingkan dengan jawatan aku yang sangat kerdil ini.

Saturday, October 15, 2011

Adakah Mitos Kemewahan Air Sudah Berakhir?

Sangat berasa seronok sehari dua ini dapat memakan ikan kelah yang boleh dikatakan “emas” di kawasan sungai. Namun adakah perasaan seronok ini akan bersifat berterusan untuk hari-hari yang mendatang? Sudah dua minggu aku terpaksa menggunakan air keruh untuk memasak kerana empangan air graviti sudah dicemari oleh lumpur akibat perbuatan tidak bertanggungjawab pihak pengurusan Kem Balak Teleng.

Rasanya sia-sia sahaja pengorbanan penduduk kampung (termasuk aku) menarik paip poli sejauh 1 jam ke atas bukit selama 9 hari tahun lepas untuk membina empangan air graviti. Mereka (Kem Balak Teleng) telah menjarah kawasan tadahan air yang telah ditanda cat merah oleh penduduk kampung tanpa rasa bersalah, dan tanpa rasa bersalah juga mereka menidakkan perbuatan mereka. Mungkin benarlah kata Dr. Hamirdin Ithnin (dulu saintis di Universiti Malaya) bahawa mitos kemewahan air di Malaysia sudah berakhir!.

Monday, October 10, 2011

Tebudu dan Kepayang

Tebudu
pisang tembaga
kepayang
Minggu ini bermacam benda benda baharu cuba aku makan seperti tebudu dan buah kepayang. Buah "tebudu" nama diberi oleh kaum Kejaman, "tebuluih" oleh kaum Melanau manakala kaum Kayan memanggilnya sebagai "kelima", manakala kaum Bidayuh memanggilnya "ta'ang" dan aku sebagai kaum Melayu yang pertama menjumpai buah ini mengisytiharkannya sebagai buah "tebuma".

Rasa buah ini seperti durian belanda namun ia tidaklah boleh dimakan terus, ia harus direndam dengan air panas dan dicicah dengan garam (aku memakannya terus, nasib baik tidak sakit perut). Buah kepayang pula mesti direbus dahulu kalau tidak akan "mabuk kepayang" seperti yang tertulis dalam sastera klasik melayu. Rasanya sangat sedap seperti buah jering tua versi lembut terutama jika dicicah dengan sambal belacan.

Saturday, September 17, 2011

Adakah Kita Sporting Semasa Menganjur Sukan?

Lumba Rakit (Belaga Rainforest Challenges)

Masih kepenatan mengayuh rakit ke Belaga semalam, namun yang paling penting semua warga Segaham yang terlibat sangat gembira menyertai pesta rakit ini. Kami berjaya menamatkan perlumbaan dari Segaham ke Belaga dalam masa 5 jam (jika menggunakan enjin berkuasa kuda 15 ia mengambil masa hampir 1 jam).


Terdapat 15 pesaing yang menyertai acara ini, malangnya kami sendiri tidak tahu kedudukan kami di tempat yang keberapa kerana semasa kami sampai pihak penganjur sudah tiada! Mungkin mereka hilang kerana membuat rumusan bahawa semua rakit di belakang sudah kalah agaknya.

Sepatutnya penganjur tidak boleh berbuat begitu kerana kami adalah peserta yang terakhir yang dilepaskan sudah tentulah kami yang akhir sampai. Sebenarnya aku tidak melihat masalah jika dilepaskan serentak semua rakit kerana bukannya bertanding diperingkat dunia, cuma kadangkala orang kita suka “make life complicated”.



Sikap “sporting” dalam sukan di Malaysia masih jauh dengan negara jiran kita Singapura, pihak penganjur akan lepas tangan terhadap peserta yang akhir sampai walaupun untuk sampai ke garisan penamat sebenarnya memerlukan usaha yang sangat-sangat gaban.



Untuk membuat perbandingan secara “apple to apple” aku mengambil contoh maraton di Kuala Lumpur dan Singapura. Di Malaysia jika seseorang pelari tidak dapat menghabiskan larian 42 km dalam masa 7 jam mereka akan beramai-ramai diangkut dalam van bomba atau ambulans untuk dibawa pulang dengan alasan untuk bergelar pelari maraton mereka perlu berlari kurang 6 jam 30 minit. Penganjur langsung tidak memikirkan usaha berbulan-bulan yang dilakukan oleh pelari yang mahu bergelar "marathoner".


Berbanding di Singapura anda boleh berlari mengikut kemampuan anda dan tiada siapa yang akan menyuruh anda menaiki van jika lambat ke garisan penamat. Jangan terkejut jika pengunjung di taman-taman akan memberikan sandwich yang dipotong kecil-kecil kepada anda jika laluan larian berada di kawasan mereka melepak.



Adalah tindakan betul menyuruh peserta-peserta mengejar tempat pertama tetapi jangan memberi mesej yang salah kepada peserta-peserta yang berada di tempat akhir. Aku sangat memuji usaha yang ditunjukkan oleh warga Segaham daripada proses mencari pokok buluh, membina rakit dan akhirya membawa ia ke garisan penamat. Bagi aku itulah kemenangan total yang harus dimiliki oleh semua orang.





Thursday, September 15, 2011

Ia Datang Lagi

Belaga Rainforest Challenges datang lagi, cuma kedatangannya kali ini tidak dapat disambut dengan acara kegemaran aku. Setiap kali aku singgah di pasar Belaga orang akan bertanya adakah aku akan menyertai maraton dari Bukit Jayong ke Belaga. Walaupun hati memberontak-rontak, bagi aku lutut aku lebih penting dari maraton itu. Setiap peristiwa pahit membawa aku ke dimensi baru, melibatkan diri sudah tentu bagi aku cuma kali ini ia sangat berbeza. Aku akan berakit dari Segaham ke Belaga menggunakan rakit sepanjang 24 kaki dan selebar 6 kaki. Banyak persoalan yang timbul, adakah kami akan menang? Kalah hampir pasti, tetapi bagaimana jika menang?

Thursday, August 18, 2011

Di Recycle

Seminggu sudah berkampung di Belaga sempena kursus KSSR Pendidikan Kesihatan, ini merupakan kursus yang keempat untuk tahun ini. Untuk sekolah kecil kebiasaannya guru-guru di recycle sebanyak mungkin untuk pergi berkursus akibat kekurangan guru walaupun sebenarnya kursus tersebut kadang-kadang agak tersasar sedikit dari bidang tugas. Agak mengantuk kursus di bulan Ramadhan, namun ia adalah pengalaman baru dan setiap petang selepas berkursus aku dan Andrew akan ke **na* Restoren menempah makanan seperti rusa masak kicap, rusa masak halia dan sup rusa untuk juadah berbuka puasa.

Aku agak terkejut apabila memeriksa tuntutan perjalanan di emaklumweb.amn.gov.my untuk kursus KSSR BM dua minggu yang lalu telah masuk. Ia hampir-hampir mustahil untuk berlaku, namun tahniah diucapkan untuk pihak berkenaan walaupun terdapat pemotongan pada tuntutan tersebut. Ini menunjukkan bahawa tuntutan perjalanan ini tidak perlu mengambil masa sehingga 1 tahun 2 bulan untuk dibereskan ataupun tidak langsung terima seperti yang lepas-lepas.

Sunday, August 07, 2011

Suhu sewaktu berbuka puasa kadang-kadang mencecah 35' celcius membuatkan berpuasa di sini kadang kala amat mencabar. Kepanasan ini ditambah pula dengan pembakaran terbuka untuk membuat huma yang kadang-kadang amat menakutkan bila mendengar letupan-letupan yang tidak berhenti sewaktu pembakaran tersebut. Sebelum-sebelum ini ia tidaklah menakutkan aku sangat namun bila ia sangat dekat datang dari arah timur, barat dan barat daya sekolah secara serentak mungkin harus ada rizab pembakaran di kawasan sekolah secara lisan dengan penduduk kampung. Namun aku lebih panas hati dengan sikap murid suka mengetuk pintu rumah sewaktu aku betul-betul sedang meneguk Ribena sewaktu berbuka, ia selalu sangat berlaku seolah-olah tiada waktu lain untuk berunding dengan aku.



Friday, August 05, 2011

Sudah genap setahun aku tidak melakukan latihan kardiovaskular gara-gara Belaga Rainforest Marathon tahun lepas. Ligamen lutut kiri masih belum mencapai standard untuk larian, namun untuk berjalan tidak menjadi hal yang besar kepada kedua-dua ligamen lutut aku. Berat badan sudah mencapai 68 kg berbanding setahun dahulu paling tinggi cuma 65 kg, aku berharap Ramadhan ini dapat mengurangkan sedikit jumlahnya walaupun aku tahu ia hampir-hampir mustahil bagi aku.

Selama beberapa minggu ini semua guru-guru di seluruh Malaysia sibuk dengan kursus untuk kurikulum baru yang kelihatan lebih dinamik dan komprehensif dan sesuai dengan peredaran masa. Ia sesuatu yang harus dilakukan jika mahukan murid-murid yang berdaya saing. Akupun baru sahaja berkursus Bahasa Melayu minggu lepas berkursus lagi pada 2 minggu akan datang untuk subjek Pendidikan Kesihatan. Itulah kelebihan untuk guru-guru SKM (sekolah kurang murid), kami menerima input (kursus) terus daripada pihak PPD tanpa perlu menunggu guru berkursus pulang untuk memberikan in house training.

Sekolah menerima kedatangan pentadbir yang baru, lain benar rasanya kerana amanah (warden) yang terbeban di bahu selama ini sudah banyak berkurangan kerana ia diagih-agihkan kepada yang lain. Aku lebih dapat menumpukan kepada core business aku iaitu mengajar akademik dan sukan seperti dahulu.

Thursday, July 07, 2011

Successful Teaching (Bryan Coombs)


(Mengajar Secara Efektif)

Bab 1 menceritakan tentang motivasi murid untuk belajar dimana terdapat halangan-halangan seperti persekitaran, di sini guru perlu berperanan untuk mengingkatkan motivasi pelajar. Caranya mengenalpasti masalah murid sebelum merancang tindakan.

Bab 2 menceritakan perancangan mengajar, betapa pentingnya seorang guru membuat persediaan mengajar sebelum masuk ke kelas. Penulis berpendapat semasa di institut perguruan bakal guru diajar menulis secara panjang tetapi jika pada keadaan sebenar memadai secara ringkas sahaja berdasarkan pengalaman mengajar.

Bab 3 menyentuh tentang bilik darjah iaitu:-

  • Susun atur: murid mestilah sentiasa dalam keadaan mengadap guru walaupun dalam kerja berkumpulan.
  • Penggunaan lorong: guru mestilah mempunyai lorong untuk berjalan sewaktu memantau murid supaya dapat memantau 360 darjah.
  • Kelengkapan bilik darjah:

  1. ABM: mesti ada dan hendaklah relevan dengan murid.
  2. Kapur warna: supaya guru dapat memberi marking kepada perkara-perkara penting.
  3. Penunjuk: guru tidak boleh menggunakan tangan.
  4. Jelas dilihat: murid mesti dapat melihat papan hitam dan guru tidak boleh melindung murid.
  5. Jelas didengar: sewaktu menulis di papan hitam jika guru perlu bercakap hendaklah ia berhenti menulis dan memandang kepada muridnya barulah bercakap.
  6. Jam dinding: supaya guru dan murid dapat mengatur masa tanpa tertanya-tanya.
  7. Papan pameran: diletakkan jadual bertugas, jadual kelas dan peraturan kelas.

  • Bab 4 menceritakan tentang bahan pengajaran yang paling asas adalah buku teks, namun guru mestilah berusaha supaya murid dapat ditambah nilai dengan penggunaan pusat sumber secara maksima seperti buku cerita, akhbar dan video.
  • Bab 5 menceritakan tentang aktiviti bilik darjah iaitu :-

  1. Tingkah laku pelajar dalam bilik darjah seperti bercakap, berbisik dan tidak respon. Murid harus dijelaskan perkara-perkara yang perlu dilakukan dan tidak boleh dilakukan di dalam kelas pada awal tahun.
  2. Guru juga harus tahu bila hendak menggunakan kaedah secara individu, kelompok dan secara kelas.

  • Bab 6 menyentuh soalan-soalan yang berkesan kepada murid, sebagai contoh “Mary, apakah ibu negeri Perak?”. Ia boleh ditukar kepada “Apakah ibu negeri Perak?” berhenti sejenak kemudian memanggil nama “Mary, sila jawab!”. Ini supaya semua murid memberikan perhatian dan tidak rasa tersisih.

Akhirnya saya suka memetik kata-kata Bryan Coombs pada halaman 47:-

“Tiada satu cara yang “betul” dalam kaedah pengajaran. Mungkin ini suatu rahmat. Tugas mengajar adalah usaha yang membosankan apabila hanya satu kaedah yang boleh diikuti. Mengajar adalah cabaran. Para guru sentiasa mencari dan berjuang bagi menjadikan pembelajaran lebih berkesan. Usaha memperbaik diri inilah yang memberikan nafas kepada para guru.

Tuesday, July 05, 2011

Peraturan Kelas

  • Mesti menjalankan tugas harian mengikut jadual yang telah ditetapkan (duty roster).
  • Setiap murid bertanggungjawab terhadap diri sendiri
  • Mesti menjaga kawasan sendiri.
  • Tiada sampah di bawah meja atau kawasan sekeliling.
  • Tidak membuat bising semasa guru tiada.
  • Berada tepat di dalam kelas sewaktu sesi pembelajaran.
  • Beratur di luar kelas sebelum ke makmal atau bengkel.
  • Menyiapkan kerja / tugasan yang diarahkan.
  • Tidak melawan kata guru.
  • Ketidakhadiran ke sekolah mesti mempunyai surat.
  • Memakai baju sukan semasa kelas PJ.
  • Ketua Kelas dan Penolong Ketua Kelas bertanggungjawab sepenuhnya terhadap kelas sewaktu guru tiada atau semasa menunggu kedatangan guru.

Peraturan Asrama

  • Semua penghuni asrama mesti tinggal dan menginap di asrama.
  • Penghuni-penghuni asrama tidak dibenarkan menginap di luar.
  • Penghuni asrama lelaki mesti tinggal dan menginap di asrama lelaki.
  • Penghuni asrama perempuan mesti tinggal dan menginap di asrama perempuan.
  • Orang luar tidak dibenarkan masuk ke asrama lelaki dan asrama perempuan tanpa kebenaran.
  • Murid-murid asrama tidak dibenarkan membawa makanan dan minuman ke dalam asrama.
  • Jangan makan dan minum di dalam asrama.
  • Asrama adalah tempat menginap, tidur dan beristirehat. Jangan buat bising dalam asrama.
  • Murid asrama yang hendak keluar asrama mesti mendapat kebenaran dari pihak Jawatankuasa Asrama, Guru Besar, Penolong Kanan HEM,Penyelia Asrama atau Waden Sekolah.
  • Murid asrama yang didapati sakit mesti dilaporkan segera kepada pihak sekolah
  • Murid-murid asrama tidak dibenarkan menggantung pakaian yang basah dalam asrama dan semua pakaian yang basah mesti di jemur di penyidai di luar asrama.
  • Murid-murid asrama tidak dibenarkan membawa dan menyimpan alat-alat yang tajam di asrama.
  • Murid-murid asrama adalah tidak dibenarkan membawa dan menyimpan mancis, lighter, mosquitoe coil dan bahan-bahan api dalam asrama.
  • Murid-murid asrama adalah dilarang membawa dan bermain mercun dan bunga api di dalam asrama dan di kawasan sekolah.
  • Semua murid asrama mesti berada ditempat tidur dan tidur pada pukul 9.30 malam.
  • Semua penghuni asrama bertanggungjawab untuk menjaga kebersihan asrama.
  • Semua bahan buangan dan sampah mesti dibuang di dalam tong sampah.
  • Semua alas kaki mesti diatur ditempat yang disediakan diluar.
  • Murid-murid asrama adalah dilarang membawa dan menyimpan wang dan memakai alat kemas mahal di asrama. Pihak sekolah tidak akan bertanggungjawab ke atas segala kehilangan yang berlaku.

Thursday, June 23, 2011

Tiada Bernyawa atau Cuma Dihukum?

Tangan aku masih lenguh-lenguh kerana menghabiskan tenaga memegang “hantu” yang merasuk Malisa malam tadi. Adakah tindakan murid-murid memanggil hantu melalui permainan “spirit-spirit” itu berbaloi? Hingga menyebabkan hantu itu menyerang Malisa yang sedang membaca buku di pusat sumber. Adakah berbaloi tindakan Chester dan Benjamin bermain di bawah pokok ara berhampiran sungai? Adakah berbaloi tindakan murid-murid tahun 6 membaling batu ke arah sarang tabuan belakang rumah Apok?

Yang pasti minggu ini merupakan minggu yang kritikal sebagai warden, kerana perlu menjatuhkan hukuman setimpal secara baik atau secara jahat. Ini kerana jika hukuman secara baik ia langsung tidak membawa kesan dan hukuman secara jahat guru akan dimasukkan ke dalam palang besi. Atau mungkin patut diberi pilihan kepada ibubapa mahukan anak tiada bernyawa atau cuma dihukum?.

Sunday, June 12, 2011

Wednesday, June 08, 2011

Jalan ke Langkawi

Jam 12.00 tengahari, perjalanan ke Langkawi dari LCCT cuma mengambil masa 40 minit menggunakan kapal terbang berbanding dengan perjalanan darat ia akan mengambil masa 6 hingga 7 jam tidak termasuk masa menunggu di jeti Kuala Perlis atau Kuala Kedah. Perjalanan dari Kuala Perlis dan Kuala Kedah ke Pekan Kuah pula akan mengambil masa 45 minit, perjalanan darat dan air adalah amat tidak sesuai jika membawa warga emas.

Pulau Dayang Bunting

Pengangkutan dan penginapan

Sampai di lapangan terbang aku mengambil keputusan menyewa sebuah Kelisa dengan kos RM160 untuk selama lebih 3 hari (terdapat banyak penyedia perkhidmatan di sini) dan cuma mengisi minyak sebanyak RM40.00. Dengan kos RM110.00 sehari, kami (aku, Alang dan Makcik Mah) menginap di Malibest Resort kerana berdasarkan kajian ia terletak berhampiran Pantai Cenang dan menerima rating yang tinggi daripada pengguna agoda.com.
Telaga Air Panas

Membeli belah

Kami cuma sempat meletakkan beg di dalam hotel kerana misi coklat tidak dapat ditahan-tahan walaupun barang sesaat. Misi coklat terlaksana di kawasan Pekan Kuah secara khususnya di Kedai Coklat Haji Ismail. Aku cuma menghabiskan RM129.90 berbanding Makcik Mah RM150.00 maklumlah dia mempunyai lebih banyak kroni daripada aku.

Makam Mahsuri

Terdapat banyak untuk membeli coklat yang lain iaitu di Coco Valley berhampiran Pantai Cenang, untuk membeli barang-barang lain seperti cenderamata, keropok, barangan gamat dan kain batik banyak dijual di Pekan Kuah. Namun secara peribadi untuk empat barangan di atas aku lebih suka membeli di Beras Terbakar, Pantai Cenang (dibuka waktu malam sahaja), dan Pantai Pasir Hitam (rating mengikut urutan). Namun Beras Terbakar dan Pantai Pasir Hitam mengambil masa hampir setengah jam dari Pantai Cenang. Pinggan mangkuk pula hanya dijual di Pekan Kuah.

Beras Terbakar

Tempat-tempat menarik.

Terdapat 22 tempat menarik yang di war-warkan dalam peta percuma yang diedarkan di lapangan terbang iaitu:-

Telaga Tujuh, Kereta Kabel, Oriental Village, Beras Terbakar, Go-Kart, Laman Padi, Penguin Watch, Underwater World, Makam Mahsuri, Agro Park, Kampung Buku, Chogm Park, Lang Square, Gunung Raya, Wildlife Park, Galeri Perdana, Air Terjun Perangin, Telaga Air Hangat, Pantai Pasir Hitam, Crocodile Farm, Air Terjun Temurun dan Telaga Harbour Park.

Namun aku tidak ambil pusing sangat dengan panduan peta tersebut kerana awal pagi hari kedua aku pergi ke Permandangan Indah iaitu satu bukit di tepi pantai melihat Langkawi secara 360 darjah dan matahari naik. Kemudian pada 9.00 pagi kami terus ke Awana Porto Malai satu-satunya jeti untuk ke Pulau Dayang Bunting, Pulau Singa Besar dan Pulau Beras Basah dengan kos RM25.00. Kami mengambil masa selama 4 jam untuk meneroka tiga pulau ini, dimana untuk sampai ke lawatan pulau pertama (Pulau Dayang Bunting) cuma mengambil masa 20 minit menggunakan enjin berkuasa 200 kuasa kuda.

Pulau Beras Basah

Pulau Dayang Bunting sangat hebat kerana terdapat tasik air tawar yang sangat besar di dalam pulau, cuma untuk sampai ke situ kena mendaki tangga “Good Morning Sir” (pendaki gunung sangat benci dengan tangga jenis ini) sangat tidak sesuai dengan warga emas. Monyet pula sentiasa mengambil peluang merampas beg yang dibawa tanpa rasa takut. Walaupun aku boleh berenang namun berenang di sini (tasik) sangat menakutkan seolah-olah seluruh alam sedang memerhatikan aku, mungkin berenang menggunakan life jacket adalah keputusan yang bijak.

Kemudian kami singgah kawasan perairan Pulau Singa Besar untuk melihat kawanan burung helang yang menyambar makanan yang dicampak di tepi laut. Di bahagian terakhir pulau ialah kawasan putih, bersih dan ikan di Pulau Beras Basah namun ia masih belum dapat menandingi Pulau Manukan, Sabah.

Tempat yang harus disinggah

1. Telaga Air Hangat, percuma sahaja untuk masuk dan kemudahan adalah bertaraf 5 bintang di sini.

2. Beras Terbakar, terdapat kawasan sejarah beras terbakar dan tempat membeli belah yang hebat di sini.

3. Makan Mahsuri, kita dapat mengenali lebih sejarah Langkawi.

4. Lang Square, untuk mengambil gambar kenangan.

5. Galeri Perdana, tempat himpunan cenderamata yang di terima oleh Tun Mahathir semasa pemerintahannya.

6. Pantai Pasir Hitam, terdapat geologi pasir hitam dan kawasan membeli belah.

7. Pantai Cenang, terdapat banyak hotel di sini dan kawasan membeli belah waktu malam.

8. Pakej 3 pulau-Pulau Dayang Bunting, Pulau Singa Besar dan Pulau Beras Basah.

Tempat yang tidak perlu disinggahi

Ada beberapa tempat yang dirasakan tidak perlu pergi seperti Laman Padi dan Go-kart sudah tidak berfungsi seperti yang sepatutnya.


Trivia

1. Saman meletak kereta adalah perkara biasa di sini, elok kita membeli tiket meletak kereta dikedai-kedai runcit di Pekan Kuah.

2. Makanan sebenarnya adalah murah, kedai-kedai yang menggunakan jenama mamak dan melayu biasanya mengenakan harga standard berbanding kedai-kedai yang menggunakan nama mat salleh.

3. Terdapat banyak stesen minyak di sini.

4. Malibest Resort 04-9558222

5. Jazirah Holidays (kereta sewa) 04-9555197

6. Pakej 3 pulau- Zarina 016-9525529