Sunday, August 07, 2011

Suhu sewaktu berbuka puasa kadang-kadang mencecah 35' celcius membuatkan berpuasa di sini kadang kala amat mencabar. Kepanasan ini ditambah pula dengan pembakaran terbuka untuk membuat huma yang kadang-kadang amat menakutkan bila mendengar letupan-letupan yang tidak berhenti sewaktu pembakaran tersebut. Sebelum-sebelum ini ia tidaklah menakutkan aku sangat namun bila ia sangat dekat datang dari arah timur, barat dan barat daya sekolah secara serentak mungkin harus ada rizab pembakaran di kawasan sekolah secara lisan dengan penduduk kampung. Namun aku lebih panas hati dengan sikap murid suka mengetuk pintu rumah sewaktu aku betul-betul sedang meneguk Ribena sewaktu berbuka, ia selalu sangat berlaku seolah-olah tiada waktu lain untuk berunding dengan aku.



Friday, August 05, 2011

Sudah genap setahun aku tidak melakukan latihan kardiovaskular gara-gara Belaga Rainforest Marathon tahun lepas. Ligamen lutut kiri masih belum mencapai standard untuk larian, namun untuk berjalan tidak menjadi hal yang besar kepada kedua-dua ligamen lutut aku. Berat badan sudah mencapai 68 kg berbanding setahun dahulu paling tinggi cuma 65 kg, aku berharap Ramadhan ini dapat mengurangkan sedikit jumlahnya walaupun aku tahu ia hampir-hampir mustahil bagi aku.

Selama beberapa minggu ini semua guru-guru di seluruh Malaysia sibuk dengan kursus untuk kurikulum baru yang kelihatan lebih dinamik dan komprehensif dan sesuai dengan peredaran masa. Ia sesuatu yang harus dilakukan jika mahukan murid-murid yang berdaya saing. Akupun baru sahaja berkursus Bahasa Melayu minggu lepas berkursus lagi pada 2 minggu akan datang untuk subjek Pendidikan Kesihatan. Itulah kelebihan untuk guru-guru SKM (sekolah kurang murid), kami menerima input (kursus) terus daripada pihak PPD tanpa perlu menunggu guru berkursus pulang untuk memberikan in house training.

Sekolah menerima kedatangan pentadbir yang baru, lain benar rasanya kerana amanah (warden) yang terbeban di bahu selama ini sudah banyak berkurangan kerana ia diagih-agihkan kepada yang lain. Aku lebih dapat menumpukan kepada core business aku iaitu mengajar akademik dan sukan seperti dahulu.

Thursday, July 07, 2011

Successful Teaching (Bryan Coombs)


(Mengajar Secara Efektif)

Bab 1 menceritakan tentang motivasi murid untuk belajar dimana terdapat halangan-halangan seperti persekitaran, di sini guru perlu berperanan untuk mengingkatkan motivasi pelajar. Caranya mengenalpasti masalah murid sebelum merancang tindakan.

Bab 2 menceritakan perancangan mengajar, betapa pentingnya seorang guru membuat persediaan mengajar sebelum masuk ke kelas. Penulis berpendapat semasa di institut perguruan bakal guru diajar menulis secara panjang tetapi jika pada keadaan sebenar memadai secara ringkas sahaja berdasarkan pengalaman mengajar.

Bab 3 menyentuh tentang bilik darjah iaitu:-

  • Susun atur: murid mestilah sentiasa dalam keadaan mengadap guru walaupun dalam kerja berkumpulan.
  • Penggunaan lorong: guru mestilah mempunyai lorong untuk berjalan sewaktu memantau murid supaya dapat memantau 360 darjah.
  • Kelengkapan bilik darjah:

  1. ABM: mesti ada dan hendaklah relevan dengan murid.
  2. Kapur warna: supaya guru dapat memberi marking kepada perkara-perkara penting.
  3. Penunjuk: guru tidak boleh menggunakan tangan.
  4. Jelas dilihat: murid mesti dapat melihat papan hitam dan guru tidak boleh melindung murid.
  5. Jelas didengar: sewaktu menulis di papan hitam jika guru perlu bercakap hendaklah ia berhenti menulis dan memandang kepada muridnya barulah bercakap.
  6. Jam dinding: supaya guru dan murid dapat mengatur masa tanpa tertanya-tanya.
  7. Papan pameran: diletakkan jadual bertugas, jadual kelas dan peraturan kelas.

  • Bab 4 menceritakan tentang bahan pengajaran yang paling asas adalah buku teks, namun guru mestilah berusaha supaya murid dapat ditambah nilai dengan penggunaan pusat sumber secara maksima seperti buku cerita, akhbar dan video.
  • Bab 5 menceritakan tentang aktiviti bilik darjah iaitu :-

  1. Tingkah laku pelajar dalam bilik darjah seperti bercakap, berbisik dan tidak respon. Murid harus dijelaskan perkara-perkara yang perlu dilakukan dan tidak boleh dilakukan di dalam kelas pada awal tahun.
  2. Guru juga harus tahu bila hendak menggunakan kaedah secara individu, kelompok dan secara kelas.

  • Bab 6 menyentuh soalan-soalan yang berkesan kepada murid, sebagai contoh “Mary, apakah ibu negeri Perak?”. Ia boleh ditukar kepada “Apakah ibu negeri Perak?” berhenti sejenak kemudian memanggil nama “Mary, sila jawab!”. Ini supaya semua murid memberikan perhatian dan tidak rasa tersisih.

Akhirnya saya suka memetik kata-kata Bryan Coombs pada halaman 47:-

“Tiada satu cara yang “betul” dalam kaedah pengajaran. Mungkin ini suatu rahmat. Tugas mengajar adalah usaha yang membosankan apabila hanya satu kaedah yang boleh diikuti. Mengajar adalah cabaran. Para guru sentiasa mencari dan berjuang bagi menjadikan pembelajaran lebih berkesan. Usaha memperbaik diri inilah yang memberikan nafas kepada para guru.

Tuesday, July 05, 2011

Peraturan Kelas

  • Mesti menjalankan tugas harian mengikut jadual yang telah ditetapkan (duty roster).
  • Setiap murid bertanggungjawab terhadap diri sendiri
  • Mesti menjaga kawasan sendiri.
  • Tiada sampah di bawah meja atau kawasan sekeliling.
  • Tidak membuat bising semasa guru tiada.
  • Berada tepat di dalam kelas sewaktu sesi pembelajaran.
  • Beratur di luar kelas sebelum ke makmal atau bengkel.
  • Menyiapkan kerja / tugasan yang diarahkan.
  • Tidak melawan kata guru.
  • Ketidakhadiran ke sekolah mesti mempunyai surat.
  • Memakai baju sukan semasa kelas PJ.
  • Ketua Kelas dan Penolong Ketua Kelas bertanggungjawab sepenuhnya terhadap kelas sewaktu guru tiada atau semasa menunggu kedatangan guru.

Peraturan Asrama

  • Semua penghuni asrama mesti tinggal dan menginap di asrama.
  • Penghuni-penghuni asrama tidak dibenarkan menginap di luar.
  • Penghuni asrama lelaki mesti tinggal dan menginap di asrama lelaki.
  • Penghuni asrama perempuan mesti tinggal dan menginap di asrama perempuan.
  • Orang luar tidak dibenarkan masuk ke asrama lelaki dan asrama perempuan tanpa kebenaran.
  • Murid-murid asrama tidak dibenarkan membawa makanan dan minuman ke dalam asrama.
  • Jangan makan dan minum di dalam asrama.
  • Asrama adalah tempat menginap, tidur dan beristirehat. Jangan buat bising dalam asrama.
  • Murid asrama yang hendak keluar asrama mesti mendapat kebenaran dari pihak Jawatankuasa Asrama, Guru Besar, Penolong Kanan HEM,Penyelia Asrama atau Waden Sekolah.
  • Murid asrama yang didapati sakit mesti dilaporkan segera kepada pihak sekolah
  • Murid-murid asrama tidak dibenarkan menggantung pakaian yang basah dalam asrama dan semua pakaian yang basah mesti di jemur di penyidai di luar asrama.
  • Murid-murid asrama tidak dibenarkan membawa dan menyimpan alat-alat yang tajam di asrama.
  • Murid-murid asrama adalah tidak dibenarkan membawa dan menyimpan mancis, lighter, mosquitoe coil dan bahan-bahan api dalam asrama.
  • Murid-murid asrama adalah dilarang membawa dan bermain mercun dan bunga api di dalam asrama dan di kawasan sekolah.
  • Semua murid asrama mesti berada ditempat tidur dan tidur pada pukul 9.30 malam.
  • Semua penghuni asrama bertanggungjawab untuk menjaga kebersihan asrama.
  • Semua bahan buangan dan sampah mesti dibuang di dalam tong sampah.
  • Semua alas kaki mesti diatur ditempat yang disediakan diluar.
  • Murid-murid asrama adalah dilarang membawa dan menyimpan wang dan memakai alat kemas mahal di asrama. Pihak sekolah tidak akan bertanggungjawab ke atas segala kehilangan yang berlaku.

Thursday, June 23, 2011

Tiada Bernyawa atau Cuma Dihukum?

Tangan aku masih lenguh-lenguh kerana menghabiskan tenaga memegang “hantu” yang merasuk Malisa malam tadi. Adakah tindakan murid-murid memanggil hantu melalui permainan “spirit-spirit” itu berbaloi? Hingga menyebabkan hantu itu menyerang Malisa yang sedang membaca buku di pusat sumber. Adakah berbaloi tindakan Chester dan Benjamin bermain di bawah pokok ara berhampiran sungai? Adakah berbaloi tindakan murid-murid tahun 6 membaling batu ke arah sarang tabuan belakang rumah Apok?

Yang pasti minggu ini merupakan minggu yang kritikal sebagai warden, kerana perlu menjatuhkan hukuman setimpal secara baik atau secara jahat. Ini kerana jika hukuman secara baik ia langsung tidak membawa kesan dan hukuman secara jahat guru akan dimasukkan ke dalam palang besi. Atau mungkin patut diberi pilihan kepada ibubapa mahukan anak tiada bernyawa atau cuma dihukum?.

Sunday, June 12, 2011

Wednesday, June 08, 2011

Jalan ke Langkawi

Jam 12.00 tengahari, perjalanan ke Langkawi dari LCCT cuma mengambil masa 40 minit menggunakan kapal terbang berbanding dengan perjalanan darat ia akan mengambil masa 6 hingga 7 jam tidak termasuk masa menunggu di jeti Kuala Perlis atau Kuala Kedah. Perjalanan dari Kuala Perlis dan Kuala Kedah ke Pekan Kuah pula akan mengambil masa 45 minit, perjalanan darat dan air adalah amat tidak sesuai jika membawa warga emas.

Pulau Dayang Bunting

Pengangkutan dan penginapan

Sampai di lapangan terbang aku mengambil keputusan menyewa sebuah Kelisa dengan kos RM160 untuk selama lebih 3 hari (terdapat banyak penyedia perkhidmatan di sini) dan cuma mengisi minyak sebanyak RM40.00. Dengan kos RM110.00 sehari, kami (aku, Alang dan Makcik Mah) menginap di Malibest Resort kerana berdasarkan kajian ia terletak berhampiran Pantai Cenang dan menerima rating yang tinggi daripada pengguna agoda.com.
Telaga Air Panas

Membeli belah

Kami cuma sempat meletakkan beg di dalam hotel kerana misi coklat tidak dapat ditahan-tahan walaupun barang sesaat. Misi coklat terlaksana di kawasan Pekan Kuah secara khususnya di Kedai Coklat Haji Ismail. Aku cuma menghabiskan RM129.90 berbanding Makcik Mah RM150.00 maklumlah dia mempunyai lebih banyak kroni daripada aku.

Makam Mahsuri

Terdapat banyak untuk membeli coklat yang lain iaitu di Coco Valley berhampiran Pantai Cenang, untuk membeli barang-barang lain seperti cenderamata, keropok, barangan gamat dan kain batik banyak dijual di Pekan Kuah. Namun secara peribadi untuk empat barangan di atas aku lebih suka membeli di Beras Terbakar, Pantai Cenang (dibuka waktu malam sahaja), dan Pantai Pasir Hitam (rating mengikut urutan). Namun Beras Terbakar dan Pantai Pasir Hitam mengambil masa hampir setengah jam dari Pantai Cenang. Pinggan mangkuk pula hanya dijual di Pekan Kuah.

Beras Terbakar

Tempat-tempat menarik.

Terdapat 22 tempat menarik yang di war-warkan dalam peta percuma yang diedarkan di lapangan terbang iaitu:-

Telaga Tujuh, Kereta Kabel, Oriental Village, Beras Terbakar, Go-Kart, Laman Padi, Penguin Watch, Underwater World, Makam Mahsuri, Agro Park, Kampung Buku, Chogm Park, Lang Square, Gunung Raya, Wildlife Park, Galeri Perdana, Air Terjun Perangin, Telaga Air Hangat, Pantai Pasir Hitam, Crocodile Farm, Air Terjun Temurun dan Telaga Harbour Park.

Namun aku tidak ambil pusing sangat dengan panduan peta tersebut kerana awal pagi hari kedua aku pergi ke Permandangan Indah iaitu satu bukit di tepi pantai melihat Langkawi secara 360 darjah dan matahari naik. Kemudian pada 9.00 pagi kami terus ke Awana Porto Malai satu-satunya jeti untuk ke Pulau Dayang Bunting, Pulau Singa Besar dan Pulau Beras Basah dengan kos RM25.00. Kami mengambil masa selama 4 jam untuk meneroka tiga pulau ini, dimana untuk sampai ke lawatan pulau pertama (Pulau Dayang Bunting) cuma mengambil masa 20 minit menggunakan enjin berkuasa 200 kuasa kuda.

Pulau Beras Basah

Pulau Dayang Bunting sangat hebat kerana terdapat tasik air tawar yang sangat besar di dalam pulau, cuma untuk sampai ke situ kena mendaki tangga “Good Morning Sir” (pendaki gunung sangat benci dengan tangga jenis ini) sangat tidak sesuai dengan warga emas. Monyet pula sentiasa mengambil peluang merampas beg yang dibawa tanpa rasa takut. Walaupun aku boleh berenang namun berenang di sini (tasik) sangat menakutkan seolah-olah seluruh alam sedang memerhatikan aku, mungkin berenang menggunakan life jacket adalah keputusan yang bijak.

Kemudian kami singgah kawasan perairan Pulau Singa Besar untuk melihat kawanan burung helang yang menyambar makanan yang dicampak di tepi laut. Di bahagian terakhir pulau ialah kawasan putih, bersih dan ikan di Pulau Beras Basah namun ia masih belum dapat menandingi Pulau Manukan, Sabah.

Tempat yang harus disinggah

1. Telaga Air Hangat, percuma sahaja untuk masuk dan kemudahan adalah bertaraf 5 bintang di sini.

2. Beras Terbakar, terdapat kawasan sejarah beras terbakar dan tempat membeli belah yang hebat di sini.

3. Makan Mahsuri, kita dapat mengenali lebih sejarah Langkawi.

4. Lang Square, untuk mengambil gambar kenangan.

5. Galeri Perdana, tempat himpunan cenderamata yang di terima oleh Tun Mahathir semasa pemerintahannya.

6. Pantai Pasir Hitam, terdapat geologi pasir hitam dan kawasan membeli belah.

7. Pantai Cenang, terdapat banyak hotel di sini dan kawasan membeli belah waktu malam.

8. Pakej 3 pulau-Pulau Dayang Bunting, Pulau Singa Besar dan Pulau Beras Basah.

Tempat yang tidak perlu disinggahi

Ada beberapa tempat yang dirasakan tidak perlu pergi seperti Laman Padi dan Go-kart sudah tidak berfungsi seperti yang sepatutnya.


Trivia

1. Saman meletak kereta adalah perkara biasa di sini, elok kita membeli tiket meletak kereta dikedai-kedai runcit di Pekan Kuah.

2. Makanan sebenarnya adalah murah, kedai-kedai yang menggunakan jenama mamak dan melayu biasanya mengenakan harga standard berbanding kedai-kedai yang menggunakan nama mat salleh.

3. Terdapat banyak stesen minyak di sini.

4. Malibest Resort 04-9558222

5. Jazirah Holidays (kereta sewa) 04-9555197

6. Pakej 3 pulau- Zarina 016-9525529

Friday, May 27, 2011

Penutupan Bakun dan Musim Kemarau

Jenis-jenis angau

Lagu Si Ulat Bulu

Monday, May 23, 2011

Nasib baik ada .......

Aku menjadi penjaga sekolah yang setia mengawal sekolah terutama dalam memastikan keselamatan murid. Guru Besar telah berpencen dan para pentadbir masing-masing tiada kerana berkursus dan pelbagai urusan yang mendesak. Begitu juga terdapat guru-guru yang berkursus di PPD Belaga, ia adalah lumrah setiap hujung bulan kerana masa yang sesuai dengan minggu gaji. Walaupun sekolah mempunyai banyak Pembantu Pengurusan Murid, dari petang semalam hingga pada artikel ini ditulis tiada kelibat mereka memantau murid.

Ini menyebabkan tikus menari-nari kerana ketiadaan kucing, nasib baiklah masih ada anjing lagi di sini tidaklah tikus berani menari walaupun anjing tidaklah memakan tikus. Namun semua itu tidak mudah kerana anjing itu banyak tuntutannya iaitu kerja-kerja pentadbiran seperti memasang mesin fotokopi, membaiki komputer riba, mengarang surat, membaiki meja, mengecat pusat sumber, mencantas pokok bunga, mengangkat kertas A4 dari pejabat PPD ke perahu dan mengangkat kertas A4 dari perahu ke pejabat sekolah.

Sunday, May 15, 2011

SK Long Segaham 2011


Dari kiri,
Belakang: En. Kalong, En. Andrew, En. Freddy, En. Baktiee,
En. Maswafi, En. Geluk dan En. Yahaya.
Berdiri: En. Awell, En. Bobby, Puan Luciana, Puan Elizabeth, Puan Shanty,
Cik Sati, Cik Mona, Puan Flora, En. Melvin, En. Firdaus.
Duduk: Cik Connie, Puan Domitilla, En. Josef, En. Medik,
En. Thomas, En. Hawing, Puan Nancy, Cik Doris.







Saturday, May 14, 2011

Bangau Batang Rajang

Wednesday, May 11, 2011

Ucapan Ketua Murid Sempena Hari Guru 2011

Selamat sejahtera dan salam perpaduan,

Saya ucapkan kepada tuan Guru Besar …………………………, Penolong Kanan 1 ……………………………, Penolong Kanan HEM ………………………., Penolong Kanan Kokurikulum ……………………………., guru-guru, staf sokongan dan rakan-rakan sekalian.

Saya ingin merakamkan terima kasih kepada pihak sekolah kerana menjemput saya mewakili murid-murid SK Long Segaham untuk memberikan sepatah dua kata sempena Hari Guru yang di raikan pada pagi yang mulia ini.

Bersyukur kepada Tuhan kerana pada tahun yang cemerlang ini, kita warga SK Long Segaham berpeluang lagi untuk menyambut Sambutan Hari Guru bersama-sama untuk meraikan jasa dan pengorbanan guru-guru yang bertungkus-lumus untuk menjadikan sekolah kita sebagai antara sekolah terbaik di daerah Belaga.

Sebelum meneruskan ucapan saya, dengarkan pantun ini

A-B-C dan alif ba ta
Satu dua tiga dan empat
Selalu cikgu ajar kita
Ditubi-tubi sampai dapat

Pantun tersebut menggambarkan kegigihan guru-guru mengajar kami yang serba kerkurangan di sini tanpa kenal penat dan lelah. Gurulah yang mengenalkan kami huruf A-Z dan angka 1 hingga 100. Mengajar kami mengenal suku kata hinggalah dapat membaca dan mengajar kami operasi-operasi matematik hingga kami dapat mengira.

Tanpa guru-guru mengajar kami, kami mungkin gagal dalam pelajaran, seterusnya dalam hidup. Kami amat terharu akan jasa dan pengorbanan guru-guru. Komitmen guru-guru amat tinggi dalam memastikan kecemerlangan kami hingga sanggup mengorbankan wang ringgit, masa dan tenaga dengan mengadakan kelas tambahan, kelas intensif dan pelbagai program untuk membimbing kami.

Selain dalam bidang pelajaran, guru juga berperanan membentuk peribadi mulia di kalangan kami. Supaya apabila kami cemerlang dalam bidang pelajaran kami juga cemerlang dalam akhlak kami.

Cuba fikirkan sejenak, adakah selama ini kita berbuat sesuatu untuk guru-guru kita? Adakah kita sentiasa mendengar nasihat mereka? Oleh itu saya menyeru kepada rakan sekalian sentiasa menghargai guru dan mengenang jasa mereka yang ibarat ibu bapa kita di sekolah. Setidak-tidaknya jadilah manusia yang berguna kepada bangsa dan negara pada masa hadapan sebagai tanda penghargaan kita kepada mereka.


Akhir sekali, sekali lagi saya merakamkan setinggi-tinggi kesyukuran, saya berdoa agar SK Long Segaham terus cemerlang dan lebih gagah menghadapi cabaran serta mencapai matlamat menjadi sekolah terbaik bukan sahaja peringkat daerah, tetapi peringkat negeri.

Semoga dengan keizinan Tuhan, guru-guru kita sentiasa diberkati, sihat dan sejahtera.

Sebelum saya mengundur diri, ini ada sebuah pantun daripada saya.

Lima enam tujuh lapan
Rajin belajar cepat maju
Bila dapat maju ke depan
Terima kasih banyak, Cikgu!

Akhirnya




Akhirnya aku berjaya juga berenang merentangi Batang Rajang sesuatu yang aku idamkan sejak tahun 2009. Tapi harga yang terpaksa dibayar cukup besar, kadang kala seperti tidak mampu ditanggung. Suhu kadang-kala mencecah 40 darjah celcius, kemarau yang panjang dan ditambah dengan penutupan Bakun menyebabkan air sungai mencetek. Ini bermakna pengorbanan lebih 100 orang merentasi gunung pada hujung 2009 membawa polypipe sebesar penumbuk sepanjang 6 km selama 9 hari adalah berbaloi kerana air minuman masih berfungsi seperti biasa.

Hairan aku dengan keadaan orang kampung di sini tidak pula mengeluh dengan keadaan yang sedemikian rupa walaupun ini bermakna hubungan kami dengan dunia luar betul-betul terputus kerana tidak dapat kemana-mana walaupun menggunakan perahu. Kecuali kami menggunakan perahu kayuh atau enjin setinting dapatlah kami ke Belaga tapi ia memakan masa yang panjang, mungkin kita patut belajar menjadi tahan seperti mereka daripada asyik mengeluh membayar tol walaupun memang itu harga yang patut dibayar!.

Thursday, April 21, 2011

Hari yang sangat memenatkan cuma untuk perjalanan keluar dari Batang Balui (Segaham) ke Belaga. Ia kerana penutupan terowong Bakun untuk tujuan penyelenggaraan telah menyebabkan air menjadi terlalu cetek hingga ke tahap perahu-perahu kecilpun sukar melepasinya. Hujan lebat sepanjang perjalanan dan kayu balak hanyut menjadikan ia bertambah sukar kerana aku membawa gadjet-gadjet elektronik seperti komputer riba dan telefon bimbit. Sudah masuk tahun ketiga di sini, aku masih belum dapat membiasakan diri dengan perjalanan keluar yang ekstrem walaupun aku pernah melakukan perjalanan ekstrem selama 7 hari di Banjaran Titiwangsa di dalam hujan lebat.

Saturday, April 16, 2011

Ajalnya Bujang Senang

Pada tahun 1992, Dayang bersama ibu dan bapanya telah mudik ke sungai kecil (Sungai Pelaban) pergi ke ladang untuk berhuma. Sungai kecil tersebut tidak dalam (separas pinggang) apabila sampai berhampiran kawasan ladang mereka, ayah Dayang berhenti di seberang untuk mengutip sayur di tebing sungai. Memikirkan air sungai yang tidak dalam, Dayang mengambil keputusan untuk menyeberang ke kawasan ladang tanpa menggunakan perahu sambil memegang tangan ibunya.

Sewaktu menyeberang sungai kecil tersebut, tiba-tiba Bujang Senang membaham Dayang tanpa belas kasihan dan membawanya ke hulu sungai. Ibunya melarikan diri kepada suaminya dan menyatakan ada seekor buaya yang mempunyai tanda putih di belakang badannya. Serta-merta orang kampung dengan pantas mencacakkan kayu di dalam sungai supaya ia terperangkap. Orang kampung dengan pelbagai senjata seperti empuling (lembing) dan senapang mengejar Bujang Senang ke arah hulu, Bujang Senang ditembak bertalu-talu namun tidak mati.

Bujang Senang berjaya melarikan diri, namun disebabkan air yang semakin mengering dan cetek ia terpaksa pergi ke kawasan yang telah dicacak kayu oleh orang kampung. Ia mengamuk dengan melanggar kayu tersebut untuk menghala ke Batang Lupar, orang kampung menembaknya bertubi-tubi namun tidak mati. Semasa itu seorang daripada orang kampung tersebut mendekati Bujang Senang dan merejamnya dengan empuling dan ia menemui ajalnya di situ (20 Mei 1992).

Kepalanya telah dipotong dan beberapa bahagian badannya telah diberi kepada keluarga Dayang untuk dimakan sebagai isyarat dendam telah terbalas. Sekarang tengkorak kepala Bujang Senang ada dipamerkan di Jong Crocodile Farm Kuching, namun ia mempunyai versi yang berbeza dimana ia dikatakan mati ditembak dengan peluru paku yang disemadikan (termasuk senapang yang digunakan) bersama tengkoraknya.

Ada yang mengatakan buaya sepanjang 19 kaki 3 inci dan mempunyai tanda putih di belakangnya itu bukanlah Bujang Senang kerana masih terdapat banyak buaya yang lebih besar hidup di Batang Lupar. Namun setelah kematian Bujang Senang agak kurang berlaku kematian manusia disebabkan dimakan buaya sekarang.

Cerita ini disesuaikan melalui cerita Encik Bakar ak Sebau dan maklumat dari Jong Crocodile Farm


170 daripada 218

Cuaca yang sangat baik hingga ke petang di mana suhu paling panas pada takat 36 darjah celcius. Hari yang cukup baik untuk pergi ke ladang oleh sebab itu ramai yang datang mengundi awal pagi dan sebenarnya pusat mengundi ditutup pada waktu pagi iaitu jam 11.30 pagi. Seramai 218 orang layak mengundi di sekolah aku yang melibatkan 2 buah rumah panjang iaitu Rumah Panjang Kejaman Lasah dan Rumah Panjang Long Mitik.

Alhamdulillah tiada berlaku kekecohan kerana mereka semuanya bersaudara walaupun berlainan ideologi politik. Seramai 170 daripada 218 orang yang membuang undi (77.98%) satu jumlah yang dikira baik kerana ramai yang berhijrah jauh dari Belaga. Daripada 170 undi, BN mendapat undi sebanyak 145 ia dikira cukup banyak mungkin kerana YB Liwan berjaya mengekalkan momenton kecemerlangannya yang agak nampak sebelum pilihanraya. Jika ada yang tidak berpuashati lebih kepada isu NCR, namun ia lebih merujuk kepada Ketua Menteri.

Sunday, April 10, 2011

Asal Usul Keris Taming Sari

Keris tidak langsung boleh berenggang dengan orang Melayu suatu ketika dulu sehingga terasa seperti berbogel jika tidak menyisip keris di pinggang (Winstedt). Keris yang tinggi maratabatnya hingga menjadi idaman semua orang terutamanya Taming Sari. Persoalannya kenapa nama keris itu Taming Sari, walhal banyak keris yang tidak bernama di dunia alam Melayu.

Sebelum itu eloklah difahamkan bahawa Taming Sari adalah nama seorang pendekar Jawa dalam kerajaan Majapahit seperti yang disebut di dalam Hikayat Hang Tuah. Menurut hikayat ini, Taming Sari adalah seorang panglima yang paling handal di Majapahit ketika itu, dan beliau telah ditugaskan oleh Bendahara Majapahit, Patih Gajah Mada untuk membunuh Hang Tuah.

Mengikut cerita orang tua, Taming Sari telah menuntut ilmu kesaktian dan gurunya telah mensyaratkan beliau untuk bertapa di sebuah gua dan mendapatkan lidah ular sakti sebagai bukti tamat pertapaan. Semasa beliau bertapa seekor ular besar telah datang kepadanya, dengan menggunakan helah ular tersebut menjulurkan lidahnya di pintu gua. Lantas beliau memotongnya dan membawanya pulang kepada gurunya, ia (lidah ular) kemudian ditempa menjadi keris sakti yang tidak bernama.

Setelah keris itu siap gurunya telah memberikan kepada Taming Sari dan mengatakan bahawa sesiapa yang memegang keris tersebut akan menjadi kebal ia juga meletakkan syarat jika sesiapa mengaku keris tersebut keris kepunyaannya ia akan makan tuan.

Hang Tuah pula pada masa itu telah berguru kepada seorang ahli pertapaan Jawa bernama Sang Adi Putera. Gurunya itu telah memberitahu akan kelemahan Taming Sari. Oleh itu, pada hari pertarungan antara kedua pendekar ini di hadapan Sultan Melaka dan Betara Majapahit, Hang Tuah telah berjaya membuatkan Taming Sari mengaku itu kerisnya dengan dialog “aku takkan mati selagi aku mempunyai keris sakti ini!”. Kemudian Hang Tuah berjaya merampas keris tersebut dan membunuh Taming Sari, (hal yang sama juga terjadi kepada Hang Jebat sebab Hang Jebat mengungkap dialog yang sama).

Sebagai menghargai kejayaan Hang Tuah itu, Betara Majapahit telah menganugerahkan keris itu kepada Hang Tuah. Hang Tuah terus menamakan keris itu sebagai "Keris Taming Sari" untuk mengelakkan sumpahan dan telah dibawa pulang ke Melaka.

Selepas kejatuhan empayar Melayu Melaka, tidak lagi diketahui ke mana perginya keris Taming Sari ini. Pelbagai kisah dan mitos tersebar mengenai keris ini. Ada yang mengatakan bahawa keris ini telah hilang bersama-sama Hang Tuah di Hulu Muar selepas Hang Tuah gagal membawa pulang Puteri Gunung Ledang untuk Sultan Melaka. Ada pula yang percaya bahawa keris Taming Sari telah dibawa ke Perak dan disimpan oleh keturunan raja-raja Perak.

Disesuaikan dengan Maswafi bin Abd Samat. 1998 “Jampi Mantera : Peranannya Dalam Ilmu Persilatan Melayu. Latihan Ilmiah Jabatan Pengajian Melayu, Universiti Malaya.

Friday, April 08, 2011

Tinggal 5 daripada 21

Itulah angka murid buta huruf yang masih tinggal di tahun 2, semua kaedah dan tenaga telah digunakan bagi mencapai matlamat tersebut. Januari tahun lepas hanya 4 murid daripada 21 sahaja yang boleh membaca, jumlah yang sangat menjadi mimpi ngeri kepada semua orang. Apatahlagi berada di kawasan buta huruf yang tertinggi di Malaysia. Rasanya seperti ada yang tidak kena pada 5 orang murid ini jika setelah 45 minggu tahun 2010 ditambah beberapa minggu hingga sekarang masih belum lancar huruf a hingga z!. Atau mungkin menggunakan kaedah huruf-huruf sebesar meja tulis murid yang aku gunakan tidak berkesan dan sesuai.

Thursday, March 31, 2011

Ligamen Terputus


LIGAMEN kruciate hadapan (ACL) terputus adalah sejenis kecederaan sendi lutut di mana ACL terkoyak atau tercedera. ACL adalah salah satu dari empat ligamen penting yang memberi kestabilan kepada sendi lutut.

Ligamen lain adalah ligamen kruciate belakang (PCL), ligamen kolateral medial (MCL) dan ligamen kolateral lateral (LCL). ACL terlekat antara hujung bawah tulang paha (femur) dan hujung atas tulang kering (tibia) dalam sendi lutut.

Ia menyilang di dalam sendi lutut dalam arah pepenjuru dan di sisinya, PCL pula menyilang dalam arah bertentangan dengan membentuk palang di antara satu sama lain, itulah sebabnya kedua-dua ligamen ini dipanggil 'cruciate' atau 'genting' sempena bentuk mereka di dalam sendi lutut itu.

Fungsi utama ACL adalah untuk menghalang pergerakan tulang kering daripada bergerak ke hadapan dari tulang paha. Sementara PCL pula untuk menghalang tulang kering daripada bergerak ke belakang tulang paha.


Sebab itulah kedua dua ligamen kruciate ini sangat penting dalam memberi kestabilan pada sendi lutut, terutama semasa aktiviti sukan yang banyak membabitkan sentuhan badan dan juga pertukaran arah pergerakan dan pergerakan berputar. Sebab itulah kecederaan ACL akan memberikan implikasi yang serius kepada kestabilan dan fungsi sendi lutut.


Selalunya atlit yang mengalami kecederaan ACL akan mengalami kemerosotan dalam prestasinya kerana kesukaran yang dihadapi disebabkan lututnya yang tidak stabil.


Bagaimanakah ACL boleh tercedera?

ACL terputus atau terkoyak sebenarnya adalah kecederaan lutut yang sangat kerap berlaku dikalangan ahli sukan. Selalunya ACL tercedera apabila sendi lutut terpusing dengan kaki terpacak kaku ke tanah atau ketika terjatuh dengan kaki terlipat keluar ketika mendarat selepas melompat.

ACL juga boleh tercedera sekiranya lutut ditendang dengan kuat dari arah luar sebagaimana boleh berlaku ketika bermain bola sepak atau ketika terkena terjahan semasa bermain rugbi. Kecederaan ACL ini kadang-kadang berlaku secara kombinasi dengan kecederaan meniskus dan MCL.

Kecederaan ACL lebih kerap berlaku di kalangan wanita berbanding lelaki dengan nisbah dua hingga lapan kali. Alasan kepada perbezaan ini masih tidak dapat dipastikan dengan jelas tetapi berdasarkan kajian terkini, andaiannya adalah disebabkan oleh bentuk anatomi wanita yang berbeza, kesan hormon estrogen ke atas ACL dan kerana terdapat perbezaan dalam imbangan otot di kalangan lelaki dan perempuan.


Simptom kecederaan ACL

  • Semasa berlaku kecederaan bunyi “POP” atau bunyi benda direntap boleh didengar dari sendi lutut tersebut.

  • Lutut terasa longgar dan hilang kawalan, kemudian lutut boleh membengkak.

  • ACL terputus selalunya menyebabkan sakit yang teramat sangat dan serta merta selepas berlakunya kecederaan.

  • Lutut membengkak selalunya berlaku serta merta dan nyata, tetapi boleh juga bengkak terjadi perlahan-lahan dan sedikit saja.

  • Lutut yang tercedera selalunya mempunyai pergerakan yang terhad terutama bila hendak meluruskan kaki kerana sendi lutut tidak dapat diluruskan sepenuhnya.

  • Lutut yang tercedera selalunya berasa sakit bila sekeliling sendi ditekan dengan jari.

  • Tanda positif bila dilakukan pemeriksaan klinikal ujian “Anterior Drawer” dan ujian "Lachman’s”.

  • Sekiranya terdapat kecederaan tulang rawan dan meniskus selalunya permukaan sendi berasa sakit bila ditekan.


    Rawatan untuk ACL terputus

    Apa yang para atlit boleh lakukan?

  • Segera berhenti bermain atau bersukan

  • Memberi rawatan kecemasan R.I.C.E. (Rest, Ice, Compression, Elevation) dengan segera kepada lutut yang tercedera.

  • Dapatkan rawatan pakar perubatan dengan segera.


    Apa yang para doktor boleh lakukan?

  • Seorang doktor atau pakar kecederaan sukan boleh melakukan pemeriksaan ke atas sendi tersebut dan memberi kepastian sama ada ligamen ACL terputus atau tidak.

  • Mendiagnos kecederaan sampingan pada sendi yang tercedera.

  • Melakukan pemeriksaan sinar-x dan imbasan MRI pada lutut yang tercedera

  • Merujuk kepada pakar sekiranya rawatan pembedahan diperlukan.

  • Memberikan program rehabilitasi pra pembedahan untuk menguatkan otot-otot lutut dan mengurangkan bengkak pada lutut dalam penyediaan untuk pembedahan. Ini dapat membantu dalam mendapatkan keputusan terbaik selepas pembedahan.


    Apakah Pembedahan yang biasa dilakukan?

  • Pembedahan yang biasa dilakukan adalah secara artroskopik iaitu pembedahan yang menggunakan teropong kamera yang dimasukkan ke dalam sendi lutut menerusi tebukan kecil pada kulit.

    Sekiranya kecederaan ACL adalah jenis yang membabitkan tulang tempat perlekatan ACL terkopak dari tulang Kering (Tibia) dan fiber ACL masih utuh, doktor akan meletakkan kembali serpihan tulang berkenaan ke tempat asalnya dengan menggunakan skrew atau jahitan.

  • Sekiranya fiber ACL tersebut putus, fiber berkenaan dibuang dan ligamen ACL baru akan dibentuk dengan menggunakan graf yang diambil dari tendon paha atau Hamstring iaitu tendon Semitendinosus dan tendon Gracillis atau menggunakan gabungan tendon Patella dan sebahagian tulang tempurung dan tulang Kering (BTB graft).


    Bilakah pembedahan diperlukan?

  • Rawatan secara pembedahan adalah lebih kerap dilakukan berbanding secara tanpa pembedahan (konservatif) untuk kecederaan ACL.

  • Keputusan sama ada perlu dirawat secara pembedahan adalah berdasarkan kepada beberapa faktor termasuk umur atlit, gaya hidup, pembabitan dalam aktiviti sukan, jenis pekerjaan, tahap ketidakstabilan sendi lutut dan kecederaan sampingan sekiranya ada.

  • Pesakit yang sudah berusia dan tidak lagi aktif melakukan aktiviti luar sekiranya terputus ligamen ACL kerana terjatuh selalunya tidak akan menjalani pembedahan sebaliknya hanya dirawat dengan fisioterapi dan rehabilitasi. Kadang-kadang pesakit dipakaikan penyokong lutut kerana ia mampu memberi sedikit kestabilan kepada lutut yang tanpa ACL ini.

  • Pesakit yang lebih muda dan aktif melakukan aktiviti sukan dan berkemungkinan mampu mengikuti program rehabilitasi yang kompleks dengan baik pesakit ini biasanya dirawat secara pembedahan.

  • Sejarah kecederaan ACL menunjukkan lutut yang mempunyai kecederaan ACL dan tidak dirawat secara pembedahan mempunyai kadar pembentukan sakit sendi yang kronik, seperti osteoartritis, lebih cepat berbanding lutut yang normal atau dirawat secara pembedahan.

    Bagi mereka yang masih muda dan aktif pula, mempunyai lutut yang longgar kerana ketiadaan ACL memaksa mereka menukar aktiviti sukan kepada jenis yang tidak membabitkan sentuhan badan dan pergerakan berpusing seperti joging.


    Berapa lamakah atlit perlu berehat daripada aktiviti sukan?

    Ini sangat bergantung kepada cara pendekatan pakar bedah dan pakar fisioterapi terhadap proses rehabilitasi. Sesetengahnya memilih program pemulihan yang dipercepatkan di mana atlit boleh kembali bersukan dan bermain dalam pertandingan yang kompetitif dalam masa enam bulan selepas pembedahan. Ada juga memilih tempoh pemulihan yang lebih lama iaitu sembilan bulan sebelum seseorang atlit itu dibenarkan bermain secara kompetitif.


    Apakah Jenis-jenis sokongan lutut yang biasa dipakai?

    Sokongan lutut atau brace boleh memberi perlindungan dan sokongan pada lutut yang tidak stabil. Ia menghalang kecederaan kepada lutut yang sihat dan menyokong lutut yang tidak stabil.

  • Brace lutut berengsel - Ia mempunyai lapisan penguat pada kedua-dua sisi lutut yang dibuat daripada besi dan boleh dibengkokkan pada engselnya. Jenis ini mampu memberi sokongan yang baik kepada lutut.

    Sesetengah brace menggunakan engsel boleh laras yang mana titik putaran berubah mengikut pergerakan lutut dengan itu sokongan yang diberikan adalah lebih sempurna. Bagaimanapun tidak ada sokongan yang mampu memberi perlindungan seratus peratus kepada ACL yang mana ia hanya memerlukan beberapa darjah putaran sahaja untuk mencederakannya.

  • Penyokong lutut yang distabilkan - Jenis ini mempunyai panel sisi yang diperkuatkan untuk memberi sokongan tambahan berbanding sokongan lutut yang standard. Ia memberi sokongan dari tekanan sisi kepada lutut.

    Selalunya terdapat plat besi yang fleksibel atau tali anjal yang dijahit pada kedua-dua sisi penyokong lutut berkenaan. Jenis ini memberikan sokongan sisi yang kurang tetapi mempunyai bentuk yang lebih nipis berbanding brace lutut berengsel.

  • Penyokong lutut asas - Penyokong lutut jenis asas ini tidak mempunyai bahan sokongan tambahan pada sisinya dan selalunya dibuat daripada bahan neoprene yang boleh simpan haba. Jenis ini hanya memberikan sokongan yang sederhana kepada lutut.

  • sumber: http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Ligamenterputus/Article
  • Wednesday, March 30, 2011

    Bot ekspress Bakun-Sibu masih lagi tersadai di seberang jelatong minyak Ah Keong kerana tidak dapat bergerak susulan air yang sangat cetek. Ini sangat menyukarkan pergerakan aku berbanding 2 tahun yang lepas, ia seperti pernah mempunyai sebuah BMW Brabus tiba-tiba hanya menaiki kereta kancil 660 sahaja. Namun tidak semuanya makin teruk kerana BSN sudahpun tiba di sini dan akan beroperasi pada bulan mei 2011, sekurang-kurangnya ada juga mesin ATM di sini tanpa perlu muntah-muntah menaiki Hliux beberapa jam untuk sampai ke mesin ATM terdekat.

    Wednesday, March 16, 2011




    Material Katayama yang boleh dilipat dan boleh menampung bebanan seberat 18 tan adalah medium baru kardiovaskular menggantikan medium lutut yang gagal berfungsi kerana ligamen di dalam lutut semakin lemah (anterior cruciate ligament-ACL). Ada yang bertanya adakah berbaloi berlari dengan bala yang diterima dan FAQ yang lain samaada aku mengejar sesuatu atau aku lari dari sesuatu.

    Susah untuk memahami golongan seperti aku kerana setiap orang mempunyai alasan yang tersendiri kenapa mereka berlari. Jika aku terpaksa menghabiskan duit RM1600 isnin lalu membayar kos MRI scan di Tawakal untuk kedua belah lutut itu sudah semestinya aku berlari bukan untuk kesihatan. Soalan samada aku mengejar sesuatu atau melarikan diri juga tidaklah juga tepat kerana tiada bakal bapa mentua yang mengejar aku dan tiada awek cun di hadapan untuk aku kejar.

    Secara jujurnya tujuan asal aku cuma membunuh suara-suara kecil yang kerap datang di dalam kepala hingga mengganggu segala urusan harian aku. Walaupun suara-suara itu telah lenyap di dalam kepala ini, momentum larian jarak jauh masih terbawa-bawa hingga sekarang dan mungkin kerana tugas sekarang berkait dengan bidang sukan.

    Tidak kisahlah apa yang terjadi sekarang hingga aku terpaksa menjalani phisioterapi membaiki lutut tersebut, mungkin ini adalah permulaan kepada benda yang baharu!.

    Friday, March 11, 2011

    Wednesday, March 09, 2011

    Ah Tu

    Hidupnya sangat mudah, dengan beberapa ringgit dalam genggamannya dia akan masuk ke kedai makan Bima meminta kopi panas gelas besar dalam bahasa yang aku tidak fahami. Aku cuba berbaik-baik dengannya selama 5 hari di Belaga dengan membelanjanya sarapan kerana kebetulan aku menghadiri mesyuarat dan kursus di Belaga. Aku selalu berfikir apa yang ada dalam dunianya, mungkin ia lebih indah daripada apa yang aku gambarkan.

    Masuk tahun ketiga di Segaham, aku sudah biasa dengan semua tugas-tugas core business termasuk perkeranian dan syukur segala dokumen yang membolehkan aku mendapat pengesahan jawatan (kalau di sektor swasta cuma 3 bulan) sudah diperolehi.

    Namun malang buat aku kerana tidak cukup syarat “genap tiga tahun” berkhidmat menyebabkan ia tertangguh lagi selepas berjaya menyelesaikan isu borang tapisan keselamatan. Tidak cukup dengan itu aku dikehendaki mencipta sendiri surat pengesahan aku untuk ditandatangani oleh Pegawai di PPD sebesar negeri Pahang jika aku genap tahun tersebut! Alangkah indahnya jika dapat berkerja sebagai kerani di situ kerana semua surat berkenaan perjawatan dibuat sendiri oleh guru.

    Mungkin aku yang kurang memahami struktur pentadbiran KPM, atau aku masih belum cukup berpengalaman (aku pernah bekerja di bahagian pentabiran dan sumber manusia selama 7 tahun). Rasanya lebih mudah aku hendak memahami Atu yang tidak berapa sihat daripada memahami undang-undang yang dibuat oleh orang yang sihat.

    Tuesday, March 01, 2011