Kali Ke Lapan
Singgah sebentar di kedai mak angkat selepas pulang berjongging pagi tadi aku dimarahi pula olehnya kerana gagal menghadiri kenduri doa selamat yang dibuat di surau flat PKNS Kerinchi kelmarin. Dia melalut hingga ke soal jodoh yang katanya jangankan jodoh mahu bertemu dengan aku monyet pun tidak mahu berjumpa dengan aku jika mendaki gunung Nuang di waktu malam. Memang Zafrul gila mengajak aku mendaki Nuang pada malam hari kelmarin tapi aku rasa yang menulis blog ini, Ayob, Farrah dan Hanif lagi gila kerana terikut ajakan Zafrul, mungkin kami telah digula-gulakan oleh Zafrul agaknya. Perjalanan yang bermula pada pukul 9.50 malam itu tamat di puncak pada pukul 5.00 pagi, bukannya penat menahan sakit dan mengantuk yang membuat aku marah dengan Zafrul tetapi janji-janji manis Zafrul bahawa kita kurang berasa dahaga jika berjalan pada waktu malam dan 15 belas janji lain. Aku juga tidak nampak dimanakah relevannya beg aku di isi muatan khemah jika hanya digunakan sejam sahaja untuk tidur dan kemudian pulang ke kaki gunung, kalau diikutkan hati busuk aku mahu sahaja aku campakkan Zafrul itu ke bawah gaung dan kemudian aku buat laporan polis bahawa dia telah terjatuh sendirinya. Ini adalah pendakian ke lapan untuk aku ke Nuang yang melengkapkan kali ketiga sampai ke puncak Nuang dan ke empat ke puncak Pengasih.