Monday, December 18, 2006

Sifat pelupa aku sekarang semakin menjadi-jadi sekarang ini hinggakan peti ubat kecemasan pun aku boleh tertinggal di dalam bas mungkin terlampau rindukan Makcik Mah agaknya ataupun sedang dilamun cinta. Lupakan sahaja frasa pantai kerana langsung tiada bentuk muka bumi tersebut di Tiara Beach Resort Port Dickson. Untuk melihat pantai terdekat pun terletak 2.5km atau 17 minit berjogging itupun terpaksa “meminjam” permandangan daripada Palm Springs Port Dickson. Oleh kerana aku terlupa membawa kad keahlian Palm Springs dan memang tidak pernah ada pun terpaksalah aku menyusup masuk melalui pintu kedua (Extreme Park) semasa pegawai keselamatan mengadakan “roll call” pertukaran shif. Selepas melepasi Sg Menyala dan padang golf tersebut barulah dapat melihat pantai dan rumah api itupun hanya dari jauh kerana disekat oleh hutan paya bakau, rasanya lebih baik ke Teluk Kemang dan berkhemah sahaja di situ kerana terdapat juga kemudahan asas di situ.
-
Bagaimana aku hendak membandingkan Tiara Beach Resort dengan A Famosa Resort jika kolam dewasa pun hanya sedalam 3 kaki setengah yang tidak sampai pun suku daripada kedalaman bekas lombong bijih A-A Tin. Sudahlah kunci bilik lambat diterima, kawasan sukaneka pula di guna pakai oleh kumpulan lain hingga menyebabkan jadual tertangguh. Kalau bercerita tentang makan rata-rata semuanya bersetuju makanan tidak sedap kerana itulah semasa jamuan “barbeque” tiada apa yang tinggal buat aku yang datang sedikit lewat daripada jadual asal kecuali daging kambing bakar yang memang makanan kegemaran aku. Mungkin inilah Hari Keluarga yang paling gembira buat Azam dan Nik Shafini yang dapat membolot hadiah cabutan bertuah yang berjumlah 15 itu mengalahkan 284 pekerja yang datang. Oleh kerana kedua-duanya berasal dari Kelantan terpaksalah aku bersangka jahat menfitnah mereka menggunakan khidmat bomoh siam untuk mendapat hadiah tersebut. Secara keseluruhannya aku hanya dapat memberikan dua bintang setengah untuk Tiara Beach Resort berbanding dengan apa yang telah dibayar.
-
Makcik Esah jiran kampung aku telahpun pulang kerahmatullah pagi semalam seperti yang diberitahu oleh Nizar. Kasihan aku melihat gadis yang terperangkap di dalam lif bersama aku malam semalam sewaktu pulang menemani Nizar makan di Kerinchi Seafood. Aku tidak pasti dia terasa panas dan sesak nafas itu kerana panik ataupun takut aku menggigit telinganya. Sebagai lelaki budiman terpaksalah aku menenangkan dia walaupun jiwa aku sendiri tidaklah berapa tenang, mujur sahaja lif itu berfungsi kembali selepas beberapa minit jika tidak terpaksalah aku melakukan bantuan pernafasan. Marah betul aku dengan diri aku kerana sekali lagi sifat pelupa aku datang kembali iaitu terlupa menanyakan namanya.

2 comments:

Anonymous said...

Guarantee next year I guna khidmat bomoh Siam...!

Anonymous said...

Handsome lagi batang pokok kelapa tu!!!!!