Naik sahaja lif hari ini aku sudah rasa hensem sangat walaupun aku ini tidaklah sangat hensem tapi tidaklah tidak hensem sangat kerana semua awek-awek dan mak dara memandang aku seperti mahu menggigit aku. Sedang aku duduk dihadapan komputer barulah aku perasan yang zip seluar aku sudah terkoyak hingga tidak dapat digunakan lagi. Mujur sahaja aku masih menyimpan seluar saiz 33 inci jenama Playboy di pejabat walaupun aku sendiri bukanlah playboy seperti Zubir. Nampak sangat seluar yang aku pakai macam mahu pergi menoreh getah di kebun getah Haji Kassim kerana longgar tiga inci daripada kedudukan asal pinggang aku tapi itu lebih baik daripada aku terpaksa pulang ke Vista Angkasa menukar seluar yang baru. Fadhli hingga sekarang masih frust menonggeng kerana lambat membuat keputusan untuk membeli Dopod yang mendapat potongan separuh harga yang telah kehabisan stok demi menggantikan telefon cap Ayamnya. Migrain aku memikirkan Fadhli yang mahu membuat keputusan membeli Dopod pun macamlah nak buat perbelanjaan RMK 9 oleh Pak Lah.