Mahu saja aku mengambil orang daripada syarikat “pest control” itu sebagai adik angkat aku kerana berjaya menipu hidup-hidup Mat Khairi dan 3 pelajar UNITAR semalam mengatakan kononnya mereka diarahkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia untuk melakukan tugas menghapus serangga. Hendak dikata bangang keempat-empat mereka belajar di menara gading yang lebih tinggi dari sekolah pondok Ayah Ali, mungkin sudah terkena nasi kangkang agaknya kerana seorangpun tidak dapat berfikir dengan waras dengan memberi duit rumah sebanyak RM40.00 kepada mereka tanpa usul periksa. Semalam di pejabat mungkin hari kena marah buat aku agaknya namun sebagai lelaki bijaksana hampir semuanya aku selesaikan dengan memberi janji-janji palsu dan kalau ditanya hari ini akupun tidak tahu apa janji yang aku buat pada mereka, cuma aku berdoa mereka akan lupa semua itu bila mereka teringat hutang bank yang belum dibayar. Penat jugalah aku menjawab soalan-soalan saguhati yang dilontarkan oleh Nini yang datang bersama Zubir playboy di Restoren Syed Bangsar semalam. “Tiada kimia” ialah jawapanku kepada soalan kenapa tidak bertemu jodoh sedangkan begitu banyak wanita di Vista Angkasa tetapi pada hakikat yang sebenarnya aku suka pada semua wanita di situ atau lebih tepat lagi aku sayang semua wanita di situ kerana itu aku rasa sangat sayang untuk berkahwin. Tapi kalau hendak diikutkan tidaklah teruk sangat perangai aku itu kalau hendak dibandingkan dengan Nini yang menangis sehari semalam, tidur tak bangun-bangun dan tak makan-makan walaupun sebenarnya nak jaga badan hanya kerana telefon bimbitnya jatuh!.