Monday, December 31, 2007

Rasa tenang jiwa aku bila Pian dan Farrah sudah memberikan reaksi positif terhadap aku di saat-saat akhir tinggal di Kuala Lumpur. Walaupun aku ketinggalan keretapi sewaktu pulang ke Sungkai sabtu lalu, reaksi positif yang aku dapat sewaktu menemankan Pian makan di KL sentral lebih bermakna untuk aku daripada tiket yang berharga RM7.00 itu dan semalam aku berjumpa lagi dengannya dengan memulangkan semua barang-barang yang aku pinjam. Aku rasa Farrah sudah tidak marahkan aku lagi di atas kesilapan lalu melalui sistem pesanan ringkas terima kasih kerana aku telah mengeposkan sijil “finisher” Great Eastern 30.1km lalu yang berada di dalam simpanan aku. Setelah setahun mengenalinya, aku rasa kami berdua ditakdirkan cuma boleh menjadi pasangan kawan yang ideal namun bukan sebagai kekasih.

Monday, December 24, 2007

Pagi semalam aku ditinggalkan jauh oleh Hailmi apabila memasuki pusingan ke 3 di Bukit Cinta Damansara, entah kenapa dada aku begitu sakit apabila melewati jarak 13 ribu meter mungkin Hailmi terlalu laju buat aku sekarang ini. Penangan itu membuatkan aku seolah-olah tidak bermaya hingga sekarang walaupun sudah mengambil karbohidrat yang mencukupi. Jalan raya dan keadaan lif pun tidak begitu sesak menandakan masih ramai yang bercuti hingga ke hari Krismas yang jatuh pada tarikh Marsha melangsungkan perkahwinannya. Aku sendiri pun agak malas untuk pergi bekerja hari ini, hingga memaksa diri berkali-kali hanya cuma untuk menyeterika baju malam tadi ia sesuatu yang jarang sangat perkara ini berlaku dalam hidup aku.

Wednesday, December 19, 2007

Nama anak Kak Munah itu asyik disebut sahaja sejak akhir-akhir ini dan khabar-khabar angin mengatakan dia sudah mempunyai “boyfriend” yang kurang kacak sedikit daripada aku. Entah kenapa aku sedikitpun tidak berasa kecewa walaupun secara jujurnya memang aku tergila-gilakannya dan jantung aku mesti bergerak pantas kalau dia lalu di hadapan aku walaupun cuma melihat gambarnya apatahlagi bertentang mata semasa menemuduganya. Dari dahulu lagi dan aku tidak pernah menggunakan kelebihan yang ada untuk menguratnya kerana aku boleh sahaja menghubunginya melalui telefon bimbitnya yang dicatat pada resume dua tahun lalu mungkin tiada “chemistry’ agaknya dan aku juga akan merasa bahagia jika dia bahagia.

Adik sudah menjemput untuk melakukan Trans-Titiwangsa Versi 2 di mana agendanya untuk aku ialah menawan Gunung Tok Nenek yang merupakan satu-satunya gunung yang gagal di tawan semasa aku melakukannya 6 bulan lepas. Aku awal-awal lagi sudah menolak jemputan tersebut kerana aku masih belum bersedia untuk sesat seperti di kaki Yong Yap, kebuluran kerana terlebih hari mendaki, kecederaan kerana laluan yang jarang dilalui oleh manusia dan menghadapi maut kerana kepala air seperti di Batu Leper Korbu. Lagipun parut-parut akibat duri-duri tajam itu masih belum hilang sepenuhnya sehingga sekarang!

Monday, December 17, 2007

Gambar di ambil dari runnaz.blogspot.com

Hanya pokok kelapa sawit yang berada di lautan banjir dapat dilihat semasa perjalanan ke Kuantan pada sabtu dan ahad, air masih berada di tahap bahaya dan bila-bila masa boleh melimpah ke lebuh raya Pantai Timur jika berlaku hujan lebat. Kumpulan “The Frans” yang meletakkan aku sebagai pelari simpanan mendapat tempat ketujuh di dalam Larian Berganti-ganti Sempena Hari Keputeraan Sultan Pahang. Aku percaya keputusan yang dibuat oleh kapten adalah tepat memandangkan aku masih belum pulih sepenuhnya. Laluan sejauh 15km daripada IKIP Taman Gelora hingga ke Yayasan Pahang sebelum berpatah balik mempunyai banyak jalan rata cuma sedikit bukit di jambatan menyeberangi Sungai Pahang dimana 5 peserta di dalam setiap pasukan perlu berlari 2.4km hingga 3.5km.

-

Aku mengambil keputusan untuk melawan kumpulan aku sendiri daripada menanggung bosan menunggu di garisan penamat melalui kaedah 1 lawan 5 melalui jalan yang sama. Terbukti Farid, Afad, Nazib, Sham dan Kamarul memang berlari dengan cemerlang dengan catatan masa 1 jam 55 saat berbanding aku yang mencatat 1 jam 35minit. Walaupun kalah teruk daripada segi catatan masa sekurang-kurangnya aku tahu bahawa lutut kiri aku sudah sembuh 90 peratus dan yang penting sekarang adalah mengadakan latihan di dalam jarak yang pendek tetapi kerap. Walaupun ditegur sebagai “gila” oleh orang Pahang, aku tidak mengambil pusing pendapat mereka kerana itu adalah pendapat peribadi masing-masing yang penting aku dapat memulihkan semangat dan keyakinan aku yang agak menurun selepas marathon penuh Link Ke2. Aku memberikan 3.5 bintang dari segi penganjurannya kerana berjaya mengumpul ramai atlit hingga menjadikannya "happening" , air milo, makanan, pasukan perubatan dan keramahannya pegawainya walaupun terdapat sedikit kekalutan semasa menghantar para peserta ke empat "check point" tetapi tidaklah sampai mencacatkan penganjuran larian berganti-ganti yang paling meriah setakat ini.

Friday, December 14, 2007

Tertekan betul aku dengan sikap pegawai CIMB Jalan Barat dan Jalan Tun Sambanthan yang kelihatan tidak sehaluan dalam menentukan kelayakan “signatories” untuk gaji semalam, walaupun menggunakan sistem yang sama. Mujur juga ia dapat diselesaikan sebelum pukul 4.00 petang jika tidak ada yang mengadakan demontrasi di hadapan pintu “private & confidential” aku pagi ini, al-maklumlah hampir 90 peratus kakitangan akan menerima habuan 20 peratus nilai saham yang dipegang oleh syarikat induk. Aku rasa Nik Shafini seorang pun boleh merempuh pintu kayu aku ini, selepas dipijak beramai-ramai oleh seluruh kakitangan yang berkenaan dan yang tidak berkenaan bertambahlah jumlah tulang rusuk aku dan bolehlah diiringi dengan bacaan Yassin. Banjir di Pahang bertambah teruk hinggakan Najib menimbangkan untuk meletupkan muara Sungai Pahang di Kampung Tanjung Agas bagi mengalirkan air ke laut. Entah kenapa setiap kali pertandingan di Kuantan aku akan menghadapi halangan yang amat besar seperti penangguhan pertandingan, pembatalan pertandingan, kecederaan dan cuaca buruk. Sebenarnya aku tidak mengambil pusing sangat segala halangan ini kerana aku pernah menghadapi keadaan yang lebih teruk bila Wati minta dilepaskan sewaktu bertemunya di Kuantan.

Thursday, December 13, 2007

Aku tertidur selama lebih sepuluh jam semalam membuatkan badan aku sengal-sengal pagi ini, nampaknya terpaksalah aku lupakan latihan sahaja pagi ini dengan berharap hujan turun lewat malam hari ini bukannya pada petang hari seperti selalu. Jika Kak Wan atau Kak Munah tahulah bakal menantunya ini jenis tidur sepuluh jam sehari sudah tentu aku akan awal-awal lagi terkeluar daripada senarai calon menantu pilihannya. Sekali lagi syarikat aku kononnya melakukan perkara baik tetapi cukup mengecewakan aku tahun ini, semalam diadakan majlis perpisahan dengan pengarah urusan bersama kakitangan tetapi kakitangan berjawatan cap ayam seperti Nik Shafini, Kak Aishah dan aku sendiri dipinggir dengan alasan bahawa majlis untuk kami akan diadakan pada selasa depan bersama semua kakitangan. Melalui khutbah jumaat minggu lepas keluaran JAKIM aku rasa kalau sesiapa yang tidak tidur akan tahu bahawa majlis itu hukumnya haram kerana memisahkan golongan kaya dan miskin, tetapi tidak tahu pula jika Mazhab Hitachi membenarkan perbuatan mereka!

Tuesday, December 11, 2007

Hari ini rutin aku terpaksa diubah kerana hujan hampir 12 jam setiap hari menganggu persiapan aku ke Kuantan ahad ini. Maka latihan terpaksa dilakukan sebelum aku pergi bekerja, dengan masa yang terhad dapat juga aku melakukan dengan jarak 4.4km dibawah masa 25 minit. Catatan masa itu boleh dikatakan sudah cukup baik untuk orang yang sudah lama berehat. Fadhli dihantar pergi menjalani latihan selama empat hari di Petaling Jaya itu menandakan bahawa selama ini dia tidak cukup ilmu lagi untuk menjalankan rutin kerjanya di sini. Sepatutnya jabatan yang menghantarnya menjalani latihan harus memantau pergerakannya di situ manalah tahu dia akan “curi-curi ayam” mencari kerja di tempat lain seperti Naim. Semalam secara rasminya aku menerima surat perpindahan aku ke syarikat induk berkuatkuasa awal Disember dan mungkin juga aku akan dipindahkan ke tingkat 20 jika ada ruang yang sesuai.

Sunday, December 09, 2007

Bila Marsha berbisik pada aku bahawa jurugambar perkahwinan Firdaus mengandaikan bahawa aku adalah pasangannya yang akan bersanding pada dua minggu lagi membuatkan aku berjalan seperti tidak memijak tanah. Aku rasa mata jurugambar yang sama akan mengambil gambar persandingan Marsha itu sudah rabun agaknya, kerana meletakkan aku bersanding dengan Marsha bolehlah diumpamakan persandingan “beauty and beast” tahun ini, silap-silap ada pula yang dengki membomohkan aku. Mentor aku yang masih belum dikalahkan lagi ini langsung tidak “control ayu” semasa berarak ke dewan kesian Juju kerana terpaksa mempercepatkan langkah, sudah rezekinya berkahwin “runners” itulah akibatnya. Sudah tiga hari Zafrul diserang sakit lemah-lemah badan kerana dietnya tidak dapat menampung aktiviti tahap gabannya, nampaknya dalam masa dua minggu jadual aku tidak boleh dipenuhi untuk mendaki gunung.

Saturday, December 08, 2007

Hari ini aku sudah boleh melepasi jarak 5 km di Bukit Cinta Damansara cuma masih terasa sengal sedikit di bahagian lutut kiri dan inilah kali pertama dalam masa tujuh tahun aku berehat lebih daripada 26 hari. Sepatutnya aku gembira dengan keadaan kesihatan aku tetapi kegagalan Aidil bersedia dari segi mental untuk memasuki larian sejauh 5km anjuran syarikatnya hari ini walaupun sudah mendaftar membuatkan aku sedikit terkilan. Kegagalan Aidil bermakna adalah kegagalan aku sebagai mentornya kerana aku bersependapat dengan Zafrul bahawa jika membawa pendaki adalah satu kejayaan dirinya jika kesemuanya berjaya ke puncak. Puas juga aku memujuknya hingga pening aku memikirkan di mana silapnya kerana latihan telah dijalankan mengikut piawai jarak tersebut. Mungkin nasihat Shahrul supaya melihat kembali sudut pandangan aku sewaktu tujuh tahun dulu ada benarnya iaitu jarak 5 km itu sangat besar untuk dicapai pada waktu itu bagi aku sendiri.

Thursday, December 06, 2007

Hujan turun dengan lebatnya hari ini bermula dari pagi hingga ke petang, betapa kejadian agung ini tidak dapat ditahan sedikitpun oleh mahkluk ciptaan Yang Maha Esa walaupun diberikan sedikit kuasa mungkin cuma kroni Khairy Jamaluddin seperti Azam Orang Minyak mengambil kesempatan membalun harta kekayaan Malysia dengan mengambil tender membesarkan sungai. Aku pulang ke Vista Angkasa pada awal pagi dan pergi ke pejabat juga pada pagi yang sama hari ini, ini menunjukkan bahawa aku mempunyai tugas yang sangat penting harus diselesaikan segera. Tugas penting itu adalah sebenarnya tugas yang tidak masuk akal iaitu gaji harus berada di dalam poket kakitangan pada 14 haribulan pada bulan ini, macam manalah mahu menghadapi kehidupan selama 42 hari lagi sebelum menerima gaji bulan Januari!.

Wednesday, December 05, 2007

Rasa mahu sahaja aku cili-cili mulut Nik Shafini kerana mengutuk aku kerana kesunyian, tidakkah kita harus mengambil iktibar daripada kisah Nabi Adam yang mempunyai segalanya di syurga namun masih kesunyian kerana tiada berteman maka Yang Maha Esa mencipta Hawa dari tulang rusuknya bagi memecah kesunyian. Fadhli sudahpun mengambil cuti sakitnya yang pertama bulan ini kerana tidak tahan dengan bebanan kerja al-maklumlah Naim sudah tiada di sini untuk dibuli mengangkat peralatan komputer.

Merenung cara Farid berjalan ke gerai makan Amjal, aku sudah dapat meneka bahawa Farid mempunyai masalah besar dengan kakinya. Eloklah sangatlah daripada 6 peserta pasukan aku yang akan bertanding di Kuantan, dua orang sudah layak memasuki kategori OKU maka senang sangatlah disayur masak lemak kobis oleh pasukan lain.

Fendi sudah tidak pergi ke kuliah selepas Hari Raya hinggakan bapanya menghantar abangnya ke rumah aku semalam mencarinya. Apa masalahnya aku sendiri tidak tahu yang pasti kami serumah tiada mempunyai masalah antara satu sama lain. Cuma sejak akhir-akhir ini dia asyik bercerita tentang mempertahankan maruah, bunyinya seperti dia akan bergaduh secara berkumpulan. Susah untuk aku menasihati anak muda yang panas baran dan sangat yakin bergaduh kerana saiz badannya sangat besar dan memakai kasut saiz 14!.

Monday, December 03, 2007

Setakat ini hanya Nuang sahaja yang dapat menidurkan dengan lena dari pukul 8.30 malam semalam hingga 5 pagi hari ini, walaupun pendakian aku , Zafrul dan Rajan cuma hingga di Kem Pacat iaitu tempat pendaratan helikopter pasukan penyelamat. Nuang sangat dikenali sudah banyak kali menggagalkan cubaan pendaki kali pertama, menyebabkan orang hilang, cedera dan kadang-kala memakan korban mungkin kerana itulah masyarakat orang asli memanggilnya sebagai hantu iaitu nuang. Nuang yang merupakan “teks wajib” untuk peserta marathon penuh di bawah seliaan aku sudah banyak berubah dari enam bulan yang lalu, dimana setiap peserta dikenakan yuran RM1.00 selain menulis nama dibuku pendaftaran bagi memantau pergerakan pendaki. Jalan balaknya sudah banyak dibaiki untuk tujuan kerja-kerja penyelamat jika helikopter tidak dapat digunakan semasa cuaca buruk, jalan itu juga ditutup kepada kenderaan awam. Setelah kali ke 13 mendaki Nuang barulah pertama kali aku merasakan anginnya yang begitu sejuk dari pondok renjer hingga ke Kem Pacat hingga membuatkan kami tertidur di Kem Pacat setelah menghabiskan makanan tengahari iaitu roti yang dicicah dengan kari ayam yang panas hingga menyebabkan perjalanan ke puncak Pengasih terpaksa dibatalkan kerana hari sudah lewat. Cerita kejadian angin kuat di puncak Pengasih dan pokok tumbang juga menyumbang kepada kemalasan kami hendak ke puncak Pengasih, dan cerita pendaki itu ada asasnya juga dengan berita kematian 3 penerjun payung terjun semasa latihan semalam.

Thursday, November 29, 2007

Tidak sampai sebulan lagi masa untuk aku menyiapkan diri mengharungi pertandingan di Kuantan tetapi aku masih galak dengan permainan tennis di dalam masa 17 hari ini. Jika tidak kerana lutut kiri aku yang tidak memenuhi standard untuk larian jarak 10km tidaklah aku bermain sukan kegemaran Roger Federer ini. Barulah aku tahu betapa sukarnya mengawal nafsu makan nasi yang sepatutnya dikurangkan daripada diet biasa kerana tiada aktiviti tahap gaban selepas marathon penuh Link Kedua, jika dibiarkan silap-silap perut aku akan memboyot seperti Azam Orang Minyak ataupun Fadhli.

Macam mana Naim mendapat kerja ditempat lain aku pun tidak tahu, kerana setahu aku projeknya di sini iaitu melakukan analisis tidak pernah siap pun hingga sekarang, mungkin kerana penemuduga terpengaruh dengan misai tebalnya agaknya. Yang paling malang adalah diri aku sendiri kerana terpaksa menghabiskan belanjawan minum petang aku bersama Nik Shafini dan Kak Su untuk pulut berintikan kelapa dan kuah durian yang amat sedap itu.

Tuesday, November 27, 2007

Sakit kepala aku semakin berlarutan pula semenjak dua-menjak ini tetapi masih belum ada sebiji paracetemol diambil, lagipun kepala yang bijak ini perlu diajar untuk dipicit oleh bini aku bukannya oleh ubat-ubatan, mungkin pengambilan cafein setiap hari penyebab sakit kepala aku. Sudah dua hari aku tidak berapa faham percakapan Makcik Mah di Bagan Datoh bersama adik-beradiknya dan ketika itu barulah aku sedar yang aku ini sebenarnya keturunan Jawa walaupun muka aku sedikit ala-ala Cina Bukit, ditambah pula dengan nama aku yang berbentuk kejawaan. Sudah agak lama aku tidak pulang ke Bagan Datoh sejak aku bertunang dulu, kerana semenjak putus tunang seperti ada perasaan rendah diri dalam diri walaupun aku sebenarnya tinggi daripada saudara-saudara aku di Bagan Datoh. Wak Jenab bising-bising kepada aku kerana sudah lama tidak pulang dan tidak habis-habis menyuruh aku mencari jodoh semula, manakala Wak Mahmud dan Wak Leha tidak habis-habis dengan politik pembangkangnya sejak azali menyuruh aku keluar daripada parti UMNO yang aku cintai secepat mungkin. Aku paling suka dengan Wak Kamari yang banyak menasihati untuk menunaikan rukun Islam kelima secepat mungkin sebelum hari tua sesuai dengan jawatannya sebagai Naib Kadi di situ.

Friday, November 23, 2007

Sudah dua pagi kepala aku aku sakit sangat selepas bangun daripada tidur, alangkah bahagianya jika ada sudah berkahwin sudah tentu ada juga orang yang hendak memicit kepala aku yang bijak ini. Mungkin kepala aku sakit kerana terlampau lama menghadap komputer sejak ahad lalu dan juga mungkin kerana duit aku yang akan terbang kerana akan menjamu pulut seperti yang dijanjikan kepada yang akan berhenti kerja minggu depan. Cuma kali ini tiada pulut pelangi seperti Azam Orang Minyak kerana kedudukan kewangan aku yang agak meruncing sekarang ini.

Thursday, November 22, 2007

Malas aku hendak bercakap tentang perisian Kaizen HR rasanya makin dikutuk makin menyusahkan aku, lebih baik mendengar berita baik yang di war-warkan di tingkat 20, 19 dan 1 bahawa aku sudah naik pangkat kepada Pegawai Sumber Manusia. Aku juga berharap berita itu betul walaupun ia tidak benar sama sekali kerana dengan pengstrukturan semula gred baru aku terpaksa lebih kuat mengampu kerana ada lima anak tangga yang perlu dicapai untuk menjadi pegawai tidak seperti sebelum ini cuma satu anak tangga. Aku percaya dengan anugerah pekerja cemerlang yang aku dapat bulan Mac lepas cita-cita aku menjadi pegawai akan tercapai dalam masa 10 tahun. Nik Shafini, Kak Su dan Kak Aishah jika boleh mengikut modus operandi tersebut pun akan berjaya seperti aku.

Sekarang ini ramai “runners” yang giat berlatih untuk Great Eastern Pacesetters 30 km yang dijadualkan dua bulan lagi dan menjadikan lelaki yang boleh berlari di bawah 3 jam itu sebagai “benchmark” mereka, oleh kerana lelaki itu adalah aku sendiri terpaksalah aku riak dan takbur. Sampaikan trek latihan aku di Bukit Cinta Damansara menjadi sasaran mereka pada waktu malam untuk berlatih, kerana melahirkan ramai “runners” seperti Zafrul, Ayob dan Marsha yang agak kurang berkeyakinan dengan jarak jauh suatu masa dahulu. Puas juga aku mengajak mereka menjadikan Firdaus lelaki yang boleh berlari sejauh 42 km di bawah 4 jam itu “benchmark” tetapi alasan mereka mentor aku itu terlalu jauh untuk “ditangkap” kecuali dengan menaiki basikal!.

Tuesday, November 20, 2007

Memang telah dijangka aku akan menghadapi masalah besar dengan perisian Kaizen HR bila terpaksa melakukan “setup code” baru untuk tuntutan kerja lebih masa untuk lapan syarikat, dan selepas matahari terbenam aku hanya dapat menyiapkan 80 peratus kod baru tersebut. Hendak aku harapkan Naim apalah yang boleh dilakukannya jika tugas menyiapkan graf dalam bentuk “Microsoft Office” pun masih tidak siap-siap sudah hampir tiga minggu inikan pula untuk menyiapkan kod “application software”, silap-silap setelah dicukur misainya hingga tumbuh subur semula pun masih belum siap lagi. Semalaman aku bersama Helmi yang datang dari Manjung atas urusan Seri Paduka Baginda, sempat juga dia menegur aku tentang sikap acuh tak acuh aku dalam soal “career development” yang sepatutnya lebih berjaya daripada dirinya jika melihatkan pengalaman aku di Majlis Belia Daerah dan PEMADAM suatu masa dahulu. Katanya aku sepatutnya bekerja dengan orang ramai dengan aktiviti luar sesuai dengan kemahiran aku bukannya terperuk di dalam kapal selam yang tiada hala tuju dan seperti biasa ia juga mengaitkan bahawa aku akan lambat mendapat jodoh jika aku tidak serius dalam soal “career development”.

Monday, November 19, 2007

Lif tidak berfungsi lagi semalam kerana kerja-kerja baik-pulih dilakukan semalam namun ia tidak menjadi isu kerana cuma orang yang datang dari planet lain sahaja yang bekerja pada hari ahad kerana orang Nepal pun bercuti semalam. Bengang juga aku dengan perisian Kaizen HR kerana aku tidak dapat merekod tuntutan kerja lebih masa akibat pertukaran gred kakitangan, entah bila pula masalah baru ini dapat diselesaikan rasanya sia-sia sahaja kedatangan aku pada hari tidur planet bumi. Agak terancam juga aku bila Buhair di bilik kawalan menghubungi aku supaya pulang sebelum matahari terbenam kerana risaukan keselamatan aku di tingkat 19, bayangan itu ada asasnya jika ia diberitahu oleh orang yang sudah bekerja di bangunan ini sejak ia mula-mula dibuka. Untuk turun dari tingkat 19 ke bawah menggunakan tangga cuma memerlukan masa selama cuma 5 minit dan beberapa lampu yang tidak berfungsi kadang-kadang menakutkan aku yang memang sejak azali penakut.

Sunday, November 18, 2007

Hari ini Joey berjaya meleraikan fikiran aku yang kusut dengan senaman aerobiknya di Tasik Jaya Petaling Jaya yang betul-betul dapat menguji jantung aku ke tahap maksimum, walaupun kekusutan itu telah cuba aku selesaikan dengan sebiji Zilpodem kerana aku sudah tidak mampu berlari kerana kecederaan lutut kiri aku. Hebat juga tanggungjawab sosial yang dipikulnya setiap hari ahad jam 7.30 pagi memastikan anak buahnya yang aku kira dia tidak tahupun nama mereka untuk mengikuti senaman yang menggembirakan itu secara percuma selama 40 minit. Kenapalah aku tidak pernah terfikir mengikutinya secara serius sebelum ini dengan asyik melayan ego berlari yang tiada kesudahan, lagipun sangat ramai awek-awek yang mengikutinya untuk diayat walaupun terpaksa mengayat emaknya sekali. Selepas 7 hari, hanya lutut kiri aku yang tidak dapat berfungsi sepenuhnya seolah-olah sudah kehabisan “gris” di dalamnya setelah ujian jarak 2.2km dilakukan petang semalam. Uda menghadapi temuduga di Canon Opto Seksyen 26 Shah Alam dengan penuh yakin kerana berjaya menjawab semua soalan pagi semalam. Aku sendiri sebagai “Human Resources Practitioner” tidak bergantung harap kerana sudah menjadi kebiasaan jika seseorang itu berjaya menjawab semua soalan di dalam borang analisis temuduga akan tertulis “something is not right” berbanding perkataan yang sepatutnya iaitu “knowledgeable” kerana takut orang baru akan memintas mereka.

Friday, November 16, 2007

Hujan turun renyai-renyai lagi pagi ini membasahi bumi Kerinchi yang merupakan satu kejadian agung yang diharap dapat membersihkan jalan tar yang sudah berhabuk akibat pembangunan berhampiran Kondo Panorama. Akhirnya setelah bekerja selama 6 tahun 5 bulan di sini, akhirnya 6 lif gagal berfungsi di Menara 2, ramai yang mengeluh kerana terpaksa menaiki tangga. Melalui catatan masa aku sendiri untuk menaiki tangga secara “control ayu” kerana lutut kiri masih dalam kecederaan ia cuma mengambil masa lapan minit sambil membawa ketupat dan kuah kacang untuk jamuan di tingkat 20. Rasanya hari ini aku mahu sahaja memeluk mentorku Zafrul kerana telah melatih aku di Nuang setinggi 4898 kaki membuatkan aku tiada masalah langsung untuk menaiki tangga walaupun dalam kecederaan. Rasanya bolehlah aku mengeluarkan emel mengajak semua yang berjaya menaiki tangga untuk mendaki gunung bersama aku kerana sudah sedia terlatih.

Marsha protégé aku yang paling cantik sudah pun memaklumkan bahawa ia akan berkahwin pada Krismas ini. Sudah lama tidak bersembang dengannya walaupun pejabatnya cuma kurang setingkat di bawah, entah berapa kali emak dan tunangnya menegurnya kerana asyik ditimpa demam bila mengikut aku pertandingan marathon kadang-kadang wujud juga rasa bersalah dalam diri aku. Apapun memang seronok bila semua mata memandang aku bersama awek lawa padahal pada pandangan mereka cuma hanya satu iaitu bomoh mana yang aku gunakan untuk memikat awek lawa. Firdaus dan Juju akan berkahwin dalam tempoh dua minggu lagi, nampaknya makin senang impian aku untuk memintasnya pada musim depan bila perutnya sudah boroi seperti Fadhli atau Azam Orang Minyak.

Wednesday, November 14, 2007

Tag Huer cap ayam aku sudah berhenti pada hampir jam 5.00 pagi untuk menunjukkan bahawa aku sudah berhenti latihan untuk selama 3 hari. Lutut kiri aku mulai sakit sejak petang semalam, doktor menasihati aku supaya mengambil “calcium carbonate” untuk proses pemulihan tanpa perlu pergi ke pakar kerana ia adalah perkara yang biasa untuk makhluk asing seperti aku. Semenjak ahad yang lepas aku sudah tidak langsung berpantang dalam soal makan setelah berdiet selama hampir sebulan kecuali semasa jamuan Hari Raya, sekejap sungguh perut aku boroi seperti Fadhli dan Azam Orang Minyak. Aku tidak dapat membayangkan jika aku sudah berkahwin dengan anak Kak Wan yang pandai memasak itu. Berat badan aku sudahpun mencecah 65kg iaitu 3kg lebih banyak daripada bulan Ramadhan. Ini menunjukkan bahawa walaupun kita bersenam tahap gaban seperti makhluk asing pemakanan haruslah dijaga seperti mengurangkan nasi dalam pemakanan.

Tuesday, November 13, 2007

Hari kedua “alignment” aku sudah pun sedikit baik daripada semalam, jika mengikut kiraan aku yang gagal matematik ini dalam masa 5 hari lagi semua otot-otot aku akan berfungsi semula seperti sediakala. Cuma sekarang ini aku masih berjalan secara “control ayu” seperti bakal menantu berjalan dihadapan mak mentua hinggakan Kak Aishah marah-marah sayang melihat diri aku kerana mendera diri aku sendiri di Link Kedua, maklumlah bukankah aku bakal adik iparnya yang paling disayangi sudah tentulah dia mengambil berat tentang diri aku. Sudah ramai yang mahu mendaftar diri mahu menjadi protégé aku sejak daripada semalam bila keupayaan aku meyakinkan Farid menjadi ukuran, rasanya kenalah Doktor Mafeitz menyediakan katil yang lebih untuk rakan-rakannya menginap di PPUM. Setakat ini sejarah membuktikan hanya Zafrul dan Farid sahaja yang berjaya menjalani jadual latihan yang disediakan, manakala yang lain-lain hanya tinggal sejarah.

Monday, November 12, 2007

Hari ini barulah aku terasa betul-betul hendak menikah buat pertama kalinya dalam tahun ini itupun setelah “alignment” pinggang aku lari sedikit akibat jarak 42.195km di Secondlink Bridge Marathon Edisi ke 8 semalam. Entah kenapa aku masih lagi bingung sejak semalam seperti baru dipukul bini kerana mencuri duit dapur, walaupun sepatutnya ia disambut dengan perasaan gembira kerana mendapat tempat ke 28 dengan catatan masa 5 jam 15 minit. Kadang-kadang aku merasakan Farid, Zafrul dan diri aku sendiri seperti datang dari planet lain kerana sanggup ke Nusajaya hanya untuk mendera diri sendiri di laluan yang sama jauhnya dari Kuala Lumpur ke Nilai.

Kulit aku sudah semakin hitam berkilat walaupun memang hitam warna asalnya dan ramai yang pengsan di dalam khemah pertolongan kecemasan menggambarkan betapa panasnya keadaan di situ. Laluan berbukit dan cuaca panas bukanlah penyebab utama aku kebingungan tetapi ketiadaan stesen air pada tempat sepatutnya menyebabkan aku seolah-olah mempertaruhkan nyawa kerana kehabisan air di dalam badan. Jarak stesen air dari 7km ke 10km bukanlah perkara yang sepatutnya dilakukan untuk marathon penuh kerana ia sepatutnya diadakan setiap 2.5km selepas jarak melepasi 21km untuk mengelakkan kematian akibat kekurangan air. Hingga di satu tahap aku terpaksa meminta air daripada sesiapa sahaja yang aku jumpa, mujurla ramai yang bersimpati dengan aku terutama badan beruniform seperti JPA dan pasukan perubatan yang sanggup memberikan bekalan air mereka kepada aku.


Aku sedikit bengang dengan Ayob dan Rambo yang mendapat medal untuk kelompok 100 terbaik untuk kategori 21km telah menghabiskan milo yang ada hingga aku tidak sempat merasainya seperti kebiasaan dengan alasan terlalu lama menunggu aku, Farid dan Zafrul. Mana tidaknya aku sampai lewat apabila asyik mengalami kekejangan otot selepas 32km hingga terpaksa melakukan regangan otot setiap satu kilometer mungkin kerana kekurangan garam di dalam badan kerana tiada langsung “sport drink” disediakan sepanjang jalan. Di kilometer 32 juga sudah tidak boleh berlari dan terpaksa berjalan sejauh satu kilometer kerana kesakitan yang amat sangat tetapi bila memikirkan aku datang sejauh 332 km dari Kuala Lumpur bukannya untuk diketawakan oleh Sham dan rakan-rakannya terpaksalah aku berlari juga.


Zafrul mendapat kedudukan ke 34, namun aku sebagai mentor marathon penuh Farid sangat berbangga dengannya kerana dia dapat memintas aku di kilometer ke 32 dan menduduki tempat ke 26. Sekurang-kurangnya ia dapat memadamkan suara-suara nakal yang asyik cuba menjatuhkan mentalnya supaya tidak mengikut aku menawan jambatan Link Kedua. Aku cuma memberikan dua bintang kepada penganjur kerana tiada persediaan mencukupi daripada segi stesen air hingga membahayakan nyawa peserta, tiada “sport drink” dan kelewatan dalam melepaskan peserta walaupun penganjurannya agak meriah.

Friday, November 09, 2007






Apalah agaknya yang difikirkan oleh seorang peserta ketika melakukan pendaftaran hingga sanggup menamakan pasukannya sama dengan tin sardin iaitu “Chap Ayam” semasa pertandingan KLAVA Deepavali Muhibbah Open Relay semalam di Taman Bukit Kiara. Oleh kerana pasukan Chap Ayam tersebut mendapat tempat ke lapan terpaksalah aku mempercayai bahawa orang gila itu tidak bukan adalah diri aku sendiri. Sebenarnya pasukan itu mendapat tempat ke tujuh bila Nazib mencatat masa 8 minit 11 saat, Helmi sebagai pelari kedua mencatat masa 9 minit 52 saat dan aku sebagai pelari terakhir mencatat masa 8 minit 58 saat untuk jarak setiap 1.93 km. Aku malas untuk bertekak dengan penganjur kerana bagi aku apalah sangat keputusan rasmi itu dengan nilai persahabatan antara kami, apatah lagi Rambo sendiri mengaku bahawa Kamal berasa dibelakang aku 30 saat itu sudah memadai buat kumpulan Chap Ayam. Apa yang penting hasrat murni aku untuk menyingkirkan Farid dan Sham dari kumpulan 10 terbaik tercapai walaupun Ida terpaksa menjadi korban kerana ditinggalkan oleh aku sejauh 2 minit.

Tuesday, November 06, 2007

Tiba-tiba Azrin mentor blog aku sendiri “meletup” bila aku mengutuk video Pulau Tenggol yang mengambil masa beberapa hari untuk disiapkan kerana gagal mengangkat minda aku berimiginasi tentang keindahannya berbanding tulisannya sebelum ini yang aku rasa lebih baik daripada gambar bergerak tersebut. Aku dan Syahril sudah puas memerah otak kenapa Nik Shafini terlampau rajin dalam sejak minggu lepas walaupun kerjanya tidak pernah dipantau oleh bosnya melainkan aku dan Syahril. Hendak dikatakan ada pelancaran kondo baru rasanya tahun depan baru bermula, hendak dikatakan mengharap gaji dan bonus yang banyak daripada majikan ia sudah pun dihabiskan raya yang lepas.

Setelah beberapa tahun mengisi borang untuk menghadiri latihan yang kosnya bernilai lebih daripada RM900.00 akhirnya ia diluluskannya juga. Macam-macam alasan yang diberikan kenapa permohonan aku ditolak seperti aku sudah cukup pandai dalam hal ehwal sumber manusia, bunyinya seperti aku sudah layak menjadi pengurus walaupun cuma berjawatan cap ayam. Nasib baik kursus pengiraan “EA” itu memang langsung aku tiada pengetahuan dalam kepala otak aku yang bijak ini jika tidak sudah tentu borang itu terpaksa aku sendiri aku bakulsampahkan seperti borang-borang yang lain. Agaknya kemana perginya belanjawan untuk aku beberapa tahun itu pergi? Mungkin untuk mengisi kursus-kursus yang selalu sangat dihadiri oleh Azam Orang Minyak dan Fadhli.

Friday, November 02, 2007

Kebas punggung aku selama 8 jam kerana suntikan dadah untuk menenangkan sakit kepala aku, lagi malang nasib aku sudahlah tiada amaran semasa disuntik dan bukan Zanariah yang melakukannya mungkin itu yang menyebabkan aku sakit. Elok juga bukan Zanariah yang melakukannya jika tidak doktor terpaksa pula mencarikan aku ubat sakit jatuh cinta pula. Bila doktor memberi aku dua biji dadah Zolpidem untuk bekalan, menunjukkan pesakit mental seperti aku masih bergantung pada dadah untuk menenangkan kepala aku sejak empat tahun lalu. Sampai bila aku harus bergantung pada dadah untuk meneruskan kehidupan akupun tidak tahu, jika bersenam boleh mengurangkan pergantungan terhadap dadah aku sudah melakukan ke tahap yang tidak mampu dilakukan oleh anggota badan aku sendiri.

Akhirnya setelah dua tahun memerhati berjaya juga aku “menangkap” Abang Rahim yang selalu berlari sejauh 10km memakai seluar Levi’s biru, kasut timberlake, t ‘shirt” hard rock café dan topi menutup rambut panjang perangnya. Pelik juga lelaki berwatakan rock yang berumur 65 tahun berpakaian tidak sesuai langsung itu pernah menamatkan marathon penuh lebih daripada 20 kali!. Sebenarnya selama itulah juga dia memerhati aku cuma tidak berpeluang berbual kerana berhenti di “check point” berbeza, pelbagai nasihat yang diberi antaranya mengenai sakit dada yang aku alami sebenarnya cuma perkara biasa bagi seorang “runners”.

Thursday, November 01, 2007

Sakit kepala tiba-tiba menyerang aku pagi ini mungkin disebabkan tekanan untuk menyiapkan buku aturcara Hari Anugerah Cemerlang 2007 Sekolah Kebangsaan di Kota Damansara. Sejak bila pula aku tiba-tiba menjadi cikgu sekolah pun aku tidak tahu, jika Makcik Mah tahu apa yang aku lakukan sudah tentu dia gebang satu kampung. Jika tidak kerana Ari dan Gee yang banyak berjasa pada aku tidaklah aku ambil pusing sangat menyiapkannya sebelum Ahad ini. Mana tidak sakit kepala aku jika buku aturcara yang hendak dibuat masih belum mempunyai senarai nama pelajar yang akan menerima hadiah, jika hendak diikutkan hati aku mahu sahaja aku letak nama Fadhli, Naim dan Azam Orang Minyak sebagai penerima hadiah kerana lulus dengan pangkat D dalam kertas C++ dan sudah tentu Nik Shafini dalam pertandingan makan.

Bersunguh-sungguh nampaknya Ramlan membawa pasukannya mengadakan latihan malam tadi di Bukit Damansara di dalam kegelapan untuk menghadapi “relay” di Putrajaya ahad ini. Kecederaan aku nampaknya sudah pulih 90 peratus lebih cepat daripada jangkaan asal orang yang gagal matematik. Cuma latihan secara interval yang dapat dilakukan dan aku paling benci bila sakit dada kembali menyerang kerana teknik itu memerlukan aku melakukan dalam keadaan 80 peratus kelajuan maksimum yang boleh dicapai.

Tuesday, October 30, 2007

Akhirnya setelah 3 purnama memesan dapur gas cap ayam daripada Indonesia sampai juga ia ke tangan aku dengan nilai 125 ribu rupiah. Aku rasa dapur ini menggunakan gas yang murah daripada dapur perkhemahan yang sedia ada dalam pasaran dan hanya sebesar 4 kotak rokok 20 batang. Sebenarnya sudah ada cubaan untuk mengimport dapur ini dari Indonesia namun tidak diluluskan mungkin takut melingkupkan taukeh besar yang mengimport dapur berjenama. Semenjak “miskin” menghabiskan wang untuk Honda NSR yang tercinta dan pembelian dapur cap ayam, aku mula berfikir ia adalah titik permulaan aku untuk memulakan perniagaan menjual Maggie goreng di “pantry” pada waktu rehat. Aku cuma perlu mengelak berniaga dengan Nik Shafini dan Kak Su jika tidak sudah tentu perniagaan aku akan lingkup dalam masa 3 hari.

Persatuan Restoran Islam Pulau Pinang mahu menaikkan roti canai sebanyak RM0.20 akibat kenaikan tepung sekilo sebanyak RM0.15, patutlah mereka ini kaya kerana dengan kejamnya dapat untung lebih RM0.19 dengan penambahan kos RM0.01 untuk setiap keping roti walhal sebelum kenaikan sudah untung berganda. Tahniah juga kepada Restoran Syed kerana sudah berjaya menaikkan harga minuman Milo kepada RM2.20 hingga aku dan Zubir Playboy dan berazam untuk memboikot restoran tersebut tetapi rasanya tidak lama kerana tidak banyak permandangan yang “indah” boleh dinikmati di restoran lain.

Monday, October 29, 2007

Latihan maksimum hanya dapat dilakukan 28km pagi ahad di Tasik Perdana, masih tersasar 2 km kerana Zafrul dan Farid sudah kehilangan air yang banyak di dalam badan. Sangat merbahaya jika diteruskan silap-silap aku terpaksa “berbalas pantun” dengan bini mereka jika mereka dimasukkan ke hospital. Aku mengamalkan falsafah Buah Pukul Mersing iaitu biar pahit di dalam gelanggang tetapi manis di luar gelanggang, maka kecederaan di kaki adalah rutin yang perlu dilalui untuk jarak melebihi 21km dan kaki aku masih sakit hingga sekarang. Mengikut kiraan aku yang gagal matematik ini, kesemua tisu-tisu dan bengkak akan pulih dalam masa 14 hari dan aku cuma perlu melakukan latihan secara interval atau larian pantas di dalam masa kecederaan sementara menunggu hari sebenar kalau tidak mampu pun aku masih boleh berlatih makan secara marathon di kesemua jemputan Majlis Hari Raya bersama Nik Shafini.

Biarpun menanggung kesakitan yang amat sangat sekurang-kurangnya ia dapat juga mengurangkan penderitaan aku yang baru berhabis duit sebanyak RM1,150.00 untuk Honda NSR yang amat aku sayangi dan cintai. Kadang-kadang aku terfikir juga kenapalah bangang sangat diri aku berhabis duit sebanyak RM840.00 cuma untuk dua komponen elektrik yang diimport untuk menjana ‘valve” walhal Honda NSR yang aku beli daripada Hanafi itu cuma bernilai RM1,500.00 pada 2003 selepas kehilangan Yamaha RXZ. Hendak dikatakan Honda NSR itu berjasa mengurat awek tiada pula kerana tiada perempuan yang pernah membonceng melainkan Makcik Mah itupun setelah dipujuk lima belas kali. Lagipun mana ada awek sekarang yang sanggup membonceng motor bersama “Azroy” meredah hujan dan panas seperti zaman 80an dan 90an dulu.

Friday, October 26, 2007

Jemputan makan-makan oleh Pacesetters Bukit Jalil disambut dengan langkah kanan oleh aku dan dengan penuh iltizam aku menghabiskan satay dan ayam KFC secara marathon bersama Sham, Farid, Hilmi, Omar dan Ida. Mereka menjemput aku untuk memasuki kelab mereka dalam usaha mereka meramaikan kaum Melayu dikalangan mereka, susah juga aku hendak membuat keputusan kerana dalam setiap makan-makan yang dianjurkan amatlah tidak bersesuaian dengan orang Islam kerana minuman arak yang disediakan walaupun kita boleh untuk tidak minum. Namun terdapat kelebihan kerana mereka mempunyai tajaan yang banyak untuk menyertai setiap pertandingan dan untuk makan malam tadi sahaja tidak kurang dua ribu duit dibelanjakan. Ronnie yang dalam pening-pening lalat itu masih boleh memberi semangat dan panduan kepada Farid untuk melakukan marathon penuh di link ke 2 bukannya seperti bangsa aku yang setiap hari cuba menjatuhkan mentalnya walhal mereka sendiri tidak pernah menempuhnya. Ini menyusahkan aku kerana Farid yang latihannya di bawah seliaan aku sudah seperti kurang bersemangat semasa dia mula-mula menyuarakan hasratnya, aku tidak mahu mempengaruhinya kerana yang penting adakah dia benar-benar bersedia untuk kearah itu.

Thursday, October 25, 2007

Tiba-tiba sahaja Renee mak angkat mat salleh menahan aku selepas makan tengahari semalam berhampiran dengan kedai Touch & Go, bermacam-macam soalan yang keluar daripada mulutnya. Yang membuatnya terkejut ialah kenapa badan aku sudah seperti ikan kering yang digoreng garing, agak-agak macam manalah perasaannya bila melihat Zafrul yang montel dulupun sudah semacam aku. Akhirnya malam tadi berjaya juga aku memenuhi jemputan hari raya mak angkat aku di tingkat 12 di dalam kesibukan aku menguruskan perniagaan cap ayam dan rutin latihan untuk menawan jambatan link ke 2. Soalan bila aku hendak berkahwin adalah rutin sejak 7 tahun lepas dan ia tidak pernah berubah, sudah banyak kali ia mahu menjodohkan aku dengan orang yang dikenalnya. Akhirnya aku memberikan syarat akan menerima pelawaannya jika dia dapat mencarikan aku ustazah berwajah ratu atau lebih tepat personalitinya macam Siti Nurzafriza ditingkat 8 yang tiap-tiap hari diayat oleh Ayob itu. Pelik juga aku kerana tidak pula mak angkat tidak pula menanyakan soalan yang sama kepada Zubir Palyboy walhal romeo tua itupun sudah meningkat umurnya seperti aku.

Wednesday, October 24, 2007

Kuala Lumpur Association of Veteran Athletes ( KLAVA ) sekali lagi menganjurkan “relay run” dengan menggunakan nama KLAVA Deepavali Muhibbah Run jatuh betul-betul pada hari umat Hindu merayakan perayaan mereka. Agaknya KLAVA sudah hilang akal dalam memuhibbahkan “runners’ pada hari mulia sesetengah orang walaupun pilihan terletak di tangan mereka sendiri. Riak, takbur dan kembang hidung beserta punggung-punggung aku kerana semenjak menjadi “elite runners” dalam 10 pasukan terbaik Ramadhan yang lepas bersama mentor aku, nama aku menjadi pilihan menjadi pelari ke 3 “relay run” untuk kumpulan yang tidak cukup korum di Putrajaya ahad ini. Sudah dua orang menjemput aku untuk urusan itu tetapi aku masih memikirkan perkara itu hingga sekarang kerana 3km bukanlah jarak “favourite” aku, kerana selama ini aku cuma sekadar menguji ketahanan otot jantung untuk larian pantas.

“Domestic inquiry” dan “self terminated” adalah dua istilah yang paling aku tidak gemari di dalam melaksanakan tugas kerana banyak mengganggu urusan pentadbiran gaji semalam. Mujurlah sempat juga aku menghantar CIMB autopay pada Suhaimi pada lewat petang semalam di Jalan Barat mengikut jadual. Aku tidak faham dengan sifat kawan-kawan aku yang tidak mengambil pusing dalam soal kedatangan kerja hingga menyusahkan rakan-rakan yang lain, bila istilah “domestic inquiry” dan “self terminated” “diproses” oleh barulah mereka merayu-rayu dengan pihak atasan untuk tidak melakukan sifat buruk mereka lagi.

Tuesday, October 23, 2007

Hujan lebat berkali-kali turun semalam namun tidaklah sampai banjir kilat berlaku, jika berlaku pun tidak mengapa ada juga idea buat Khary Jamaluddin membalun duit pembayar cukai. Aku betul-betul tidur lena kerana cuaca yang sangat sejuk dan kebetulan sudah empat hari tidur lambat dan tidak lena kerana menguruskan “salary adjustment” yang tiada ruang kesalahan boleh dilakukan lebih-lebih lagi gaji aku sendiri. Mak angkat aku sudah asyik bertanya bila anak angkatnya mahu menziarahinya, atau lebih tepat rasanya mentekedarah makanan yang akan disediakan. Alangkah indahnya dunia ini jika Kak Wan yang menjadi mak angkat aku, sudah tentu aku tidak bertangguh meziarahinya kerana dapatlah juga melihat anaknya yang kadang-kadang aku seperti mahu menggigit lengannya. Inilah masalahnya bila Syawal menjelma aku sudah seperti tidak mampu melawan “makhluk bertanduk” itu, dan di dalam masa yang sama terpaksa melihat Nik Shafini membesarkan badannya di D’Kerisik pada Syawal ketujuh dengan menggunakan duit aku. Nasib baik aku cuma mendapat wang maya anjuran Bursapursuit BSKL berjumlah lebih 34 ribu dengan pembelian saham Megan sebanyak sejuta unit dengan wang pelaburan berjumlah 55 ribu semalam di tengah-tengah kejatuhan saham diseluruh dunia, jika mendapat wang betul aku rasa jenuh juga aku mahu mencari rakan-rakan yang ada untuk turut bersama dengan Nik Shafini dan Kak Su menguatkan otot perut.

Sunday, October 21, 2007

Suhu agak sejuk hari ini dengan bacaan 23 darjah celcius pada jam 6.56 pagi Jalan Travers, cuaca yang sangat sesuai untuk menguji otot aku yang paling berkuasa di Taman Burung sejauh 10 ribu meter bersama Zafrul dan Ayob. Disamping itu dapat juga aku menguatkan otot perut dengan Nasi Lemak Tanglin walaupun terpaksa beratur panjang di pagi Ahad!. Suhu yang sejuk itu belum dapat memadamkan api kemarahan aku akibat penundaan tarikh Kuantan Beach Marathon sebanyak tiga kali yang dijangka berlangsung sabtu depan dan akhirnya untuk kali keempat Majlis Perbandaran Kuantan terus membatalkan sahaja dengan alasan pihak teknikal gagal memenuhi syarat mereka. Barulah padan muka aku disebabkan Ali Rustam dengan Karam Singh Walia yang bergaduh pasal babi, Khairy Jamaluddin juga yang untung, mana tidaknya duit pendaftaran aku sebanyak RM20 lesap begitu sahaja. Daripada melakukan pembaziran melakukan panggilan telefon ke Kuantan untuk mendapatkan duit tersebut lebih baik aku melakukan latihan berbini di D’Kerisik dengan melihat Nik Shafini dan Kak Su membesar bersama roti telor dan teh tarik gelas besar. Sayang sekali aku masih belum menyiapkan “accounting charges” semalam, jika tidak boleh juga aku ke Bentong hari ini melihat Zila bersanding. Aku rasa Zubir Playboy patut disalahkan kerana memancing aku menonton Bourne Ultimatum di Mid Valley malam semalam dengan alasan cuma keturunan Nepal sahaja yang bekerja waktu itu .

Saturday, October 20, 2007

Marah betul aku dengan diri aku sendiri kerana pada 8 Syawal aku masih bekerja di pejabat tingkat 19, itupun aku masih terkejar-kejar dengan masa 40 jam yang masih berbaki sebelum semua bos-bos aku terbang ke India. Alangkah bagusnya jika aku sendiri yang meluluskan gaji dan jika itu berlaku insyaallah tiga bulan lagi syahidlah syarikat aku silap-silap peti ais buruk di “pantry”, Azam Orang Minyak, Fadhli, Naim, Nik Shafini, Kak Su dan Pak Su terpaksa dijual untuk melangsaikan hutang syarikat. Yang paling aku marah ialah terpaksa mendengar iklan bahasa Indonesia berulang-ulang kali dalam siaran Ngetop di Radio Era. Nasib baiklah Sultan Mizan yang menjadi Panglima Angkatan Tentera, jika aku yang memegang takhta sudah lama aku letakkan Kofi Annan menjadi DJ di situ biar muntah semua pendengar mendengar celotehnya. Selama berkawan dengan Herman tidak pula dia mengalami masalah untuk membeli saham seringgit walaupun iklannya dalam bahasa Melayu. Sia-sia sahaja usaha membina kamus dewan selama 14 tahun oleh Dewan Bahasa dan Pustaka jika bangsa Melayu setiap hari kerjanya merosakkan bahasa Melayu itu belum dikira bercakap bahasa pasar dengan bukan Melayu yang tidak difahami dengan orang Cina, India dan mereka sendiri, walhal apek kedai runcit pun sendiri beria-ia menggunakan bahasa Melayu-Riau yang standard. Selama aku mendengar lagu-lagu Indonesia yang menjadi kegilaan rakyatnya dan aku sendiri, rasanya tidak banyak bezanya dengan lagu di Malaysia tidak seperti iklan yang disiarkan tadi.

Friday, October 19, 2007

Hanya kedai makan Lebai sahaja yang dibuka semalam hingga membuatkan dia menanak nasi lebih daripada kebiasaan. Air cuma dapat dihidang selepas habis makanan di pinggan menggambarkan betapa sibuknya Lebai menjaga pelanggannya, cuma di pejabat aku tidaklah sibuk sangat kerana ramai yang masih bercuti menghabiskan saki-baki kuih raya di kampung. Ramai juga yang menegur aku kerana kulit muka aku aku sedikit hitam dan berkilat dari kebiasaan mana tidaknya jika masa-masa aku di bulan Ramadhan dan awal Syawal dihabiskan untuk latihan larian, mencari buluh di paya dan menangkap ikan. Unit-unit saham aku yang terakhir dilepaskan sepenuhnya petang semalam dengan nilai RM4.30 seunit kerana risau ia akan menjunam akibat perang Turki-Iran seperti yang berlaku semasa krisis pinjaman perumahan di Amerika Syarikat tiga bulan lepas, ini memberi petunjuk bahawa bila-bila masa dari sekarang aku sudah bersedia melepaskan jawatan sekarang tanpa rasa sesal.

Thursday, October 18, 2007

Hari kelima Syawal aku sudah pun berhari raya di tebing Sungai Kampar menggunakan kaedah jerut yang kononnya dicipta oleh peneroka Felda Trolak Selatan. Cara penggunaan jaring tegang yang bentuknya seperti reket tennis Yonnex aku memang berkesan menangguk sebarau, lampam, talapia, sia-sia dan terubul di tebing sungai. Cuma cara ini memerlukan keberanian yang tinggi kerana perlu meranduk sungai yang deras dan dalam dan kesannya aku sendiri hampir lemas dan menghilangkan dua jerut kepunyaan Azami. Jika cara ini tidak bahaya sudah tentulah ramai yang menggunakan kaedah ini dalam penangkapan ikan. Tiga kali terlepas ikan semasa memasukkan ke dalam sangkar menguatkan teori kawan-kawan aku bahawa jodoh aku memang berat kerana ikan yang sudah berada di dalam genggaman pun boleh terlepas itu tidak dikira ikan yang terlepas sewaktu menjerut. Jika tidak mengambil kira ikan yang terlepas menurut mereka, sudah penuh peti Coleman Azami namun aku masih mendahului mereka dari segi jumlah kutipan ikan Talapia.
-
Along dan Alang pulang juga berhari raya di hari ketiga setelah berjaya menyelesaikan masalah masing-masing. Hari raya ini semua kawan-kawan asyik bertanya bila mahu memakan nasi Minyak dan tidak kurang juga yang mahu aku menyertai Kelab Lelaki Boroi anjuran mereka. Dalam diam-diam mereka turut mengata Azami yang tidak kahwin-kahwin hingga pelbagai teori yang dikemukan. Aku rasa itulah juga yang dibualkan oleh mereka tentang aku jika aku tiada di sisi mereka. Hujan melanda setiap petang agak mengurangkan kawan-kawan berhari raya ke rumah aku. Tidak banyak kontrovesi yang berlaku tahun ini seperti tahun-tahun lepas cuma khutbah Hari Raya yang tidak mengikut senario kampung aku menjadi bahan bualan iaitu cerita tentang kemajuan yang melimpah ruah yang sebenarnya tiada langsung!. Aku agak terkejut dengan kematian Iban pada 2 Oktober yang lepas akibat kemalangan jalan raya di Johor itupun diberitahu oleh Azmi yang kebetulan berada di rumah mentuanya di Trolak Utara.

Friday, October 12, 2007

Harga ayam pencen melambung hingga RM7.50 hari ini agak-agak macam manalah harga ayam yang belum pencen, tetapi pelik juga kerana dalam pukul 9.40 pagi semua jenis ayam habis dijual, nasib baik pelan B telah dilakukan terlebih dahulu iaitu mengorbankan dua ekor ayam kampung di reban Makcik Mah. Along tidak jadi pulang ke kampung kerana Sazwan terkena demam denggi dan hari ini dimasukkan ke wad di Hospital Selayang kerana bacaan plalet darah merahnya semakin berkurangan. Kagum juga aku dengan dapur lemang menggunakan gas oleh Cikgu Razak yang boleh memasak 15 batang dalam masa 60 minit dan dilakukan di dalam rumah namun untuk menempahnya aku rasa tidaklah berbaloi kerana kosnya sangat tinggi, lagipun paling banyak aku boleh melantak lemang hanyalah setengah batang.
-
Banyak juga kiriman kad Hari Raya yang aku terima dalam bentuk “hard copy” dan “soft copy” cuma aku terkejut dengan kiriman kad raya daripada Jenny yang merupakan “share holder” cafe Hospital Sg. Buloh dan Ampang yang memohon maaf daripada aku. Banyak sangat yang berlaku antara aku dengannya yang kadangkala membuatkan kerusi aku sangat-sangat panas di bulan Ramadhan, syukur juga bila dia mengalah dengan meletakkan jawatan untuk menyejukkan keadaan dan alhamdullilah aku dapat pulang berhari raya tanpa fikiran yang semak. Mungkin dapat diambil iktibar daripada peristiwa ini sepatutnya “share holder” tidak mencampuri urusan pentadbiran syarikat cukup sekadar memantaunya sahaja.
-
Zila akhirnya berkahwin juga dengan atlet jalan kaki ATM selepas Hari Raya di Bentong walaupun mengalami beberapa masalah dengan bakal suaminya sebelum Ramadhan lepas. Berguna juga nasihat aku di Dataran Merdeka itu supaya melihat kebaikan yang ada pada bakal suaminya daripada melihat keburukan yang ada, yang pasti aku sudah terlepas peluang memisahkan mereka walaupun mempunyai peluang untuk merampas “kapal terbang” pada waktunya seperti yang selalu disyorkan oleh Zubir Playboy. Tetapi bila memikirkan aku tidaklah pandai sangat membawa “kapal terbang” melainkan mengaramkan sampan terpaksalah aku melupakan niat murniku untuk menjadi pakwe kepada atlet sukan TLDM itu.

Wednesday, October 10, 2007

Sudah masuk hari ke 28 aku berpuasa tetapi tidaklah aku tahu jumlah untuk Nik Shafini. Sasaran latihan hanya mencapai cuma 143.65km masih jauh daripada sasaran asal jadual Ramadhan iaitu 200km, ini adalah kerana keadaan fizikal aku yang lemah kerana tiada selera bersahur dan keadaan cuaca yang tidak menentu Ramadhan ini. Cepat betul Ramadhan berlalu rasanya kalau boleh biarlah ia setahun kerana tidaklah boleh Nik Shafini dan Kak Su mengepau aku teh tarik gelas besar dan roti telur di D’Kerisik sedangkan aku sendiri hanya minum teh tarik gelas kecil dan roti kosong. Bila difikirkan memang pelik mereka berdua ini termasuk aku sendiri tetapi aku cuma menganggap ini satu bentuk latihan berbini, lagipun pepatah Yahudi ada menyebut “practice make perfect”. Nampaknya Zubir Playboy pula diserang keracunan makanan kerana terlebih makan agaknya cuma tidaklah sampai dimasukkan ke wad pemerhatian Slim River seperti Uda minggu lepas kerana memakan kerabu kerang yang dibeli hinggakan Makcik Mah yang terpaksa menerima rawatan pesakit luar masih trauma bila aku mahu membeli juadah berbuka di Pasar Ramadhan. John pula sudah masuk hari ketiga hari ini di Hospital Kuala Lumpur untuk proses kimoterapi yang akan berlangsung selama 5 minggu nampaknya dia akan beraya di hospital tahun ini.

Tuesday, October 09, 2007

Sudah 26 hari Ramadhan berlalu aku masih belum dapat betul-betul berurusniaga dengan anak Kak Wan melainkan dengan Kak Wan sendiri, sudahlah masa aku semakin suntuk Kak Wan pula sudah empat hari tidak berniaga. Ini menyukarkan aku mencapai matlamat untuk bertanyakan nama anaknya entah-entah Kak Wan terus bercuti pulang ke Pattani. Entah apa yang difikirkan oleh Ayob Tulakang dan kawan-kawannya hingga menjadikan hiasan Aidilfitri semacam Hari Krismas di tingkat lapan kerana ada ikon bintang-bintang digantung di situ, itulah akibatnya jika asyik mengayat awek dengan menjanjikan bulan dan bintang. Empat teman serumah aku sudah pulang ke kampung masing-masing hanya tinggal aku dan Iwan sahaja berpuasa di Vista Angkasa sekarang aku cuma boleh pulang pada hari Khamis dan Iwan pada hari Jumaat. Keadaan jalanraya sudah mula kurang sesak walaupun aku terlewat sedikit pagi ini kerana menikmati tidur selepas hujan yang membawa angin sejuk.

Monday, October 08, 2007

Lebuhraya PLUS yang dinaik taraf masih belum siap sepenuhnya bakal menyumbang kesesakan kepada pemilik kenderaan yang pulang ke kampung menyambut Aidilfitri minggu ini. Agak sesak pasar Ahad di Sungkai kerana aku sibuk membeli kuih raya dan Makcik Mah yang membeli langsir raya, terbang jugalah duit aku sebanyak RM111.40 untuk lapan jenis biskut dan dua jenis kerepek. Yati pula sudah bertukar loghat Kedah dalam percakapannya semenjak berhijrah mengikut suaminya ke Pokok Sena namun masih comel seperti dulu. Banyak cerita baru yang diberitahu olehnya kepada aku tentang “geng” Pekan Lama yang sudah banyak berubah iaitu antaranya Gurpal yang masih mengalami masalah mental kerana kemalangan tahun lepas. Salah aku juga kerana semenjak berpindah ke A-A Tin aku sudah jarang ke Pekan Lama berjemaah mandi sungai dengan mereka kerana sudah selesa dengan lombong. Cuma kalau aku ke Pekan Lama, aku masih mempunyai azam untuk membalas dendam terhadap Sarman yang membenam aku di sungai hingga tinggal separuh nyawa kerana menarik seluarnya hingga nampak anunya.

Friday, October 05, 2007

Jika tidak kerana buloh lemang itu terletak di paya Menderang tidaklah aku bersungguh-sungguh mencari tiket keretapi malam ini untuk pulang ke kampung mala mini sebelum buloh itu direbut oleh orang lain. Namun semua tiket sudah habis hingga kehari raya, nasib baik aku memperolehi tiket bas untuk pulang besok dan pulang bercuti hari raya pada hari khamis. Jika tidak terpaksalah aku ke Jalan Raja Alang mencari jaket kulit ala-ala Azroy kerana terpaksa memerah “throttle” Honda NSR aku pulang ke kampung dengan melalui lebuhraya PLUS yang sangat uzur itu.
-
Selalu sangat aku terjumpa barang berharga bila menguji tahap kardiovuskular di Bukit Damansara, cuma kali ini ia agak berteknologi tinggi buatannya hinggakan Fadhli dan Naim pun tidak tahu apakah alat tersebut, hendak aku tanyakan Azam Orang Minyak lebih baik rasanya aku tanya Durai yang menjaga tempat letak kereta itu ada juga faedahnya. Aku pun hairan bagaimana mereka bertiga boleh lulus kertas C++ walaupun cuma cukup makan sahaja sedangkan teknologi “super stick” itu telah lama berada di planet bumi.

-
Nik Shafini sudah beberapa hari tidak mahu bercakap dengan aku, jika bercakap pun hanya perbendaharaan bahasa Melayu seperti keji, jahat dan teruk sahaja yang boleh diucapkan kepada aku kerana kemurahan hati aku menyiarkan gambarnya sedang tidur seperti bayi Johnson minggu lepas. Aku rasa ini semua salah Syahril kerana dia yang menghasut aku yang lemah iman ini menyiarkan gambar tersebut, mungkin sepatutnya Syahril ini turut dirantai bersama makhluk bertanduk pada bulan Ramadhan.

Thursday, October 04, 2007

Tidak pasal-pasal dua pegawai bilis polis dibawa ke mahkamah kerana dituduh memberi keterangan palsu terhadap pegawai jerungnya, sudahlah jerungnya terlepas daripada sistem kehakiman, sekarang ini hukuman seperti telah dijatuhkan kepada bilis-bilis tanpa mengadakan penyiasatan yang telus terhadap jerung. Kes ini samalah seperti binatang yang membunuh Nurin Jazlin belum ditangkap ibu-bapanya sudah cuba dijatuhkan hukuman oleh agensi kerajaan. Aku sudah boleh meneliti berita-berita di internet dengan baik kerana kurang sedikit sibuknya, terdapat juga kerja-kerja yang memerlukan aku membuka semua fail-fail lama sejak Januari 2005 untuk urusan PERKESO Hamzah yang baru berjumpa Yang Maha Esa baru-baru ini. Entah apa yang merasuk Zubir Playboy mengajak aku berbuka di rumahnya semalam dengan semua masakan dimasaknya sendiri mungkin gatal hendak menikah agaknya, tetapi alangkah bahagianya jika Zubir Playboy yang aku hadap semalam itu ialah anak Kak Wan!.

Wednesday, October 03, 2007

Mamai kepala aku dibuatnya seharian semalam asyik melayan tidur dihadapan komputer cuma sesekali dikejutkan oleh deringan telefon, ia kemudian disambung di surau dan sesekali dikejutkan dengan bacaan al quran membuatkan aku insaf kerana aku belum mati lagi dan terus menyambung kerja seperti biasa dan tertidur lagi dihadapan komputer. Masih gagal mendapat air tangan anak Kak Wan sewaktu membeli buburnya walaupun sudah hari ke 20 berpuasa dan aku terus menyambung tidur setelah menjamah bubur tersebut. Tersedar jam 11.30 malam barulah aku yang sedar aku masih belum betul-betul berbuka puasa hingga membawa aku yang masih mamai ke gerai Sup Herba di Pantai Dalam. Rasanya ubat yang aku makan dalam dos yang biasa itu tidak pula memberi kesan langsung jika aku diserang penyakit insomia!

Tuesday, October 02, 2007

Pagi-pagi lagi Radio Era sudah memperdengarkan lagu-lagu raya walaupun bulan baru menguncup kembali menandakan masih ada lagi sepuluh Ramadhan yang perlu dilalui. Yang penting semalam aku tidak perlu mengadap Zubir Playboy untuk berbuka tetapi mengadap Yatie yang putih melepak itu di food court KLCC. Entah kenapa perut aku meragam setelah menjamah karipap buatan makcik di Kerinchi hingga memaksa aku menjamah “pill chik teck aun” cap ayam namun tidak berkesan langsung, lantas untuk mempercepatkan proses tidur aku terus menelan dua ubat tidur yang berharga RM2.50 setiap satu. Kesan ubat itu masih lagi ada pada badan aku hingga menyukarkan aku menulis dalam fikiran yang melayang-layang tapi rasa seronok pula!.

Monday, October 01, 2007













Sangat memenatkan di “bulan yang panas” walaupun cuma 3.65 km larian berganti-ganti anjuran Persatuan Atlit Veteran Kuala Lumpur di Taman Metropolitan Kepong semalam. Jika bukan kerana sistem pesanan ringkas mengenai “runners sejati” harus berlari tidak kira waktu yang mencabar keimanan aku serta sifat hasad dengki yang tertanam dalam jiwa tidak mahu kawan-kawan aku mendahului aku, mungkin aku sudah berada di Jalan Masjid India ataupun Mid Valley menghabiskan duit saki-baki yang masih ada di dalam bank seperti bangsaku yang lain.
-
Kembang hidung beserta dengan punggung-punggung aku sekali apabila penganjur mendefinasikan kumpulan aku yang menduduki tempat kesembilan sebagai “elite runners” suatu yang tidak pernah aku terfikir selepas aku akhil baligh. Walaupun terdapat beberapa cubaan oleh kawan-kawan aku untuk memancing Firdaus ke dalam kumpulan mereka namun cubaan itu gagal kerana sudah tentulah Firdaus lebih rela menolong protegenya yang pernah mengkhianatinya dengan mengalahkannya dalam acara berkumpulan. Untuk jarak yang bukan “favourites” aku, masa yang dicatat ialah 15 minit 20 saat sebagai pelari kedua, manakala Firdaus 13 minit 46 saat sebagai pelari pertama dan Afad 16 minit 42 saat sebagai pelari ketiga yang kesemuanya memakai baju putih cap ayam berbanding peserta memakai baju adidas kuning yang memenuhi ruang acara.
-

Seperti biasalah kawan-kawan aku yang kalah akan memberikan alasan seperti kepala lutut longgar kerana sudah berkahwin dan dalam kumpulan mereka ada peserta perempuan. Inilah satu-satunya larian yang yang aku sertai tidak memberikan wang tunai atau hamper kepada pesertanya melainkan medal yang penuh bermakna terukir kedudukan peserta dan hari ini barulah aku sedar apa dimaksudkan “runners sejati”, ia bukan hanya bermaksud keghairahan berlari tanpa mengira waktu tetapi tidak memerlukan wang untuk memenuhi kantungnya walaupun berada ditempat pertama. Secara keseluruhannya aku cuma memberikan tiga bintang kepada pihak penganjur daripada segi persediaan teknikalnya dan jumlah peserta namun tidaklah langsung mencacatkan larian ini.

Thursday, September 27, 2007

Sampai di pintu pagar aku Vista Angkasa selepas pulang bekerja aku terkejut dengan muka pencuri berbadan gempal yang pernah memanjat rumah jiranku tahun lepas menunggang motor kriss merah tanpa memakai topi keledar. Masih belum serik-serik nampaknya pencuri ini setelah dikejar beramai-ramai oleh pegawai keselamatan Deris dan kawan-kawannya termasuklah diri aku sendiri. Sepanjang Ramadhan tiada langsung kecurian dilaporkan di Vista Angkasa kerana hikmah berpuasa dimana semuanya akan berjaga malam untuk bersahur membuatkan pencuri tidak dapat mencari masa yang sesuai. Sudah masuk hari ke empat belas, namun jika membeli juadah dikedai Kak Wan sampai sekarang masih belum dapat “dilayan” oleh anaknya itu, selalunya mesti Kak Wan sendiri yang melayan aku, kalau dia tidak dapat melayan aku dia akan menyuruh adik atau anak saudaranya melayan aku.

Wednesday, September 26, 2007

Nik Shafini belumpun masuk waktu Zuhur telah terlentok seperti bayi yang sedang tidur penatnya semacam lelaki beriman yang berpuasa seperti aku, melantak sahur terlampau banyak agaknya. Sudahlah sakit hati melihat Nik Shafini yang terlentok sewaktu bekerja, kuliah Zuhur oleh Ustaz Razis pula banyak mengelirukan aku semalam dengan kuliah Ustaz Ahmad Awang daripada Persatuan Ulama. Ini berlaku bila Ustaz Razis menjelaskan teknik “stunning” dalam sembelihan di KFC adalah haram berbanding Ustaz Ahmad Awang yang membenarkannya dengan kadar yang tertentu dan beliau sendiri merupakan panel dalam menentukan premis itu layak untuk melakukan sembelihan suatu masa dahulu. Inilah masalah dengan ustaz-ustaz kita walaupun satu aliran politik tetapi masih bercanggah dalam soal-soal halal dan haram bagaimana mahu menarik perhatian penyokong kerajaan sejak lahir seperti aku.


Tuesday, September 25, 2007

Ada yang memberi pendapat tentang kesalahan aku menulis jumlah terlebih hari umat islam berpuasa itu, aku sangat percaya menggambarkan bahawa mereka itu sebenarnya sangat prihatin berapa hari lagi Syawal menjelma untuk memakai baju baru dan kalau boleh biarlah Ramadhan itu cepat kepenghujungnya. Lainlah lelaki beriman seperti aku ini yang sentiasa menunggu setiap Ramadhan untuk mencapai sasaran latihan sejauh 200km dalam masa 29 hari dan pergi menunaikan solat tarawikh bersama awek-awek Vista Angkasa. Walaupun Nafastari memberi rumusan bahawa aku sepatutnya berkahwin supaya ada yang menjaga makan dan minum aku terutama sewaktu menunaikan sahur, aku masih terfikir bagaimana pula jika aku mendapat bini yang cuma memakan kurma sahaja dengan alasan mengikut sunnah nabi. Ernst & Young sudah menjadi sebahagian daripada diri aku semenjak semalam mungkin berlanjutan hingga ke Syawal ini, tetapi aku tidaklah rasa terganggu sangat dengan mereka ini kerana mereka lebih banyak duduk menaip karangan daripada memberi soalan-soalan maut seperti Kak Hanizah.

Monday, September 24, 2007

Perjalanan pulang ke Sungkai menaiki keretapi cukup menyenangkan kerana sudah laju daripada kebiasaan dan menepati waktu kerana landasan berkembar yang sudah siap cuma agak terganggu dengan pergerakan tidak sempurna di Kuala Kubu kerana masih belum siap sepenuhnya. Kedai makan Hashim pula beroperasi sepenuhnya langsung tidak menghormati bulan Ramadhan walaupun beberapa kali aduan dibuat kepada pejabat agama dia sentiasa terlepas kerana biasanya mendapat maklumat awal daripada orang dalam. Sudah hari yang ke 13 Ramadhan berlangsung namun aku masih gagal menjamah nasi untuk bersahur, ini cukup membuatkan aku risau kerana orang melayu mana boleh meninggalkan nasi sewaktu bersahur lagipun tidaklah aku mahu berjimat sangat hingga meninggalkan makan nasi.

Thursday, September 20, 2007

Tag Huer automatik cap ayam aku sudah tidak bernyawa tepat jam 6.50 pagi itu menunjukkan bahawa sudah tiga hari aku tidak melakukan rutin menguji tahap kardivouskular aku sekurang-kurangnya untuk sepuluh ribu meter. Kesibukan tugas menyebabkan aku masih belum dapat mencuba talian telefon percuma menggunakan perisian Skype yang baru dipelajari semalam untuk memudahkan aku menyalahgunakannya dengan menghubungi kawan baik aku yang duduk betul-betul dihadapan aku iaitu Fadhli dan Naim, begitu hebat teknologi yang ada hingga menyebabkan manusia seperti aku menjadi menjadi malas. Kad hari raya sudahpun dipos keseluruh Malaysia semalam, walaupun ramai yang sudah melupakannya tetapi aku masih sukakannya kerana mempunyai “sentimental value” terutama bila menulis nama orang menerima ucapan di dalam kad sesuatu yang tidak akan dapat dirasa bila melakukan sistem pesanan ringkas.

Wednesday, September 19, 2007

Sudah dua kali aku berbuka puasa di “pantry” tingkat 19 sambil merenung kabus kelam puncak Nuang yang pernah mengajar aku apa ertinya sebuah gunung. Secara rasionalnya jika kita sudah semakin mahir dengan sesuatu kerja kita akan dibebani dengan beban kerja yang hampir tidak munasabah dengan kenaikan gaji. Berbuka puasa di pejabat adalah sesuatu yang tidak pernah aku lakukan kecuali aku tidak menjumpai jalan pulang kerana hujan lebat ataupun Honda NSR aku membuat ragam.
-
Seksyen 24, Akta Buruh 1955 yang tidak membenarkan pemotongan lebih 50% daripada gaji asas membingungkan aku kerana jika gaji berjumlah seribu ringgit, cuma lima ratus sahaja yang boleh diusik setelah ditolak dengan potongan kwsp 11% dicampur dengan Angkasa sebanyak RM380.00 maka tiada apa yang boleh dipotong lagi untuk membayar “festival advance”. Ini menyebabkan seharian aku dimarah hari ini kerana banyak menolak permohonan kakitangan dalam soal “festival advance” yang sepatutnya diberi sebanyak sebulan gaji ataupun maksima lima ribu ringgit.
-
Agaknya marah mereka melarat hingga Honda NSR aku yang diletakkan di “basement 2” menjadi mangsa langgar lari hingga pecah “ferring” dan patah brek tangannya, sempena bulan yang mulia ini jika aku tahu siapa lelaki yang melakukan perbuatan terkutuk itu aku berjanji akan menjadikan dia adik angkat aku tetapi jika dia seorang perempuan aku akan pinang dia menjadi bini muda aku.

Tuesday, September 18, 2007

Fadhli mengambil cuti sakit semalam kerana mengalami kemalangan pada jumaat lepas tetapi tiada apa yang digusarkan kerana ia masih boleh makan nasi kandar dengan berselera cuma tempang sedikit. Menggigil lutut aku mendengar berita kematian Hamzah di Hospital Taman Desa pada jam 2.50 petang semalam walhal baru sangat aku mengfaxkan surat jaminan untuk urusan perpindahannya ke Institut Jantung Negara. Pelbagai versi dikeluarkan bagaimana cara Hamzah mati membingungkan aku, juga tidak kurang yang menerjah aku dengan pelbagai soalan kenapa dia harus mati di Hospital Taman Desa, mahu menyaman pihak hospital dan tidak kurang yang mahu membakarnya. Bukankah lebih baik tenaga mereka dihabiskan menguruskan Hamzah yang akan berjumpa dengan Yang Maha Esa, bosan melayan mereka terus aku mendapatkan Encik Mamat yang datang membawa van jenazah untuk membawa Hamzah ke Masjid Puchong. Setelah selesai semuanya aku bertemu dengan pentadbiran hospital iaitu Rohayah dan Daisy, sudah tentu versi baru timbul iaitu Hamzah sebenarnya sudah lama mengidap jantung berlubang dan sangat lemah keadaannya. Semasa ia dipindahkan ke ambulan untuk dibawa Institut Jantung Negara tiba-tiba jantungnya berhenti berdegup dan pihak hospital mengisytiharkan “blue code” maka CPR pun dilakukan namun gagal. Sekarang ini ramai yang mahu menjadi hakim menjatuhkan hukuman siapa yang bersalah tanpa memikirkan bahawa di Loh Mahfuz sudah tertulis takdir tentang ajal Hamzah!

Monday, September 17, 2007

Suasana pekan Sungkai pada hari Sabtu sudah seperti sehari sebelum Syawal kerana agak sesak dengan kenderaan yang mahu membeli barangan runcit untuk berbuka puasa mungkin mahu menjamu kepulangan anak cucu mereka agaknya. Kali ini aku betul-betul berehat berada di Sungkai cuma melakukan aktiviti tidur, tidur, tidur, mencari buah kelapa muda, buah mangga muda dan membeli lauk-pauk di pasar Ramadhan. Suasana Pasar Ramadhan di Sungkai agak suram berbanding tahun-tahun yang lepas kerana tidak banyak variasi kuih-muih dan lauk pauk yang dijual. Hampir tiada peniaga yang menjual lauk-pauk berasaskan ayam kecuali peniaga ayam percik kerana harganya ayam mentah yang sangat mahal hingga tidak menguntungkan mereka dan seperti biasalah media pelik Khairy Jamaluddin masih lagi menyalahkan peniaga kerana harga ayam yang naik bukannya pemborong dan pembekal. Aku sudah tidak berapa memahami pimpinan kerajaan kerana sudah mengeluarkan polisi yang pelik mengatakan bahawa seseorang yang mempunyai kereta sudah layak dikategorikan sebagai miskin dan layak menerima bantuan oleh kerajaan kerana mengganggap itu sebagai keperluan bukannya kemewahan, jika diikutkan dengan takrif terbaru itu bolehlah dikatakan aku dalam kategori miskin!

Friday, September 14, 2007

Petang semalam belum pun pukul 6.50 petang semua jenis air minuman di pasar Ramadhan Kerinchi telah habis dijual, begitu juga dengan lauk-pauk hampir kesemuanya habis. Mujur juga aku sempat membeli bubur tepung gandum hijau terakhir dengan anak Kak Wan walaupun sebenarnya Kak Wan sendiri yang melayan aku yang penting senyuman anak Kak Wan itu sudah cukup membuat aku melayang-layang. Lalulintas di Lembah Pantai cukup membingungkan kerana sesak dan bunyi hon yang tidak berhenti-henti menunjukkan betapa ramai yang terpaksa berbuka di dalam kereta dan tidak salah pendapat aku bahawa golongan bukan Islam masih belum mempunyai kadar tolak ansur yang mencukupi kerana turut sama bersesak-sesak pulang ke rumah untuk berbuka puasa! Harga ayam masih menjadi isu hingga kerajaan tiba-tiba menaikkan pula harga syiling kepada RM6.00 namun para peniaga masih dipersalahkan kerana manipulasi harga bukannya pembekal dan pemborong sebagai rantaian kenaikan harga tersebut.

Thursday, September 13, 2007

Besar betul tanggungjawab yang dipikul oleh Fadhli merangkap AJK Surau Bukit Raja yang terpaksa memantau pergerakan di tingkat 21 selama 30 hari, memanglah makhluk bertanduk itu pergi bercuti selama 30 hari tetapi mereka melahirkan protégé yang cukup ramai untuk menampung stok bulan Ramadhan. Gas memasak di rumah aku akhirnya habis juga malam tadi setelah digunakan selama dua kali Aidil Adha, mana tidaknya boleh bertahan hingga hampir tiga tahun jika cuma digunakan memasak mi segera oleh 6 lelaki bujang. Aku rasa kerjaya aku sudah sampai ke kemuncak bila Norhisam mahu mengapak kepala aku hanya kerana memotong tuntutan perjalanannya bulan lepas, kadang-kadang aku rasa mereka ini suka mencuba nasib kerana melihatkan keadaan aku yang sibuk mungkin akan terlepas pandang agaknya.

From: Fadhli B. Nordin
Sent: Wednesday, September 12, 2007 6:35 PM
To: Maswafi B. Samat; 'Mohd Azam Ab Rahman'; Syahril Omar; Nik Shafini Nik Mahzum; Zainal Abidin Tahir; Naim; Hasyim B. Abdullah
Subject: RE: SELAMAT MENYAMBUT RAMADHAN AL-MUBARAK

Pemberitahuan:

Pada 12 haribulan September 2007, tepat jam 12.00pm tgh mlm, dengan serta-mertanya Tingkat 21 akan di pantau dari semasa ke semasa oleh pegawai-pegawai yang bertanggungjawab sehingga selesai bulan Ramadan. Segala aktiviti tidak boleh dijalankan sama sekali di tingkat tersebut kecuali abang2 maintenance yang bertanggungjawab me-repair lift.

Diharap pihak tuan/puan dapat memberi sepenuh kerjasama kepada pihak berwajib.

Terima kasih.

Yang menjalankan tanggungjawab,

Insan Yang Perihatin

Wednesday, September 12, 2007

Masih ada lagi dua virus jenama Trojan yang belum dapat dihalau dalam komputer aku setelah mendemamkan 120 fail yang lain dengan menggunakan perisian Spyware dari Google. Namun semuanya dapat diselesaikan hari ini dengan menggunakan perisian percuma yang ketiga iaitu Spyboot Destroy selepas Ad-Ware digunakan dan Internet Explorer sudah kembali seperti biasa, nasib baik aku tidak menunggu Fadhli dan Naim membaiki komputer aku silap-silap sempatlah aku bertunang sementara virus itu menjahanamkan komputer aku. Saham aku pula semakin demam kerana jatuh akibat spekulasi kononnya kata pembangkang ekoran kesan pengumuman bajet baru-baru ini walhal ia lebih bersifat global. Belumpun berpuasa harga ayam sudahpun mencecah RM7.00 sekilo dan seperti biasa semua media Khairy Jamaluddin dan NGO menghentam para peniaga walhal sebenarnya pemborong yang menaikkan harga. Mana mungkin ayam yang dibeli dengan nilai RM6.50 sekilo daripada pemborong mahu dijual dengan RM6.50 sekilo silap-silap hendak membeli seluar dalam cap ayam pun tidak mampu jika aku meniaga ayam hari ini.

Tuesday, September 11, 2007

Sudah lebih 9 hari komputer aku dipenuhi dengan virus Trojan hingga merosakkan “setting” Internet Explorer, pelbagai cara dilakukan untuk menghalau virus tersebut dan langkah terakhir aku mengambil keputusan memadamkan sahaja perisian Internet Explorer tersebut namun muncul pula perisian palsu Internet Explorer yang telah di “default” ke laman web http://asecuremask.com/ yang memaksa aku membeli semua perisiannya. Nasib aku cukup baik kerana masih mempunyai pelan B dengan menggunakan perisian Mozilla Firefox yang kurang stabil namun amat sukar ditembusi virus. Hendak aku harapkan Fadhli membaiki komputer ini rasanya lebih baik aku simbahkan air kepada komputer ini dapat juga aku komputer baru kerana sampai sekarang dia buat toya sahaja aduan aku tentang virus tersebut. Hendak harapkan protegenya si Naim apalah yang dia tahu kecuali mengangkat komputer, menyambung wayar dan bermain “game”.

Monday, September 10, 2007

Ramadhan membuka tirainya lagi dan ini bermakna sudah tiga kali Ramadhan berlalu serta sudah tiga kali bertukar kasut, namun aku masih gagal memintas Firdaus walaupun latihan sudah melebihi tahap kemampuan makhluk bernama manusia hingga pernah dimasukkan hospital tahun lepas kerana urat peha kanan aku yang pecah. Sabtu lepas di International Medical Universtiy Run untuk laluan Bukit Jalil sejauh 7km Firdaus menduduki tempat ke 20 diikuti oleh Fazli dan Farid di tempat ke 23 dan 35 manakala aku sekadar di tempat ke 42 tetapi sudah semakin baik dari segi catatan masa untuk jarak yang bukan merupakan “favourites” aku dengan mencatat masa di bawah 35 minit. Aku memberikan 3 bintang untuk larian ini kerana penganjur gagal menyerahkan baju yang dijanjikan walaupun telah mendaftar awal walaupun daripada segi teknikalnya semuanya berjalan lancar.
-
Semalam seperti biasa aku menjadi “pelari hantu” untuk acara yang mengenakan bayaran melebihi RM30.00 dengan alasan Mizuno Run 10km anjuran Pacesetters itu memberi baju yang berkualiti dan setiap peserta akan mendapat medal. Aku tidak dapat menerima kedua-dua alasan tersebut kerana setahu aku baju itu yang diberi penganjur tidak pula membuatkan aku lebih laju berlari dan kalau semuanya mendapat medal lebih baik aku berjalan kaki sahaja menemankan awek-awek yang lawa di situ macam lelaki macho yang lain. Fazli dan Tukang Besi kampung aku menduduki tempat 69 dan 70 dengan catatan masa 49 minit manakala aku sampai bersama-sama dengan Farid di tempat 131 dengan catatan masa 52 minit 38 saat itupun setelah aku memaksa Farid berlari yang telah berputus asa di kilometer ke lapan. Biasalah orang melayu mana boleh melihat bangsanya lebih maju daripada dirinya maka terpaksalah dia mengagahkan diri mengikut aku sebagai pelari hantu hingga ke garisan penamat. Aku memberikan 4 bintang untuk penganjurannya kerana sangat bagus dari segi teknikalnya bayangkanlah setiap peserta akan mengetahui kedudukan mereka walaupun berada di tempat ke dua ribu seperti lelaki macho yang mahu mengayat awek-awek, papan tanda jumlah kilometer yang telah dilalui, milo, buah-buahan dan "endurance water" jenama Power Bar serta yang paling penting semuanya percuma buat aku!
-
Ramai yang memberi pendapat bahawa laluan Padang Merbok-Bukit Tunku semalam adalah yang paling sukar setakat ini untuk 15km ke bawah walaupun belum pernah mencuba laluan Bukit Besi dan Terowong Smart tetapi analisis aku sangat berlainan dengan mereka melalui ukuran tahap pencapaian aku mengalahkan kawan-kawan aku yang kalah disebabkan laluan itu mempunyai cuaca panas, altitud rendah dan ketinggian yang tinggi.

Susunan kesukaran laluan:

42km ke bawah

Tasik Perdana-Bukit Tunku-Bukit Kiara
Dataran Merdeka-Loke Yew-Bukit Tunku
Universiti Sains Malaysia-Jambatan Pulau Pinang
Petaling Jaya-Terminal Satu
Port Dickson

15 km ke bawah

Universiti Pertahanan Malaysia-Bukit Besi
Terowong Smart
Padang Merbok-Bukit Tunku
Klang
Dataran Merdeka-Bukit Tunku
Universiti Malaya
Tasik Perdana
Shah Alam
Ampang Jaya
International Medical University-Bukit Jalil
Subang Jaya
Bandar Kinrara
Taman Maluri-Kolej Cybernatic
Dataran Petaling Jaya-Jalan Gasing

Friday, September 07, 2007

Rasanya seperti "alignment" badan aku sudah lari semuanya bangun pagi tadi, mungkin badan aku terkejut dengan latihan yang berterusan semenjak mendapat teman baru agaknya ataupun diet aku masih belum memenuhi keperluan badan aku. Zafrul sudah mengeluarkan projek gunungnya yang terakhir sebelum Ramadhan iaitu berkhemah di puncak Nuang sabtu ini, cuma kali ini aku kurang berminat mungkin sudah dua belas kali ke sana agaknya. Lagipun orang Melayu seperti aku mana boleh tidak makan nasi selama satu hari seperti yang dirancang oleh Zafrul kerana mahu mengejar masa.