Sunday, May 31, 2009

Rakyat negeri Perak sangat sibuk dengan kenduri-kendara langsung tidak menyerupai seperti yang digambarkan oleh media kononnya sedang kucar-kacir kerana mempunyai dua menteri besar. Pakcik Omar yang selalu marahkan Dr. Mahathir dan konco-konconya setiap kali berjumpa aku di dapur kenduri pun tidak bertikam lidah dengan aku sebaliknya hubungan kami lebih baik keadaannya dari dulu. Sudah setahun setiap kampung di negeri Perak mempunyai dua ketua kampung, satu di bawah kerajaan negeri dan satu di bawah kerajaan pusat tidaklah pula pernah bergaduh. Malah aku pula yang untung kerana boleh pergi jumpa Ustaz Rosli ataupun Pakcik Deraman dalam menyelesaikan hal-hal Urusan Seri Paduka Baginda. Yang paling kesian ialah Mufti kerajaan Negeri Perak kerana menjadi mangsa pertelingkahan antara dua menteri besar kerana tidak menyokong salah seorang menteri besar tersebut, walhal ia cuma bercakap atas pandangannya sebagai mufti, susah juga kalau semua nak jadi mufti.

Thursday, May 28, 2009

Aku membuat keputusan yang betul menggunakan laluan Long Menjawah walaupun terpaksa menolak pick up yang tidak dapat dihidupkan secara biasa. Cuma aku tidak menjangka halangan yang lain iaitu didenda 6 kilo kerana terlebih muatan beg yang dibenarkan cuma 15 kilo sahaja, aku dikira bernasib baik kerana dapat menggunakan muatan Cikgu Firdaus yang kosong jika tidak terpaksalah membayar RM15 untuk sekilo denda Air Asia. Jika menaiki MAS masalah ini tidaklah berlaku kerana mereka membenarkan muatan hingga 25 kilo walaupun sebenarnya yang tercatat cuma 21 kilo, ia sesuai untuk orang yang suka membawa muatan besar seperti aku.

Wednesday, May 27, 2009

Hujan turun sangat lebat awal pagi membolehkan bot ekpress melepasi Bakun petang tadi, tetapi aku langsung tidak mengharapkan kehadirannya kerana sudah menempah bot Apok dan Hilux Jitan untuk menggunakan jalan kedua iaitu Long Menjawah untuk ke Lapangan Terbang Terbang Bintulu. Harapnya keputusan aku betul kerana jalan tersebut tidaklah begitu bagus pada kali terakhir kami lalu di situ hingga kami terpaksa menggunakan jalan ketiga di Pengkalan Bangu, Bakun. Hari ini hari yang sibuk bagi Freddy kerana mengadakan kenduri menyambut kelahiran anaknya yang baru, agak bagus juga keluarganya kerana menjemput kami menyediakan makanan supaya dapat dimakan oleh semua orang tanpa was-was. Begitulah sensitifnya masyarakat di sini dengan agama lain, ia mengundang persoalan dalam kepala aku, adakah aku sendiri mengamalkan sikap ini bila berhadapan dengan kawan-kawan kaum lain terutamanya yang tidak makan daging lembu dan hanya makan sayur? rasanya tidak.!



Tuesday, May 26, 2009

Hari yang membosankan kerana ketidak hadiran hero-hero aku yang berimaginasi tinggi di dalam kelas membuat aku bosan kerana P&P tiada selingan cerita-cerita mengarut rakyat yang dicipta. Hendak harapkan Moses langsung tidak mahu bercakap walaupun perkataan terima-kasih bila aku memberikannya wafer, sebaliknya aku pula terkial-kial mempelajari bahasa Kayan dengan Manisha supaya dapat berkomunikasi dengan Moses!. Cikgu Zul sudahpun membungkus kain bajunya untuk di bawa pulang ke semenanjung khamis ini sejak semalam lagi, manakala aku baru sahaja mendapat dua gantang padi bukit Segaham yang dikirim oleh Makcik Mah untuk dibungkus di dalam beg 75 liter aku.

Sunday, May 24, 2009

Hujan tidak turun selama tiga hari menyebabkan air surut secara mendadak hingga mengakibatkan jelatong tersangkut di tebing sungai, seperti biasa Apok menjadi mandur mengarahkan semua guru-guru turun menolak jelatong walaupun dia tahu di pagi Ahad ialah hari tidur sedunia untuk semua orang di planet bumi. Aku yang hendak menyambung tidur setelah latihan kardio 10 ribu meter pun dicarinya hingga ke dalam rumah untuk memastikan aku tidak ketinggalan menjadi buruhnya.

-

Keadaan cuaca hujan panas ini sebenarnya selain daripada merosakkan jelatong ia juga banyak merosakkan barang-barang aku seperti kamera, kasut dan seluar. Bayangkan kasut Hitec bernilai lebih RM400 boleh tertanggal tapaknya bila sampai di sini, begitu juga Adidas Adiprene yang aku sayangi rupanya seperti kasut pergi menoreh getah setelah berjaya dibaiki oleh aku selama 3 jam tiga hari yang lalu.



Saturday, May 23, 2009

Pagi yang sangat memenatkan kerana sudah hampir seminggu melakukan pelbagai kerja-kerja untuk Pesta Pra-Gawai semalam. Semuanya berjalan lancar cuma acara Ranyai ada cela yang sangat besar kerana membiarkan Mat Salleh yang tidak tahu adab melakukannya nasib baik tidak terpenggal kepala orang lain. Secara terus terang acara ini lebih baik dilakukan di kawasan masyarakat Iban itu sendiri kerana nampak lebih realistik dan terkenal dengan indah seni parang ilangnya semasa meranyai, lagipun masyarakat Orang Ulu di sini tidak menyambut Pesta Gawai melainkan Krismas sebagai hari kebesaran.

Menyambut pesta hingga ke subuh adalah perkara biasa cuma aku seperti biasa tidak dapat menyesuaikan diri dengan budaya seperti itu yang tidak sesuai dengan orang Melayu. Pernyertaan aku hanya sekadar untuk mengetahui kesaratan budaya di sini, seperti biasa aku tidak dapat menahan panggilan bantal pelukku apabila jam tag heuer chap ayam aku menunjukkan pukul 2 pagi. Pelancong asing yang datang ke sini semalam agak terkejut bagaimana kerajaan menghantar guru beragama Islam ke kawasan yang penduduknya majoriti beragama Kristian. Bukannya senang untuk mencapai satu Bangsa Malaysia mesti ada yang perlu berkorban sedikit walaupun pahit.


Persetankan dengan semua itu bila ada perempuan tua yang datang kepadaku mengatakan anaknya Temong seorang tentera yang bertugas di Semenanjung mempunyai iras muka seperti aku. Perempuan tua itu yang tidak mahu memberitahu namanya bila ditanya tidak diketahui pula puncanya namun ia dikenali sebagai Mak Rossa. Walaupun mukanya tidak seperti muka Makcik Mah di kampung namun rasanya kami bertiga mempunyai warna kulit yang sama iaitu sawo matang. Aku mendiamkan sahaja perkara ini walaupun sudah mengetahuinya beberapa bulan yang lalu melalui cakap-cakap orang kampong yang mengusik aku.