Tuesday, June 30, 2009

Seperti biasa apabila aku berjaya sampai di Segaham mesti waktu Maghrib sudah menjengah dan kadangkala lanjut ke waktu Isyak. Pada Ahad yang lalu dari Miri aku mengambil keputusan menggunakan khidmat Biaramas yang aku samakan tarafnya seperti Transnasional dan dikenakan tambang sebanyak RM20.00. Berbaloi rasanya kerana ia cuma mengambil masa cuma 3 jam 15 minit untuk sampai ke Bintulu berbanding bas lain kerana ia tidak mengambil penumpang tanpa tiket di tengah jalan.
-
Petang ini sudah kedengaran enjin bot ekspress yang dirindui khidmatnya yang bercuti selama lebih kurang dua bulan. Hujan lebat dari pukul 2 petang semalam hingga ke pagi tadi menyebabkan jelatong semakin hampir ke teratak kami. Jika hujan berterusan selama beberapa minggu bolehlah kami tidur sahaja di jelatong sambil memancing ikan baung yang tidak pernah aku dapat.
-
Moses sudah banyak berubah masuk penggal persekolahan yang kedua, dia sudah mula berani bercakap dengan kosa kata yang baru selain daripada perkataan cikgu, terima kasih dan makan. Dia sudah mula berani mempertahankan diri daripada dibuli yang kadang kala membuatkan aku cemas dengan sikap barannya yang mahu memukul kawan yang lebih besar daripadanya. Dia sudah dapat menangkap bola dengan baik jauh semasa dia mula-mula terjun ke dunia kita (dia hanya memerhatikan sahaja bola tersebut hingga terkena kepalanya). Dia sudah boleh diharap untuk aku menyuruhnya melakukan tugas-tugas posmen tetapi malang kerana kerana ia masih menggunakan tulisan makhluk asing semasa melakukan lembaran kerja.!

Saturday, June 27, 2009

Dari Similajau Ke Miri

Akhirnya dengan bantuan Cikgu Faiz aku dapat juga keluar daripada pekan Belaga malam semalam dengan tujuan mengambil gaji di bandar dengan menjadikan Sg Asap sebagai transit. Perjalanan menggunakan Hilux selama 3 jam melalui jalan balak dan merentasi duah buah sungai dari Belaga ke Sg Asap adalah satu pengalaman baru.
-
Pagi tadi secara spontan aku membuat keputusan untuk ke Miri berseorangan apabila Cikgu Firdaus dan Cikgu Bad terkandas di Segaham kerana masalah pengangkutan. Untuk ke Miri aku menahan bas ekspress di Simpang Similajau dan cuma dikenakan tambang RM15 "tanpa tiket". Perjalanan hampir 180 km dimana pada separuh perjalananan yang pertama bas berhenti di Pasar Batu Niah, tempat ini sangat istimewa kerana terdapat pelbagai binatang yang pelik seperti ular putih, kura-kura bertanduk dan anak buaya mata merah. Sepanjang perjalanan membuatkan aku bosan kerana permandangan sekeliling hanyalah hutan tidak seperti permandangan ke Kuching yang sentiasa dihiasai dengan tanaman padi.
-
Sampai di Miri keadaan Stesen Bas Ekspress Pujut sangat mengecewakan ,nampak sangat pihak pentadbiran mengabaikan pembangunan khidmat sosial cuma gah dengan bangunan-bangunan besar, shopping complex dan hypermarket untuk ditayangkan kepada orang Brunei mungkin. Untuk mencari makanan halal sangat mudah di sini iaitu di sekitar Mega Hotel begitu juga pasar malam yang dibuka pada malam jumaat dan sabtu. Hinggakan nasi dagang dan kerabu pun ada dijual boleh juga kita melepaskan rindu pada makanan semenanjung.
-
Pasar di sini tidaklah sehebat di Bintulu ataupun di Sibu kerana sangat kecil dan tidak banyak pilihan, begitu juga kita tidak dapat mencari cenderamata untuk di beli di sini. Banyak kedai ekslusif yang menjual cenderamata namun rundingan tidaklah banyak membantu jika melihat harga yang dipaparkan. Mengikut pengalaman aku membeli cenderamata di Pasar Bintulu dan Sibu lebih mudah kerana rundingan dalam pelbagai cara samada mengurangkan harga ataupun mendapat gift yang lain sesuatu yang hampir mustahil untuk dilakukan di kedai cenderamata ekslusif.
-
Shopping complex sangat hebat di sini kerana menawarkan pelbagai jenis jenama pakaian dengan harga yang sangat berpatutan untuk orang Malaysia dan sangat murah untuk orang Brunei yang rata-ratanya datang menggunakan kereta mewah berplat nombor bermula dengan K ataupun B. Hotel budget di sini pun sangat banyak iaitu di sekitar Mega Hotel. Silverwood Inn yang aku huni bersebelahan KFC cuma mengenakan bayaran RM45 untuk double bedded disamping air panas dan tv disamping mudah untuk disembelih oleh rakan-rakan di KFC almaklumlah bila lagi mereka dapat berjumpa aku. Sebagai runners aku masih meletakkan Bintulu sebagai yang mesra pengguna kepada runners terutama perjalanan dari Pasar Tamu ke Tanjung Batu.

Friday, June 26, 2009

Kasihan makcik cleaner di PPD kerana terpaksa membersihkan tangga marmar yang berlumpur. Aku cuma mampu tersenyum bila Cikgu Philip mengatakan lumpur itu datangnya dari Segaham kerana jelas sekali kelihatan tapak kasut HItec kepunyaan aku pada lumpur tersebut. Hari ini menghadiri bengkel berkenaan Bahasa Inggeris sangat asing bagi aku kerana ia tiada kena mengena dengan aku sama ada jurusan semasa di universiti mahupun di maktab. Rasionalnya kerana ia akan menjadi pelajaran yang ketujuh akan diajar oleh aku pada tahun hadapan, mesti menitik air mata pensyarah aku jika mengetahui perkara ini.

Thursday, June 25, 2009

Banyak perkara yang aku terlepas semenjak duduk di dalam hutan belantara contohnya seperti berita-berita sedih dan gembira rakan-rakan aku. Juga aku terlepas daripada membelanja teh tarik dan roti canai Nik Shafini dan Kak Su setiap petang di bangunan Faber (mereka akan memaksa aku walaupun aku sendiri tidak rela). Tetapi yang pasti malaikat maut dapat menjalankan tugasnya walau dimana jua kita berada.
-
Hujan yang turun sedikit masih tidak mampu menaikkan air sungai Batang Rajang untuk membolehkan bot ekspress Bakun-Sibu untuk bergerak. Aku sudah mula menjalankan aktiviti outdoor seperti biasa dengan pergi ke hutan sebelah sungai di Long Menjawah mencari mempelam muda dengan Apok.
-
Kejadian lemas sebelum ini harus dijadikan pengajaran bukannya untuk aku berhenti untuk melakukan kerja yang sepatutnya (salah satu daripada social obligation). Mungkin kita harus belajar daripada masyarakat iban apabila mencari rezeki (memburu) iaitu jangan terlalu takut nanti anak dan isteri tidak makan, tetapi jangan terlalu berani takut isteri menjadi balu dan anak menjadi piatu.

Wednesday, June 24, 2009

Lemas

Keadaan jeti Belaga pada petang Ahad lepas sejam sebelum kejadian lemas

Kelihatan ceria sedikit petang semalam kerana Cikgu Bad sudah mula boleh mengumpat dan mengenakan kami seperti biasa, itu bermakna ia telah kembali normal seperti biasa. Syukur kerana dia cuma terkena demam virus jika malaria sudah tentu huru hara pra sekolah kerana ketiadaannya yang begitu lama. Pagi yang murung hari ini kerana jenazah Cikgu Nizar telah dijumpai seberang sungai berhampiran Kampung Melayu Belaga jam 6 pagi tadi dan sudahpun dihantar ke hospital Bintulu untuk urusan bedah siasat. Mungkin jenazahnya akan di hanatar pulang ke semenanjung pada esok hari.


Monday, June 22, 2009

Hari yang sedikit murung pada permulaan minggu kerana peristiwa semalam ditambah-tambah dengan musim kemarau. Cikgu Melvin sudahpun disahkan malaria dan sedang berehat di rumahnya di Belaga. Cikgu Bad yang mempunyai simptom yanng serupa Cikgu Melvin hanya diberi paracetamol oleh kilinik kesihatan Belaga dan di suruh pulang ke Segaham tanpa diambil darah untuk pemeriksaan. Jelas kelihatan tompok-tompok merah pada sekitar badannya, jika keadaan semakin teruk mungkin malam ini kami akan menghantarnya terus ke Bintulu untuk mendapatkan rawatan. Cikgu Nizar masih belum dijumpai hingga ke saat ini , semua guru-guru di SK Abun Matu dan penduduk di Belaga masih berusaha mencari di Batang Rajang yang sangat deras airnya.

Sunday, June 21, 2009

Lemas

Hari yang membosankan dan panas membuatkan aku mengambil keputusan membuang masa di pekan Belaga, kelihatan begitu banyak orang yang mandi-manda kerana tebing sungai Batang Rajang yang menjadi sangat cantik seperti pantai kerana pasirnya yang kering (kebiasaannya berlumpur). Malangnya kegembiraan itu tidak berkekalan apabila cikgu Nizar yang mandi di situ lemas secara tiba-tiba dan sehingga sekarang ia masih belum dijumpai. Mengikut sejarah kejadian lemas di Batang Rajang, ini akan melibatkan pencarian yang sangat merumitkan dan mungkin memakan masa berhari-hari.

Friday, June 19, 2009

Hari pertama mengajar selepas 2 minggu bercuti dan 3 hari berkursus, masih belum hilang penat masuk ke hutan dan badan aku masih lelah kerana mengalami keracunan makanan selepas makan di KFC rabu lepas. Kemarau masih berpanjangan hinggakan akupun sudah terbiasa dengannya, seperti biasa pelajar tahun dua dan tiga mengadu kerugian kerana terlepas kelas PJ semasa ketiadaan aku. Rasa seronok hari ini terutama mengajar di tahun 3 kerana menerima soalan yang tinggi arasnya seperti kisah Nabi Adam dengan buah larangan dan konsep dosa pahala walaupun ia tidak ada kena mengena dengan Pendidikan Kesihatan.

Wednesday, June 17, 2009

Hari yang paling memenatkan di Sibu bukan kerana mengadap murid aku yang obses tentang sukan tetapi aku pula yang belajar sehari suntuk hingga ke malam hari bersama 96 orang guru yang lain dari tiga daerah iaitu Kenowit, Sibu dan Belaga. Seperti biasa guru-guru dari Belaga mempunyai seribu persoalan tentang tuntutan perjalanan kerana merupakan satu-satunya daerah yang memegang status pedalaman untuk semua 11 buah sekolah rendah di bawahnya.

-

Sudah tentu aku terpaksa mengerah keringat mengisi ruang untuk lain-lain perkara yang merujuk kepada pacuan empat roda dan perahu. Syukur juga kami ditempatkan di hotel tiga bintang seperti TanahMas yang sememangnya tidak pernah mengecewakan dari soal makan dan bilik dengan harga sekitar RM190 berbanding dengan Kingwood dalam kelas yang sama. Cuma mereka tidak mempunyai parkir kereta tetapi itu tidaklah menyusahkan kami kerana rata-rata antara kami hanya mempunyai lesen memandu perahu.

-

Macam manalah agaknya rupa kelas tahun 2 yang sudah ditinggalkan sekian lama, dari gerak hati aku dapat merasakan bahawa aku akan bersama-sama dengan muridku didenda mengutip sampah kerana mendapat kelas terkotor pada isnin depan. Terasa rindu pula dengan dendaan tersebut walaupun aku tidaklah suka sangat tetapi banyak baiknya kerana sekolah akan bersih dan murid tahu betapa pentingnya menjaga kebersihan.

Friday, June 12, 2009

Pelik sungguh keadaan LCCT dengan kehadiran polis yang lengkap bersenjata di merata tempat seolah-olah akan berlakunya keganasan. Nampaknya langkah menangani selsema babi diambil dengan lebih teliti dilapangan terbang Bintulu tidak seperti 2 minggu lalu sesuai dengan keadaan yang semakin meruncing sekarang ini. Menerima panggilan daripada PPD berkaitan soal kursus yang akan diadakan di Tanah Mas Sibu membuatkan aku tidak akan masuk ke Segaham seperti yang dirancang tetapi akan terus ke Sibu. Jika dibandingkan kos aku pulang ke Segaham lebih baik rasanya duit itu digunakan untuk membeli pakaian baru yang sesuai untuk kursus dan membayar sewa hotel.
-
Setelah beberapa kali berharap akhirnya dapat juga petang ini ke kawasan hutan rekreasi Tumbina berhampiran dengan Tanjung Batu. Kawasan seluas 2773 meter bolehlah disamakan dengan permadangan di Bukit Gasing dan yang paling istimewanya ialah anak sungai yang mengalir jernih. Cuma sayangnya ia cuma dibuka bermula jam 2 petang hingga 7 malam dengan bertujuan mengawal pengunjung supaya tidak tersesat kerana banyak denai yang tidak berkenaan.

Tuesday, June 09, 2009

Untukmu Guru 2009, Akaustik

Guru Malaysia 2009

Ibu Pertiwiku 2009 (Sarawak)

Kayu Belian

Kisah Tongkang di Sg Baleh, Kapit

Guru Pembina Negara Bangsa 2009

Negaraku 2009

Parap (Pantun)

Pra Gawai 2009, Segaham

Punca Mata Air