Hari yang paling memenatkan di Sibu bukan kerana mengadap murid aku yang obses tentang sukan tetapi aku pula yang belajar sehari suntuk hingga ke malam hari bersama 96 orang guru yang lain dari tiga daerah iaitu Kenowit, Sibu dan Belaga. Seperti biasa guru-guru dari Belaga mempunyai seribu persoalan tentang tuntutan perjalanan kerana merupakan satu-satunya daerah yang memegang status pedalaman untuk semua 11 buah sekolah rendah di bawahnya.
-
Sudah tentu aku terpaksa mengerah keringat mengisi ruang untuk lain-lain perkara yang merujuk kepada pacuan empat roda dan perahu. Syukur juga kami ditempatkan di hotel tiga bintang seperti TanahMas yang sememangnya tidak pernah mengecewakan dari soal makan dan bilik dengan harga sekitar RM190 berbanding dengan Kingwood dalam kelas yang sama. Cuma mereka tidak mempunyai parkir kereta tetapi itu tidaklah menyusahkan kami kerana rata-rata antara kami hanya mempunyai lesen memandu perahu.
-
Macam manalah agaknya rupa kelas tahun 2 yang sudah ditinggalkan sekian lama, dari gerak hati aku dapat merasakan bahawa aku akan bersama-sama dengan muridku didenda mengutip sampah kerana mendapat kelas terkotor pada isnin depan. Terasa rindu pula dengan dendaan tersebut walaupun aku tidaklah suka sangat tetapi banyak baiknya kerana sekolah akan bersih dan murid tahu betapa pentingnya menjaga kebersihan.
No comments:
Post a Comment