Jika mahu tahu tingginya gunung tanyakan pada Si Enggang,
Jika mahu tahu tebalnya hutan tanyakan pada Pak Belang,
Jika mahu tahu panjangnya sungai tanyakan pada Sang memerang.
Wednesday, July 29, 2009
Minggu yang cukup bagus untuk P&P kerana kehadiran penuh dan Moses sudah boleh menulis dengan baik tanpa perlu lagi aku membetulkan mata kerana terpaksa membaca tulisan alien. Sudah banyak buah Borneo yang aku cuba seperti buah bawang, dabai, kemayuh dan tap. Rasanya buah dabai yang paling popular dan selalu diperkatakan berbanding buah durian yang kononnya merupakan raja buah. Ia seakan-akan buah kurma bentuknya dan rasanya lemak kelat dan kadang kala sesetengah masyarakat menjadikan ia sebagai lauk yang kebiasaannya dicicah bersama kicap masin. Di Segaham ia dijual hanya RM 6.00 sekilo, di Belaga RM 8.00 sekilo berbanding di Batu Niah ia melonjak hingga kepada RM16.00 sekilo. Di Bintulu harganya RM7.00 satu koh tetapi ia sebenarnya dikira mahal kerana cuma bersamaan setengah kilo.
Sunday, July 26, 2009
Keadaan kesihatan tidaklah berapa cun seperti biasa kerana baharu sahaja mendermakan darah di Hospital Bintulu jumaat lepas. Namun ia tidaklah membantutkan perjalanan aku ke Batu Niah untuk melakukan eksplorasi terhadap 4 buah gua dan 7 permukaan yang menjaadikannya sebuah gua yang besar.
Laluan tar Bukit Wisma Bintulu menjadi sasaran aku yang baru walaupun ia tidak sehebat laluan tar Bukit Besi mahupun Bukit Cinta untuk berjongging. Sekurang-kurang ia dapat memberikan momentum yang sedikit kerana bentuk muka bumi Segaham langsung tidak membantu aku dalam mengekalkan momentum kerana lebih banyak mendatangkan kecederaan. Keadaan Tanjung Batu tidaklah berapa bagus kerana udaranya dicemari oleh debu-debu kerana proses penambahbaikan tanjung tersebut.
Perjalanan ke Gua Niah dari pedalaman (Segaham) amatlah memeritkan dan dikategorikan sebagai hampir-hampir mustahil untuk dilakukan hanya untuk melihat sebuah gua. Tetapi dari Bintulu ia sangat santai cuma 131km iaitu kira-kira 2 jam perjalanan darat dan lebih baik dari Miri cuma 1 jam setengah dengan jarak 109 km.
Gua Niah merupakan taman negara Sarawak terkecil, tetapi merupakan yang paling penting dan menarik minat pelancong. Ini adalah kerana di Gua Niah telah dijumpai fosil manusia yang berusia 40,000 tahun sekali gus menjadikannya sebagai tapak awal kehadiran manusia di Asia Tenggara. Selain itu jumpaan perkakasan manusia purba ini telah menjadikan Gua Niah sebagai tapak kaji purba terpenting di dunia.
Gua Niah ialah nama gabungan gua-gua yang terdapat dalam kompleks batu kapur Niah Subis (berbentuk sebuah gunung) yang terletak di Taman Negara Niah. Perjalanan dari renjer ke pintu gua pertama ialah sejauh 3 km dan ditambah 4 km untuk ke gua terakhir. Secara dasarnya terdapat 4 buah gua utama iaitu Gua Dagang, Gua Lobang Kuala, Gua Gan Kira dan Gua Hitam (mengikut susunan).
Manakala pintu belakang gua untuk Gua Dagang ialah Pengkalan Lobang, manakala untuk Gua Lobang Kuala dan Gua Kan Kira ialah Lobang Tulang, Lobang Sempit, Lobang Tahi Menimbun, Lobang Hangus dan Lobang Bulan.Pintu belakang untuk Gua Hitam (Gua Lukisan), cuma dikenali sebagai Kain Hitam 2.
Sebenarnya hanya dua buah gua yang terpenting dari sudut arkeologi iaitu Gua Lobang Kuala dan Gua Hitam (Gua Lukisan). Hampir tiadabukti arkeologi di Gua Dagang melainkan tinggalan pondok tidak beratap untuk pemungut sarang burung tinggal sewaktu musimnya. Manakala Gua Gan Kira keadaannya yang sangat gelap dan sempit serta merupakan satu-satunya jalan ke Gua Kain Hitam (Gua Lukisan) dan tiada maklumat yang terpampang di sini seperti gua-gua lain.
Gua Lobang Kuala
Gua Lobang Kuala merupakan gua terbesar di sini, ia mula diterokai oleh AH Everett, seorang pegawai kerajaan dan ahli kaji tumbuhan dan haiwan pada 1880. Penggalian rasmi telah dijalankan pada tahun 1954-1967 oleh T. Harrisson dibantu oleh Barbara Harrisson dan Lord Medway. Dato’ Profesor Zuraina dari USM membuat ekskavasi pada tahun 1976 diikuti oleh para saintis dari United Kingdom, Australia dan Amerika Syarikat yang dipimpin oleh Profesor G. Barker (Universiti Leicester) pada tahun 2000-2004.
Ia dibahagi kepada tapak kehidupan pra-Neolitik di kawasan permukaan gua dan perkuburan Neolitik di kawasan dalaman. Gua ini merupakan tapak yang terpenting di rantau Asia Tenggara yang membuktikan kewujudan kehidupan manusia dalam jangka masa panjang dari 40,000 hingga 2,000 tahun sebelum masihi lalu serta pengkebumian siri manusia yang didokumentasi dengan baik.
Pada 7 Febuari 1958 bukti terawal mengenai Homo sapiens (manusia moden) dikepulauan Asia Tenggara telah ditemui di Hell Trench dengan kedalaman di antara 106 dan 110 inci (2.8 m) di bawah permukaan tanah asal. Serpihan tengkorak itu telah dikaji oleh pakar paleoantropologi terkenal iaitu Von Koeningswald (1958) dan D. Brothwell (1960) yang kedua-duanya merumuskan bahawa tengkorak tersebut dimiliki oleh seorang remaja bermofologi Australo-Melanesia yang jantinanya belum dapat dipastikan. Birdsell (1979) mengenalpasti tengkorak tersebut dimiliki seorang wanita remaja kesamaan Tasmania berusia antara 20-30 tahun.
Subang jed (lingling-o) telah ditemui oleh Profesor Zuraina pada 29 Mac 1977 pada kedalaman 16 inci di sini dan analisis mineralogi menunjukkan bahawa subang tersebut menyerupai nefrit Fengtran di Timur Taiwan kira-kira 2500 km ke arah utara. Subang yang serupajuga ditemui di Batanes dan Palawan di Filipina dimana ia mungkin dihasilkan dan diniagakan di Kepulauan Borneo. Lain-lain barang temuan di Gua Lobang Kuala ialah bekas tembikar (seperti tembikar unik 3 warna dan tembikar bermuncung dua), peralatan batu, cengkerang dan tulang (peralatan dan makanan). Juga di sini ditemui lebih daripada 200 perkuburan manusia.
Gua Kain Hitam
Gua ini terletak di lokasi berasingan daripada 3 buah gua yang lain dan juga disebut sebagai Gua Lukisan. Barbara Harrisson amat tersentuh dengan permandangan yang tenteram, lukisan purba pada dinding gua dan keranda berbentuk perahu di lantai gua, apabila gua ini ditemui olehya pada 1958.
T. Harrisson telah menemui tembikar batu, cengkerang, manik, peralatan logam dan tembikar bermuncung dua serta beberapa keranda semasa kerja-kerja ekskavasi. Keranda tersebut diperbuat daripada kayu belian (sejenis kayu yang amat berkualiti dan tahan lama) yang mungkin diletakkan pada tiang yang kini telah roboh. Proses pentarikhan menunjukkan keranda tersebut berusia di antara 2,300-1,045 sebelum Masihi.
Kira-kira 100 buah lukisan berwarna merah bersaiz kecil hingga satu meterboleh didapati pada dinding gua sepanjang 50 meter. Ianya dilukis dengan menggunakan hematit atau pewarna daripada tumbuhan. Lukisan adalah bermotif perahu, manusia, geometrik dan berbentuk abstrak. Lukisan dan perahu berkemungkinan mengisahkan pelayaran manusia ke alam lain. Malangnya lukisan ini sekarang amat kabur namun replikanya boleh dilihat pada papan tanda renjer dan muzium di sini.
Taman Negara Niah boleh didatangi dengan menggunakan kenderaan persendirian, teksi ataupun bas ekspress yang pergi dari Bandaraya Miri ke Bintulu ataupun dari Bintulu ke Bandaraya Miri dengan berhenti di Simpang Niah atau juga disebut sebagai Simpang Ngu (sebagai penanda terdapat Niah Food Court, pasar dan stesen minyak Shell di situ). Dari simpang berkenaan, pelawat boleh menggunakan kenderaan yang disewa yang terdapat disekitar simpang berkenaan dengan harga yang tertentu.
Taman Negara Niah juga menyediakan kemudahan kediaman kepada pelancong iaitu tapak perkhemahan, hostel dan chalet. Di sini juga terdapat kafeteria untuk membolehkan pelancong mendapatkan bekalan makanan kerana tidak dibenarkan memasak di sini. Namun pelancong dibenarkan membuat barbeque di kawasan luar penginapan.
*Pengiraan Kalendar sebelum kelahiran Nabi Isa adalah disebut dengan panggilan ‘sebelum Masihi’. Perkataan ‘Masihi’ di sini adalah sempena gelaran al-Masih bagi Nabi Isa atau ringkasannya BC yang bermaksud ‘before Chirst’. Bagi tahun-tahun sebelum Masihi, kiraannya adalah terbalik berbanding zaman selepas Masihi. Selepas Masihi ditulis dengan singkatan AD yang berasal daripada perkataan Latin Anno Domini yang bermaksud tahun Masihi.
Mengantuk aku seharian kerana pulang lewat jam 2.15 pagi ke Segaham hari ini kerana urusan menziarahi kematian di Rumah Nyaving, Long Menjawah. Cara urusan pengkebumian jenazah masyarakat Kayan ternyata tidak banyak berbeza dengan masyarakat Kejaman yang menyimpan jenazah selama seminggu untuk ditatap oleh saudara mara. Hujan awal pagi yang berlarutan hingga ke waktu PJ memaksa aku mengajar di dalam dewan makan, ini membuatkan hari yang dinanti-nantikan oleh pelajar tidak menjadi indah seperti yang sepatutnya. Aku mengambil peluang semalam membetulkan teknik renangan murid tahun 6 semasa mereka mandi di Batang Rajang akibat ketiadaan air. Tiada masalah bagi aku kerana 100 peratus murid di sini boleh berenang dengan baik cuma perlu diubah sedikit kedudukan kepalanya.
Thursday, July 16, 2009
Tiada aktiviti penangkapan ikan di Sg. Baban kerana airnya sangat cetek separas lutut, tidak membolehkan perahu enjin sangkut berkuasa 15 kuda memudikinya melainkan perahu kecil tanpa enjin. Untuk mencari buah bawang (seakan buah bacang tetapi dua kali lebih besar) aku terpaksa berjalan sejauh 15 minit di sepanjang tebing Sg. Baban berlumpur yang mempunyai banyak kesan tapak kaki kambing batu.
-
Hari ini aktiviti aku diperluaskan oleh Apok ke Sg. Lidung yang bersih (boleh diminum airnya) tetapi tiada ikan di sini. Aktiviti kami lebih kepada mencari sayur-sayuran hutan seperti rebung buluh, pucuk paku, kangkung dan tidak terkecuali batang bemban untuk dibuat tikar dan ajat. Sebenarnya kawan-kawan serumah aku tidak berminat untuk memakan pucuk rebung dan buah bawang atau yang seumpama dengannya. Aku pergi cuma sekadar membantu mereka dan mahu memahami bentuk muka bumi di sini.
Kambing batu = babi
Ajat = sejenis beg sandang untuk mengangkut hasil pertanian
Wednesday, July 15, 2009
Seawal pukul 6.00 pagi kami mengetuk pintu rumah bos kerana keadaan bintik-bintik merah pada Cikgu Firdaus yang agak membimbangkan walaupun tidak demam. Dengan budi baik bos, dia mengarahkan Cikgu Firdaus ke Belaga menggunakan perahu sekolah kerana ketiadaan bot ekspress berpunca daripada air Batang Rajang yang semakin surut. Keadaan yang semakin teruk selepas mendapatkan rawatan di Belaga membuatkan dia mencari alternatif kedua iaitu di Bintulu. Sudah lama juga aku memikirkan dari mana puncanya penyakit ini. Adakah dari punca air, makanan atapun ada seekor binatang yang bermaustatin dalam teratak kami yang hanya menunggu masa untuk membaham aku dan Cikgu Zul yang masih dara dari daripada bintik-bintik merah!.
Monday, July 13, 2009
Hari yang sangat memenatkan kerana terpaksa berkejar ke Belaga menghantar Fredrick ke klinik kesihatan kerana ada sesuatu yang tidak kena pada matanya. Kebetulan juga pada hari ini naik bintik-bintik merah pada badan Cikgu Firdaus dan tiga orang murid lain muntah-muntah dan demam panas. Kami dikira bernasib baik kerana pihak klinik melayan kami setaraf lima bintang kerana kami datang di atas urusan Seri Paduka Baginda. Ini adalah cara yang baik mengekalkan rapport antara jabatan kerajaan dan aku berharap jabatan lain juga akan melakukan perkara yang sama untuk urusan Seri Paduka Baginda. Air Batang Rajang surut mendadak kerana tiada kelibat hujan selama dua hari, ia termasuklah sungai-sungai yang mengalirkan air ke Batang Rajang. Ia memberi rezeki kepada penduduk berhampiran Sg. Baban kerana ikan mudah tersangkut pada pukat yang dipasang di sepanjang sungai apabila fenomena air surut mendadak berlaku. Cuma ia memberi masalah kepada pengangkutan bot laju untuk perjalanan dari Sibu ke Bakun.
Dari segi fizikal saya boleh berlari pada jarak sejauh 42.195 km dimana catatan peribadi terbaik ialah pada jarak 31.1km dengan catatan masa 2 jam 42 minit. Saya juga boleh berenang di kolam tanpa arus pada jarak 2.2 km di bawah 120 minit. Saya juga pernah berlari di atas gunung sejajar dengan Batang Rajang sejauh 11km dalam masa 1 jam 35 minit.
Dari segi akademik memiliki Ijazah Sarjana Muda Sastera bidang Pengajian Melayu (Universiti Malaya) dengan menyudahkan latihan ilmiah bertajuk “Jampi Mantera Dalam Persilatan Melayu”. Dalam bidang ikthisas memiliki Sijil dan Diploma Sumber Manusia yang dianugerahkan oleh Institut Sumber Manusia Malaysia serta Diploma Perguruan oleh Institut Perguruan Raja Melewar.
Sekarang bertugas sebagai Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Siswazah di kawasan altitud tinggi di Cameron Highlands Pahang setelah berkhidmat di Belaga dan Selangau Sarawak.