Dari Segaham ke Gua Niah
Perjalanan ke Gua Niah dari pedalaman (Segaham) amatlah memeritkan dan dikategorikan sebagai hampir-hampir mustahil untuk dilakukan hanya untuk melihat sebuah gua. Tetapi dari Bintulu ia sangat santai cuma 131km iaitu kira-kira 2 jam perjalanan darat dan lebih baik dari Miri cuma 1 jam setengah dengan jarak 109 km.
Gua Niah merupakan taman negara Sarawak terkecil, tetapi merupakan yang paling penting dan menarik minat pelancong. Ini adalah kerana di Gua Niah telah dijumpai fosil manusia yang berusia 40,000 tahun sekali gus menjadikannya sebagai tapak awal kehadiran manusia di Asia Tenggara. Selain itu jumpaan perkakasan manusia purba ini telah menjadikan Gua Niah sebagai tapak kaji purba terpenting di dunia.
Gua Niah ialah nama gabungan gua-gua yang terdapat dalam kompleks batu kapur Niah Subis (berbentuk sebuah gunung) yang terletak di Taman Negara Niah. Perjalanan dari renjer ke pintu gua pertama ialah sejauh 3 km dan ditambah 4 km untuk ke gua terakhir. Secara dasarnya terdapat 4 buah gua utama iaitu Gua Dagang, Gua Lobang Kuala, Gua Gan Kira dan Gua Hitam (mengikut susunan).
Manakala pintu belakang gua untuk Gua Dagang ialah Pengkalan Lobang, manakala untuk Gua Lobang Kuala dan Gua Kan Kira ialah Lobang Tulang, Lobang Sempit, Lobang Tahi Menimbun, Lobang Hangus dan Lobang Bulan. Pintu belakang untuk Gua Hitam (Gua Lukisan), cuma dikenali sebagai Kain Hitam 2.
Sebenarnya hanya dua buah gua yang terpenting dari sudut arkeologi iaitu Gua Lobang Kuala dan Gua Hitam (Gua Lukisan). Hampir tiada bukti arkeologi di Gua Dagang melainkan tinggalan pondok tidak beratap untuk pemungut sarang burung tinggal sewaktu musimnya. Manakala Gua Gan Kira keadaannya yang sangat gelap dan sempit serta merupakan satu-satunya jalan ke Gua Kain Hitam (Gua Lukisan) dan tiada maklumat yang terpampang di sini seperti gua-gua lain.
Gua Lobang Kuala
Gua Lobang Kuala merupakan gua terbesar di sini, ia mula diterokai oleh AH Everett, seorang pegawai kerajaan dan ahli kaji tumbuhan dan haiwan pada 1880. Penggalian rasmi telah dijalankan pada tahun 1954-1967 oleh T. Harrisson dibantu oleh Barbara Harrisson dan Lord Medway. Dato’ Profesor Zuraina dari USM membuat ekskavasi pada tahun 1976 diikuti oleh para saintis dari United Kingdom, Australia dan Amerika Syarikat yang dipimpin oleh Profesor G. Barker (Universiti Leicester) pada tahun 2000-2004.
Ia dibahagi kepada tapak kehidupan pra-Neolitik di kawasan permukaan gua dan perkuburan Neolitik di kawasan dalaman. Gua ini merupakan tapak yang terpenting di rantau Asia Tenggara yang membuktikan kewujudan kehidupan manusia dalam jangka masa panjang dari 40,000 hingga 2,000 tahun sebelum masihi lalu serta pengkebumian siri manusia yang didokumentasi dengan baik.
Pada 7 Febuari 1958 bukti terawal mengenai Homo sapiens (manusia moden) dikepulauan Asia Tenggara telah ditemui di Hell Trench dengan kedalaman di antara 106 dan 110 inci (2.8 m) di bawah permukaan tanah asal. Serpihan tengkorak itu telah dikaji oleh pakar paleoantropologi terkenal iaitu Von Koeningswald (1958) dan D. Brothwell (1960) yang kedua-duanya merumuskan bahawa tengkorak tersebut dimiliki oleh seorang remaja bermofologi Australo-Melanesia yang jantinanya belum dapat dipastikan. Birdsell (1979) mengenalpasti tengkorak tersebut dimiliki seorang wanita remaja kesamaan Tasmania berusia antara 20-30 tahun.
Subang jed (lingling-o) telah ditemui oleh Profesor Zuraina pada 29 Mac 1977 pada kedalaman 16 inci di sini dan analisis mineralogi menunjukkan bahawa subang tersebut menyerupai nefrit Fengtran di Timur Taiwan kira-kira 2500 km ke arah utara. Subang yang serupa juga ditemui di Batanes dan Palawan di Filipina dimana ia mungkin dihasilkan dan diniagakan di Kepulauan Borneo. Lain-lain barang temuan di Gua Lobang Kuala ialah bekas tembikar (seperti tembikar unik 3 warna dan tembikar bermuncung dua), peralatan batu, cengkerang dan tulang (peralatan dan makanan). Juga di sini ditemui lebih daripada 200 perkuburan manusia.
Gua Kain Hitam
Gua ini terletak di lokasi berasingan daripada 3 buah gua yang lain dan juga disebut sebagai Gua Lukisan. Barbara Harrisson amat tersentuh dengan permandangan yang tenteram, lukisan purba pada dinding gua dan keranda berbentuk perahu di lantai gua, apabila gua ini ditemui olehya pada 1958.
T. Harrisson telah menemui tembikar batu, cengkerang, manik, peralatan logam dan tembikar bermuncung dua serta beberapa keranda semasa kerja-kerja ekskavasi. Keranda tersebut diperbuat daripada kayu belian (sejenis kayu yang amat berkualiti dan tahan lama) yang mungkin diletakkan pada tiang yang kini telah roboh. Proses pentarikhan menunjukkan keranda tersebut berusia di antara 2,300-1,045 sebelum Masihi.
Kira-kira 100 buah lukisan berwarna merah bersaiz kecil hingga satu meter boleh didapati pada dinding gua sepanjang 50 meter. Ianya dilukis dengan menggunakan hematit atau pewarna daripada tumbuhan. Lukisan adalah bermotif perahu, manusia, geometrik dan berbentuk abstrak. Lukisan dan perahu berkemungkinan mengisahkan pelayaran manusia ke alam lain. Malangnya lukisan ini sekarang amat kabur namun replikanya boleh dilihat pada papan tanda renjer dan muzium di sini.
Taman Negara Niah boleh didatangi dengan menggunakan kenderaan persendirian, teksi ataupun bas ekspress yang pergi dari Bandaraya Miri ke Bintulu ataupun dari Bintulu ke Bandaraya Miri dengan berhenti di Simpang Niah atau juga disebut sebagai Simpang Ngu (sebagai penanda terdapat Niah Food Court, pasar dan stesen minyak Shell di situ). Dari simpang berkenaan, pelawat boleh menggunakan kenderaan yang disewa yang terdapat disekitar simpang berkenaan dengan harga yang tertentu.
Taman Negara Niah juga menyediakan kemudahan kediaman kepada pelancong iaitu tapak perkhemahan, hostel dan chalet. Di sini juga terdapat kafeteria untuk membolehkan pelancong mendapatkan bekalan makanan kerana tidak dibenarkan memasak di sini. Namun pelancong dibenarkan membuat barbeque di kawasan luar penginapan.
*Pengiraan Kalendar sebelum kelahiran Nabi Isa adalah disebut dengan panggilan ‘sebelum Masihi’. Perkataan ‘Masihi’ di sini adalah sempena gelaran al-Masih bagi Nabi Isa atau ringkasannya BC yang bermaksud ‘before Chirst’. Bagi tahun-tahun sebelum Masihi, kiraannya adalah terbalik berbanding zaman selepas Masihi. Selepas Masihi ditulis dengan singkatan AD yang berasal daripada perkataan Latin Anno Domini yang bermaksud tahun Masihi.
25 Julai 2009
2 comments:
Wafi, tak de gambar ke? Teringin gak nak tengok.
Di Niah national Park ni ada penginapan tak?
Salam Kenal :D
Post a Comment