Pokok Sesungkai: sumber ku-alam.blogspot
Pendahuluan
Saya menerima ulasan yang agak kritis dan membina untuk tulisan saya bertarikh 18 Mac 2006 bertajuk Sungkai. Berikut adalah sedikit kenyataan saya “…pada masa lalu terdapat seorang bayi perempuan hanyut di Sungai Sungkai di atas buih lalu diambil orang kampung lalu dinamakan Puteri Buih… Aku teringat semasa Raja Nazrin datang merasmikan Sekolah Menengah Trolak dulu, air minum Sultan (Perak) didatangkan dari Tapah, aku rasa mereka bersikap berhati-hati kerana dikhuathiri daulat Sungkai (Puteri Buih) masih ada…”
Ilmu asal-usul
Sebelum saya pergi kepada cerita Puteri Buih yang kadang-kala menjadi salah satu bahan mengajar ketika waktu senggang eloklah saya menceritakan tentang “ilmu asal usul”. Ilmu ini hanya boleh dipelajari oleh sesiapa yang berminat hendak menjadi pawang atau bomoh setelah melalui proses meminang (penuntut mesti membawa barang yang dijanjikan seperti kain hitam, garam jantan dan jarum). Ilmu asal usul adalah perkara wajib yang mesti diketahui sebelum mempelajari jampi serapah. Ini kerana di dalam jampi serapah kita perlu mengetahui siapa penjaga kita dan setakat mana kawasan jagaannya.
Bagaimana Sungkai mendapat nama?
Sungkai seharusnya sinonim dengan pokok Sesungkai tumbuhan yang melata di sepanjang Sungai Sungkai dan sekitarnya. Secara fizikalnya teras batangnya lembut seperti pokok ubi dan daunnya seperti daun pokok mengkudu tapi bercabang dan batangnya boleh membesar seperti pokok mangga. Ironiknya orang di pedalaman Pahang (Sungai Pahang) memanggilnya pokok Sungkai dan mereka mengamalkan dalam perubatan tradisional dimana air rebusan daunnya diminum untuk menghilangkan demam panas. Orang Sungkai suka menggunakan pokok tersebut untuk dibuat tiang jambo (pondok menjaga buah durian gugur) kerana tiang tersebut akan hidup dan tahan lama (seperti yang kita menanam pokok ubi). SMK Sungkai ada menanam pokok ini sebagai salah satu proses pembelajaran kepada pelajar-pelajarnya.
Panglima Hitam dan kawasannya.
Panglima Hitam adalah penjaga kawasan mukim Sungkai dan sekitar Pahang, mungkin ada yang tertanya-tanya apa yang dimaksudkan penjaga dan kenapa hanya mukim Sungkai dan sekitar Pahang? Setiap kawasan ada penjaganya yang akan mengawal segala hal-hal ghaib yang berlaku di kawasan itu, di Sungkai dan Pahang nama penjaga tersebut adalah Panglima Hitam. Jika hal-hal ghaib berlaku di Taiping, bomoh di kawasan Sungkai dan Pahang tidak dapat berbuat apa-apa melainkan merujuk kepada bomoh di kawasan Taiping kerana ada penjaganya yang tersendiri di situ, samalah jika sebaliknya berlaku.
Persoalan yang kedua kenapa Sungkai dan Pahang sahaja, alasannya Panglima Hitam hanya mengawal hal-hal ghaib di kawasan adanya pokok Sesungkai. Pada mulanya saya tidak percaya bahawa pokok Sesungkai cuma boleh didapati di Sungai Sungkai dan Sungai Pahang sahaja. Namun setelah menjarah hampir kebanyakan kawasan pedalaman di Semenanjung, pernah melakukan Trans Titiwangsa serta pernah melakukan perjalanan air dari Pending (Kuching) ke hulu Sungai Rajang (Batang Balui) sejauh lebih 600km saya yakin bahawa perkara itu benar.
Puteri Buih
Sungkai mengikut ilmu asal-usul ada kaitan dengan salasilah keturunan Sultan Perak sekarang. Mengikut ceritanya pada masa lalu terdapat seorang bayi perempuan hanyut di Sungai Sungkai di atas buih lalu diambil orang kampung lalu dinamakan Puteri Buih. Kecantikan Puteri Buih amatlah masyhur hingga menarik perhatian Sultan Perak lalu ia meminang Puteri Buih, namun terdapat masalah kerana Puteri Buih kononnya datang dari keluarga bunian.
Setelah perbincangan diadakan antara pihak Sultan dan Panglima Hitam (bunian) maka dua (2) syarat telah ditetapkan untuk menghormati tempat datangnya Puteri Buih ini. Dua (2) syarat tersebut ialah keturunan Sultan tidak boleh minum air berpunca dari mukim Sungkai dan kedua tidak boleh memijak tanah di Sungkai tanpa beralaskan kain kuning. Jika perkara ini dilanggar malapetaka akan berlaku terhadap Sultan. Pernah satu ketika Permaisuri Sultan Perak datang ke SMA Abbasyiah lebih kurang 15 tahun yang lepas pulang terus kerana tiba-tiba sahaja ribut petir sabung menyabung. Alasan yang diberikan oleh penduduk kampung ialah kerana ia memijak tanah tanpa menggunakan alas kain kuning.
Terdapat percanggahan fakta antara Ku Alam dan Ahmad Said dengan versi saya, saya percaya ini dapat mencambah ilmu antara sesama kita. Mengenai ada laut air tawar di Tiang Bertarah telah diperbesar-besarkan, saya percaya apa yang dimaksudkan laut itu cumalah sungai yang besar (macam laut kata orang tua). Mengambil analogi bagaimana Kg Pekan Lama (Sungkai) itu mendapat lama, ia sebenarnya sebuah pekan yang sangat maju dimana air adalah pengangkutan utama.
Dasar sungai yang dalam dan lebar membolehkan tongkang bergerak dari Sungkai ke Teluk Intan, untuk memberikan jawapan yang lebih realistik sila lihat youtube : Kisah Tongkang Sungai Baleh, dimana terdapat tongkang yang sangkut kerana sungainya tidak cukup dalam. Namun ia tidak bermakna sungai yang tidak cukup dalam ini tidak cukup untuk melemaskan gajah!. Lagipun jika Tiang Bertarah sudah menjadi laut semua penduduk Sungkai mungkin terpaksa berpindah ke kawasan Banjaran Titiwangsa untuk hidup.!
Saya percaya Puteri Buih ini dijumpai terapung di kawasan Tiang Bertarah walaupun saya tidak dimaklumkan mengenai perkara itu semasa belajar ilmu asal-usul. Ini kerana Tiang Bertarah adalah penempatan awal di Sungkai dan kebanyakan sejarah bermula di situ termasuklah jumpaan istana bunian oleh orang tua yang boleh dipercayai cakapnya semasa sedang berburu.
Kesimpulannya
Sebenarnya terdapat persamaan versi Ku Alam dan Ahmad Said dengan penulis jika diamati terutama cara Puteri Buih dijumpai. Penulis cuma lebih banyak bercerita dari sudut hal-hal ghaib (Panglima Hitam) manakala Ku Alam dan Ahmad Said bercerita dari sudut sejarah keluarga. Alangkah baiknya jika terdapat usaha untuk menyatukan dua cerita ini menjadi satu.
*Penulis tidak mencari persoalan benar atau salah penggunaan jampi serapah, bagi penulis sesiapa yang mensyirikkan Allah berada di pihak yang tidak benar. Penulis adalah pengarang Latihan Ilmiah Jampi Mantera dalam Persilatan Melayu, Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya, 1998.