Nuang 2010
Di atas pelawaan Max aku mendaki Nuang pada waktu malam (ini yang pendakian malam ketiga buat aku). Seperti biasa cuma aku dan Max yang terlibat dalam kerja menjarah gunung yang tertinggi di Selangor itu pada malam hari dan di waktu hujan. Ia mengenangkan kegilaan aku, Zafrul (mentor gunung aku), Ayob, Farah melakukan perkara yang sama 4 tahun yang lalu.
Kami menaiki bas Rapid KL U40 di hadapan Kotaraya dan berhenti di Santex sebelum mengambil bas Rapid KL 412 (Pangsun) ke Pangsun. Setelah mendaftar RM1.00 dengan pihak renjer pada jam 5.30 petang dengan melakukan kaedah bohong sunat mengatakan kami cuma berkhemah di Kem Lolo menjadikan segalanya menjadi mudah, walhal sebenarnya kami bermatlamat untuk terus ke puncak.
Jika kami jujur sudah tentu rancangan kami akan dihalang oleh pihak renjer, lagipun aku pun bukannya baik sangat apatahlagi suci tanpa berbuat dosa. Perjalanan dari renjer ke empangan lama Kem Lolo mengambil masa 1 jam 45 minit, perjalanan kami tersekat di sini kerana sungai di sini telah diserang kepala air. Kami membuat keputusan memasak nasi, berlaukan sardin, ikan bilis dan masak lemak suhun sementara menunggu air surut.
Setelah air surut kami meneruskan perjalanan ke Kem Pacat, kelihatan beberapa denai baru dibuat oleh pendaki untuk menggantikan denai lama yang telah rosak dan begitu banyak pokok yang tumbang di tengah denai. Lebih kurang sejam setengah kami tiba di Kem Pacat dan meneruskan perjalanan ke puncak Pengasih dengan masa lebih kurang 1 jam 40 minit sebelum tiba di puncak Nuang sejam kemudian.
Badan aku masih terasa lesu kerana kesan maraton 2 hari yang lepas, Max terpaksa memperlahankan momentumnya untuk memberi aku ruang untuk bernafas. Dengan masa keseluruhan 5 jam 50 minit kami sampai ke puncak lebih kurang jam 1 pagi, kami menikmati permandangan KL dan Genting Highlands pada waktu malam sebelum memasang khemah di bawah beirut (jangan sesekali memasang khemah di bawah beirut pada waktu hujan jika tidak mahu disambar petir).
Seperti biasa sarapan pagi aku adalah cucur ikan bilis sebelum turun, jam menunjukkan pukul 11.00 pagi namun seorang pendaki pun belum sampai ke puncak. Bosan menunggu lebih lama kami terus turun ke renjer dan berjumpa dengan pendakian di Kem Pacat.
Nuang tidak pernah sekalipun berubah, ia masih sukar sesukar pendakian kali pertama dahulu. Walaupun aku telah menjarahnya lebih 15 belas kali ia tetap mennyusahkan aku, kali ini ia terus menjahanamkan tapak kasut Hitec kepunyaanku.
No comments:
Post a Comment