Monday, April 09, 2007




Perjalanan ke Yong Belar iaitu gunung ketiga tertinggi di Semenanjung itu di teruskan juga dengan penunjuk arah baru yang cukup hensem walaupun sukar untuk dipercayai tetapi oleh kerana orang itu adalah aku maka terpaksalah aku mempercayainya. Kami menggunakan jalan baru yang melalui susur paip selama 20 minit di sebelah kiri batu sempadan Pahang-Kelantan yang juga merupakan jalan ke arah pondok Charlie dan melintasi sungai di sebelah kanan ke Kem Kabin tempat di mana aku dan Zafrul pernah tersesat dahulu. Perjalanan itu sebenarnya menjimatkan masa kami selama 1 jam daripada laluan asal yang melalui bukit tetapi jika tersesat pun tidak mengapa kerana Zafrul dan Ayob memang suka muka mereka masuk ke dalam suratkhabar disamping itu dapatlah mengumpulkan duit mereka untuk ke Mekah balik hari kerana dapat menjimatkan duit kerana tidak menggunakan khidmat penunjuk arah.
-
15 minit pertama Zafrul sudah mengeluarkan senyuman makrifatnya apabila Tyson sudah terduduk keletihan selepas mendaki tangga “Good Morning Sir” yang terletak selepas terowong air dari Kelantan. Aku dan Ayob terpaksalah bersubahat dengan Zafrul menyayur Tyson hingga ke akhir cerita yang merupakan mangsa keempat Zafrul kerana pernah menyayurnya semasa di ITM dulu. Perjalanan ke Kem Tudung Periuk mengambil masa 5 jam dan seterusnya ke tempat perkhemahan kami iaitu Kem Kasut mengambil masa 4 jam. Kami terpaksa berjalan malam untuk sampai ke Kem Kasut dan aku agak terkejut kerana Ayob tidak membawa lampu suluh kerana kononnya melakukan latihan mata.
-
Kami berkhemah di puncak pada esok harinya dengan perjalanan dari Kem Kasut yang mengambil kira-kira satu jam perjalanan. Masa yang cukup membuatkan kami dapat memasang khemah dengan kemas menyebabkan aku dapat tidur dengan selesa walaupun kilat sabung menyabung, hujan lebat dan angin yang kuat, itu tidak termasuk Chin dan Tang yang berlawan berdengkur. Kesucian aku juga telah dinodai selama dua hari apabila Tyson memeluk erat aku selama dua hari sewaktu tidur dengan alasan tiada bantal peluk untuk dipeluk, nasib baik aku bukan jenis spesis yang boleh di buntingkan. Dalam perjalanan yang terdahulu aku ada menemui kancil tetapi kali ini aku mejumpai anak ular tedung yang menghalang jalan kami dan yang bagusnya kami semuanya memang penakut termasuklah diri aku sendiri walaupun kononnya boleh menawan G7 dan boleh berlari jarak jauh. Biasalah bangsaku sejak azali memang kaya dengan idea yang “advance” untuk menghalau ular tersebut seperti menutup ular itu dengan “ground sheet” dan idea yang paling hebat ialah membalak untuk membuat jalan yang baru dan seperti biasa aku yang di arahkan untuk melakukan semua idea tersebut. Penyelesaian dilakukan dengan mencari kayu sepanjang pokok kelapa untuk mengalihkannya dan berlumba lari hingga tidak cukup gunung. Di saat itu aku berasakan amat beruntung jika Farrah dan Marsha mengikut kami maka sudah tentulah semuanya berebut-rebut mahu memegang ular tersebut sambil mengambil gambar bersamanya.
-
Nasi yang dimasak sebanyak empat kali nampaknya kali ini tiada masalah dan strategi memasak nasi di Kem Kasut untuk dibawa ke puncak berbaloi kerana menjimatkan air ditambah pula Ayob secara sukarela membawanya. Begitu juga strategi memasak dalam khemah nampak berkesan yang dapat dilihat daripada ketepatan masa mengikut jadual cuma ada suara yang nakal bertanya kenapa aku asyik memasak sayur masak lemak kobis. Kenapalah aku hendak bersusah payah menunjukkan kemahiran memasak aku kepada jantan-jantan tersebut lainlah jika ada Siti Zafrina yang mengikut kami, sudah tentulah Tom Yam Udang dan Nasi Beriyani pun aku boleh masak. Kesimpulannya aku memberi 4.5 bintang kepada perkhemahan ini kerana hampir tiada kesalahan dilakukan walaupun pelbagai masalah yang berlaku pada awalnya dan merupakan kumpulan yang paling berdisiplin setakat ini. Korbu masih lagi merupakan pendakian G7 yang paling sukar setakat ini dan puncaknya sangat cantik di lihat dari Yong Belar. Bagi aku Yong Belar masih lagi membuatkan aku sedikit gerun dan “lengit” kerana banyak sangat bukit yang terpaksa didaki dan perjalanannya sangat jauh walaupun tidak secerun Nuang dan dari puncaknya boleh melihat Bandaraya Ipoh.

1 comment:

Anonymous said...

Syabas kerna telah berjaya menjadi guide tak bertauliah..Alhamdulilah kiter semua selamat :) tapi tak leh lupa hal ular tuh..
hehehehehe..:p

-aYob-