Saturday, October 16, 2010

DAYA TAHAN OTOT

Daya tahan otot adalah kompenan kecergasan fizikal berlandaskan kesihatan selain daripada kekuatan otot, kelembutan dan kelenturan, komposisi lemak badan dan daya tahan kardiovaskular. Daya tahan otot merupakan keupayaan otot atau kumpulan otot dalam melakukan penguncupan untuk mengatasi sesuatu rintangan dalam masa yang lama. Daya tahan otot dibahagikan kepada dinamik dan statik. Ianya adalah berkaitan dengan kebolehan otot untuk mengulangi pergerakan submaximal rintangan atau tekanan untuk mengekalkan darjah ketegangan mengatasi masa.

Johnson dan Nelson (1986), menyatakan bahawa daya tahan otot ialah keupayaan otot mengulang pergerakan merentang halangan dan tekanan sambil mengekalkan ke satu tahap ketegangan melepasi satu jangka masa. Menurut Corbin dan Lindsey (1985), daya otot ialah keupayaan otot atau sekumpulan otot melakukan penguncupan untuk mengatasi sesuatu rintangan secara berterusan dalam jangka masa yang panjang.

Menurut Corbin dan Linsey (1985), daya tahan otot terbahagi kepada dua jenis iaitu;

i. Daya tahan otot statik

Kebolehan otot menampung beban kerja pada kedudukan yang tepat pada satu jangka masa. Contohnya gaya siku bengkok.

ii. Daya tahan otot dinamik

Kebolehan otot menguncup dan relaks secara berulang-ulang. Daya tahan otot diukur berdasarkan ulangan yang mampu dilakukan pada satu jangka masa. Contohnya tekan tubi.

Corbin dan Lindsey (1988), berpendapat bahawa penguncupan otot terbahagi kepada tiga jenis iaitu :

i. Pengucupan isotonik

Kedudukan otot berada dalam keadaan memendek atau memanjang dengan regangan yang tidak sama semasa mengangkat beban yang konsisten. Penguncupan otot jenis ini dikenali juga sebagai dinamik atau ‘phasic’. Penguncupan isotonik pula boleh dikategorikan kepada dua iaitu :

a. Pengucupan kosenterik

Keadaan otot memendek semasa menguncup. Contohnya mengangkat dumbell.

b. Pengucupan esentrik

Keadaan otot memanjang semasa penguncupan. Contohnya semasa menuruni tangga.

ii. Pengucupan Isometrik

Otot dalam keadaan statik di mana regangan bertambah tetapi panjang otot tidak berubah. Contohnya menolak dinding.

iii. Pengucupan Isokinetik

Pergerakan yang melibatkan regangan otot yang maksimum dengan kelajuan yang konstan pada otot yang tertentu. Contohnya ialah latihan menggunakan alat seperti mengayuh (rowing) yang mempunyai kelajuan dan rintangan.


Sumber

Johnson, B. L., & Nelson, J. K. (1986), Practical Measurement for Evaluation in Physical Education, (4th ed.). Minneapolis, Minnesota: Burgess Publishers Co.

Corbin, C. B., & Lindsey, R. (1985). Concepts of Physical Fitness with Laboratories. (6th ed). Dubuque, Iowa: Wm. C. Brown Publishers.

Friday, October 15, 2010

Ia sudah tidak segagah dulu...

Jika dahulu sebut sahaja Batang Rajang, ia satu nama yang maha hebat hinggakan aku yang mahir berenang (bukan berenang kampung) pun takut dengan deras airnya. Aku sendiri pernah terjatuh ke dalam air ini semasa hendak menaiki perahu, walaupun aku terselamat dari dibaham oleh Batang Rajang ia telah merosakkan telefon bimbit dan jam tangan aku. Kesannya masih hingga sekarang hingga acapkali cuba mengelak menyeberangi sungai menggunakan batang balak. Sekarang ia tidak segagah dulu, airnya sudah kelihatan tenang seperti tasik dan semakin cetek. Ia (dari Bakun ke Kapit) sudah tidak mampu untuk membenarkan tongkang besar dan bot ekspress melaluinya melainkan perahu kecil itupun terpaksa berhenti beberapa kali untuk menolak perahu. Rasanya jika mahu berenang merentasi Batang Rajang 50 kali pun bukanlah perkara yang mustahil!.

Wednesday, October 13, 2010

Sepupu Fredie yang sedang menangkap ikan mati lemas di lubang Bakun (Batang Rajang) semalam, hingga ke hari ini mayatnya masih belum dijumpai. Selalunya mayat orang mati lemas hanya akan dijumpai setelah 3 hari ia berlaku dimana ia akan timbul dengan sendirinya. Pihak Bakun telah menangguhkan penutupan terowong air tiga hari yang lepas akibat hujan yang sangat lebat. Namun ia telah dimulakan pada pukul 7 pagi tadi dan tiada apa-apa masalah setakat hari ini.

Thursday, October 07, 2010

Friday, October 01, 2010

DAYA TAHAN KARDIOVASKULAR

Mengikut Safrit (1981), kecergasan daya tahan kardiorespiratori adalah sistem peredaran respitoratori semasa menjalankan aktiviti fizikal atau bersukan di mana ia memerlukan usaha yang tinggi. Corbin & Lindsey ( 1994 ) mendefinisikan daya tahan kardiovaskular sebagai keupayaan saluran darah dan sistem respiratori menyalurkan oksigen ke otot dan keupayaan otot menggunakan tenaga ini untuk aktiviti senaman.

Corbin dan Lindsey ( 1994 ) juga menjelaskan kuasa aerobik maksimun adalah kiraan isipadu maksimun seminit oksigen atau VO2 max. Kadar pengambilan oksigen maksimun ini boleh diukur di dalam makmal melalui larian di atas Treadmill atau Berbasikal Ergometer.

Daripada kenyataan di atas dapatlah dirumuskan bahawa adanya perhubungan antara kadar nadi dan penggunaan oksigen semasa senaman dijalankan. Pada amnya kadar nadi seseorang berubah secara linear dengan penambahan penggunaan oksigen. Keadaan ini adalah sama bagi setiap individu tetapi terdapat perbezaan antara individu terlatih dengan tidak terlatih. Bagi individu yang terlatih, selalunya kadar nadi adalah kurang semasa senaman berbandingan dengan individu yang tidak terlatih.

Menurut McArdle (1991) daya tahan boleh didefinisikan sebagai kemampuan otot-otot atau jantung melaksanakan kerja berulang - ulang kali untuk mengatasi rintangan atau beban yang tinggi pada jangka masa yang panjang dan dapat mengatasi kelesuan.

Daya tahan kardiovaskular merupakan keupayaan jantung dan sistem peredaran darah berfungsi secara berterusan semasa seseorang itu melakukan kerja untuk tempoh masa yang lama. Kecergasan kardiovaskular bergantung kepada kombinasi efisien tiga komponen:-

1. paru-paru .

2. jantung .

3. saluran darah.

Aktiviti yang berat memerlukan keupayaan jantung dan paru-paru yang efisien kerana situasi ini memerlukan tenaga yang banyak dan hanya pengaliran darah yang kaya dengan oksigen yang membolehkan otot dapat menjalankan aktiviti tersebut.

Peringkat daya tahan kardiovaskular boleh menurunkan kadar nadi rehat dan menjadikan jantung lebih sihat. Hasil daripada keadan ini, peredaran darah menjadi lebih efisien serta peningkatan kebolehan peparu ke kapasiti penggunaan yang optima dapat diteruskan dan oksigen boleh dibekalkan kepada otot bagi mengelakkan keletihan dan kelesuan. Daya tahan kardiovaskular juga dikenali sebagai daya tahan aerobik, atau kuasa aerobik kerana komponen kecergasan jasmani melibatkan sistem tenaga aerobik. Kecergasan kardiovaskular dapat mengawal penyakit jantung dan kegemukan.

SUKAN YANG MENGGUNAKAN DAYA TAHAN KARDIOVASKULAR.

i. Marathon

ii. Renang

iii. Trialthon

iv. Lumba jelajah basikal

v. Lumba Basikal bukit

vi. Acara olahraga jarak jauh

- 3000 meter

- 3000 meter lari berhalangan

- 5000 meter

- 10 000 meter

- jalan kaki 10 km dan 20 km.

Sumber

Corbin,C.B.,& Lindsey,R. (1994). Concept Of Physical Fitness With Laboratories (8th ed.).Dubuque : Wm.C.Brown Publishers.

McArdle, W.D., Katch, F.I., & Katch, V.L. (1996). Exercise Physiology : Energy, Nutrition and Human Performance (4th. ed.). Baltimore : Williams & Wilkins.

Safrit, M.J. (1981). Evalution In Physical Education (2nd ed.) New Jersey : Prentice Hall, Inc.

10 hari lagi!

Notis sebesar kertas A4 telah disebarkan sekitar pekan Belaga, ia mengenai penakungan air ke dalam empangan Bakun yang akan membentuk tasik seluas Singapura. Penakungan air akan bermula pada 10 Oktober 2010 dan dijangka berlangsung selama setahun. Penduduk diminta untuk bersiap sedia dengan musim kemarau kerana kemungkinan besar bot ekspress dari Kapit ke Hulu Bakun tidak dapat beroperasi seperti biasa terutama di musim kemarau. Berdasarkan notis tersebut adalah diramalkan perhubungan (jalan air) ke Sibu akan putus, seharusnya ada usaha untuk membaiki jambatan-jambatan (tidak dapat dibilang dengan jari banyaknya) jalan darat (balak) ke Bintulu sebagai pilihan. Jika langkah ini tidak diambil petrol akan melambung tinggi dan meningkatkan harga barang keperluan di sini.

Letakkanlah seorang profesor!

Semalam guru-guru Tahun 1 daerah Belaga berkampung di pejabat untuk berkongsi maklumat keupayaan murid-murid dan kaedah pengajaran bersama pegawai-pegawai dari Putrajaya. Berada dalam kedudukan kadar celik huruf yang paling rendah di Malaysia bukanlah sesuatu yang boleh dibanggakan walaupun semua 11 buah sekolah berstatus pedalaman (bukan alasan). Walaupun banyak ilmu yang didapati tentang kaedah pengajaran yang berkesan dikongsi ia bukanlah penyelesai masalah total di sini. Sebenarnya ia tiada langsung ada kena-mengena dengan kaedah pengajaran oleh guru-guru yang tidak berkesan atau kelas yang tidak menarik. Jika diletak seorang profesorpun ia tidak akan dapat menyelesaikan masalah kerana adalah budaya di sini murid tidak datang seminggu, sebulan, 9 bulan mahupun setahun kerana melakukan pelbagai kerja seperti bekerja di ladang, memburu atau menangkap ikan. Bagaimana seorang profesor hendak mengajar murid (pelanggan) tersebut satu huruf atau angka jika murid tersebut tidak datang sekolah?

Friday, September 24, 2010

Sudah tiba masanya untuk memberi.

Jalan Menjawah-Bintulu sudah rosak teruk hingga menyukarkan kenderaan pacuan 4 roda untuk melepasinya. Lantas kami (kakitangan sekolah) memutuskan untuk membaiki jalan tersebut tanpa menunggu bantuan pembesar Belaga mahupun kerajaan negeri apatahlagi kerajaan persekutuan. Jalan ini sebenarnya terletak jauh dari sekolah (untuk sampai terpaksa menaiki perahu dan hilux selama sejam,) agak kecewa bila pihak yang kerap menggunakannya tiada inisiatif untuk membaikinya. Bila bercakap soal bantuan lebih baik jangan berharap apa-apa kerana mungkin sudah sampai masanya hidup ini kita pula memberi daripada asyik menerima.

Wednesday, September 22, 2010

Berhenti atau tiada lagi!


Sudah lama aku tidak mengadakan latihan kardiovaskular seperti biasa semenjak menyertai Belaga Rainforest Marathon (trek gunung-ganang sepanjang 11 km sejajar dengan Batang Rajang) sebulan setengah yang lalu. Rupanya ia adalah mimpi ngeri buat aku kerana telah merosakkan tulang rawan dan sendi lutut kiri aku sehingga aku terpaksa memakai pendakap lutut sepanjang masa. Aku masih lagi membuat perhitungan sama ada hendak berjumpa doktor pakar (yang terdekat adalah 6 jam perjalanan-hospital kerajaan [Bintulu] dan 8 jam perjalanan–hospital swasta [Sibu]) atau menjalani pemulihan kendiri dengan memakan ubatan (glucosamine) yang dibeli di farmasi yang sudah menunjukkan hasil positif semenjak seminggu yang lalu (telah memakannya selama 5 minggu). Ini bukanlah pertama kali masalah kecederaan menimpa aku, pada 2006 aku terpaksa didiamkan selama 4 hari di Hospital Taman Desa apabila MRI scan mendapati urat dalam peha kanan aku pecah. Dalam otak aku yang semak ini masih teringat lagi pesan doktor bahawa kita perlu tahu masa untuk berhenti dan bila hendak bermula kembali atau tiada lagi berjalan yang betul apatah lagi untuk berlari!.

Saturday, September 18, 2010

Hampir Menjadi Pusat Sumber!


Hari ini berasa agak kecewa dengan keputusan pembesar yang menidakkan kemudahan pusat sumber di sekolah. Pelbagai cara untuk aku dan Andrew mengadakan pusat sumber baru bagi menggantikan bangunan kayu dua tingkat sedia ada yang telah usang (dibina pada 1964). Kami (aku dan semua kakitangan sekolah) telah membaikpulih bekas rumah guru yang dibina secara gotong-royong, namun segalanya sia-sia kerana masih belum dapat bekalan cat dan tikar getah. Jika para pembesar datang banyak komen yang diterima seolah-olah aku dan Andrew tidak mengambil pusing keadaan pusat sumber tersebut. Jika semuanya kami sumbang (tenaga dan wang) lebih baik kami bina sahaja sebuah sekolah swasta!.

Wednesday, September 15, 2010

Hari pertama mengajar semasa Syawal 1431 Hijrah, suasana sekolah agak suram kerana ramai murid yang ponteng seolah-olah mereka pula yang menyambut Syawal. Agak kecewa juga dengan keadaan tersebut kerana semua guru Islam sudahpun menghadirkan diri kerana amanah yang diberi, pengajaran terpaksa diteruskan walaupun rata-rata hanya separuh murid daripada setiap kelas yang hadir. Alhamdulillah perjalanan dari Perak bermula jam 6.13 pagi sejauh 14001 km (mengikut garis lurus GPS) berjalan lancar dengan menaiki keretapi ETS, ERL, Kapal Terbang MAS, Hilux dan perahu 15 kuasa kuda hingga berjaya sampai di sekolah jam 7.00 malam. Sangat jarang aku mendapat perjalanan yang lancar seperti ini, kerana selalunya ada sahaja masalah yang menjelma hingga perjalanan menjadi 2 hari, mungkin berkat Syawal agaknya.

Wednesday, September 08, 2010

Pekan kecil Sungkai agak sibuk daripada Ahad lepas kerana banyak manusia yang membeli belah untuk keperluan lebaran. Hari Rabu masih ada lagi kawan-kawan aku yang masih bekerja di pejabat untuk minit-minit terakhir bagi memastikan supaya syarikat tidak gulung tikar disebabkan tidak beroperasi seperti biasa. Mungkin senang untuk meminta cuti tetapi bagaimana dengan syarikat yang terpaksa menanggung beban kos operasi (seperti sewa pejabat) seperti biasa, di sinilah tolak ansur penting antara pelanggan dan majikan. Begitu juga pelbagai soalan yang dilontar kepada aku kenapa balik ke Sarawak awal sangat iaitu pada 14 hb September, untuk ini harus tanya pada diri sendiri adakah akan adil membiarkan pelanggan atau murid aku (beragama Kristian) terkapai-kapai di dalam kelas kerana sekolah dibuka seperti biasa.

Rumah Iban, Kampung Budaya

Tuesday, September 07, 2010

Rumah Bidayuh, Kampung Budaya

Pembuatan Senjata, Kampung Budaya

Pondok Penan, Kampung Budaya

Pasar Satok, Kuching

Kayu Tas dan Gambir Sarawak

Lada Hitam dan Putih

Kayu Menjadi Batu!

Monday, September 06, 2010

Fort Margarita, Kuching

Cat Museum, Kuching

Tuesday, August 31, 2010

Tuntutan: Kerajaan VS Swasta

Pada jumaat lepas aku melakukan kemaskini pada buku bank aku, alangkah terkejutnya bila mendapati durian runtuh yang masuk ke dalam akaun aku pada 12 Ogos 2010. Puas aku memerah otak dalam memastikan dari mana datangnya wang tersebut kerana tiada notis daripada bahagian kewangan. Setelah menghubungi beberapa rakan guru sahlah bahawa ia merupakan tuntutan kursus di Sibu.

Aku memang tidak pernah ambil pusing sangat pasal tuntutan di jabatan kerajaan kerana sudah bosan menunggu. Bayangkan kursus (bukan anjuran Jabatan Pelajaran) yang berlangsung pada 15 jun 2009 tuntutannya cuma diterima setelah setahun dua bulan, satu jangka masa yang tidak masuk akal.

Semasa aku bekerja di sektor swasta prosedurnya sangat mudah, apabila tuntutan diterima dalam masa 3 hari ia harus diproses oleh bahagian pentadbiran ditentukan sama ada lulus, lulus bersyarat (dipulangkan untuk penambahbaikan) atau reject. Jika tiada masalah bos bahagian pentadbiran akan meluluskan tuntutan tersebut kemudian ia akan dihantar ke bahagian kewangan untuk tujuan pembayaran.

Dalam masa 14 hari bahagian kewangan akan menyiapkan segala dokumen (cash voucher atau cek) untuk tujuan pembayaran. Ini bermakna dalam tempoh 21 hingga 30 hari semua tuntutan dapat dilangsaikan bukannya 420 hari! jika di sektor swasta mungkin aku sudah dibuang kerja dan dimaki tiap-tiap hari oleh kakitangan yang membuat tuntutan.

Monday, August 30, 2010


Masuk hari ke 16 berpuasa barulah pertama kali tahun ini aku menikmati makanan dari bazaar Ramadhan Bintulu. Itupun kerana aku dan Bad mempunyai perancangan untuk keluar ke Kuching jika tidak aku masih menikmati makanan yang sama iaitu nasi, sayur kobis dan ikan goreng cuma kalau aku rajin merasalah masak tempoyak ikan segar Batang Rajang. Malu rasa pada diri kerana tidak dapat mengawal nafsu makan selama 3 hari berada di bandar Bintulu dan Kuching, rasa seperti zaman kanak-kanak kerana mahu makan dan minum semua benda di hadapan secara serentak hingga menyebabkan kembung perut!. Pemergian aku ke Kuching kali ini menggunakan pesawat ATR MASWing (kipas di luar) yang baru, rasanya lebih selesa menaiki Airbus walaupun mahal. Namun jika difikirkan harga tiket yang sangat murah iaitu serendah RM90.00 (tiket bas Bintulu-Kuching RM67.00-12 jam perjalanan-5 kali berhenti) dan boleh sampai dalam masa 1 jam, aku relakan saja diri menaiki roller coaster di atas awan.

Monday, August 23, 2010

Terasa panas mengajar Pendidikan Jasmani Tahun 1 seawal 8 pagi, selalunya awal pagi hujan turun mencurah-curah hingga aku selalu terpaksa menunda kelas tersebut ke waktu lain. Kerana jika dibatalkan muka murid yang seramai 20 orang itu seperti apek jual aiskrim yang kalah judi. Musim hujan yang kerap menyebabkan kawasan Song, Kanowit dan Sibu ditenggelami air bah hingga menyebabkan banyak sekolah ditutup sehinggga semalam. Aku bernasib baik dari hilir Batang Rajang hingga ke hulu sekolah aku mempunyai altitud yang paling tinggi sekali, jika tidak mungkin kami menerima nasib yang sama.

Saturday, August 21, 2010

Kucing Dalam Manuskrip Melayu Silam


Bab tuah celaka (nasib) kucing

Kucing yang memberi tuah.

  1. Kucing itu mempunyai muka yang hitam dan putih hingga kehidung, ia petanda kekayaan.
  2. Kucing yang putih *safa (bersih) keseluruhan tubuhnya.
  3. Kucing yang mempunyai dada dan muka yang putih.
  4. Kucing yang bertubuh hitam dan *panaknya (membawa maksud beriringan) putih *masuara (mungkin bermaksud masyhur).
  5. Kucing yang mempunyai telinga dan hidung yang putih, tubuhnya *berkoreng-koreng (berconteng), mempunyai muka yang bujur serta tubuh yang tidak panjang.
  6. Kucing yang mempunyai kedua-dua pipi yang putih, mata yang merah, telinga yang panjang dan tirus.
  7. Kucing yang mempunyai ekor berwarna putih dan berkoreng-koreng *perawa (tidak diketahui maknanya).
  8. Kucing yang mempunyai pusaran pada bahagian bawah badan atau rusuknya.
  9. Kucing yang mempunyai semua kakinya hitam dan *bercelak (berstokin) putih.
  10. Kucing yang mempunyai dagu dan pipinya hitam putih seperti *nawang (mungkin naung) bulan.
  11. Kucing yang mempunyai 7 warna iaitu putih, kelabu, hitam, merah, kuning, hijau dan *mastri (mungkin bermaksud kasar).
  12. Kucing yang berwarna masri seperti sabun dan mempunyai pusaran di tengah kepalanya.
  13. Kucing yang berang (marah) ekornya akan bersimpul dan bila ia duduk kakinya tertutup rapat.
  14. Kucing yang kesemua kakinya hitam dan berbadan hitam.
  15. Kucing yang bertubuh putih dan bermuka hitam.
  16. Kucing yang mempunyai tubuh yang hitam, berdada putih dan bermisai putih.
  17. Kucing yang bertubuh hitam dan berpanau-panau putih.
  18. Kucing yang bertelinga putih bertompok-tompok, badannya berkoreng-koreng, mukanya bujur putih dan tubuh yang pendek.
  19. Kucing yang kedua berpipi putih, bermata merah dan bertelinga panjang lebar.
  20. Kucing yang bertampung putih dan perutnya berkoreng-koreng.

Kucing yang tidak bertuah.

  1. Kucing yang mempunyai ekor yang putih dan warna hitam pada sesetengah tempat.
  2. Kucing yang mempunyai badan separuh hitam dan separuh putih.
  3. Kucing yang mempunyai semua kaki yang putih.
  4. Kucing yang berupa musang.
  5. Kucing yang bercampur bulu hitam dan putih.
  6. Kucing yang mempunyai 3 kaki berwarna putih dan satu berwarna hitam.
  7. Kucing yang bertubuh putih dan berekor hitam.

Penulis melihat manuskrip ini secara objektif tanpa mempertikaikan benar atau salah penulisan manuskrip tersebut. Bagi penulis segala ketentuan adalah daripada Allah.

Sumber: The Cat Museum, Kuching

Ikan Kekek


Ikan kekek mak iloi-iloi,

Ikan gelama mak ilai-ilai,

Nanti adik mak iloi-iloi,

Pulang sama sama mak ilai-ilai,


Sungguh malang nasib Pak Kadok,

Ayam menang kampung tergadai,

Helang melayang berbalik-balik,

Helang menuju Pulau-Pinang,

Tunggu sayang tak balik-balik,

Air mata jatuh berlinang,


Ikan kekek oi,

Ikan kekek ah,

Ikan kekek (4x)

Friday, August 20, 2010

Masuk hari kesembilan berpuasa baharulah aku benar-benar berani untuk memulakan latihan kardiovaskular 10 ribu meter seperti biasa. Banyak sangat halangan kali ini seperti sifat malas, tidak bersahur, kerja yang berlambak, sakit kepala, cuaca yang ekstrem samada sangat panas atau hujan lebat dan lutut kiri yang masih sakit tetapi jika hendak jadi tanpa bersahur pun latihan dapat dilakukan.

Masalah elektrik mula menjadi masalah yang besar pula, jika sebelum ini ia telah dicatu kepada 14 jam sekarang ia mengikut keadaan jenerator. Jika jenerator berfungsi dengan baik ia satu bonus, jika tidak lebih baik duduk di tangga melihat Batang Rajang daripada menonton siaran Astro yang tidak dapat dihabiskan ceritanya. Kedatangan dua guru baru (Connie dan Domitilla) semalam memberi nafas segar kepada murid-murid di sini, seperti biasa murid-murid kelihatan baik dan manja dengan mereka. Rasanya ia cuma bertahan dalam seminggu kerana selepas itu murid-murid mula malas membuat kerja melainkan didenda lari keliling padang!.

Monday, August 16, 2010

Wau Kucing

Sumber: maxis.cyberkids.com.my

Wau Kucing merupakan salah satu nama yang terkenal di Malaysia selain Wau Bulan. Wau Kucing dapat dikenali pada bahagian ekornya yang melengkung ke bawah dan panjangnya yang sederhana. Sistem Penerbangan Malaysia (MAS) membuat pilihan “WAU KUCING” sebagai logo rasmi dan ini dapat memperkenalkan identity Kebudayaan Malaysia ke merata ceruk rantau dunia.

Sumber: The Cat Museum, Kuching

Saturday, August 14, 2010


Memasuki pertandingan maraton memang bagus untuk kardiovaskular namun ia memberikan kesan yang tidak baik kepada tulang rawan pada lutut kiri aku terutama apabila ia melibatkan kawasan tanah tinggi. Glukosamine pula masih belum menampakkan kesan yang ketara walaupun dengan memakannya menimbulkan kesan sakit kepala kepada aku. Namun kesan yang baik daripada maraton tersebut aku semakin dikenali oleh orang jika ke pasar Belaga akibat daripada political mileage yang dicipta.

Hari keempat berpuasa, tiada yang istimewa seperti dijual di Bazar Ramadhan untuk juadah berbuka melainkan nasi dan ikan segar Batang Rajang. Aku tidak ambil pusing sangat pasal juadah kerana yang penting aku mendapat karborhidrat, protein dan mineral seperti yang sepatutnya. Kedatangan Timbalan Menteri Pelajaran dan Penyerahan Paip Air oleh Sarawak Hidro minggu lepas membuatkan kami terpaksa mengemaskan peralatan sekolah kepada sedia kala.

Keadaan cuaca yang sangat panas kadang-kala tidaklah sangat membantu tugas-tugas mengemas tetapi lain pula untuk orang kampung kerana ia mengeringkan keadaan hutan belukar untuk dibakar demi menanam padi bukit. Sudah agak lama orang kampung menunggu musim kemarau kerana ia sangat membantu proses pertama (membakar) sebelum rumput kecil yang tumbuh selepas dibakar diracun dan menugal. Sebelum ini ada juga penanaman padi lakukan tetapi secara kecil-kecilan iaitu sekadar di tempat mana yang dapat dibakar.

Monday, August 09, 2010

Kucing Dalam Masyarakat Cina

Kedatangan seekor kucing asing ke tempat kediaman seseorang dikatakan memberikan alamat tidak baik dan sebagai petanda kemunculan kemiskinan. Sekiranya seekor kucing itu dicuri juga menandakan sesuatu yang kurang baik. Jika kelihatan seekor kucing membasuh mukanya menandakan kedatangan orang asing.

Sumber: Cat Museum, Kuching

Kucing Zaman Mesir Purba

Kucing dipercayai mula dijinakkan oleh masyarakat Mesir Purba kira-kira 3000 SM. Pada ketika itu, Mesir adalah sebuah negara pengeluar bijiran yang terbesar dan kucing telah dapat mengawal bilangan dan serangan tikus ke atas bijiran tersebut yang disimpan di dalam gudang. Sumbangan kucing ini telah meletakkannya sebagai haiwan yang amat disayangi dan dihormati oleh masyarakat Mesir kuno. Herodotus (450 SM) pernah menulis, “Jika sesebuah rumah itu terbakar, barang pertama yang perlu diselamatkan ialah kucing.

Sumber: Cat Museum, Kuching

Lima Peringkat Usia Kucing

Kaki dan tangan kucing yang baru lahir sama pentingnya seperti sirip (peringkat 1) supaya ia boleh menarik dirinya. Pada peringkat 2 kakinya lebih mantap daripada peringkat 1. Bila menjengah peringkat 3 ia badannya berbentuk 3 segi, otot-ototnya di bahagian alas dan perut kecilnya di bahagian bawah. Bila ia sudah matang (peringkat 4) bentuknya menjadi bujur dan berubah otot-otot di bahagian atas (semakin hilang) serta keadaan pinggangnya lebih menonjol bila ia mencapai usia senja (peringkat 5).

Sumber: Cat Museum, Kuching

Sunday, August 08, 2010

Belaga Rainforest Marathon 2010

Para pembesar Belaga

Sukar hendak digambarkan perasaan apabila berjaya menamatkan perlumbaan dalam masa 1 jam 35 minit. Trek gunung-ganang sejajar dengan Batang Rajang sejauh 10 km ditambah 1 km di kawasan pekan Belaga menjadikan ia adalah jalan paling dasyat yang pernah aku lalui, (sebelum ini aku meletakkan trek Bukit Besi, Universiti Pertahanan Malaysia yang paling sukar). Sebelum itu peserta dibawa menikmati kebudayaan masyarakat Sekapan (Orang Ulu) pada malam semalam (majlis berlanjutan hingga jam 6.00 pagi), untuk memastikan aku tidur lena aku meminta bantuan guru besar SK Airpot mencarikan kuarters guru untuk aku tumpangi.
Garisan penamat di jeti Sg. Belaga/Batang Rajang

Garisan permulaan bermula di Rumah Panjang Sekapan yang terletak kira-kira 30 minit menaiki perahu 15 kuasa kuda dari pekan Belaga. Trek yang digunakan adalah laluan balak yang ditinggalkan (disebabkan jambatan balak telah rosak) sekian lama hingga menjadi hutan belukar hingga kelihatan jauh lebih sukar daripada jalan Gunung Nuang. Lubang laluan air yang tidak kelihatan, pokok tumbang, jambatan yang rosak, akar pokok menjalar, tiada penunjuk arah dan tiada langsung jalan rata sepanjang 10km membuatkan mental sedikit daripada 66 peserta lelaki tidak meneruskan perlumbaan. Aku sendiri tersungkur ke depan sebanyak 3 kali dan ini membuatkan aku berfikir lebih baik berhati-hati daripada cedera teruk kerana tiada siapa yang dapat menolong aku keluar dalam keadaan muka bumi yang begini.
Terdapat lima check point yang membekalkan air dan kupon di sepanjang perjalanan tidaklah menjanjikan bahawa para peserta tidak sesat. Aku sendiri sesat hingga terpaksa membuat jalan baru ke laluan yang betul dan begitulah yang dialami oleh seorang peserta dari etnik Penan yang terpaksa berpatah balik hingga ia gagal mendapat tempat pertama. Ini bermakna teori yang mengatakan orang Sihan tidak boleh dikalahkan adalah tidak benar jika peserta ini tidak sesat!. Walaubagaimanapun aku mengucapkan tahniah kepada etnik Sihan yang berjaya membolot tempat pertama hingga ketujuh dimana catatan tempat pertama ialah 1 jam 13 minit.
Murid SMK Belaga

Berada di nombor 29 bukanlah masalah besar kepada aku, lagipun aku tidak pernah menang pun selama ini kerana yang penting aku mendapat political mileage di Belaga (kawasan sebesar negeri Johor) dan memahami sukarnya kehidupan orang di sini seperti sukarnya Belaga Rainforest Marathon.

Orang yang sentiasa memastikan aku selamat semasa larian

Beberapa perkara yang harus diambil perhatian oleh penganjur:-

  • Meletakkan tanda arah perjalanan.
  • Menggantikan sistem kupon dengan riben supaya mudah dijaga.
  • Memberikan sijil sebagai tanda pengiktirafan.
  • Memberikan medal kepada peserta yang berjaya menamatkan larian dalam masa 2 jam.

Rumah Panjang Sekapan berada di kiri (tidak dapat dilihat) 11 km ke pekan Belaga (gambar)

*Entik Sihan cukup istimewa kerana cuma ada di Belaga, asalnya hidup nomad seperti entik Penan dan sekarang sedang cuba menyesuaikan diri dengan pembangunan. Tinggal di atas gunung seberang sungai pekan Belaga, untuk sampai ke sana kita perlu berjalan hingga 2 jam tetapi masa yang diperlukan oleh mereka cuma setengah jam. Fizikal mereka sangat sederhana tetapi tegap dan berkulit sawo matang cuma mata kelihatan agak sepet.

Tuesday, August 03, 2010


Sudah dua minggu hidup aku (urusan harian) tidak menentu kerana sibuk dengan persiapan menyambut Timbalan Menteri Pelajaran II (Y.B Dr. Haji Mohd Puad bin Zarkashi) pada esok hari dan Majlis Penyerahan paip air oleh Sarawak Hidro jumaat ini. Berada di dalam serba kekurangan menjadikan tugas persiapan sangat sukar dan memenatkan seperti membuat pelantar ke jelatong, membersihkan bangunan. membuat pentas dan juga buku program yang memerlukan kebolehan ICT tahap gaban bagi memastikan kertas A4 murah lagi nipis 70gm itu kelihatan cantik. Kadang-kadang bagus juga kedatangan pembesar ke sini dapat memberikan bentuk fizikal yang baru kepada sekolah dan kadang-kadang mendengar cerita baru dari luar.