Tuesday, August 29, 2006

Siapa yang lebih patriotik

Entah apa yang terjadi di pejabat sekarang, yang pasti Encik Azam, Encik Fadhli dan Encik Syahril sedang bermaharajalela lebih daripada Dato’ Maharajalela sendiri kerana tiada siapa yang memantau pergerakan mereka kerana ketiadaan aku selama hampir setengah purnama. Entah kenapa sudah tiga hari cuba menghubungi Tengku tetapi masih juga gagal dan semua kiriman utusan tidak sekalipun dibalas. Semua manusia sekarang bercerita merekalah yang cukup patriotik sempena bulan kemerdekaan ini hanya dengan mengibarkan bendera, untuk lebih patriotik lagi Khairy Jamaluddin yang belum pupus itu mengatakan dia lebih patriotik apabila memperjuangkan masalah orang Melayu tetapi dalam masa yang sama telah menghidupkan “bom jangka” yang pernah meletup 13 Mei 1969. Bagi aku Mr. Tan lebih patriotik walaupun bercakap bahasa Melayu lagak seperti Dato’ Samy Vellu tetapi usahanya untuk mencapai piawai bahasa Melayu harus dipuji berbanding dengan rakan sekerja Melayu yang lebih banyak mengajuknya menggunakan bahasa pasar seperti “tatak boleh” walaupun dia sangat memahami jika kita menggunakan bahasa Melayu yang biasa digunakan. Aku pernah juga menanggung aib bila gagal menjawab soalan oleh Makcik Mah apa maknanya “Anjakan Paradigma” selepas mendengar Datuk Seri Anwar Ibrahim menginggeriskan bahasa Melayu semasa memberikan ceramah perdana di kalangan pemimpin UMNO di Dewan Tun Ghazali Jawi Slim River pada tahun 1993.

No comments: