Tuesday, July 31, 2007
Saturday, July 28, 2007
Mujur juga Alfian semput di tangga ke 7 jika tidak sudah tentu Emerald berada di tangga ketiga, keputusan rasmi akan dikeluarkan isnin depan dan nampaknya untuk menjadi johan amat tipis. Ini kerana seperti biasalah sebagai seorang bintang cuma aku dan Zack sahaja turun kali ini yang hanya memungut 17 mata. Sebenarnya hari ini amat memenatkan kerana malam semalam terpaksa mengangkat segala hadiah yang dimenangi oleh syarikat aku disamping terpaksa mengangkat perut yang penuh dengan isi udang, daging, salad dan ais krim di Sheraton Subang. Namun itu semua sungguh berbaloi kerana bila bergandingan dengan Noryn setelah aku membuang gambar-gambar yang tidak perlu dikiri dan kanan, barulah aku perasan aku sangat-sangat sesuai dengannya.
Posted by Maswafi Abd Samat at 12:02 PM 0 comments
Labels: Larian
Friday, July 27, 2007
Posted by Maswafi Abd Samat at 8:28 AM 0 comments
Wednesday, July 25, 2007
Bah Gading, Bidor.
Setelah menerima emel berkenaan puncak Bah Gading, tanpa banyak berfikir aku dan Zafrul terus menerima pelawaan daripada Faisal yang merupakan ahli Kelab Orang Gunung Kuala Lumpur. 13 Julai 2007 pada hari jumaat, selepas waktu bekerja aku sudah menyiapkan segala keperluan terakhir dan menanti semua peserta berjumlah 39 di Restoran Teratai Dayabumi pada jam 9.00 malam. Setelah penerangan diberi oleh Dino Presiden OGKL kami bertolak ke Bidor dan tiba di hadapan Masjid Jamek Bidor jam 1.02 pagi. Hanya satu pacuan empat roda yang menanti kami di situ ini bermakna terpaksa dibahagikan kepada 4 kumpulan untuk masuk ke Pos Gedong, namun kami cuma sampai ke kawasan masyarakat orang asli Pos Senta kerana kesukaran mencari jalan ke Pos Gedong di waktu malam dan cuma mengambil masa tidak sampai 30 minit bukannya 1 jam seperti jadual asal.
Selepas bersarapan roti arab yang disediakan oleh Nina, kami memulakan perjalanan tepat jam 8.32 pagi dengan matlamat jangka pendek untuk sampai ke Pos Gedong. Perjalanan yang mengambil masa 2 jam 40 minit itu tidak sukar sangat kerana jalan yang kering cuma cuaca panas menyebabkan aku cepat penat disamping bukit yang agak tinggi. Setibanya di Pos Gedong kami berehat untuk makan tengahari bihun goreng yang telah disediakan awal pagi tadi sementara Ahmad mencari penunjuk arah untuk membantu kami. Tepat jam 1 tengahari kami memulakan perjalanan dengan meletakkan matlamat ke punca air terakhir sebelum tapak perkhemahan dengan di bantu oleh Bogei di hadapan dan Pak Atan di belakang.
Aku mengambil masa selama 80 minit untuk sampai punca air tersebut iaitu sebatang sungai yang agak jernih airnya dan berehat di situ bersama yang lain dan mengambil air untuk tujuan memasak di kawasan perkhemahan. Jam menunjukkan jam 6.00 petang dan akan gelap tidak lama lagi, Fahmi mengarahkan peserta yang ada meneruskan perjalanan di kawasan perkhemahan untuk memudahkan urusan memasang khemah dan memasak. Manakala aku dan Fahmi menunggu kumpulan kecil terakhir yang masih belum tiba. Kumpulan terakhir cuma tiba pada jam 6.40 petang dan hari sudah semakin gelap.
Aku cukup berasa tidak sedap hati bila berjalan malam tambahan pula jalan seterusnya sangat hampir dengan tempat abang Pak Atan menembak harimau belang suatu ketika dulu. Aku mendahului perjalanan kumpulan terakhir pada jam 7.20 malam bila melihat yang lain sudah mula mendapat tenaga semula dan dalam perjalanan aku berjumpa dengan Ida yang sudah nampak kepenatan dan namun tapak perkhemahan masih jauh lagi seperti yang ditunjuk oleh Bogei awal petang tadi. Aku mengambil keputusan mengurangkan segala beban di dalam begnya dengan membahagikannya kepada peserta yang lain.
Jam sudah menunjukkan 8.35 malam namun tapak perkhemahan masih belum dicapai tetapi bersyukur kerana Ramli dan Pakcik Bakar menunggu kami di lurah yang bahaya untuk memantau pergerakan kami ke tapak perkhemahan. Tepat jam 9.15 malam kami tiba ke kawasan perkhemahan namun apa yang agak mengecewakan aku sebenarnya ia bukanlah tapak perkhemahan yang ditunjuk oleh Bogei kepada aku petang tadi. Pihak OGKL terpaksa mengambil keputusan mendirikan khemah di kawasan lapang di situ kerana hari sudah pun gelap semasa kumpulan pertama tiba di situ ini bermakna kami tersasar lagi daripada jadual asal. Selepas makan nasi beserta kari ikan kering bersayurkan terung, sup sayur, kami terus berehat tanpa mengadakan aktiviti suai kenal seperti jadual asal kerana kepenatan. Malam ini tidak begitu mesra dengan aku kerana cuacanya sangat panas hingga memaksa aku tidur di luar khemah dan aku terpaksa tidur di dalam khemah semula kerana cuaca mulai sejuk apabila hujan tiba-tiba turun lebih kurang pukul 3.00 pagi.
Ahad (15 Julai 2007)
Tepat jam 7.40 pagi Zafrul, Faisal dan Mafeitz sudah bersedia dengan segala peralatan untuk meneruskan perjalanan namun kami cuma mula berjalan hanya sejam kemudian selepas bersarapan nasi goreng yang disediakan oleh Nina. Perjalanan masih lagi melalui lurah-lurah besar yang sangat bahaya yang terjadi akibat hakisan dan masa serta sudah mula agak menegak, tetapi apa yang membuatkan aku rasa berbaloi sangat ialah begitu banyak jenis orkid yang tumbuh di sini terutamanya di kawasan lapang yang hanya mungkin tumbuh dikebanyakan gunung G7.
Jam 9.00 pagi kami tiba di kawasan perkhemahan yang sepatutnya kami berkhemah, ia sebuah tempat yang sangat redup dan cantik serta sesuai untuk mendirikan 10 buah khemah cuma perlu menyusunnya mengikut keadaan muka buminya. Bermula di sini keadaan hutan adalah daripada jenis hutan dara dan perjalanan mendaki kadangkala menegak hingga 80 darjah dan sekali-sekala kelihatan Bogei terpaksa menebas hutan menunjukkan ia sangat jarang dilawati oleh pendaki.
Aku mengambil keputusan untuk terus turun tanpa menunggu rakan yang lain selepas mengambil beberapa gambar di puncak. Ini disebabkan hujan langsung tidak menunjukkan belas kepada aku dan kesejukannya dirasai hingga ke tulang sum-sum dan mungkin lebih bahaya jika kilat menyambar beirut Bah Gading. Aku tiba di tapak perkhemahan jam 12.25 tengahari dan sempat juga aku memanaskan badan dengan api yang dinyalakan oleh Bogei daripada kayu basah. Apip yang baru sampai 30 minit kemudian mengarahkan supaya kumpulan kami membuka segala khemah yang yang ada sementara menunggu kumpulan yang terkahir sampai sementara dia dan Nina terus ke punca air terakhir di bawah untuk menyediakan makan tengahari.
Perjalanan menurun ke punca air terakhir tidak mengambil masa yang lama kira-kira 45 minit sahaja dan selepas kami semua menikmati mee segera yang disediakan perjalanan diteruskan pada jam 3.50 petang dengan matlamat utama sampai ke pondok berhampiran sungai menghala ke Pos Gedong. Kami mengambil keputusan untuk tidak menempuh jalan sungai seperti perjalanan mendaki, tetapi menggunakan jalan pilihan iaitu jalan balak dan kami bernasib baik kerana cuaca tidak panas dan hujan tidak turun namun bentuk muka bumi turun naik menyebabkan kadang-kala aku tercungap-cungap menahan nafas. Jam sudah menunjukkan 6.45 petang aku dan Faisal sudah boleh tersenyum kerana sudah melihat bumbung sekolah Pos Gedong tempat kami berehat semalam namun itu bukan bermakna ia sangat dekat kerana apabila jam menunjukkan jam 7.00 malam kami cuma sampai ke kebun getah kepunyaan orang asli di situ.
Sampai di perkampungan orang asli aku, Faisal dan Julie sempat mengambil gambar sebelum ditunjukkan oleh mereka jalan ke sungai tempat kami sepatutnya berkumpul. Kami sampai ke tempat yang sebutkan pada jam 7.20 malam tetapi cuma Ramli dan Ahmad sahaja yang menanti di situ dimana sebelas pendaki kumpulan pertama sudahpun bertolak ke pekan Bidor. Jam 8.35 malam aku bersama sebelas pendaki yang lain terus ke pekan Bidor dan diturunkan di Masjid Jamek Bidor namun terdapat sedikit masalah kerana pemandu pacuan empat roda tidak mahu mengambil dua kumpulan yang lain di Pos Gedong kerana dia sudah tersasar daripada jadual asalnya. Tanpa berlengah masa Ahmad mencari pacuan empat roda di sekita pekan Bidor namun gagal dan Apip terus ke Balai polis Bidor meminta bantuan, mujur pegawai polis di situ berjaya mendapatkan kami pacuan empat roda untuk mengeluarkan 15 pendaki di Pos Gedong pada malam itu juga. Tepat jam 1.13 pagi kami mula bertolak ke Kuala Lumpur dan sampai jam 3.07 pagi di bangunan Daya Bumi.
Posted by Maswafi Abd Samat at 9:05 PM 34 comments
Labels: Gunung
Walaupun aku ini jenis kaki mengular tapi tidaklah sampai tertidur di pejabat hingga dikejutkan oleh Pengarah Urusan aku sendiri. Jika aku tidurpun, penyamaran aku akan kelihatan sangat bergaya seperti tersangat sibuk sedang menaip sebarang dokumen.
Posted by Maswafi Abd Samat at 8:58 AM 1 comments
Tuesday, July 24, 2007
Posted by Maswafi Abd Samat at 8:28 AM 2 comments
Sunday, July 22, 2007
Posted by Maswafi Abd Samat at 3:08 PM 0 comments
Saturday, July 21, 2007
Posted by Maswafi Abd Samat at 3:05 PM 0 comments
Labels: Larian
Thursday, July 19, 2007
Posted by Maswafi Abd Samat at 8:16 AM 0 comments
Wednesday, July 18, 2007
Posted by Maswafi Abd Samat at 8:16 AM 1 comments
Tuesday, July 17, 2007
Posted by Maswafi Abd Samat at 8:28 AM 0 comments
Monday, July 16, 2007
Posted by Maswafi Abd Samat at 12:56 PM 0 comments
Friday, July 13, 2007
Posted by Maswafi Abd Samat at 8:19 AM 0 comments
Thursday, July 12, 2007
Posted by Maswafi Abd Samat at 8:08 AM 0 comments
Wednesday, July 11, 2007
Posted by Maswafi Abd Samat at 8:10 AM 0 comments
Tuesday, July 10, 2007
Posted by Maswafi Abd Samat at 8:34 AM 0 comments
Sunday, July 08, 2007
Posted by Maswafi Abd Samat at 3:23 PM 0 comments
Labels: Larian
Saturday, July 07, 2007
Trans Titiwangsa (Yong Yap -Korbu)
02 Jun 2007 (Hari Pertama-Sabtu)
3.07 pagi Mail Hilux sudahpun datang menjemput kami untuk ke Kuala Mu, namun sebelum itu kami mengisi perut di pekan Sg. Siput iaitu tempat terakhir boleh dijumpai tamadun manusia kerana selepas ini hanya menu masak lemak kobis, ikan kering, pappadum dan snak sahaja yang ada di tempat yang tiada wujud tamadun manusia itu. Hilux Mail mula berfungsi tepat jam 4.50 pagi ke Kuala Mu dengan melalui tanah merah dan kawasan berbukit yang kira-kira sejauh 40 km dan sampai ke destanasinya jam 8.15 pagi namun masih sempat singgah ke balai polis Sg. Siput. Kami mendaftar kemasukan kami ke kaki Yong Yap melalui buku log berkulit tebal hijau yang mempunyai cap rasmi kerajaan disediakan oleh Tok Batin Kuala Mu, atau lebih tepat meminta izin masuk ke kawasannya.
Selepas membahagikan barang-barang tepat jam 9.00 pagi kami memulakan perjalanan dengan matlamat jangka pendek untuk sampai ke Kem Pondok 1, namun jambatan buluh menyeberangi yang asal telah rosak, maka kami mengikut jambatan buluh baru yang dibina oleh masyarakat asli terletak tidak jauh dari situ dengan mendaki bukit pertama setelah mengambil simpang sebelah kiri. Setelah pendakian berlangsung 45 minit, Adik merasakan kami sudah terkeluar daripada laluan asal, maka aku dan Adik meletakkan bag mencapai parang melakukan tinjauan setelah 30 minit aku masih gagal menemui jalan tersebut. Maka Zafrul da Adik turun semula ke Kuala Mu meminta bantuan masyarakat orang asli, setelah 45 minit mereka kembali dan yang sebenarnya kami sepatutnya memilih simpang di sebelah kanan.
Sekali lagi Adik hilang punca apabila jalan yag sepatutnya telah akibat aktiviti pertanian tebang dan bakar oleh masyarakat orang asli. Sekali lagi aku dan Adik mencapai parang melakukan tinjauan namun masih gagal. Hari sudah semakin gelap sama gelapnya harapan kami untuk berkhemah di puncak akhirnya jalan tersebut ditemui juga oleh Cikgu Rajan yang datang membantu. Kami mengambil keputusan berkhemah di sungai berhampiran Kem Pondok 1 bersama-sama kumpulan lain yang melakukan pendakian puncak Yong Yap. Zafrul memang yang cekap dalam perkhemahan terus menyediakan khemah manakala aku terus memulakan tugas memasak. Semua peserta sudah dapat menyediakan diri untuk tidur tepat jam 9.00 untuk mengumpul tenaga esok hari dalam pendakian ke puncak. Jari tangan aku sudah membengkak kerana banyak menebas dan seluruh tangan aku bercalar kerana terkena pokok berduri tapi bukan itu yang merunsingkan aku sangat tetapi bagamana aku mahu tidur untuk tiga malam yang seterusnya tanpa “sleeping bag” kerana dibasahi hujan.
3 Jun 2007 (Hari Kedua-Ahad)
6.32 pagi aku sudah bangun untuk menanak nasi, setakat ini tiada masalah untuk memasak nasi yang kebiasaannya mentah di tanah tinggi yang sejuk. Luka-luka ditangan sudah mula bernanah namun syukur bengkak ditangan sudah berkurangan. Entah kenapa pagi ini kami semua berlenggang kangkung bersiap seolah-olah kami tidak pernah terlewat mendaki hari semalam. 9.31 pagi kami meletakkan puncak Yong Yap sebagai matlamat kami dan akan berhenti berehat di sumber air terakhir (Last Water Point). Perjalanan amat sukar kerana terlalu banyak merangkak untuk mengelak pokok yang menghalang jalan dan 3 jam kemudian kami sampai ke “Last Water Point” dan untuk sampai ke puncak Yong Yap dari sini mengambil masa 1.40 minit. Kawasan puncak agak berlumpur rasanya tidak sesuai untuk berkhemah di sini dan ini merupakan G7 pertama yang ditawan, sewaktu berehat Zafrul memberi peneranan kemungkinan besar kami akan berjalan malam pada hari.
Tidak aku sangka perjalanan menurun dari puncak Yong Yap amat sukar dengan keadaan hujan lebat, Cikgu Rajan tidak jemu memberi panduan kepada aku supaya tidak tergelincir dan sememangnya aku tergelincir banyak kali menurut kiraan Cikgu Rajan adalah sebanyak 25 kali. Setelah 40 minit perjalanan menurun. kami menemui 2 simpang dimana simpang sebelah kiri menuju ke Post Brooke. Hujan lebat langung tidak menunjukkan belas kepada aku walapun hari telah malam, susah untuk aku memegang akar kayu memanjat atau menuruni bukit dengan memegang lampu suluh. Tepat jam 9.14 malam kami sampai ke puncak Bubu yang agak rata, berpasir dan semak tetapi masih muat untuk dipasang 2 buah khemah.
Kami berehat agak lama kali ini kerana kepenatan, perjalanan perlu diteruskan ke kem perkhemahan yang terdekat mungkin Kem Lopak air menurut Adik. Hujan lebat melemahkan segala otot aku terutama lutut kiri aku yang masih belum pulih. Setelah lebih satu jam perjalanan kami bertemu dengan denai binatang dalam perjalanan menurun yang nelintang sebelum perjalanan mendaki bukit semula. Di sebelah kanannya tergantung botol air yang menunjukkan ada sumber air disebelah kanan dan ia ternyata benar tidak sampai tiga minit kami menemui Kem Lopak yang agak besar boleh memuatkan tiga khemah merupakan kawasan perkhemahan yang agak terkeluar daripada perjalanan Trans Titiwangsa. Jam menunjukkan 10.31 malam dan aku, Adik dan Kamal mencari air untuk kegunaan memasak di sebelah kanan kem kira-kira 20 minit turun dan naik. Sebenarnya tiada sungai di sini melainkan lopak air sebesar meja pejabat aku dengan kedalaman 2 kaki. Nampaknya semuanya sudah memberikan isyarat tidak mahu mengisi perut makanan yang berat kerana kepenatan melainkan mee segera. Air di sini perlu dimasak dengan teliti kerana kandungan airnya penuh dengan sumber protin seperti ulat air dan pelbagai kumbang yang ku sendiri pun tidak pernah ketemui. Agas sungguh bermaharajalela di sini walaupun perjalanan kami masih jauh daripada Kem Lembah Agas. Walaupun tiada isyarat komunikasi aku mula menghantar mesej kepada rakan sepejabat untuk perkara penting di pejabat yang perlu diselesaikan pada Khamis ini kerana kami sudah tersasar satu hari daripada jadual asal.
4 Jun 2007 (Hari Ketiga-Isnin)
Agak lewat sedikit aku bangun hari ini untuk menyiapkan makanan pagi iaitu jam 7.30 pagi kerana keletihan yang amat sangat. Suasanya pagi ini amat gamat bila Cikgu Rajan sudahpun meleteri Zafrul kerana dia akan ketinggalan ujian Penilaian Tahap Kecekapannya yang berlangsung pada hari Khamis ini dan menyuruh Zafrul membuang namanya daripada “mailing list” gunungnya selepas ini. Entah kenapa hari ini kami berlagak seperti pagi selepas hari pertama pengantin baru walaupun sudah tahu ketinggalan masa mungkin kerana kepenatan agaknya dimana kami cuma mula bergerak tepat jam 12.00 tengahari. Setelah sejam perjalanan kami sampai ke puncak Kayong dan talian bimbit aku tidak berhenti-henti berbunyi menandakan mesej yang dihantar sudah sampai kepada penerimanya dan mereka sudah membalas mesej aku. Kami cuma berhenti menangkap gambar dan meneruskan perjalananan dan tidak sampai 10 minit kami sudah sampai ke puncak Kambing dan dapat melihat puncak Tok Nenek yang rata seperti meja dari sini, kami mengambil keputusan untuk tidak singgah ke puncak Tok Nenek kerana ia terkeluar daripada laluan dan ia akan mengambil masa kami sejam untuk turun dan naik ke situ. Kedua-dua puncak yang kami lalui tadi amat kecil kawasannya tidak sesuai untuk berkhemah.
Perjalanan seterusnya ke Kem Kacang untuk mengambil bekalan minuman kerana perjalanan kami masih jauh lagi, hari ketiga hujan masih turun dengan lebat dan tidak menunjukkan sedikit belas pun pada aku. Namun jalan di sini sangat cantik sama keadaannya seperti di Yong Belar menguatkan sedikit semangat aku. Setelah satu jam perjalanan kami sampai ke Kem Kacang dimana sumber airnya terletak curam kebawah anak sungai, dan dalam keadaan hujan lebat Cikgu Rajan terpaksa mengikat kasut sebelah kanan jenama “gold cup” yang terkoyak dengan tali rapia. Kem ini agak luas walaupun terbahagi kepada beberapa bahagian rasanya boleh memuatkan lebih daripada 4 buah khemah.
Aku bangun pada jam 6.53 pagi hari ini, aku semakin tidak selesa dengan jari jemari yang tiba-tiba membengkak kerana luka akibat terkena pokok berduri semalam dan jari kaki kanan aku sudah mula melecet. Aku sudah mula meyapu “flanil” kepada kepala lutut aku yang sudah semakin lemah dan bahu aku yang terasa sakit kerana menggalas bag terlalu lama. Walaupun aku cuba bersiap seawal mungkin namun kami hanya dapat bergerak tepat jam 11.25 pagi dan sampai ke puncak View pada jam 12.25 tengahari. Aku rasa inilah satu-satunya tempat yang paling berbaloi semenjak perjalanan aku merentasi banjaran Titiwangsa. Puncaknya yang terdiri daripada batu amat berbahaya kepada pendaki dan Wan mempunyai asas untuk gayat kerana ia terlalu curam. Setakat ini ia adalah satu-satunya puncak tertinggi yang tidak terlindung dapat melihat banjaran Titiwangsa secara 360 darjah.
Perjalanan diteruskan ke puncak 6153 yang mengambil masa sejam dan perjalanan seterusnya adalah puncak Bonsai Tengah yang mengambil masa selama 45 minit. Hujan masih lagi belum belas terhadap kami hari ini untuk perjalanan menurun 1 jam 30 minit ke Kem Lembah Agas yang dapat memuatkan 5 buah khemah. Namun aku rasakan tidak sesuai untuk berkhemah di sini kerana terlampau banyak agas walaupun di siang hari. Aku sudah menghabiskan 35 Cloud 9 dan semua Maruku Ikan Popo, ini agak merunsingkan aku kerana hari berbaki masih ada dua hari lagi dan aku tidak sangka badan aku yang tinggal tulang ini makan seperti anak jin. Selepas berehat 30 minit kami meneruskan perjalanan mendaki dan melintasi air terjun di ketinggian lebih 4 ribu kaki untuk sampai ke puncak 6135 dan 5514. Perjalanan kali ini dirasakan amat jauh kerana daripada keadaan terang hingga kegelap masih belum menemui kedua-dua puncak tersebut dan hujan kadang-kala agak lebat.
Setelah 5 jam 10 minit berjalan iaitu tepat jam 10.15 malam Wan tiba-tiba kepenatan dan menggigil kesejukan, aku menenangkannya dengan menyuruh dia berehat sebentar sementara Adik, Zafrul dan Kamal meneruskan perjalanan mencari tempat berkhemah yang sesuai. Tidak jauh dari situ Adik terus memasang “fly sheet” walaupun sebenarnya ia terletak dilereng gunung berketinggian 6 ribu kaki dan laluan denai kerana tiada pilihan. Aku terus melakukan tugas aku memasak tetapi cuma menu ringkas mee segera dan teh o yang harus dijaga sepanjang masa kerana tiada tempat yang sesuai untuk memasak. Hari ini aku tidur hanya dengan sehelai baju T lengan pendek, kain pelekat, stokin dan tuala kononnya sebagai latihan ke Gunung Everest kerana marahkan “sleeping bag” aku yang basah, baru padan muka “sleeping bag” itu dan muka-muka aku sekali.
6 Jun 2007 (Hari Kelima-Rabu)
Aku bangun seawal pukul 7.00 pagi dan mengikut jadual asal yang diberi oleh Zafrul semasa di tempat bertamadun di Kuala Lumpur, sepatutnya kami sudah berada di Empangan Sg. Temin hari ini menunggu Mail Hilux menjemput kami. Aku terpaksa mencatu makanan kerana pertambahan satu hari daripada jadual dan pagi ini sebagai pekerja cemerlang, gemilang dan temberang, aku memaksa mereka memakan mee segera dan teh o. Seawal 8.30 pagi kami sudah bertolak kerana tidak banyak barang yang dikeluarkan daripada bag kami malam tadi tepat jam 8.50 pagi kami sampai ke puncak Anak Junction. Semua berasa sangat gembira kerana ini bermakna kami sudah berada hampir sangat dengan puncak Junction dan sudah melepasi puncak 6135 dan 5514 yang dicari malam tadi. Tepat jam 10.15 pagi kami sampai ke puncak Junction di mana simpang ke kiri menuju ke Yong Belar dan ke kanan menuju ke Gayong. Di sini kami berjumpa Topoi yang membawa kumpulan daripada Singapura Management University yang terdiri daripada 22 orang yang sedang melakukan Trans Titiwangsa Versi 1 –Korbu-Yong Belar. Perjalanan menurun selama 2 jam barulah kami berjumpa dengan Kem Cerek namun keputusan diambil untuk tidak turun ke anak sungai yang curam kerana melambatkan masa kami ke puncak Gayong.
Setelah sejam perjalanan mendaki kami sampai ke puncak Gayong yang merupakan G7 kedua di tawan dan Cloud 9 terakhir aku dihabiskan di sini, aku merasakan tubuh aku tidak memerlukan makanan untuk tengahari esok kerana aku sudah terfikir untuk mengqadanya dengan makan Nasi Kandar di Medan Gopeng sebaik sahaja sampai. Puncak Korbu sudahpun dapat dilihat dari sini walaupun kadang kala kabus menjadi penghalang dan kami tidak bercadang untuk berkhemah di puncak Korbu tetapi kawasan menurun selepasnya iaitu di Kem Kijang. Perjalanan kali ini banyak sangat melalui permatang hingga menyebabkan pula kasut “gold cup” sebelah kiri Cikgu Rajan pula koyak dan kami terpaksa berhenti untuk memastikan kasutnya diikat kemas dengan tali rapia. Tepat jam 6.46 petang kami tiba di puncak Korbu dengan keadaan yang semakin gelap, kawasan perkhemahan di sini sangat selesa dan jika disusun rapi boleh memuatkan lebih daripada 6 buah khemah. Setelah memeriksa bekalan air yang masih berbaki 3 liter kami memutuskan untuk berkhemah sahaja di sini demi mengumpul tenaga untuk esok hari.
Aku membuat keputusan tidak memasak air teh o dan menukar menu makan malam kepada kobis masak kicap, syukur pada sebelah malamnya hujan turun dengan lebat dan dapatlah aku mengumpul air sebanyak 3 liter lagi untuk memasak nasi esok pagi. Malam ini adalah cabaran yang paling hebat kerana terpaksa tidur di puncak G7 tanpa “sleeping bag”. Keadaan nafas aku seperti kelehanan menyebabkan Adik menyelimutkan aku dengan tualanya walaupun dalam halunisasi aku berharap Farrah yang menyelimuti aku. Tidur aku diganggu malam ini kerana dikejutkan oleh Cikgu Rajan pada jam 12.40 malam untuk memasak sarapan pagi kononnya, mungkin terkena sampukan jin tanah agaknya dia.
Seperti yang dijanjikan oleh pekerja cemerlang, gemilang dan temberang di tempat yang bertamadun, sarapan sudah terhidang tepat jam 6.40 pagi demi untuk bertolak ke empangan seawal mungkin. Adik sudah pun menghubungi Mail Hilux untuk menjemput kami di Empangan Sg. Temin pada pukul 6.00 petang ini. Kami mengikut jalan lama (klasik) iaitu laluan di sebelah kiri untuk menjimatkan masa. Keadaan menurun terlampau curam hinggakan pada suatu masa kami terpaksa mencampakkan beg kami dahulu sebelum turun. Di sini kami boleh melihat tamadun Bandar Ipoh dengan jelas, dan jika boleh mahu sahaja aku menggunakan “glider” untuk ke situ. Inilah masalahnya bila kekurangan oksigen di tanah tinggi, aku akan berhalunisasi dan macam-macam yang akan terkeluar dalam kepala aku cuma berbulan madu di atas gunung seperti Zafrul sahaja yang aku tidak pernah terfikir.
Kami tiba di Last Water Point yang tertinggi di Korbu tepat jam 10.46 setelah 2.15 minit berjalan dan didalam perjalanan aku menjumpai beberapa pokok pain yang sudah tua disini mungkin ditanam semasa pemerintahan kolonial dahulu agaknya, dan di sini begitu banyak pacat sudah memanjat hampir seluruh badan kami. Setelah berehat 25 minit kami terus ke Kem Kijang yang terletak 1 jam perjalanan dan berhampiran dengan sungai, semasa perjalanan Zafrul sudah mula ghairah merancang untuk melakukan pendakian daripada Pondok Charlie ke Yong Belar selepas ini dan seperti biasa mulut aku ini tidak reti untuk berkata tidak jika bercerita pasal gunung. Kami terus menyusur sungai untuk sampai ke Kem Seroja yang mengambil masa kurang daripada 2 jam dimana kawasan perkhemahan sini boleh memuatkan lebih daripada 6 buah khemah dan terdapat banyak ikan dapat dilihat di dasar sungai yang jernih.
Jam menunjukkan 7.30 malam dan perjalanan perlu diteruskan juga dengan meredah air yang semakin surut dengan berhati-hati. Namun hanya dua sungai sahaja yang berjaya dilepasi, untuk melintasi sungai ketiga kami gagal langsung kerana air terlampau deras. Kami terpaksa juga bermalam di tepi sungai yang basah dan berlumpur walaupun sudah hampir sangat dengan empangan kerana tidak boleh membahayakan nyawa. Aku dan Adik menebas segala anak pokok untuk diletakkan dibawah khemah bagi mengelakkan kami tidur dalam keadaan basah. Adik menghantar mesej kepada Mail Hilux untuk menceritakan keadaan kami dan menyuruhnya mengambil kami pada esok pagi. Tugas aku sebagai tukang masak telahpun tamat bukan kerana janji aku kepada Zafrul untuk memasak untuk lima hari sahaja tetapi tiada apa lagi bahan untuk dimasak kecuali lemak-lemak pada perut Zafrul yang boleh dibuat masak dal.
8 Jun 2007 (Hari Ketujuh-Jumaat)
Pagi ini muka aku sudah seperti kucing yang tidak dapat mengawan kerana tiada lagi benda yang boleh dimakan melainkan lemak-lemak pada perut Zafrul. Mujur juga Cikgu Rajan masih mempunyai Cloud 9 dan dapatlah kami semua merasainya sebungkus seorang. Jam menunjukkan pukul 8.30 pagi dan dengan keadaan yang sangat lemah aku meneruskan perjalanan ke Empangan Sg. Temin, tidak sabar untuk makan nasi kandar di Medan Gopeng dan perjalanan masih lagi sukar kerana terpaksa melalui tebing sungai yang curam dan batu-batu besar. Kami masih lagi terpaksa menghadapi pacat yang memanjat hampir seluruh badan dan melintas beberapa batang sungai. Sejam perjalanan aku sudah menemui jalan balak dan setengah jam kemudiannya kami sudah berjumpa dengan jalan tar dan menunjukkan kami sudah sampai di Empangan Sg. Temin.
Mail Hilux yang dihubungi tidak dapat masuk ke dalam empangan kerana sebab-sebab keselamatan ini bermakna kami terpaksa melalui lagi satu ujian untuk keluar dari situ. Mujur juga Cikgu Rajan yang tenang itu dapat memujuk masyarakat asli di situ menghantar kami hingga ke pintu pengawal keselamatan menggunakan motor dengan bayaran RM10.00 seorang dan tidak sampai 15 minit kami sampai ke “check point” terakhir. Empangan Sg. Temin ini sudah lima tahun dibina dan hampir siap, terdapat satu papan tanda di sini melarang sama sekali pendaki Korbu melalui kawasan ini dan kerana itulah muka Zafrul seperti kucing tertelan jadam kerana dimarahi oleh pengawal keselamatan di situ. Kami singgah makan di gerai makan masyarakat orang asli yang aku kira menyediakan makanan yang sama kualitinya dengan kedai Lebai namun menjualnya dengan harga yang berpatutan. Setengah jam kemudian Mail Hilux menjemput kami untuk di bawa ke Medan Gopeng. dan setelah mandi di Medan Gopeng aku menunaikan nazar aku makan Nasi Kandar di Restoran Salam dan menaiki bas Eksress Zuco dua tingkat jam 2.00 petang ke Kuala Lumpur.
Penutup
15 puncak sudah ditempuhi dimana 3 daripadanya ialah G7 yang diidamkan oleh ramai pendaki. Ramai yang mempersoalkan tindakan aku kenapa perlunya melakukannya usaha ini hingga mengalami kecederaan, tersasar dua hari daripada jadual asal hingga menyebabkan kelaparan. Bagi aku ini hanya satu cara untuk mencedok segala gunung yang terletak di tengah-tengah Banjaran Titiwangsa dan mungkin salah satu cara lelaki-lelaki gila itu mentakrif dirinya.
Maklumat
Puncak
Yong Yap (7110 kaki)
Bubu
Kayong
Kambing
Berlumut
Bonsai Semak
Bonsai
Summit View
6153
Bonsai Tengah
6135
5514
Anak Junction
Junction
Gayong (7129 kaki)
Korbu (7162 kaki)
Tapak Perkhemahan/Persinggahan
Kem Pondok 1
Kem Antara Kem Pondok 1 dan 2
Kem Pondok 2
Last Water Point – Yong Yap
Kem Lopak
Kem Kacang
Kem DGU
Kem Lembah Agas
Kem Cerek
Last Water Point - Korbu
Kem Kijang
Kem Seroja
Empangan Sg. Temin
Peserta
Adik
Zafrul
Wafi
Cikgu Rajan
Wan
Kamal
02 Jun 2007 (Hari Pertama-Sabtu)
04:50 pg Menaiki Hilux-Buat laporan di Balai Polis Sungai Siput
07.50 pg Kuala Mu
08:15 pg -11:15 pg Sesat
11:15 pg -04:30 ptg Kuala Mu ke Kem antara Kem Pondok 1 dan 2
05:00 ptg-06:15 ptg Masih belum menjumpai jalan
06:15 ptg Berkhemah di Kem antara Kem Pondok 1 dan 2
3 Jun 2007 (Hari Kedua-Ahad)
09:30 pg -10:30 pg Kem antara Kem Pondok 1 dan 2
Kem Pondok 2
Check Point sebelum Last Water Point Yong Yap
10:50 pg -12:30 tgh Last Water Point Yong Yap
12:50 tgh- 02:20 ptg Puncak Yong Yap
02:50 ptg- 03:50 ptg Simpang ke Post Brooke
03:50 ptg - 05:50 ptg Puncak Anak Bubu
05:50 ptg - 08:15 mlm Puncak Bubu
08:30 mlm- 10:30mlm Kem Lopak Air
4 Jun 2007 (Hari Ketiga-Isnin)
12.00 tgh - 01:30tgh Kem Lopak Air
Puncak Kayung
01:40 tgh- 02.00 ptg Puncak Kambing (tengok Tok Nenek dari jauh)
02.00 ptg- 03:30ptg Kem Kacang
04.00 ptg- 05.00 ptg Kem Kacang
Puncak Berlumut
05:20 ptg- 06:45 ptg Puncak Bonsai Tengah
07.00 mlm- 08.00 mlm Kem DGU
5 Jun 2007 (Hari Keempat – Selasa)
11:25 pg - 12:25tgh Puncak View
01.00 tgh – 02.00 ptg Puncak 6,153
02:15 ptg- 03.00 ptg Puncak Bonsai Tengah
04:30 ptg Lembah Agas
05.00 ptg - 10:15 mlm Puncak 6,135
Puncak 5,514
Lereng gunung 20 minit sebelum Anak Junction
6 Jun 2007 (Hari Kelima-Rabu)
08:30 pg - 08:50 pg Anak Junction
09.00 pg-10:15pg Anak Junction ke Gunung Junction
10:50 pg- 01:50 tgh Kem Cerek
02:10 ptg - 03:10 ptg Gayong
03:10 ptg - 06:40 ptg Puncak Korbu
7 Jun 2007 (Hari Keenam-Khamis)
08:30 pg - 10:45 pg Last Water Point
11:10 pg- 12:10tgh Kem Kijang
12:40 tgh- 02:30ptg Kem Seroja
02:50 ptg - 03:50 ptg Batu Leper
04.00 ptg - 07:30mlm Tunggu hujan berhenti dan air surut
07:30mlm - 09:30mlm Sungai selepas Batu Leper
8 Jun 2007 (Hari Ketujuh-Jumaat)
08:30 pg- 09:30 pg Jalan Balak (Bus Stop)
09:30 pg -10.00 pg Jalan Tar
10.00 pg -10:20 pg Menaiki motor orang asli
10:30 pg -10:40 pg Pondok pengawal Empangan Sg. Temin
11.00 pg -11:30 pg Makan di gerai orang asli
11:45 pg -12:30 tgh Naik Hilux ke Medan Gopeng
12:30 tgh- 01:20 tgh Mandi dan makan nasi kandar
02.00 ptg – 04.00 ptg Perjalanan Medan Gopeng ke KL
04.00 ptg – 05.00 ptg Traffic Jam dari Jln Duta Tol ke Puduraya
Posted by Maswafi Abd Samat at 11:45 AM 0 comments
Labels: Gunung