Saturday, July 21, 2007

Untuk bangun pagi di hari mulia semalam cukup malas rasanya, inikan pula untuk melakukan tugas rutin tambahan pula asyik mengadap muka Fadli setiap hari lainlah kalau Siti Nur Zafriza yang berada di tempatnya rasanya sebelum terbang lalat aku sudah sampai di sini. Seharian aku cuma melakukan latihan penyamaran iaitu tidur sambil duduk dan membaca blog di internet, al maklumlah semua yang berpangkat tinggi sedang bercuti dan sakit. Inilah akibatnya jika kerja yang sepatutnya dilakukan dalam masa 7 hari terpaksa disiapkan dalam masa 4 hari kerana hampir semua bos yang meluluskan gaji akan pergi ke luar negara atas urusan perniagaan. Aku tersentak bila Zanna memberikan “flyers’ Up Hill Run di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia sejauh 12km pada petangnya dan berharap aku ada di sana pagi ini. Seperti biasa keadaan aku seperti kucing ternampak tikus bila ada bukit yang tinggi di dalam mana-mana marathon. Itupun nasib baik ada nyamuk aedes yang mengigit dahi aku pagi ini jika tidaklah aku dapat menawan Bukit Besi pagi ini. Keadaan Kem Sungai Besi sudah jauh berubah dengan pembinaan kuartes flat yang baru dan wujudnya sebuah universiti, yang tidak berubah cuma kuartes dua bilik tempat aku pernah menumpang 27 tahun yang lalu.
-
Langsung tidak terasa rugi mengeluarkan tambang teksi RM21.00 pergi dan balik kerana mendapati laluan ini adalah berada di tahap A dan tidak salah kalau meletakkannya sebagai dewata berbanding laluan lima bukit di Klang untuk marathon di bawah 12 km. Entah bagaimana harus gambarkan tahap dewanya Bukit Besi itu, mungkin bersamaan dengan lima Bukit Damasara di Universiti Malaya hingga menyebabkan ramai yang berpatah balik dan jika mendakinya pun seperti kura-kura seperti Zafrul mula mengikuti aku dahulu. Bukit Besi tempat semboyan Tentera Darat itu telah menjadi sebahagian daripada diri aku kerana aku boleh untuk tidak berhenti berlari hingga meletakkan aku dalam kelompok 100 terbaik dengan catatan masa 5.58 minit untuk setiap kilometer dan bermakna aku berjaya melakukan 11km dalam masa 60minit. Perjalanan menurun sebenarnya sangat bahaya kerana kelajuan langsung tidak dapat dikawal disamping terpaksa berhadapan dengan beribu peserta mendaki yang kebanyakannya rekrut Universiti Pertahanan Nasional Malaysia. Air muka Zanna agak kecewa dengan kedudukan ke 17 kerana terlepas peluang mendapat medal dan wang tunai. Secara keseluruhannya aku memberikan hanya tiga bintang untuk penganjurannya kerana tiada promosi, pasukan perubatan yang tidak mencukupi, air minuman yang sedikit berbanding dengan penyertaan peserta dan ketidak ketepatan masa berlepas.

No comments: