Sunday, May 13, 2007

Entah apa yang terjadi kepada 9 orang yang tersesat di Nuang semalam, aku cuma berharap tiada apa yang mudarat berlaku kepada pendaki, jika tidak nanti bakal wujud pula pelbagai undang-undang bangang yang terpaksa diikuti. Misi menyelamat sudah tentu sukar kerana walaupun semua pokok-pokok besar di Kem Pacat telah ditebang, kerana ia masih belum cukup untuk mendaratkan helikopter tetapi jika dapat menurunkan pasukan penyelamat di situ masa sebanyak 4 jam dapat dijimatkan untuk sampai ke puncak mencari pendaki tersebut. Jika pendaki itu tersesat di kawasan air terjun kolam hijau sudah tentu mereka akan sampai ke Kem Lolo sekarang ini, tetapi jika mereka tersesat di kawasan hutan Pahang mungkin sekarang mencari bas “loncat” di Janda Baik untuk ke rumah masing-masing dengan tujuan untuk dimarahi oleh ibu dan bapa mereka kerana nakal seperti Azam seperti kecil dulu. Teori itupun aku kira masih belum betul jika bekalan makanan dan minuman mereka tidak mencukupi ataupun ada sesiapa di antara mereka yang tercedera begitu juga dengan sempadan Negeri Sembilan juga tidak boleh dipandang remeh, al-maklumlah Nuang bukan gunung cap ayam seperti pandangan sesetengah pihak walaupun mereka tidak pernah menjengah ke situ.
-
Entah dimana hendak aku letakkan muka aku yang berjerawat ini bila Zila atau lebih tepat spesis perempuan comel itu melakarkan kejayaan di tempat kelima untuk Sarawak Half Marathon hari ini dengan catatan 1 jam 40 minit iaitu di depan aku 10 minit dan hanya dua minit di belakang Firdaus jika PD Half Marathon menjadi kayu pengukur. Jika hendak diikutkan hati aku mahu sahaja mengikutnya ke Sarawak menaiki pesawat tentera kerana tambangnya percuma tetapi itu tidak mungkin, paling-paling hebat pun aku cuma boleh membina rakit dan insyaallah jika ada angin yang kuat bulan puasa nanti aku sampaila itupun jika tidak dijual oleh lanun untuk dijadikan bohsia.
-
Larian Asthma yang dianjurkan tadi adalah larian yang paling teruk untuk aku tahun ini walaupun mencatatkan 23 minit untuk 5km kerana rasa hendak pitam dan terus terduduk selepas garisan penamat. Dada aku terasa sakit sangat selepas 1km berlepas dan aku lagi sakit hati bila melihat Firdaus memecut laju sebelah aku dan bertambah-tambah sakit hati melihat Zafrul jaraknya cuma satu minit ketinggalan dibelakang. Ramai peserta yang sakit hati dengan Abang Kenya yang turut memasuki larian ini walaupun hadiahnya cuma hamper yang aku kira bernilai tidak lebih RM50.00, inilah sikap bangsa Malaysia yang cukup aku puji setiap kali larian tidak habis-habis mengutuk Abang Kenya, rasanya tidak berdosa hanya cuma dia ditakdirkan laju oleh Yang Maha Esa. Aku memberikan 3.5 bintang kepada penganjur untuk tahap keselamatan, sarapan pagi dan tentunya baju “free” yang sangat cantik untuk dibandingkan dengan baju cap ayam yang diberi oleh syarikat aku sendiri.

No comments: