Belumpun hilang parut Trans Titiwangsa, aku sudah memegang beirut besi puncak Bah Gading di ketinggian 5,318 ribu kaki di dalam hujan lebat yang terletak di mukim Bidor semalam. Seperti biasa sumpah tangan kiri aku pada Makcik Mah untuk tidak menaiki gunung cuma bertahan 44 hari sahaja dan kali ini lebih menarik kerana aku berjaya mendaki gunung cuma memakai selipar jepun. Kali ini bukannya aku dan Zafrul yang menguruskan semuanya tetapi mengikut Kelab Orang Gunung Kuala Lumpur (OGKL) dan sesetengah pihak melabelkan mereka sebagai Orang Gunung Kaki Lambat. Mungkin ada benarnya label sesetengah pihak kerana OGKL langsung tidak pernah menepati masa yang ditetapkan oleh mereka sendiri hingga aku cuma boleh meletakkan kepala dibantal pukul 3.35 pagi tadi dan sudah membazirkan wang untuk tambang teksi sebanyak RM15.00 untuk jarak dari Dayabumi ke Kerinchi. Faktor memandang rendah pada gunung cap ayam juga menyumbang kepada kelewatan serta tidak menggunakan telefon bimbit yang ada untuk memberitahu kelewatan yang diketahui lebih awal kepada pemandu pacuan empat roda membuatkan dia tidak mahu mengambil 15 peserta yang masih berada di Transit Pos Gedong dengan alasan menunggu terlalu lama daripada jadual asal. Mungkin kalau aku pun akan mengambil tindakan yang sama bayangkan pemandu pacuan empat roda terpaksa menunggu 4 jam di tengah hutan dan pemandu bas terpaksa menunggu 9 jam di hadapan Masjid Bidor! Nasib baik pegawai polis Bidor berjaya mencarikan dua pacuan empat roda pukul 11.00 malam tadi untuk mengeluarkan mereka jika tidak sudah tentu dengan muka-muka aku sekali keluar dalam Harian Metro hari ini.
No comments:
Post a Comment