Parut Trans Titiwangsa di tangan dan kaki masih lagi jelas dilihat hinggakan Makcik Mah masih bising-bising lagi dengan aku. Kepulangan aku ke Sungkai kali ini bukan mencari buah durian yang memang menjadi di Sungkai tetapi membawa misi membakar sarang penyengat hitam yang menyerang Pak Teh Razak di Menderang. Sudahnya tangan kanan aku masih lagi bengkak hingga ke hari ini yang sudah sebesar tangan Cikgu Wazer kerana sempat “dipatuk” oleh sang penyegat yang kesakitan dibakar oleh aku subuh semalam. Dalam tangan yang sedemikian rupa aku masih boleh memerah “throttle” Honda EX5 ke Slim Village menghadiri majlis persandingan Faizal. Ramai rakan sepejabat yang agak terkejut dengan semangat aku menghadiri majlis perkahwinan ahli persatuan orang bujang dengan menaiki kapcai dari Kuala Lumpur. Ini kerana perjalanan dari Balai Polis Slim River sahaja ke situ sahaja sudah menakutkan kerana terpaksa melalui kebun getah, kelapa sawit, empat buah kuil, sebuah masjid dan sebuah surau, silap-silap kalau “geng” babi hutan melintas aku terpaksa mendahulukan mereka dulu. Kadang-kadang mendiamkan diri itu lebih baik seperti sunnah nabi kerana jika mereka tahu rumah aku berdekatan takut habis pula durian di rumah aku.
No comments:
Post a Comment