Wednesday, July 23, 2008

Sudah masuk hari ketiga aku demam dan selama itulah aku bergantung hidup kepada “Panadol Active fast” untuk hidup sementara menunggu “carbo loading” dapat menstabilkan tubuh aku yang sangat lemah hari ini. Terasa rugi juga terutama terpaksa meninggalkan kelas renang sementara pulih kerana ia berbayar dan lebih malang lagi mata aku tidak dapat “dicuci” dengan permandangan indah di tepi kolam renang seperti kebiasaannya oleh pasukan jimnastik berirama yang sudah tentunya bukan kaum Adam.
-
Rajan sekali lagi mengajak kami mendaki Nuang namun agak pelik kali ini emelnya mempunyai nama-nama awek yang tiada pernah wujud di alam gunung seperti Lidya dan bermacam nama canggih cuma nama ratu cantik sahaja yang tidak diletakkan di situ jika tidak sudah tentu Azam yang tempang kaki pun akan turut serta. Bila aku cuba “mengayat” awek-awek tersebut aku hanya menerima salam daripada “yahoo mail” mengatakan tiada alamat emel seperti yang aku hantar. Begitulah taktik yang terpaksa digunakan oleh “kaki gunung” untuk memancing rakan mereka sendiri!.
-
Sham dan kawan-kawan aku akan meredah Taman Rimba Universiti Malaya untuk larian sabtu ini dan aku sekali lagi tidak dapat hadir kerana terpaksa menghadiri kursus di sini. Universiti Malaya yang pernah mendapat “title” antara 100 universiti terbaik dunia satu ketika dulu sebenarnya banyak merubah diri aku menjadi berani gagal. Tengku pernah menyoal aku kenapa aku tidak tinggal jauh dari Universiti Malaya walaupun sudah bekerja, mungkin kerana terlalu banyak kenangan pahit di situ.
-
Mungkin kerana makcik Mah pernah menangis kerana tidak dapat menghantar anaknya seperti orang lain kerana kekangan kewangan hingga memaksa aku bersendirian menaiki bas dengan cuma membawa sebuah beg pakaian dan jumlah duit belanja tidak lebih RM100 semasa pendaftaran pelajar baru. Selama sembilan bulan aku pasti trauma apabila tiba musim cuti pendek kerana tiada wang untuk pulang ke kampung hingga memaksa aku menumpang di bilik rakan dari Sarawak dan menumpang makan bersama mereka kerana dewan makan hanya menyediakan makanan untuk pelajar Sabah dan Sarawak.
-
Mungkin juga peristiwa aku gagal mempertahankan jawatan presiden semasa mesyuarat agung tahunan PSSM 1997 kerana isu duit banyak memberikan kesan yang mendalam. Hingga sekarang aku tidak menyesal mempertahankan tindakan aku cuba menyelamatkan jumlah wang persatuan yang sejumlah lebih tiga ribu daripada digunakan oleh pentadbir untuk projek mewah ke Turki yang tiada kena mengena dengan kami. Sebagai balasannya aku kalah sebagai presiden dan wang tersebut sudahpun lenyap tanpa berita dan kali terakhir aku berjumpa Ameen dia mengatakan kesalahan besar yang dibuat oleh persatuan ialah menyingkirkan aku yang kelihatan jahat pada masa itu kerana dengan jujurnya menyatakan modus operandi aku bagaimana wang itu akan digelapkan. Cuma aku agak kecewa kerana tiada seorang sahabat rapat yang mempertahankan tindakan aku walhal aku yang bertungkus lumus mendapatkan penajaan keseluruhan yang berjumlah sebelas ribu.
-
Mungkin juga cinta pertama yang berputik di sini meninggalkan kesan yang mendalam. Hendak dikatakan kami ini pasangan ideal tidaklah juga kerana dua kali pandang seperti “beauty and the beast” tiga kali pandang macamlah aku bercinta dengan lelaki kerana sifat tomboy Watie. Jika ada 365 hari setahun maka 300 hari la kami bergaduh pasal soal-soal yang kecil dan akan berbaik semula pada esoknya. Aku dikira bernasib baik dia tidak seterror Sarah dalam bab “sparring” jika tidak sudah tentu patah riuk tulang rusuk aku dikerjakan. Aku rasa perkara tahap Dewa yang kami lakukan ialah memaksa kereta berhenti untuk memberi laluan kepada kami yang sedang hangat bercinta tanpa menyedari bahawa kami sedang melintas jalan.!

No comments: