Monday, May 14, 2007

Hanya kerana kesilapan jurutera perisian Kaizen HR yang tidak dapat mengasingkan kod gaji 20 dan 25 menyebabkan aku terpaksa bertapa di pejabat sabtu dan ahad lepas selama 14 jam untuk menyelesaikan borang A, KWSP yang sepatutnya dapat diselesaikan dalam masa 30 minit. Hendak aku marah pun tiada gunanya kerana semua ah-moi yang dihantar untuk menyelesaikan perkara tersebut cantik-cantik belaka dan aku ini jenis yang tidak suka marah pada awek-awek jika tidak percaya tanyalah bekas awek-awek aku. Daripada menunggu perkara itu diselesaikan hari ini oleh ah-moi tersebut lebih baik aku menyiapkannya secara manual kerana perlu dihantar ke KWSP esok hari, dengan itu bolehlah masa aku dan ah-moi itu digunakan untuk perkara yang lebih berguna seperti bermain batu seremban ataupun congkak.
-
Menggelabah juga aku semalam kerana hampir terlupa menghubungi Makcik Mah, maklumlah sudah dua kali Hari Ibu aku ditegur oleh Makcik Mah kerana tidak menghubunginya tetapi sebaliknya dia yang menghubungi aku, inilah susahnya bila orang kampong sudah pandai membaca kalendar masihi. Silap haribulan separuh daripada kemampuan otak aku digunakan cuma untuk mengingati hari jururawat, hari wanita, hari guru, hari belia dan bermacam hari cap ayam yang lain. Tetapi yang pelik cuma hari lelaki sahaja yang tidak wujud mungkin kerana yang mencipta kelendar masihi itu anti lelaki agaknya, rasanya aku tidak perlukan Hari Ibu dan Hari Kekasih untuk menunjukkan rasa kasih aku pada mereka kerana ia hari itu sentiasa wujud selama 365 hari setahun dalam hati aku.

No comments: