Friday, December 29, 2006

Kelmarin anak saudara Tengku datang ke rumah aku untuk memulangkan "barang" yang dipinjamkan 6 bulan lepas. Sampai sekarang aku tiada jawapan kenapa Tengku yang menghilang tanpa dikesan tiba-tiba berkahwin 3 minggu lepas tanpa menjemput aku ataupun memberitahu aku. Mungkin aku masih kurang kemahiran mendengar atau masih bangang dalam soal keperempuanan hingga dia tidak mahu langsung berjumpa dengan aku. Fadhil yang sudah lama menghilang tiba-tiba menghubungi aku kerana terkejut dengan kematian Makcik Esah minggu lepas kerana dia baru sahaja berjumpa dengan empunya badan. Mahu sahaja aku rendam kepala Nizar yang kecil itu ke dalam lombong A-A Tin kerana yang meninggal ialah mak kepada Makcik Esah. Sekali lagi tanpa rasa bersalah aku terpaksa memfitnah Azam menggodam blog ini kerana tidak dapat menulis rencana semalam walhal ia berkaitan dengan gempa bumi di Taiwan yang memutuskan segala hubungan internet ke Amerika Syarikat.

Nampaknya hari ini Makcik Mah sudah mula sibuk membuat persiapan untuk Aidiladha sudah tentulah shaolinnya menjadi mangsanya iaitu aku untuk mencari segala barang keperluan. Buluh lemang di paya Sg Menderang itu sudah pun ditebang, ketupat plastik, pulut masih lagi di kedai Ah Sa dan kelapa sudah pun dikopek serta besok pagi 4 ekor ayam kampung itu akan menjadi arwah. Aku masih lagi kehairanan kenapa kawan Kuras membawa sumpitnya ke kawasan Kg. Baru Guntong yang terletak jauh daripada kawasan perkampungan orang asli di Journang ataupun Tesong mungkin sudah habis haiwan liar di situ agaknya.

Wednesday, December 27, 2006

Kalau hendak diikutkan hati malas aku hari lebih baik bermain Playstation 2 di rumah sahaja disebabkan keaadan demam dan sengal kaki sebelah kiri yang datang secara tiba-tiba petang semalam. Mungkin terkena tempias puteri Bunian di Nuang seperti telahan Syahida kepada aku ataupun badan aku belum dapat membiasakan dengan kelajuan 7 jam 10 minit ke puncak Nuang. Mujurlah Marsha yang melihat muka aku seperti terkena selsema burung semalam menasihati aku supaya ke klinik. Tetapi secara jujur nasihat itu aku ambil kerana teringin bertemu adik Az yang akan datang untuk sesi temuduga pagi ini, mungkin semenjak hari ini aku sudah boleh berlatih memanggilnya “Kak Long”. Dr. Angela tersenyum melihat aku di ruang menunggu semalam hingga terasa seolah-olah seperti aku pernah menguratnya tapi tidak dapat, aku rasa dia mesti menjangkakan aku akan membawa masalah pelik kepadanya seperti 3 bulan lepas. Rupanya dia masih ingat pada aku kerana kes pendarahan dalaman pada peha aku sambil menanyakan aktiviti terbaru dan menasihatkan aku supaya memperlahankan sedikit aktiviti tersebut. Silap haribulan doktor inipun aku ajak sekali mengikut aku ke Bukit Gasing akan datang.

Tuesday, December 26, 2006

Kali ke Sembilan




Pendakian ke sembilan ke Gunung Nuang bersama Zafrul dan Ayob semalam mengambil masa 7 jam 10 minit yang mana lebih pantas daripada kumpulan Nestle Shah Alam dan kumpulan dari Johor yang turut bersama mendaki, namun masih belumpun dapat mengejar UTK yang masih tiga kali lebih pantas. Pendakian yang menutup tirai 2006 itu menyaksikan kumpulan dari Johor yang seramai 8 orang itu kehabisan air, jikalau diikutkan hati busuk aku mahu sahaja aku menjual air sebanyak 1 liter yang diberi dengan harga RM99.90 sebagai upah membawanya di ketinggian 4000 kaki tapi bila memikirkan manalah tahu mereka mempunyai adik perempuan yang comel aku batalkan sahaja niat tersebut. Kerana kasihankan melihat awek-awek Nestle Shah Alam yang mengerumuni seorang kawan lelaki mereka yang kekejangan otot di bawah Puncak Pengasih terpaksalah aku menolong memberikan pertolongan kecemasan membetulkan kaki kirinya walaupun aku sendiri tidak pasti kaedah yang betul.
-
Sampai sekarang aku tidak dapat menyelesaikan masalah kalkulus kenapa Ayob tidak pernah menjengah Bukit Gasing hinggalah ke hari Sabtu lepas walaupun hanya terletak berhampiran dengan rumahnya tetapi masalah kalkulus yang lebih besar ialah bagaimana aku boleh tersalah membawa Marsha ke tempat makhluk bercinta bertenet di Bukit Gasing bukannya di kawasan pendidikan Hutan Bukit Gasing seperti yang sepatutnya hingga mengundang kemarahannya namun aku tidaklah kisah sangat kerana dia masih lagi lawa walaupun sedang marah. Demi menambah kemarahannya kepada aku, terpaksalah aku menderanya menghabiskan 4 denai yang boleh menuju ke Menara Telekom, kawasan perumahan mewah dan kawasan perkuburan Pantai Dalam C. Kesemua laluan melalui 3 bukit yang akan melalui “canopy walk” dan sungai kecil dan mempunyai menara tinjau di puncaknya. Secara peribadinya aku merasakan hutan Bukit Gasing sangat bagus untuk latihan mendaki gunung kerana laluannya masih dikira mencabar dan ditambah lagi ia mudah untuk didatangi kerana berada di tengah bandar Kuala-Lumpur dan Petaling Jaya.

Thursday, December 21, 2006

Nampaknya blogspot yang menggunakan versi Beta sudah menemui jalan buntu atapun sudah mati dua hari yang lalu kerana beberapa masalah yang tidak dapat diselesaikan seperti ruangan pendapat yang hilang. Walaupun versi baru tidak dinyatakan dengan jelas jenisnya namun ia jauh lebih baik daripada versi HTML dan Beta sebelum ini kerana ramailah yang dapat membelasah aku melalui ruangan pendapat yang telah kembali pulih. Entah apa Dewa Judi mana yang merasuk Nathan hingga dia termimpikan motor aku hinggakan nombornya menjadi mangsa terbarunya mungkin sudah habis agaknya nombor di Taman Desa ini ditikamnya. Semasa makan di Restoran Mahbub Bangsar bersama Zubir semalam aku didatangi oleh pelajar Tahfiz Al Mansur yang membuat jualan amal CD dan ubat tradisional di bawah jenama Al Mansur Holdings. Kalau Mat Khairi agaknya sudah lama ditipu oleh bomoh Azhar Wahab lulusan SRP yang memakai persalinan kuning berkeris yang ditampal pada ubat tradisionalnya. Daripada aku menderma pada seorang bomoh yang ditabal di Gunung Jerai yang jinnya cukup hebat di kawasan Asia Tenggara yang menggunakan pelajar Tahfiz tajaannya menjual kalendar, CD dan ubatan untuk mendapat sumber kewangan rasanya lebih baik aku belanja taukeh restoran Mahbub itu makan nasi beriani di restorannya sendiri.

Wednesday, December 20, 2006

Sebagai memenuhi permintaan seorang ahli pemuda parlimen Pasir Mas yang juga orang kuat Khairy Jamaluddin tetapi mengundi Datuk Ibrahim Ali pada pilihanraya yang lepas yang mahukan gambarnya di abadikan di ruang internet terpaksalah juga aku lakukan demi menjaga hati bakal biras aku yang seorang ini, walaupun terasa kerugian yang amat sangat. Kalau hendak diikutkan hari busuk aku mahu sahaja aku pijak-pijak alat kawalan penghawa dingin jenama ELBA yang berharga RM1023.00 itu biar padan muka Azam setiap kali bila mahu menghidupkan alat tersebut. Mentang-mentanglah ruangan pendapat telah kembali pulih ramai pula yang memberi pendapat bernas kononnya kalau aku handal sangat dalam membomoh kenapa tidak seorang pun yang “rebah” di hati aku. Sebagai lelaki budiman dan bijaksana sudah tentulah jawapan aku tidak akan kekal sifat cinta jika menggunakan panah rajuna lebih baik seseorang itu mencintai aku dari hatinya yang tulus. Kalau diikutkan sifat jahat aku mahu sahaja aku bubuh racun tikus ke dalam minuman kepada yang berani memberi pendapat sebegitu bernas itu.

Tuesday, December 19, 2006

Hujan yang lebat pagi ini melambatkan sedikit perjalanan ke tempat kerja tetapi bukan itu yang menggangu hidup aku pagi ini hingga hidup aku seperti Nathan dikejar oleh Along Knight Capitol. Tetapi ia disebabkan oleh “voice mail” bertubi-tubi daripada Astro yang menyuruh aku membayar khidmatnya dalam masa lima hari jika tidak akan ditamatkan perkhidmatan. Kalaulah aku menggunakan telefon bimbit cap Ayam seperti Pak Su dah lama aku campakkan daripada tingkat 19 ini. Seingat aku yang semakin pelupa ini tidak pernah pula aku melanggan Astro tetapi yang membuat aku seperti kucing nak terberanak takut pula ada makhluk yang sedang “menolong” aku untuk melanggan Astro. Mujur Selvi pegawai khidmat pelanggan Astro mengesahkan bahawa sebenarnya Pian yang meletakkan nombor telefon aku dalam borangnnya permohonannya semasa melanggan Astro. Ini bermakna aku di paksa secara langsung untuk memikirkan segala masalah Pian yang sudah tinggal di Cheras itu.
-
Ramai juga yang tidak berpuas-hati dengan niat jahat aku mahu membuang nama mereka daripada senarai cabutan bertuah seolah-olah perbuatan itu berdosa mahupun belum melakukannya. Tetapi ada juga yang mahu mengikut jejak langkah Azam dan Nik Shafini berjumpa bomoh Siam untuk tahun akan datang, rasa eloklah berjumpa dengan bomoh tersebut seawal mungkin untuk mengelakkan terpaksa beratur panjang. Memang kuat betul penangan Bomoh Siam itu hinggakan tidak terlawan oleh anak didik bomoh Sungkai Pak Ngah Gelap yang hensem itu atau lebih tepat diri aku sendiri rasanya. Nampaknya terpaksalah aku mencari rokok Virginia Gold, garam jantan, kain hitam 4 hasta, duit seringgit suku dan jarum sebagai pengeras untuk menambah aura aku dengan Pak Ngah Gelap demi melawan bomoh Siam taruhan Azam dan Nik Shafini. Entah kenapalah Nathan ditimpa kemalangan lagi hingga mencederakan kaki kirinya dan menyebabkan dia mengambil cuti sakit lagi, mungkin masih belum cukup agaknya jumlah tuntutan PERKESO yang aku buat untuknya tahun lepas.

Monday, December 18, 2006

Sifat pelupa aku sekarang semakin menjadi-jadi sekarang ini hinggakan peti ubat kecemasan pun aku boleh tertinggal di dalam bas mungkin terlampau rindukan Makcik Mah agaknya ataupun sedang dilamun cinta. Lupakan sahaja frasa pantai kerana langsung tiada bentuk muka bumi tersebut di Tiara Beach Resort Port Dickson. Untuk melihat pantai terdekat pun terletak 2.5km atau 17 minit berjogging itupun terpaksa “meminjam” permandangan daripada Palm Springs Port Dickson. Oleh kerana aku terlupa membawa kad keahlian Palm Springs dan memang tidak pernah ada pun terpaksalah aku menyusup masuk melalui pintu kedua (Extreme Park) semasa pegawai keselamatan mengadakan “roll call” pertukaran shif. Selepas melepasi Sg Menyala dan padang golf tersebut barulah dapat melihat pantai dan rumah api itupun hanya dari jauh kerana disekat oleh hutan paya bakau, rasanya lebih baik ke Teluk Kemang dan berkhemah sahaja di situ kerana terdapat juga kemudahan asas di situ.
-
Bagaimana aku hendak membandingkan Tiara Beach Resort dengan A Famosa Resort jika kolam dewasa pun hanya sedalam 3 kaki setengah yang tidak sampai pun suku daripada kedalaman bekas lombong bijih A-A Tin. Sudahlah kunci bilik lambat diterima, kawasan sukaneka pula di guna pakai oleh kumpulan lain hingga menyebabkan jadual tertangguh. Kalau bercerita tentang makan rata-rata semuanya bersetuju makanan tidak sedap kerana itulah semasa jamuan “barbeque” tiada apa yang tinggal buat aku yang datang sedikit lewat daripada jadual asal kecuali daging kambing bakar yang memang makanan kegemaran aku. Mungkin inilah Hari Keluarga yang paling gembira buat Azam dan Nik Shafini yang dapat membolot hadiah cabutan bertuah yang berjumlah 15 itu mengalahkan 284 pekerja yang datang. Oleh kerana kedua-duanya berasal dari Kelantan terpaksalah aku bersangka jahat menfitnah mereka menggunakan khidmat bomoh siam untuk mendapat hadiah tersebut. Secara keseluruhannya aku hanya dapat memberikan dua bintang setengah untuk Tiara Beach Resort berbanding dengan apa yang telah dibayar.
-
Makcik Esah jiran kampung aku telahpun pulang kerahmatullah pagi semalam seperti yang diberitahu oleh Nizar. Kasihan aku melihat gadis yang terperangkap di dalam lif bersama aku malam semalam sewaktu pulang menemani Nizar makan di Kerinchi Seafood. Aku tidak pasti dia terasa panas dan sesak nafas itu kerana panik ataupun takut aku menggigit telinganya. Sebagai lelaki budiman terpaksalah aku menenangkan dia walaupun jiwa aku sendiri tidaklah berapa tenang, mujur sahaja lif itu berfungsi kembali selepas beberapa minit jika tidak terpaksalah aku melakukan bantuan pernafasan. Marah betul aku dengan diri aku kerana sekali lagi sifat pelupa aku datang kembali iaitu terlupa menanyakan namanya.

Friday, December 15, 2006

Entah apa silapnya hari ini hingga pahit rasanya teh yang dibuat seteko mungkin disebabkan Mr Tan terbeli teh Lipton yang jauh berbeza dengan kebiasaannya iaitu teh Boh ataupun aku sendiri mamai kerana terlalu asyik melihat “wall paper” di komputer aku hingga lupa sukatan sebenarnya walaupun dilakukan hampir setiap hari. Aku tahu benar Azam takut untuk menegur pasal teh yang pahit itu kerana bimbang aku meletakkan racun tikus dikemudian hari kerana terasa hati dan aku memang pernah terfikir untuk berbuat demikian. Sibuk sangat makhluk di sini kerana akan menyambut Hari Keluarga di Tiara Beach Resort Port Dickson selama dua hari bermula esok. Kalau diikutkan hati aku yang busuk ini mahu sahaja aku buang nama Azam, Fadhli, Syahril, Pak Su, Kak Su, Nik Shafini, Kak Nizah, Mamat dan banyak lagi nama lain daripada senarai cabutan bertuah esok hari mujur sahaja pihak jawatankuasa mahu melihat sendiri nama yang telah ditaip dan mereka sendiri yang akan memasukkan nama tersebut di dalam balang. Nampaknya jawatan aku sebagai Timbalan Presiden Orang Bujang Taman Desa melayakkan aku menjadi ketua apartment pertama untuk keluarga bujang besok begitu juga dengan Presiden aku yang akan menjaga apartment kedua. Banyak juga kakitangan yang mengambil cuti sakit pada hari ini seperti Nik Shafini dan Noni mengikut sumber aku yang boleh sedikit dipercayai iaitu Syahril mereka sebenarnya sedang melatih anak-anak mereka untuk memenangi acara sukaneka esok.

Tuesday, December 12, 2006

Aku bengang betul dengan Mat Khairi kerana disebabkannya sudah lima kali aku gagal membuat kunci pendua motor di kedai runcit Blok 7. Pelbagai alasan yang diberi oleh awek-awek di kedai itu seperti mahu bersolat sekejap, mahu makan sebentar, sila datang besok, orang yang pandai membuat kunci bercuti dan semalam ayat yang paling gaban ialah jika mahu cepat buat sahaja di kedai lain. Mahu sahaja aku cium dahi awek yang comel itu sebagai tanda terima kasih kerana pendapat yang bernas itu dan sebagai lelaki yang budiman dan bijaksana, aku tahu sudah tentu mereka marahkan Mat Khairi kerana disakat olehnya dan aku yang terkena tempiasnya. Mat Khairi yang tidak jadi pulang ke Kuala Kangsar semalam memberi alasan terlepas bas pukul 9.00 pagi sambil menunjukkan tiket yang telah dibeli tetapi yang peliknya aku tengok semalam pukul 7.30 pagi masih belum bangun daripada tidur. Bila aku katakan yang dia sahaja berbuat begitu kerana mahu menonton filem “Cinta” bersama anak Ayah Ali yang sedang bercuti dia menafikan segaban-gabannya dan hari ini seawal 6.00 pagi sudah bersiap untuk pulang ke kampung kerana bimbang akan aku ceritakan kisahnya dalam blog ini.

Sunday, December 10, 2006

Kali Ke Lapan


Singgah sebentar di kedai mak angkat selepas pulang berjongging pagi tadi aku dimarahi pula olehnya kerana gagal menghadiri kenduri doa selamat yang dibuat di surau flat PKNS Kerinchi kelmarin. Dia melalut hingga ke soal jodoh yang katanya jangankan jodoh mahu bertemu dengan aku monyet pun tidak mahu berjumpa dengan aku jika mendaki gunung Nuang di waktu malam. Memang Zafrul gila mengajak aku mendaki Nuang pada malam hari kelmarin tapi aku rasa yang menulis blog ini, Ayob, Farrah dan Hanif lagi gila kerana terikut ajakan Zafrul, mungkin kami telah digula-gulakan oleh Zafrul agaknya. Perjalanan yang bermula pada pukul 9.50 malam itu tamat di puncak pada pukul 5.00 pagi, bukannya penat menahan sakit dan mengantuk yang membuat aku marah dengan Zafrul tetapi janji-janji manis Zafrul bahawa kita kurang berasa dahaga jika berjalan pada waktu malam dan 15 belas janji lain. Aku juga tidak nampak dimanakah relevannya beg aku di isi muatan khemah jika hanya digunakan sejam sahaja untuk tidur dan kemudian pulang ke kaki gunung, kalau diikutkan hati busuk aku mahu sahaja aku campakkan Zafrul itu ke bawah gaung dan kemudian aku buat laporan polis bahawa dia telah terjatuh sendirinya. Ini adalah pendakian ke lapan untuk aku ke Nuang yang melengkapkan kali ketiga sampai ke puncak Nuang dan ke empat ke puncak Pengasih.

Thursday, December 07, 2006

Mujur pagi ini sempat aku mengelak kereta Gen 2 yang pecah tayar belakang sebelah kirinya di jalan Syed Putra jika tidak sudah tentulah Mat Khairi akan hilang teman tidurnya. Aku rasa dialah yang paling gusar jika aku keluar daripada Vista Angkasa kerana semasa aku mahu berkahwin dahulu dia mengaku bahawa dia pernah bermohon pada Yang Maha Esa supaya aku putus tunang dan doa itu sudah pun termakbul. Semasa pengakuan itu diberi mahu sahaja aku pijak-pijak badannya kalau tidak pun dapat aku cekik-cekik lehernya pun jadilah tapi bila difikirkan dia mempunyai banyak kawan perempuan maka aku batalkan sahaja niatku itu. Aku bengang betul dengan Mat Khairi yang tidak mahu melayan aku semenjak dua menjak kerana asyik membaca buku novel cinta yang aku rasa sudah dikhatam lebih 2 kali sebelum ini kemudian dia tersenyum macam seorang duda anak lima dapat berkahwin dengan anak dara lagaknya. Terasa hensem pula semalam bila Kak Shida memberitahu aku bahawa tulisan tangan aku agak cantik jika hendak dibandingkan dengan tulisan Paridah, Noni dan Julie yang sangat sesuai untuk menulis kad ucapan, maka sudah tentulah tender untuk menulis ucapan akan diserahkan kepada aku untuk masa hadapan.

Wednesday, December 06, 2006

Mahu saja aku mengambil orang daripada syarikat “pest control” itu sebagai adik angkat aku kerana berjaya menipu hidup-hidup Mat Khairi dan 3 pelajar UNITAR semalam mengatakan kononnya mereka diarahkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia untuk melakukan tugas menghapus serangga. Hendak dikata bangang keempat-empat mereka belajar di menara gading yang lebih tinggi dari sekolah pondok Ayah Ali, mungkin sudah terkena nasi kangkang agaknya kerana seorangpun tidak dapat berfikir dengan waras dengan memberi duit rumah sebanyak RM40.00 kepada mereka tanpa usul periksa. Semalam di pejabat mungkin hari kena marah buat aku agaknya namun sebagai lelaki bijaksana hampir semuanya aku selesaikan dengan memberi janji-janji palsu dan kalau ditanya hari ini akupun tidak tahu apa janji yang aku buat pada mereka, cuma aku berdoa mereka akan lupa semua itu bila mereka teringat hutang bank yang belum dibayar. Penat jugalah aku menjawab soalan-soalan saguhati yang dilontarkan oleh Nini yang datang bersama Zubir playboy di Restoren Syed Bangsar semalam. “Tiada kimia” ialah jawapanku kepada soalan kenapa tidak bertemu jodoh sedangkan begitu banyak wanita di Vista Angkasa tetapi pada hakikat yang sebenarnya aku suka pada semua wanita di situ atau lebih tepat lagi aku sayang semua wanita di situ kerana itu aku rasa sangat sayang untuk berkahwin. Tapi kalau hendak diikutkan tidaklah teruk sangat perangai aku itu kalau hendak dibandingkan dengan Nini yang menangis sehari semalam, tidur tak bangun-bangun dan tak makan-makan walaupun sebenarnya nak jaga badan hanya kerana telefon bimbitnya jatuh!.

Tuesday, December 05, 2006

Naik sahaja lif hari ini aku sudah rasa hensem sangat walaupun aku ini tidaklah sangat hensem tapi tidaklah tidak hensem sangat kerana semua awek-awek dan mak dara memandang aku seperti mahu menggigit aku. Sedang aku duduk dihadapan komputer barulah aku perasan yang zip seluar aku sudah terkoyak hingga tidak dapat digunakan lagi. Mujur sahaja aku masih menyimpan seluar saiz 33 inci jenama Playboy di pejabat walaupun aku sendiri bukanlah playboy seperti Zubir. Nampak sangat seluar yang aku pakai macam mahu pergi menoreh getah di kebun getah Haji Kassim kerana longgar tiga inci daripada kedudukan asal pinggang aku tapi itu lebih baik daripada aku terpaksa pulang ke Vista Angkasa menukar seluar yang baru. Fadhli hingga sekarang masih frust menonggeng kerana lambat membuat keputusan untuk membeli Dopod yang mendapat potongan separuh harga yang telah kehabisan stok demi menggantikan telefon cap Ayamnya. Migrain aku memikirkan Fadhli yang mahu membuat keputusan membeli Dopod pun macamlah nak buat perbelanjaan RMK 9 oleh Pak Lah.

Monday, December 04, 2006

Kali ke tujuh


Zafrul masih lagi bengang dengan aku kerana telah melakukan rampasan kuasa dengan melakukan pendakian ke tujuh tanpa dirinya sebagai perancang utama sambil menyalahkan aku kerana banyak terpengaruh dengan buku “The International Jew”. Inilah pemikiran bangsaku sejak azali lagi yang menganggap dirinya sebagai superhero yang tiada dapat diganti oleh mahkluk lain, sebagai lelaki yang bijaksana aku tidak akan membiarkan sifat takut bini Zafrul membatalkan hasrat Ayob dan Rozel untuk ke Nuang walaupun Zafrul berulangkali mengatakan bahawa dia sebenarnya sayangkan bininya dan bukannya takut bini. Zubir terkejut bila mendapat tahu aku pergi ke Nuang lagi semalam, aku rasa daripada mengadap muka Mat Khairi dan Iwan yang berjerawat itu aku rasa lebih baik mengadap gua batu di Gunung Nuang. Aku percaya Ayob yang kepingin dan masih mempunyai tenaga ke puncak tidak melaksanakan hasrat itu kerana dia percaya aku memang tidak boleh dipercayai untuk menjaga Rozel yang keletihan dan aku pun percaya diri aku pun bukannya boleh dipercayai apatah lagi bila makhluk bertanduk itu ada bersama. Bila aku di Nuang aku selalu terfikir lewat ini begitu banyak anggota UTK yang terlibat dengan jenayah, mereka ini begitu hebat dan kita akan hilang permata yang dapat mendaki dan menurun Nuang yang setinggi 4898 kaki ini dalam masa 2 jam sahaja iaitu lima kali lebih pantas daripada aku. Semasa di Nuang aku menjalankan tanggungjawab sosial dengan menegur seorang pendaki apa perlunya membawa "life jacket" ke gunung dan dia mengatakan bahawa terdapat air terjun yang terletak di sebelah kanan yang kira-kira 2 jam perjalanan dari Kem Pacat yang mempunyai kedalaman lebih daripada 20 kaki dan aku percaya Zafrul pun tidak akan tahu perkara ini walaupun telah naik ke gunung ini lebih sepuluh tahun lalu.

Thursday, November 30, 2006

Awal-awal pagi lagi mak angkat sudah berleter dengan aku kerana Pian sudah tidak makan di kedainya semenjak tinggal di Cheras. Bosan juga aku sudah seminggu aku dipaksa memikirkan masalah Pian itu mahu sahaja aku mengadu kepada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu tentang apa yang berlaku. Aku tidak pernah pun menghalau dia tapi dia yang telah membuang aku dan Mat Khairi hanya kerana alasan dia tidak serasi dengan Iwan. Leteran mak angkat itu menggambarkan aku yang bersalah seperti suami yang tidak membayar nafkah batin pada isterinya. Harapnya Kak Nik akan keluar daripada wad hari ini akibat penyakit lelah dan darah tinggi yang dialaminya kerana jika tidak sudah tentu aku akan melawatnya lagi sambil mengular seperti semalam hingga ke Mutiara Bangsar. Kerana terpengaruh dengan kesedapan Nasi Beringin di tingkat dua itu aku gagahkan juga mengular ke situ walaupun jaraknya dari hospital lebih lima kali ganda berbanding jika aku terus sahaja pulang pejabat dan aku perlu mengular kerana waktu makan yang sudah hampir. Aku tidak tahu kenapa bangang sangat jurutera yang mencipta lif tersebut kerana tidak mempunyai angka 2 mungkin cikgunya tidak mengajarnya ataupun nombor telah habis semasa mahu memasangnya. Rupanya Nasi Beringin selain daripada nasinya yang sedap itu mempunyai sayur yang standard dan pilihan lauk yang biasa disediakan bersama nasi minyak yang aku beri tiga bintang setengah untuk perkhidmatan dan kesedapannya. Kalau mahu ke sini lebih baik menaiki tangga yang terletak di sebelah lobi utama yang terus menuju ke tempat meletak kereta tingkat 2 yang menempatkan “food court” tersebut.

Wednesday, November 29, 2006

Kak Nik telah di tahan di wad 221e semalam, mujur juga dia mahu mengikut kata-kata aku supaya ke hospital Taman Desa semalam kalau tidak sudah tentu aku terpaksa mengangkatnya jika dia pengsan tapi kalau Ros yang pengsan tiap-tiap hari pun tidak mengapa dan kalau Azam yang pengsan aku anggap tiada apa-apa yang berlaku. Emak si Shahrul yang tinggal di Bidor baru menghubungi aku meminta aku “menjaga” anaknya yang baru menetap di Vista Angkasa. Bila aku mengayat emaknya barulah aku tahu Shahrul ini anak mak dan yang paling merunsingkan aku ialah macam mana dia boleh kenal arwah Lebai Desa yang merupakan saudara aku. Bagaimana aku harus menuju masa depan yang gemilang, cemerlang dan temberang jika saudara yang agak rapat tinggal bersama aku. Radin yang singgah ke rumah aku terkejut dengan pemergian beberapa ahli rumah dan soalan mengapa aku menghalau mereka, kalaulah aku mak dia dah lama aku cili-cilikan mulut dia kerana menuduh aku tanpa usul periksa. Lagipun sebelum ini mana pernah aku menghalau ahli rumah cuma aku meletakkan almari baju mereka di luar kerana tidak membayar sewa rumah tidak lebih pun dari itu. Setelah diterangkan barulah dia faham dengan keadaan aku yang terpaksa menerima notis pendek keluar rumah oleh Pian dan Zaini. Pian siap meluahkan perasaan kalau dia tidak sesuai dengan rumah baru di Cheras dia mahu pulang kembali ke Vista Angkasa. Kata aku padanya tiada peluang kedua!

Tuesday, November 28, 2006

Johan kembali lagi

Johan yang handsome itu kembali lagi mengeluarkan iklan mencari orang untuk menyewa rumah di Vista Angkasa. Dengar cerita dia tidak menggunakan nama sebenar kerana takut diketahui umum bahawalah dialah penghuni yang paling tua di rumah itu dan masih belum berkahwin-kahwin kerana tiada siapa yang mahukannya, aku pun mulalah percaya kerana orang itu adalah aku sendiri. Pernah juga orang lain yang menjalankan tugas ini namun tugas yang semudah itu dimudahkan dengan mengambil kawan-kawan karib yang menyebabkan anak jin pun takut nak duduk di rumah aku. Aku serahkan tugas merekrut ahli-ahli baru setelah mereka yang kononnya baik tidak berpuas hati dengan aku mahu mengambil rakyat Sabah yang berugama kristian kononnya tidak bagus untuk mereka yang sangat mengamalkan sembahyang dua tahun tahun sekali, minum arak dan menghisap dadah. Sudahnya mereka sendiri terkeluar daripada senarai Vista Angkasa kerana bergaduh dengan rekrut mereka sendiri. Sejak daripada hari Sabtu lepas Johan tidak senang hidup bila menerima begitu banyak panggilan telefon dan aku pun tak pasti sama ada hidup dia senang kalau tak ada telefon. Mahu sahaja Johan membaling telefon itu ke dinding namun itu tidak akan berlaku kerana ia bukanlah jenama cap Ayam seperti telefon kepunyaan Pak Su. Tidak aku sangka sikap baik mulut Johan yang sanggup mengambil 3 pelajar UNITAR kerana kesiankan mereka walaupun hatinya berkata lebih rela mengambil Fairus yang datang bersama kakaknya Farah yang bekerja di NAZA World itu.

Thursday, November 23, 2006


Tidak tertahan aku untuk mahu mengutuk Azam hari ini samalah tidak tertahan Az membaca doa berbuka puasanya pada pukul 10.16 pagi semalam hanya kerana menerima emel jemputan makan. Samalah tidak tertahannya makhluk di Taman desa menanti pukul 1.00 tengahari untuk makan sebanyak mungkin makanan di kedai Lebai setelah mendengar pengumumannya di Sinar FM oleh Halim Othman pagi semalam. Azam dikira bernasib baik kerana satu rencana di dalam KOSMO mengenai Rene'e wanita tabah kelahiran Australia diterbitkan semalam menjadi galang gantinya. Seingat aku Rene'e pernah mengikut Zafrul dan aku di Ledang, Yong Belar dan Nuang. Aku tidak boleh lupa bila dia mengikat tali kasut aku di puncak Ledang dan membuang kumbang di atas kepala aku semasa di Yong Belar dan masih aku ingat lagi bagaimana dia menjerit nama aku bila ada pacat segatal Zafrul menghisap darah dikakinya. Zafrul daripada dulu hingga sekarang masih lagi memuji ketabahannya hingga boleh sampai ke puncak Kilimanjaro walhal Zafrul sudah tinggal separuh mayat walaupun hanya tinggal sejam untuk sampai ke puncak!. Tersentuh juga aku dengan ceritanya bagaimana seorang suami dan seorang anak sanggup membotakkan rambut mereka demi memberi sokongan moral kepada isteri dan ibu mereka yang perlu membotakkan kepala semasa sesi kimoterapi.

Tuesday, November 21, 2006

























Ada yang bertanyakan aku kenapa gambar aku bersama Farrah tidak jelas dan kenapa tidak diceritakan serba sedikit aktiviti sepanjang pendakian. Memang malang kerana empat kamera digital yang dibawa semuanya bukan kepunyaanku dan inilah peluang mereka untuk membalas dendam terhadap aku dengan cuma memberikan gambar hidung aku dan hidung Farrah yang kurang mancung dengan harapan tiada apa yang boleh aku ceritakan dalam blog ini.
-
Kami bermula pagi Sabtu dengan melaporkan diri di Balai Polis Kg. Raja dan terus ke Puncak Berinchang untuk meletakkan kereta Zafrul dan Aida yang melalui lereng-lereng bukit ladang the dan sampai pukul 11.00 pagi. Setengah jam sahaja di perlukan oleh aku untuk mengemaskan peralatan perkhemahan ke dalam bag Farrah dan aku berbanding Firdaus yang kononnya berpengalaman menaiki gunung hanya untuk mengemas bagnya sahaja terpaksa meminta pertolongan daripada Zafrul. Perjalanan ke puncak mengambil masa 5 jam dan kami berhenti sebanyak dua kali iaitu di permatang dan di Bukit Botak, jika diukur mengikut kilometer bukanlah jauh sangat cuma sekitar 3km tetapi perjalanan yang payah membuatkan ia terasa jauh. Sampai sahaja khemah dipasang dan aku terus memasak nasi dan kari ayam dalam tin di dalam khemah kerana hujan, dapat jugalah aku menunjukkan kepakaran memasak air dan Maggie kari kepada Farrah berbanding Firdaus hanya untuk membuka makanan dalam tin itupun tidak tahu. Kami tidak memasak nasi untuk perjalanan naik dan turun untuk mempermudahkan perjalanan.
-
Air sebanyak 7.5 liter betul-betul dicatu hanya tujuan memasak dan hemat diri kerana tiada langsung sumber air di sini. Lupakan sahaja aktiviti malam untuk memasang unggun api seperti yang digambarkan dalam drama melayu di ketinggian 2110 meter kerana cuaca hujan dan sejuk. Masa kami cuma dihabiskan bermain daun terup sambil meminum teh dan mendengar radio sambil mengutuk Firdaus yang tidak tahu mengemas bag Petaling Streetnya hingga perlu ditolong oleh Zafrul. Sudah menjadi rutin aku akan meminum Milo dalam tin diawal pagi kerana rasanya seperti di dalam peti ais Makcik Mah kerana sejuknya cuaca di sini dan melihat banjaran yang akan muncul disebalik kabus. Selepas mengemas semua peralatan kami berjalan pulang ke Berinchang pada jam 9.00 pagi untuk 3jam 45 minit. Susah juga untuk membandingkan kesukaran Irau dan Nuang namun rumusan aku dan Zafrul ialah Irau lebih menggunakan pendekatan teknikal dan Nuang lebih kepada fizikal.


Berbaloi juga kedatangan aku ke Tanah Tinggi Cameron Sabtu lepas kerana akhirnya dapat bersama Farrah melihat Gunung Irau daripada puncak Gunung Berinchang, untuk bersama Farrah pun sebelum itu hampir-hampir mustahil kerana ia dikawal ketat oleh Zafrul, Ayub dan Firdaus yang busuk hatinya daripada hati aku yang memang busuk ini. Mereka juga berjaya mentarbiyah Aida yang membawa dua anaknya hingga berpesan supaya tidak menggunakan dakyah yang dicipta oleh aku untuk “mengayat” para-para ibu jika berbuat salah. Dalam perjalanan ke Gunung Irau sekalipun tidak dapat aku mengenyitkan mata kepada Farrah kerana hebatnya kawalan mereka disamping diri ini yang asyik sibuk mengelak lumpur hitam yang terjadi daripada pereputan daun-daun kering dan mungkin juga hujan hampir sepanjang masa membatalkan niat jahat aku. Bila sampai disana barulah aku tahu kenapa filem Puteri Gunung Ledang tidak dibuat di Gunung Ledang tetapi di sini, bukan kerana Gunung Ledang tidak cantik dan bukan juga Puterinya yang marah tetapi inilah gunung yang paling cantik pernah aku lihat seumur hidup. Lupakan dakyah suratkhabar Khairy Jamaluddin yang mengatakan Irau telah dimusnahkan akibat pengambaraan filem Puteri Gunung Ledang kerana ia tidak pernah berlaku dan lumut yang berusia ratusan tahun itu masih menumpang di setiap pokok di situ hampir sama keadaannya dalam filem “Lord of the Ring”. Dengan bekalan 7.5 liter air kami berjaya berkhemah di puncaknya pada jam 5.30 petang setelah berlepas daripada puncak Berinchang pada pukul 11.40 pagi. Dalam perjalanan ke puncak tiada satu mata air pun ditemui untuk bekalan minuman dan semua perbelanjaan untuk menyakitkan diri ini harus dibayar RM40.00 kepada Zafrul.

Thursday, November 16, 2006

Rupanya tulisan sepanjang tiga baris membelasah Azam dan Fadhli semalam memberi kesan yang besar kepada Azam. Azam tiba-tiba menyuruh aku mengisi borang untuk tujuan membeli komputer yang baru kerana konon-kononnya yang ada sekarang sudah tidak sesuai dengan perisian Kaizen HR. Puas sudah bersangka baik dengan Azam namun tidak mampu bila melihatnya asyik tersenyum makrifat sepanjang hari dan ditambah pula dia sepatutnya menggantikan komputer ini sebelum memasukkan perisian Kaizen HR lagi dan setahu aku bajet untuk 2006 telahpun digunakan sepenuhnya. Aku berfirasat Azam mahu menggodam komputer aku demi mencari kata laluan ke blog ini langsung menamatkan riwayat blog ini. Tapi syukur dengan peengetahuan yang sedikit ini aku sekarang sudah memuat turun segala fail-fail penting ke Google Docs & Spreadsheets untuk di simpan di “server” tersebut. Sebenarnya Azam dan Fadhli itu bukanlah sehebat seperti apa yang diceritakan dalam resume mereka kerana masalah masa yang lewat 10 minit di hampir semua komputer pejabat ini pun tidak dapat diselesaikan dan mewujudkan pelbagai alasan seperti bateri di “bios” telah habis tapi aku lihat tidak pernah ada usaha untuk menggantikannya. Fadhli dilihat tidak senonoh kerana sebagai penganjur “pot luck” hari ini cuba untuk makan sebanyak mungkin untuk mendapatkan wang dikeluarkan olehnya. Cuma terlewat tujuh minit daripada jadual asal sudah tiada langsung satay yang tinggal dipinggan, syukur masih ada bihun yang sangat sedap hingga terasa ke tulang sum-sum.

Tuesday, November 14, 2006

Aku yang masih terkejut dengan berita kematian emak Aida yang menderita penyakit barah dikejutkan pula dengan nada sedih Syahril yang baru kematian sepupunya akibat lemas di Kulim petang tadi. Untuk saat begini lebih baik tidak berkata apa-apa pada Aida dan Syahril melainkan menjadi pendengar yang baik mendengar luahan mereka. Makcik Janda 6 siri itu pagi ini membebel dengan aku kerana tidak kahwin-kahwin almaklumlah anaknya baru sahaja bersanding sabtu lepas. Cuma sekarang dia sudah tidak kedengaran asyik memuji cucu kesayangannya lagi mungkin kerana sedikit krisis dengan menantunya merubah sedikit hatinya. Hari ini Fadhli lebih Khairy Jamaluddin dari Khairy Jamaluddin kerana bosnya dan Azam menghadiri kursus di KLCC, aku lihat bermula daripada pukul 9.00 pagi hingga pukul 6.00 petang dia cuma bergayut di telefon dan memuat turun lagu dari jiwang.org.

Tuan Z

Saya telah menerima arahan daripada pihak tuan untuk menyediakan dokumen yang sangat penting kononnya. Maka saya dengan "gelabah biawak" telah pun menyediakan dokumen tersebut awal pagi tadi, namun sehingga kini belumpun diambil. Maka saya sudah pun menyediakan jawapan untuk pihak tuan iaitu tuan sangat sibuk dan saya sahaja yang tidak sibuk. Untuk pengetahuan pihak tuan sudah empat hari hidup saya hanya di pejabat dan semalam pun saya cuma pulang ke rumah tepat jam 11.50 malam. Sekarang pihak tuan betulkan saya jika saya salah iaitu tuan yang sangat sibuk mesti pulang ke rumah selepas pukul 11.51 malam.

Sunday, November 12, 2006

Kali ke enam


Akhirnya untuk bila kali ke enam ke Nuang aku betul-betul dapat melihat empangan Langat dengan jelas kerana sebelum ini amat terlindung oleh rimbunan buluh betong yang sangat banyak ataupun mungkin aku terlampau mengejar matlamat hingga tidak nampak keindahannya. Laluannya sudah sangat cantik berbanding kali pertama aku sampai 10 bulan yang lepas mungkin kerana pembersihan yang dilakukan oleh penganjur "climbthon" yang akan berlangsung pada 25 November 2006. Aku terkejut juga bila Marsha membawa Pacuan Empat Roda untuk sampai ke kaki gunung dan yang paling untung tentulah aku dan Firdaus dengan senang hati mengisi tempat duduk yang kosong. Kasihan Marsha kerana terpaksa "melayan" tetamu yang tidak diundang yang selalu sangat menghisap darahnya, barulah aku perasan pacat itu lebih gatal daripada Zafrul rupanya. Laluan Nuang amat gaban bagi kasut jenama Timberland kepunyaan Firdaus yang telah mencabut tapaknya walaupun kelihatan agak baru, terus aku nasihatkannya beli sahaja "adidas kampung" bernilai RM4.50 yang masih mampu bertahan walapun selepas bekerja untuk lima gunung. Zafrul akhirnya membuat keputusan yang tepat berdasarkan kata hatinya untuk berpatah balik walaupun belum sampai ke Kem Pacat walaupun dia tahu aku bersungguh mahu sampai ke matlamat hingga mengundang geruh dengan aku. Aku memfitnahnya berbuat begitu kerana mahu membalas dendam kerana tidak mahu mengajaknya untuk latihan di Tasik Perdana semalam tetapi itu semua silap kerana sebenarnya Zafrul telah mengambil kira banyaknya pokok-pokok baru yang tumbang dan dahan-dahan yang patah. Sebenarnya bukan hujan lebat yang ditakutkan oleh Zafrul tetapi angin ribut yang tidak berbaloi untuk dihadapi. Semalam aku hairan melihat begitu banyak manusia mengerumuni tapak ekspo Motorola semasa sedang mencari peralatan mendaki Gunung Irau di Mid Valley. Harga yang kononnya sangat murah itu masih lagi mahal, padahal aku cuma perlu membayar RM600.00 untuk model L7 di kedai Cellular Dynamic berbanding RM699.00 yang ditawarkan di situ!

Friday, November 10, 2006

Akhirnya aku mendapat semula duit ufti aku sebanyak RM 150.00 setelah tidak berpuas hati dengan kursus kusahawanan anjuran Jabatan Tenaga Rakyat di NIOSH Bangi pada 1 hingga 3 September 2006 yang lepas dimana ketidakpuasan aku diceritakan dalam artikel “Terkena Lagi” pada 4 September 2006. Encik Syed yang konon-kononnya pakar motivasi kepada lebih 10,000 murid seperti profil yang di edarkan itu cuma menghantar “shaolin”nya sahaja untuk berurusan dengan aku mungkin kerana aku tidak cukup bagus untuk auranya yang kononnya tinggi itu ataupun dia cukup penakut untuk menjawab soalan yang aku sudah sertakan jawapannya. Kenapalah di hantar “shaolin” yang separuh masak itu, kasihan pula kerana di keronyok hidup-hidup oleh aku. Sudah tentu ia menjadi enteng kepada aku kerana sudah terbiasa dihantar oleh Pak Ngah atau Cikgu Wazer untuk dikeronyok oleh “sifu” jika ada “jemputan” semasa kursus bela diri dijalankan di Ipoh dahulu.

Thursday, November 09, 2006

Semenjak syarikat mengembangkan sayap perniagaan penyediaan makanan di Hospital Sg. Buloh, Ampang dan Bangi begitu banyak peluang pekerjaan diwujudkan. Sudah lebih lima tahun bekerja di sini ini adalah pertama kali aku berurusan dengan Utusan Media dan Berita Harian untuk urusan pengiklanan jawatan kosong kerana sebelum ini kami hanya menggunakan khidmat jobstreet.com, jobsDB.com dan The Star. Mungkin agaknya dua suratkhabar ini merupakan kumpulan sasar pekerja yang dicari, namun itu bukanlah isu besar pada aku. Bila berbicara tentang cara bekerja Utusan Media Sales dan Berita Harian samalah membandingkan cara bekerja Tun Daim Zainuddin dan Syed Razak.
-
Utusan Media bila dihubungi hanya perlukan setengah jam sahaja untuk memberikan sebutharga yang komprehensif berbanding Berita Harian yang aku terpaksa hubungi empat talian tetap dan empat talian bimbit hanya untuk mendapat “orang yang dihajati” yang akhirnya cuma memberikan sehelai kertas agak kurang nilainya. Ini semua kerana lembabnya orang Khairy Jamaluddin mengemaskini maklumat pegawai pemasaran mereka yang telah tidak bekerja kerana kebanyakannya telah mengambil “VSS” namun masih tertera di laman web mereka. Aku patut memberikan empat bintang kepada Utusan Media kerana iklan sebesar dua kotak rokok 20 batang itu berharga lebih kurang RM1400.00 berbanding hampir RM 1600.00 di Berita Harian kepunyaan Khairy Jamaluddin itu yang aku beri dua bintang setengah.
-
Nampaknya aku semakin popular kerana Pengarah Urusan aku sudah mula pandai menyebut nama aku dalam mesyuarat mingguan yang selalunya diadakan pada hari Khamis di antara ketua jabatan. Sekarang aku telah diarahkan untuk menjaga segala kebersihan di jimnasium dan memastikan segala penyelenggaraan kemuadahan berjalan dengan baik dengan kos yang minima. Dia juga menyuruh aku mendaftarkan Astro dengan menggunakan nama aku untuk meminimakan kos pengurusan kerana kurangnya sambutan pekerja di sini untuk menjadi ahli.

Wednesday, November 08, 2006

Semalam aku menerima ugutan sms daripada Encik Azam supaya tidak menulis tentang ketidakhadiran ke pejabat kerana pergi temuduga kerja. Beliau memberikan alasan bapa mithalinya lagi iaitu iaitu ketidakhadirannya adalah disebabkan menjaga Aus yang demam campak. Sebagai memenuhi tanggungjawab social warganegara Malaysia aku pun terpaksa melakukan “spot check” sebanyak yang perlu. Memang Encik Azam begitu mithali menjaga anaknya dan bukannya pergi ke temuduga kerja seperti nujuman aku, tapi seperti gambar pada badan Aus yang diambil semalam seperti tompok-tompok cucuh puntung rokok sahaja nampaknya!

Tuesday, November 07, 2006

Kalau hendak diikutkan hati busuk aku, mahu sahaja terbalikkan kontena yang menghantar suratkhabar “The Star” semalam. Mana tidaknya aku yang sudah lama mengikuti larian seluruh Semenanjung Emas ini jangankan perut, hidung aku pun tidak pernah masuk suratkhabar, tapi Zafrul yang separuh masak itu telahpun terpampang muka dan badannya di muka surat N24 semalam. Firdaus yang memasuki larian sejak dari bangku sekolah pun cuma nampak lengan kirinya sahaja. Zafrul menyuruh aku memujinya seperti Marsha memuji dia kelihatan laju berlari semasa gambar itu diambil padahal sebenarnya itu jurugambar itu tidak membetulkan “setting” ASA kameranya dengan betul. Jikalau mahu memuji diri sendiri aku nasihatkan lebih baik buat blog sendiri dan iklankan sahaja dalam tabloid KOSMO mesti seluruh Semenanjung akan membacanya kerana di sini bak kata Zubir tempat aku “membelasah” kawan-kawan aku.

Entah kenapa lembab sangat aku mendapat “habuan” daripada apa yang aku lakukan, kalau dilihat Marsha yang kali pertama memasuki larian pun sudah mendapat medal berbanding aku yang terpaksa menunggu jarak masa seorang ibu mengandung. Rupanya Cikgu Rajan pula menyusul Bomoh Zain kemalangan motosikal hingga menyebabkan tulang tangannya retak hingga menyekat rancangannya ke Gunung Irau dua minggu lagi. Bomoh Zain yang patah tangan kanan dan satu tulang rusuk sudah pun dikeluarkan daripada Hospital Tapah minggu lepas namun Haji Nan masih lagi di Hospital Ipoh untuk rawatan terhadap lima tulang rusuknya yang patah.

Sunday, November 05, 2006

Sama ada aku yang tidak pernah makan menu Capati Telur atau Cik Farrah yang tersilap minta bukanlah persoalan utama semalam bila kami makan di Restoran Kayu Nasi Kandar semalam selepas mengambil baju "T" di bangunan MPSJ. Mintalah apa sahaja di restoran mamak mesti mereka sediakan selagi boleh walaupun hampir mustahil untuk dilakukan seperti permintaan Cik Farrah hingga aku terpaksa memberikan empat bintang kepada restoran tersebut. Kalau pergi di Restoran Nara Tomyam Pantai Dalam hanya minta sedikit cili api pun dengan sombongnya mereka kata tiada dalam menu, mahu beli ayam golek separuh disoalnya kita pula siapa yang mahu beli lagi separuh! maka itulah hari terakhir aku singgah ke situ.
_
Hari ini di Larian MPSJ, Encik Firdaus masih lagi unggul untuk tempat ke 77, aku pula di tempat ke 167 dengan catatan masa 51 minit 47 saat berbanding Encik Zafrul 56 minit. Encik Fadzil orang kampung aku yang tidak sedar diri itu sangat berpuas-hati dapat menemui Cik Marsha yang secantik Fatin kerana selama ini cuma dapat membaca cerita kecantikannya melalui blog ini walaupun mendapat tempat yang entah ke tempat ke berapa ribu. Cik Marsha tidak dapat meletakkan dirinya di dalam kelompok 100 terbaik kerana lewat bermula kerana urusan pendaftarannya dilakukan oleh kawan sekolahnya yang sampai lewat dan Cik Farrah pula gagal pula menghadirkan diri disaat-saat akhir. Aku kurang pasti pula apa terjadi pada Cikgu Rajan, Kian dan Jes kerana tidak berjumpa di akhir larian, rasanya tiada masalah bagi mereka untuk menamatkan 10km trek yang paling senang di Malaysia setakat ini. Secara keseluruhannya penganjuran dilakukan dengan baik seperti kemudahan meletak kereta, penunjuk jalan dan pengagihan minuman. Namun kekurangannya ialah tiada disediakan ambulan dan air minuman dalam larian ini tetapi ia dapat di tutup dengan sikap "sporting" masyarakat Subang yang memandu perlahan-lahan demi keselamatan peserta yang menunjukkan mereka mempunyai mentaliti kelas pertama. Secara keseluruhannya tiga bintang setengah diberikan kepada penganjur.

Friday, November 03, 2006

Sekadar menyimbah minyak

Sekadar mahu menyimbah minyak terhadap api yang telah dinyalakan semalam, Encik Azam dan Encik Fadhli sekarang sudah pasti tidak perlu mengeluarkan sedikit wang pun kerana bos mereka telah bermurah hati untuk menaja semua perbelanjaan pembelian pinggan mangkuk tersebut. Sebenarnya ada beberapa orang yang telah menyatakan hasrat mereka untuk memberi pendapat mengenai isu tersebut tetapi tidak boleh kerana gagal membuka ikon tersebut. Sampai sekarang aku masih belum mendapat jawapan kenapa itu berlaku samada Encik Azam telah menggodam blog saya ataupun ada masalah dengan peralihan kod beta daripada kod HTML.

Anonymous has left a new comment on your post "Yang paling untung ialah Encik Fadhli dan Encik Azam.":
Memang teman pun tak menyokong 120%,sepatutnya majlis ni untuk seronok-seronok,tapi dah jadi tak seronok dan tak ikhlas sebab macam 'di paksa', mana boleh macam tu,dan memang membebankan untuk yang terpaksa mengeluarkan belanja yang banyak sedangkan ada jabatan yang langsung tak mengeluarkan belanja langsung,sungguh tidak ADIL,teman tak tahu lah siapa punya idea,tak releven langsung!Sepatutnya tak payah cabut undi,tetapi tengok kepada kemampuan setiap jabatan,kalau kakitangan jabatan tu paling ramai apa salahnya bagi yang paling tinggi belanjanya berbanding dengan jabatan yang kakitangannya tak ramai,barulah adil namanya..
Posted by Anonymous to maswafi.blogspot.com at 10:52 am

Thursday, November 02, 2006

Yang paling untung ialah Encik Fadhli dan Encik Azam

Semalam telah berlaku perbincangan untuk diadakan "pot-luck" dalam masa kurang daripada setengah purnama namun nampaknya ramai yang melahirkan perasaan tidak puas hati kerana terpaksa mengeluarkan belanja atau tenaga yang lebih kerana cabutan jenis makanan yang mewah tapi jabatan yang mempunyai pekerja yang sedikit. Namun yang terloncat kegirangan ialah Encik Fadhli dan Encik Azam kerana hanya perlu membeli pinggan dan mangkuk pakai buang, itupun mereka terfikir untuk berjimat cermat setelah duit gaji mereka yang telah dihabiskan semasa menyambut Hari Raya dengan meminjam pinggan mangkuk dari kedai Abang Lebai. "Pot-luck" bila aku rujuk kepada Kamus Dwibahasa Oxford Fajar tidak membawa maksud selain “apa saja yang disediakan untuk satu-satu hidangan”. Bila difikirkan kamus itu telah tersalah cetak, aku cuba pula merujuk kenangan semasa aku berada di sekolah rendah dimana Ustazah Hamidah menyuruh kami membawa “apa sahaja makanan” untuk dikongsi bersama dan mungkin untuk mengelakkan pertindihan kami berbincang sesama sendiri untuk apa yang akan dibawa. Pernah juga kami membuat "pot-luck" sebelum ini tapi tidak pernah pula timbul isu sebegini, bila diimbas kembali menu makanan yang dihidang ia adalah makanan yang mudah dibuat ataupun dibeli dan yang pasti setiap tahun aku ditugaskan membeli lemang empat batang di Masjid Taman Medan dan membuat pelbagai jenis air.

Wednesday, November 01, 2006


Nampak urusan mewakili urusan Makcik Mah dengan Persatuan Bekas Perajurit hanya dapat diselesaikan hanya pada isnin minggu depan, banyak sungguh "hanky-panky" persatuan ini dari dahulu lagi. Bomoh Zain pula menyusul Haji Nan di timpa musibah bulan Syawal apabila patah tulang rusuk akibat terjatuh semasa menaiki motor di jalan ke pasar kelmarin yang sekarang masih di Hospital Tapah. Zaini yang pindah rumah tanpa notis semalam dialu-alukan pemergiannya oleh Encik Mat Khairi dengan menyuruh dia menyerahkan kunci rumah sewa kami. Nampaknya Encik Azam pergi temuduga lagi semalam apabila dia mengambil cuti kecemasan dan dia bermati-matian menafikan perkara tersebut dengan alasan menghantar anaknya ke klinik. Nampaknya peluang aku tahun ini untuk mendapat "title" pekerja terbaik agak cerah kerana pekerja terbaik tahun lepas akan berpindah ke MIMOS dalam masa terdekat dan kemungkinan besar Encik Azam pesaing aku pun tidak akan berada di sini lagi. Nampaknya aku menerima peringatan sekali lagi untuk membuat kod-kod baru perisian yang baru dibeli daripada amoi yang lawa lagi melecun dari Kaizen HR.

Tuesday, October 31, 2006

Empat bintang


Hingga Syawal tahun ini pun masih ada yang mendapat dosa kering bila mengutuk telefon bimbit Nokia 3210 aku, namun mulut mereka agak terlopong bila aku menunjukkan Motorola L7 aku yang baru. Telefon yang seberat 96 gram ini cuma berukuran 113 x 49 x 11.5 mm mempunyai fungsi dan ciri Bluetooth, internet, MP3, sambungan USB, kamera, kamera video, telefon memori dan kad memori. Namun terdapat sedikit kegagalan pada perisian java powered yang dibina kerana tidak begitu stabil dengan perkakasan Motorola berbanding Nokia. Ini dibuktikan kecatatan perisian itu hanya dapat dibetulkan setelah dua kali di pulangkan ke kedai. Begitu juga dalam soal untuk memindah turun data ke komputer masih lagi gagal walaupun dengan pertolongan Encik Azam dan Encik Fadhli. Namun itu semua dapat di atasi dengan memindah turun menggunakan teknologi Bluetooth dan emel. Rasanya baik lupakan sahaja tentang keboleh-upayaan berfungsi selama 350jam mengikut spesifikasi yang diberi untuk masa “stand by”. Susah juga untuk dibuat penilaian tentang ini kerana kuasa bateri banyak dihabiskan untuk “talk time” dan setakat hari ini bateri itu tidak pernah berfungsi lebih daripada 5 hari.

Melihat dari contoh gambar “Syawal di Sungkai” mutu gambar agak memuaskan untuk perkakasan “multi tasking” atau lebih 3 dalam 1. Cuma kadang-kadang agak lewat telefon ini menerima paparan bergambar dari telefon bimbit jenama lain kerana perlu “memperhalusi” paparan tersebut. Dari segi mutu suara MP3 ia masih menduduki tempat terbaik dari segi mutunya berbanding telefon bimbit Nokia dan masih sedikit leih baik dari telefon bimbit Sony Ericson yang mempunyai perisian dan perkakasan “Sony Walkman”. Walaupun Motorola dikatakan tidak bersifat mesra pengguna, ciri-ciri boleh ubah terhadap hampir semua menu dengan kekunci sangat menakjubkan aku. Hampir semua menu boleh disesuaikan mengikut kekunci yang diidamkan oleh penggunanya. Memori yang tersedia sebanyak 5MB di tambah dengan fizikal kad memori yang sangat kecil dan boleh di tambah sehingga 1GB cukup mengujakan aku.

Secara jujurnya aku memberikan empat bintang secara keseluruhannya dari segi “value for money” kerana cuma perlu membayar RM600.00 berbanding RM800.00 hingga RM1000.00 untuk telefon bimbit jenama lain yang mempunyai keboleh-upayaan yang sama dan yang lebih penting tiada lagi makhluk seperti Encik Fadhli yang sudi meminjam “charger” aku sekarang ini, namun aku masih sayang pada Nokia 3210 yang jarang mengecewakan aku.

Saturday, October 28, 2006

Hanya minoriti

Akhirnya dapat juga aku "tawan" jalan ke Kg Rahmat Changkat Sulaiman dengan masa 55 minit yang aku agak sejauh 10km. Cubaan sebelum ini banyak kali gagal kerana ancaman anjing liar dan rasa tidak sedap hati mana tidaknya tiada kediaman di kiri dan kanan jalan. Yang ada cuma sebuah kuil hindu yang paling "meriah" dan besar di daerah Batang Padang, lombong memancing dan sebuah kilang papan. Mandrem sanskrit yang bermula jam 7.00 pagi datangnya dari kuil itu bergema sejauh 5km itupun sudah cukup menggerunkan sesiapa yang mendengarnya. Sampai sekarang aku tidak tahu apakah rasionalnya kuil Hindu yang baru dirasmikan oleh Dato' Seri Samy Vellu semalam di bina di kawasan penduduknya majoriti orang Melayu, rasanya lebih baik di bina di kawasan Chengai, Nabrough ataupun Batu 3 yang sememangnya majoriti penduduk Hindu. Inilah yang terjadi jika UMNO Sungkai asyik menunggu laba projek membuat longkang, parit dan jalan di Kampung Tersusun hingga memberi peluang kepada parti MIC memerintah walaupun mereka hanya minoriti dibandingkan dengan orang Melayu yang tinggal di Felda Trolak, Besout dan Sg. Klah itu tidak termasuk kampung-kampung tradisi seperti Bikam, Menderang dan Pekan Lama.

Syawal di Sungkai




Aku pulang ke Sungkai sabtu lalu tanpa menempah tiket bas lebih awal kerana jarang ada masalah hanya cuma untuk perjalanan ekspres dari Kuala Lumpur ke Tanjong Malim. Kecewa aku melihat sikap lapuk pemandu kereta yang menggunakan lorong kecemasan yang akhirnya mengundang kesesakan luar biasa bila tiga lorong mengecil menjadi dua lorong terutamanya sebelum melepasi Bukit Beruntung.

Walaupun buluh lemang yang baik dapat dicari berhampiran paya kebun getah aku di Menderang, tahun ini lemang Makcik Mah itu tidak begitu ”kaw” seperti biasa kerana sedikit mentah. Ini mungkin kerana aku terlalu banyak menumpukan perhatian kepada menukar pintu dan tingkap dengan yang baru yang sememangnya menuntut tenaga yang begitu banyak.

Tahun ini orang kampung betul-betul nekad meminggirkan terus Pak Alang dari menjadi imam solat sunat Aildilfitri yang aku kira hingga kiamat kerana "menjatuhkan hukum" secara kasar terhadap isu mengutip derma daripada penduduk kampung semasa rombongan aidilfitri dari rumah ke rumah yang lepas walhal sebenarnya masih menjadi khilaf dikalangan ulama. Rombongan aidilfitri kali ini berbeza dari tahun sebelumnya kerana telah dibahagi kepada dua kumpulan untuk menjimatkan masa. Duit derma yang terkumpul untuk lebih 30 buah rumah ialah RM741.79 dan aku kurang periksa pula siapa yang “tersilap” menderma wang syiling 1 sen tersebut.

Nur Halimathon yang gundah gelana menghubungi aku dari Langkawi memberitahu yang ia bergeruh dengan ibunya pada pagi Syawal hanya kerana soal remeh seperti langsir baru, aku sekadar mendengar kerana tidak tahu pula aku nasihat apa yang harus kuberi untuk perkara yang amat janggal seperti ini. Tahu-tahu sahaja Sham Luncai rakan sekampung yang berkerja di Bukit Aman itu telah mendapat anak melalui isteri keduanya, cukup hebat kawan aku ini memandangkan aku isteri seorang pun masih gagal lagi mendapat.



Rupanya ramai lagi yang tidak tahu bahawa aku sudah kembali bujang dan ramai juga yang menawarkan diri untuk menjodohkan aku dan ada yang menarik diri bila aku secara jujur memberitahu mereka aku sendiri yang memutuskan pertunangan yang lepas. Tapi yang betul-betul serius ialah jiran kiri dan kanan rumah aku yang beria-ria mahu mahu menjodohkan aku dengan anak angkat dan anak saudara mereka tapi rasanya kalau anak jiran di hadapan rumah yang baru habis bersekolah itu sebagai calonnya hujung tahun ini juga aku menikah!

Wednesday, October 18, 2006

Empat huruf

Sungguh maha hebat ujian yang diberi oleh Yang Maha Esa semalam, seorang kakitangan yang bekerja untuk hari terakhir semalam mengeluarkan perkataan lucah sebanyak empat huruf itu kerana aku memintanya mengisi borang “exit interview” sebagai memenuhi syarat untuk pemberian cek gaji terakhir. Sebenarnya sudah terbayang di kepala bahawa aku sedang menumbuk mukanya di saat perkataan itu diucapkan. Bila ditanya dengan lembut barulah aku tahu masalahnya iaitu dia rasa terhina dengan sikap majikannya di saat akhir-akhir dia mahu berhenti dengan secara terhormat. Akhirnya dia memohon maaf pada aku kerana keterlanjurannya dan cukup berterima kasih kerana perkhidmatan yang diberi cukup baik untuk dirinya. Telefon bimbit Motorola L7 aku nampaknya dihantar semula ke “Motorola Centre” kerana masih terdapat sedikit kecatatan pada “Java software” yang tidak mungkin aku terima. Aku juga mengugut mahu mengambil duit aku semula jika masalah itu tidak dapat diselesaikan sebelum hari sabtu ini.

Tuesday, October 17, 2006

Encik Yazid yang nakal.

Aku betul-betul dikejutkan dengan kiriman "sms" tepat jam 7.48 pagi tadi oleh Encik Yazid yang cuba menskandalkan aku dengan Marsha yang dilihat berbual mesra dengan aku sewaktu berbaris panjang untuk mengeluarkan wang di tembok batu CIMB. Seingat aku cuma bekas tunang aku sahaja yang pernah menghantar "sms" seawal ini, ini satu lagi cubaan nakal untuk menjatuhkan karier saya sebagai Timbalan Presiden Persatuan Orang Bujang Taman Desa. Sebenarnya aku juga terkejut disapa manja oleh Marsha yang kelihatan cantik berkebarung walaupun sebenarnya dia memang cantik walaupun tanpa kebarung itu. Tiada apa yang penting sangat dibualkan cuma dia sekadar memberitahu dia tidak dapat mengikutku ke Larian MPSJ pada 5 November 2006 kerana kurang latihan, yang mana urusan pendaftarannya masih gagal diselesaikan oleh aku. Emaknya juga meleteri dirinya yang mengadakan latihan pada bulan Ramadhan kerana khuathir akan akan demam lagi seperti selepas Larian Shah Alam yang lalu.

Monday, October 16, 2006

Sudah penat...

-----Original Message-----
From: Maswafi B. Samat
Sent: Monday, October 16, 2006 12:22 PM
To: 'wati@.com.my'

Subject: RE: UCAPAN PENGGANTI KAD
You are welcome and thanks for the lovely e-card given.
Alhamdulillah aku masih sihat namun masih seorang, masih di Kuantan rupanya Wati harapnya masih sihat dan cantik seperti dulu. Aku masih bingung kenapa sudah dua kali bermimpi kau di bulan Ramadhan walaupun tanpa diminta (maksud aku secara khusus seperti solat istikharah)rasanya sudah aku pulangkan semua gambar kau dalam simpanan. Bila dicari buku tafsir mimpi jawapannya sudah tentu bukan mainan syaitan kerana ia berlaku pada Ramadhan selepas tengah malam. Dua jawapan sahaja yang tinggal iaitu kerana jiwa yang tidak keruan ataupun petunjuk dari Yang Maha Esa. Bila difikirkan kembali mungkin jiwa aku sudah penat mencari apa salah aku hingga kita berpisah.

Thursday, October 12, 2006

Awal sangat

Gaji akan dimasukkan pada hari esok sempena perayaan Aidilfitri, aku bukannya kisah sangat dengan kerja yang mendesak untuk penyediaan gaji tetapi kenapalah perlu awal sangat dimasukkan gaji? Bila perkara ini dibincangkan ramai yang mengatakan aku tidak memahami masalah orang yang telah berkahwin kerana aku sendiri belum berkahwin. Bukankah baik jika hanya duit pendahuluan Aidilfitri sahaja dimasukkan pada esok hari dan kemasukan duit gaji dilakukan seperti biasa? Bagaimana mahkluk di sini akan menghadapi 43 hari tanpa gaji sedangkan menanti hari ke 30 sudah tercungap? Sudah tentu Yahudi cukup suka dengan keadaan ini kerana kita akan terperangkap dengan “lingkaran kehidupan” kad kredit tanpa diminta.

Tiba-tiba sahaja tugasan meningkat dua kali ganda sejak isnin lalu apabila banyak tuntutan yang dihantar mungkin untuk mendapat duit untuk keperluan Aidilfitri agaknya. Encik Azam pula dilihat diam-diam mengamalkan amalan “zikir perang” semata-mata untuk pergi temuduga esok hari, beria-ia benar ia mahu meninggalkan Taman Desa. Playstation 2 yang dipinjam oleh Encik Nizar sudahpun dipulangkan malam tadi setelah empat bulan bermaustatin di Shah Alam itupun setelah beberapa peringatan di hantar.

Monday, October 09, 2006

Cuma Tikus Putih


Semasa dalam perjalanan pulang ke kampung Jumaat lepas, Putra LRT membuat “perangai lama” lagi, maka skrip “masalah teknikal” itu dikeluarkan lagi untuk menenangkan semua umat manusia. Mungkin semua umat manusia akan lebih faham jika terus terang sahaja katakan sebenarnya projek LRT yang asalnya berjumlah 4.0 billion dan naik kepada 5.0 billion itu cuma merupakan “tikus putih” daripada Bombardier yang terpaksa dilaksanakan kerana kita mendapat projek Sukan Komanwel 98 selepas Kanada beralah dengan bersyarat.

Nampaknya perjalanan daripada Kuala Lumpur-Tanjong Malim-Sungkai sudah diBelanda oleh syarikat MARA yang ternyata baik segi perkhidmatannya berbanding bas yang sedia ada. Begitu ketara sangat pengguna memulau Bas Ekspress 626 dan Mogah Ombinuss yang satu ketika dulu sahamnya pernah dimiliki oleh Yang Kancil kerana begitu teruk perkhidmatan yang disediakan sebelum kerabat aku menjualnya dengan “sepenuh hati”.

Makcik Nor yang selalu aku pergi ke gerainya sewaktu pulang ke sekolah untuk makan mee rebus dan air kacang 3 kupang telahpun menemui Yang Maha Esa awal Ramadhan lalu. Masjid Jamek Sungkai yang baru di bina berdekatan Sekolah Abbasiyah sudahpun beroperasi ketika Ramadhan yang sebelum ini banyak tertangguh walaupun sudah mendapat peruntukan sejak tahun 1994. Yang menentangnya pun bukanlah orang kafir tetapi sebaliknya ialah mereka yang menduduki takhta jawatankuasa masjid kerana konon-kononnya masjid lama yang terletak di Pekan Lama itu mempunyai “nilai sentimental” yang tidak dapat ditukar ganti walaupun banyak kali ditimpa bah. Ceteknya pemikiran mereka ini samalah seperti ceteknya sungai Sungkai yang semakin cetek itu!.

Thursday, October 05, 2006

Kelam betul jerebu yang melanda Kerinchi dan sekitarnya petang semalam hingga menggagalkan rutin latihan aku. Peluang keemasan ini aku ambil untuk membeli juadah berbuka di Pasar Ramadhan Kerinchi bersama Mat Khairi namun hampa kerana anak Pakcik Murtabak dan anak Kak Wan Ayam Percik tidak kelihatan seperti sepatutnya. Hampa lagi bila Motorola SLVR L7 yang baru dibeli tidak dapat memasuki “Flash Card” seperti yang sepatutnya, namun lega juga sedikit apabila fungsi-fungsi yang lain seperti bluetooth berfungsi dengan baik. Aku tidak menafikan teguran Zubir bahawa aku seperti tiada tuah membeli barang baru kerana ada sahaja yang rosak walaupun akan mendapat ganti kerana masih dalam tempoh jaminan.

Wednesday, October 04, 2006

Saya akan menyusul...

Rupanya senyuman makrifat Encik Azam begitu bermakna berbanding hari-hari sebelumnya, tiba-tiba dia telah menempah rencana “Sayonara Azam” untuk diterbitkan selepas Hari Raya Aidilfitri nanti. Dia yang akan melalui proses temuduga di Subang Jaya pada pertengahan bulan ini begitu yakin akan berjaya keluar dari Taman Desa untuk sekian kali lebih setengah dekad bekerja di sini. Pelbagai persiapan yang akan dilakukan seperti sembahyang hajat, berjumpa bomoh dan persiapan yang terakhir ialah bertapa di Gunung Dato’ pada hari Sabtu ini. Pergilah Encik Azam jika hanya itu yang dapat menyukakan hati Encik Azam yang gundah gelana dan pastinya saya juga akan menyusul setelah berjaya menamatkan pengajian diploma saya yang masih tersangkut diperingkat akhir. Telefon bimbit zaman P. Ramlee aku pula sudah mula menunjukkan ciri-ciri untuk menyembah bumi, dimana aku sudah tidak boleh menghantar utusan dan baterinya sudah tidak dapat bertahan dengan lama. Bila difikirkan baterinya yang pernah berganti dua kali itu bernilai RM 90.00 keputusan dibuat semalam tidak sampai lima minit untuk membeli Motorola SLVR L7 berharga RM600.00 di Dynamic Cellular yang akan tiba pada hari ini.

Thursday, September 28, 2006

Mengharapkan Matahari Tidak Terbit...

Sudah empat hari Encik Azam tidak menghadirkan diri ke pejabat kerana memantau program “Simulation Disaster Recovery” di IBM Business Resiliency Center, Cyberjaya dimana esok saya juga akan menyusul untuk urusan pemindahan data. Selama empat hari itulah aku perasan Encik Fadhli telah menunjukkan taringnya dengan mengular selama mungkin dan pernah sekali aku perasan dia menuruni tangga yang sama yang membolehkan kita ke tingkat 21.

Aku tidak tahu tugas mana harus dimulakan dulu kerana sudah banyak pihak hospital menghubungi aku kerana soal kelambatan pembayaran perkhidmatan, pihak Kaizen HR pula sudah menghantar emel peringatan untuk “setup code” yang baru sepatutnya siap isnin lalu dan Mr. Tan pula asyik mengganggu aku dengan karenah nyanyuknya menyebabkan aku melenting semalam. Mengharapkan kerja di pejabat akan habis samalah dengan mengharapkan matahari tidak terbit di waktu pagi kerana kita mahu terus tidur lena atau tidak terbenam pada waktu senja kerana kita mahu terus bermain bola. Mr. Tan yang tidak sedar diri sudah tua dan nyanyuk juga tidak lupa mengingatkan perlawanan larian yang akan diadakan selepas musim perayaan ini bagi menguji stamina, harapnya tiada siapa yang akan menempah katil hospital kali ini!.

Wednesday, September 27, 2006

Tabligh yang sudah kurang adabnya

Tepat jam 12.00 malam tadi sekumpulan Tabligh Vista Angkasa mendatangi rumah kami untuk menjalankan urusannya namun mujur sahaja Mat Khairi mampu menghentikan urusan tersebut dengan bijak sekali. Aku tidak pernah sekalipun menafikan dakwah seperti "hujan membasahi bumi" itu satu sunnah namun dimana adab berdakwahnya jika dilakukan dikala manusia hendak tidur? Itulah akibatnya apabila hanya mengamal sebahagian sahaja sunnah rasul iaitu “iman” dan “amal” tanpa didasari oleh ilmu yang asas. Sudahnya dengan ilmu yang dangkal itu menyebabkan rukun Islam yang kelima itu sudah semacam dilencongkan ke Bangladesh setiap tahun!.

Tuesday, September 26, 2006

Pisang yang hilang

Pulang dari bekerja aku lihat pisang yang dibeli kelmarin sudah hilang sebiji, entah kenapa pula Mat Khairi melenting dan memberikan jawapan bahawa dia tidak mengambil pisang yang hilang walaupun tanpa dipinta oleh aku dan memberi amaran supaya tidak menulis cerita itu di dalam blog ini. Sepatutnya tahun ini aku tidak lagi berbuka puasa dengan Pian, Mat Khairi, Zaini dan Zubir kerana sudah jemu sangat rasanya mengadap mereka berempat untuk lebih empat tahun. Moga tahun hadapan sudah berubah sifatnya kalau tidak berbuka puasa menjadi seorang ayah yang mithali seperti Encik Zafrul setidak-tidak pun menjadi suami yang mithali seperti Encik Azam. Moga tahun hadapan juga Makcik Mah berjaya pergi ke tanah suci selepas percubaan aku memujuknya menjual tanah di Sg. Sumun, Bagan Datoh untuk tujuan itu agak terkesan setelah 3 kali pujukan sebelumnya gagal.

Monday, September 25, 2006

Ramadhan dan 21.


Aida yang bercuti selama 40 hari itu sudah pun terbang ke Amerika Syarikat untuk tujuan melancong dan dapatlah ia menunaikan ibadah puasa dan menyambut syawal di sana nampaknya. Sudah menjadi kebiasaan setiap kali Ramadhan menjelma, tugas-tugas yang melibatkan “third party” berkurangan kira-kira separuh daripada yang asal begitu juga dengan panggilan telefon daripada pekerja bertanyakan seribu pertanyaan yang sudah dihafal skripnya oleh aku. Harapnya kerja yang tertangguh sebelum ini dapat diselesaikan pada bulan yang mulia ini dan markah bonus jika aku dapat mengemaskini semua fail-fail peribadi pekerja. Aku masih tertanya-tanya adakah kedai serbaguna di tingkat 21 yang terletak di “roof top” yang dibuka pada bulan ramadhan yang sebelumnya akan dibuka juga pada tahun ini? adakah Encik Nathan masih mengambil tender untuk segala urusniaga tersebut? Dengan pertolongan Encik Syahril, aku berjaya juga merakamkan gambar kedai tersebut untuk tujuan kepustakaan blog ini.

Thursday, September 21, 2006

Sibuknya Encik Azam

Selalu sangat aku bersangka jahat dengan mengatakan Encik Azam berwayang hanya kerana agak sangat gaban sibuknya. Rupanya memang ternyata tulen sibuknya itu apabila ia mengganggu hidup aku untuk kesekian kali demi untuk melancarkan pemindahan dan pengurusan data untuk “Simulation Disaster Recovery” yang akan di laksanakan sepenuhnya Cyberjaya atau lebih tepat di IBM Business Resiliency Center. Sudah empat hari juga aku diganggu oleh bidadari-bidadari daripada syarikat Kaizen HR demi untuk melaksanakan tugas mereka dalam memastikan “software” yang baru di beli oleh kami berjaya dilaksanakan sepenuhnya pada januari 2007.

Wednesday, September 20, 2006

Sayonara Zafrul

Hari ni merupakan hari terakhir Zafrul bekerja di Taman Desa setelah memberikan notis berhenti kerja sebanyak dua purnama. Yang paling pelik sebenarnya dia masih lagi belum mencari kerja lain setelah membuat keputusan nekad kerana marahkan bosnya yang autokratik itu. Encik Fuzairi menanyakan aku apakah maksud “nakal” dalam rencana aku sebelum ini. Setelah di teliti niat aku sudah banyak melencong untuk Larian Shah Alam ahad lepas dengan sikap aku yang menunjuk-nunjuk untuk menarik perhatian wanita, mujur sahaja Yang Maha Esa telah mengingatkan aku dengan merosakkan motor si situ juga! baru padan muka aku. Aku masih-tertanya kenapa Encik Azam sudah 2 hari berperangai seperti “membuang habitat” dengan menunjukkan “senyuman makrifatnya”. Adakah dia bermaksud mengiyakan rencana saya yang lepas bertajuk “Di Vista Komanwel ataupun..”?.

Monday, September 18, 2006

Kerana saya nakal agaknya


Sudah dua hari aku betul-betul diuji oleh Yang Maha Esa, pagi sabtu lepas tiba-tiba aku pitam semasa berjogging di kilometer ke 6 hingga mengebaskan kaki dan tangan itu tidak termasuk dengan jantung yang berdegup kencang. Inilah bahana kerana cubaan untuk menjadi secepat “Firdaus mengejar Kenya”.

Zafrul dan Firdaus gagal menghadirkan diri di Shah Alam untuk larian sejauh 10km kerana masyuk dibuai mimpi indah. Mungkin telah ditakdir bahawa aku yang agak nakal pagi itu, berpasangan Marsha walaupun memang ternyata ia sama benar dengan pasangan “beauty and the beast”. Dia berjaya mendapat medal pertama kali mengambil masa selama 1jam 30 minit, berbanding aku yang setengah jam lebih awal dan rasanya kami mendapat tempat dari 80-85 berdasarkan bilangan medal yang tinggal untuk seratus peserta terawal.

Aku cukup rasa bersalah apabila menerima utusan daripada Marsha yang mengatakan dia telah mengalami “demam terkejut” dan emaknya sudah mula meleterinya, harapnya Marsha tidak akan serik mengikut aku seperti Faizal dan Yazid. Farrah Aida nampak begitu kecewa walaupun menduduki tempat ke 11 yang mana telah meninggalkan aku sejauh 1 km di hadapan kerana sepatutnya dia mampu untuk mendapat tempat 10 terbaik. Semak jugalah otak aku memikirkan pelawaannya untuk larian 42km di Singapura pada hujung tahun ini yang memang pernah dirancang namun untuk tempoh 2 tahun lagi.
Selepas melambai nakal pada Marsha, dalam perjalanan pulang ke rumah aku di paksa menolak motor sejauh 2km ke bengkel motor di Wisma MAIS kerana kerosakan pada “bush” tayar aku. Sampai sahaja di bengkel tutup la pula! rasanya inilah balasan Yang Maha Esa kerana bersikap “agak nakal” pagi itu agaknya!.

Wednesday, September 13, 2006

Kempunan sebenarnya

Encik Azam masih tidak percaya aku memujinya hingga ke tahap dewa untuk rencana yang lepas kerana katanya konon-kononnya aku mempunyai agenda yang tersembunyi seperti mahu mengurat adik iparnya. Semalam semasa pertemuan dengan Zahari di MAIS Shah Alam semalam sebenarnya aku terserempak dengan Hazlin yang cantik itu yang juga merupakan peserta “Skim Pegawai Muda” di syarikat aku. Dia yang beriringan bersama seorang jejaka agak tersipu-sipu malu bila aku melihatnya seperti pandangan tanpa seurat benang, tertanya-tanya juga aku tidakkah dia sepatutnya bekerja sewaktu itu. Persoalan itu terjawab akhirnya apabila Encik Fadhli dilihat sudah tidak bersemangat bekerja terutama untuk membuat “trouble shooting” di tingkat 20 kerana Hazlin sudah berhenti. Encik Azam cukup “beriman” kerana tidak pernah sekalipun dapat melihat Hazlin, namun Encik Fadhli rasakan itu tidak benar sama sekali melainkan kempunan sebenarnya!.

Dua cerita

Semalam aku cukup berterima kasih kerana Zahari sanggup mengular dari Intekma Resort hanya untuk menemankan aku makan di Restoran Sup Utara MAIS Shah Alam selepas aku mengambil baju untuk Larian Shah Alam di Wisma MBSA. Rasanya sudah setahun aku tidak bertemu dengannya yang merupakan kawan sepejabat aku semasa syarikat itu belum “syahid’ dulu. Banyak juga cerita yang telah dibualkan daripada soal kegagalan kerjaya hinggalah kepada persoalan jodoh. Rupanya Zahari sudah menjadi ahli nujum kerana sudah pandai menujum bintang seseorang dan meneka hampir tepat karektor aku sebagai lelaki Taurus. Mungkin dua cerita yang terkesan di hati kami ialah apabila Zahari merasa sedih terlihat gambar majlis persandingan bekas teman wanitanya di dalam sebuah blog. Cerita aku pula ialah datang daripada kampung untuk bekerja di Kuala Lumpur kerana tidak boleh berenggang dengan Wati dimana akhirnya dibodohkan olehnya dan sememangnya aku bodoh!.
Sudah banyak yang berubah di Shah Alam rasanya berbanding 5 tahun lepas seperti wujudnya pusat membeli belah SACC berhampiran Kompleks PKNS namun ada yang agak terkebelakang. Ini dapat dilihat tempat berwuduk di Masjid Negeri tiada lagi “sensor” kerana telah digantikan dengan paip biasa mungkin teknologi itu tidak banyak membantu agaknya. Encik Azam telah menyuarakan ketidakpuasan hatinya kenapa aku sudah tidak bercerita tentangnya sudah lebih tiga minggu. Bukannya tidak mahu aku merencanakan tentang dirinya tetapi aku lihat dirinya sangat “beriman” sifatnya sejak akhir-akhir ini hingga tidak melayakkan dirinya dikutuk oleh aku.

Monday, September 11, 2006

Sudah Kembali


Yazid masih belum kembali ke “landasan” kerana kaki kanannya yang tercedera semasa Larian MPAJ. Sepakat dicapai oleh Zafrul dan Firdaus untuk berlari sejauh 7km sahaja untuk Larian Putrajaya semalam untuk memastikan aku betul-betul sembuh sebelum kembali ke acara 21km. Firdaus yang masih unggul menduduki tempat ke 30 berbanding aku di tempat ke 100 dan Zafrul di tempat ke 122. Zafrul yang kegemarannya berlari mengikut belakang peserta perempuan mencatat masa 38 minit iaitu 3 minit dibelakang aku yang telah menunjukkan peningkatan yang sangat gaban sifatnya dan ini mungkin larian yang terakhir kami bersama kerana aku sangat-sangat takut dikalahkan olehnya.

Aku menamatkan larian bersama gadis tinggi lampai seperti Fatin yang datang daripada kumpulan banyak menguasai larian sepanjang tahun ini iaitu daripada TLDM Lumut. Gadis hitam manis bernama Zila yang berusia 22 tahun itu menduduki tempat ke 12 untuk kategori wanita dan hingga rencana ini kami masih berbalas-balas utusan melalui talian bimbit kami seolah-olah “ada kimia” agaknya. Dia begitu mesra terutama bila di sapa oleh aku yang bertanya kenapa namanya “comot” seperti yang tertulis pada bajunya, jawapan yang sebenarnya ialah nama itu diberi oleh jurulatihnya yang berpendapat dia sangat comot kerana itulah masih belum mendapat jodoh konon-kononnya, walaupun dalam hatiku berpendapat sebaliknya.

Tidak disangka pujian yang diberi kepada pemilik Satria Neo jingga yang diletakkan bersebelahan kereta Zafrul rupanya kepunyaan Farrah Arris yang pernah aku ketemu di Larian MPAJ yang lepas. Dia yang masih unggul itu menduduki tempat ke 21 untuk kategori 21km dan kami bertukar-tukar alamat emel yang mungkin boleh digunakan untuk berhubung jika ada program yang akan datang.

Majlis Konvokesyen ke 28 MIHRM


Teruk jugalah aku “dikerjakan” oleh Aishah penyanyi tersohor tahun 90an yang menjadi penyanyi jemputan Makan Malam dan Konvokesyen ke 28 institut kami yang di langsungkan di PJ Hilton sabtu lalu. Aku yang dipaksa menari menjadi bahan ketawa Aida, Rozana, Derick, CK dan Harwanth yang cukup bergaya dengan busana jubah mereka. Aku bersyukur walaupun hanya menjadi tetamu jemputan di majlis konvokesyen sendiri, itupun hanya terlaksana kerana sifat murah hati Aida yang mempelawa menggunakan “kuota” jemputannya kerana aku tidak mampu mengadakan ufti majlis tersebut yang berjumlah RM350.00 itu.

Saturday, September 09, 2006

Semalam Marsha, Zafrul dan Firdaus sudahpun mengesahkan penyertaan Larian Shah Alam ahad depan. Marsha yang aku hubungi semalam agak begitu mengambil berat tentang aku rupanya kerana telah peduli di atas kehilangan aku selama 14 hari dan dia tidak sekalipun “berbalas pantun” dengan aku seperti kawan-kawan aku yang lain. Dia juga bercerita tentang keseronokan menyertai “KL Rat Race 2006” dan menanyakan pendapat aku tentang Teater Puteri Gunung Ledang yang aku hadiri tiga minggu lepas. Semalam juga hidup aku tidak keruan kerana diganggu oleh Mat Khairi yang tidak dapat melelapkan mata yang akhirnya aku selesaikan dengan memujuk dia menelan empat biji ubat selsema!. Pagi-pagi lagi semasa di tempat kerja dia telah mengirim utusan ringkas kepada aku mengatakan dia dalam keadaan mamai dan rasa macam hendak mampus kerana dos ubat berlebihan yang ditelan. Bagi aku, yang penting masalah diganggu olehnya dapat diselesaikan walaupun caranya kadang-kala agak gaban sifatnya.

Friday, September 08, 2006

Sayalah tembok halangan itu.

Akhirnya muncul juga Encik Nizar menukilkan pendapatnya akibat terkesan dengan rencana “Terkena Lagi” rabu yang lepas. Mudahnya Encik Nizar belot pada saya hanya kerana disajikan kek harijadi oleh bidadari-bidadari penganjur walaupun mulanya begitu tidak tertahan untuk mengambil semula ufti yang diberi. Saya tidak pernah sekalipun menafikan bahawa kursus motivasi itu terkesan sekali namun tidak dapat dinafikan bahawa kita telah di lencongkan daripada matlamat asal kita untuk menjadi usahawan. Ini bukan soal ufti RM150.00 ataupun baju yang bernilai RM10.00 Larian Klang tetapi hanya untuk mempertahankan nilai prinsip. Adalah tanggungjawab kita untuk membersihkan “dosa” mereka terhadap kita samada memaafkan mereka ataupun menuntut gantirugi dan mungkin lebih hebat supaya mereka tidak akan melakukan “dosa” itu kepada manusia yang lain pada akan datang. Rasanya saya faham benar maksud Encik Nizar mengenai katak ke 15 yang berjaya merempuh segala dugaan untuk mencapai matlamat setelah tidak memperdulikan “tembok halangan” 14 ekor katak yang lain atau lebih tepat sayalah 14 ekor katak yang dimaksudkan itu!

Thursday, September 07, 2006

En. Maswafi, memang benar pada mulanya saya mengesyaki sesuatu yg tak kene dgn program tersebut daripada ape yg saya inginkan. Tetapi sebenarnya saya menghadiri kursus tersebut adalah dgn pelbagai tujuan. Dan salah satu drpnya adalah Kusahawanan. Bagi saya jika kursus tersebut dapat memberi kesan yg baik terhadap saya..saya akan menerimanya. Tapi jika kursus tersebut memang hampeh!!! Memang saya akan memperjuangkan untuk meminta dan mendapatkan balik duit yang telah dibayar.Memang tak dinafikan memang kita telah ditipu oleh bidadari-bidadari tersebut semasa mula mendaftar program tersebut. Tetapi jika saya boleh menerimanya disebabkan kesan yang baik daripada kursus tersebut, saya akan menerimanya...LET GO....Di sini ingin saya memperbetulkan paradigma En Maswafi bahawa bukan disebabkan layanan kelas pertama daripada bidadari2 tersebut yang mebuatkan saya berubah fikiran, sebab BUKAN LAWA PON bidadari tu. Kalau Lawa takpe la jugak. Ini adalah disebabkan oleh melihat dari cermin mata dan juga saya adalah katak yg ke 15 tersebut. hehehe. dan kalau korang nak tau cerita katak tersebut, saya menyerahkan kepada En Maswafi untuk menceritakannya....
Sekian...
drpd : En Nizar

Ejen Ulu Kelang

Sudah dua kali aku menerima sapaan daripada Fadzil melalui blog ini, nampaknya sudah ada cubaan nakal daripada kawan sekampung aku ini yang memang cukup nakal sejak azali itu untuk menjadi ejen jodoh aku di zon Ulu Kelang. Dalam banyak-banyak kawanku, makhluk yang seorang ini harus berhati-hati bila merencanakan tentangnya takut pula dipecahkan semua rahsia yang ada dimana semuanya dalam genggamannya yang tentu maha benar sifatnya. Terharu aku kerana kesudiannya yang mahu memperkenalkan aku kepada sebanyak mungkin kawan-kawannya yang ada mungkin hanya dengan menghantar alamat blog ini agaknya. Beliau juga tidak akan mendesak aku jika hubungan itu sampai ke jinjang pelamin kerana baginya itu adalah jodoh.

Tembok penghalang.

Alang masih lagi belum mendapat pekerjaan yang setaraf dengan ijazahnya walaupun sudah lebih dua bulan mencari-cari di sekitar Lembah Klang yang merupakan lubuk pekerjaan di Malaysia konon-kononnya. Aku cukup terharu apabila Filla menyanggupi membantu aku dalam hal mencari pekerjaan untuk Alang walaupun kami baharu sahaja berkenalan. Semalam Filla yang berusia 26 tahun itu cuba mencungkil rahsia kenapa aku masih belum berkahwin-kahwin walaupun sudah tua kononnya. Bukannya tidak mahu berkahwin tambahan pula sudah naik miangnya lelaki Taurus ini tetapi orang yang dicari haruslah menerima aku seadanya bukannya mengubahnya menjadi manusia lain. Janganlah pula aku nanti menjadi “tembok penghalang” untuk bakal pasangan aku menempa kejayaan gemilang dan mendapat “lelaki idaman” mereka. Jika itu berlaku akan wujud perkataan “kalau” yang akhirnya meruntuhkan kenangan yang maha indah sebelum itu.

Wednesday, September 06, 2006

Pesanan yang paling gaban


Sudah tertipu Rozana disakat olehku bila aku menyamar sebagai Pegawai Bank Rakyat yang mahu menuntut wang ansuran bulanan yang merupakan kaedah yang sama aku gunakan untuk menyakat Aida namun gagal walaupun berulang kali mencuba. Rozana meyumpah seranah aku habis-habisan kerana disakat, sebenarnya tujuan sebenar aku menghubunginya adalah untuk bertanya tentang Majlis Konvokesyen ke 28 institut kami. Rupa-rupanya hampir semua rakan sekelas aku begitu teruja untuk menyambut majlis yang akan berlangsung di PJ Hilton sabtu ini. Aku masih tertanya-tanya adakah mungkin mereka akan menghabiskan segala harta yang ada untuk membeli kasut tumit setinggi setengah kaki, tudung berbunga-bunga, baju yang beropol-ropol dan anting-anting sebesar duit lima puluh sen bagi tujuan majlis tersebut, maklumlah orang perempuan memang begitu sifatnya sejak azali lagi. Rasanya pesanan penaja yang paling gaban kerana kecederaan aku ialah daripada Rozana yang menasihatkan aku supaya cepat-cepat memanjat “gunung di depan mata” daripada memanjat gunung betul yang sudah tentu memenatkan.

Hari pertama


Hari ini merupakan hari pertama aku memulakan tugas yang sudah tentunya banyak akibat direhatkan 14 hari kerana kecederaan bengkak dan sedikit luka di dalam peha. Mujur sahaja tidak bernanah jika tidak mungkin dua purnama aku akan direhatkan, di pejabat suasana tidak banyak yang berubah cuma Encik Azam sedikit kecewa kerana kisahnya tidak direncanakan dalam beberapa rencana sebelum ini kerana saya tiada ilham apabila berjauhan dengannya namun sempat juga dia meninggalkan pesanan penaja iaitu bila aku maku mahu berhenti melakukan aktiviti tahap gaban. Sudah penat aku “berbalas pantun” dengan kawan-kawan aku kerana kecederaan tersebut yang akhirnya aku mengaku kalah tetapi aku sekalipun tidak menyesal untuk jalan yang dipilih dan selepas ini sudah pasti aku akan lebih berhati-hati.
Aku perasan juga terdapat beberapa “muka baru” yang rupanya “graduan segar” sedang menjalani “skim pegawai muda” yang sudahpun seminggu bekerja, untuk hari ini nampaknya belum sempat untuk bertanya khabar mereka kerana tugas yang terlampau banyak untuk disiapkan. Zaini rakan serumah aku yang mengidap “Sindrom Hikimori” telah diberitakan oleh Puan Nik Shafini terlibat dengan kemalangan di simpang Taman Desa pada awal pagi tadi. Beliau yang pernah direncanakan melalui rencana “Komputer itu Rosak Lagi” pada Mei lepas sebenarnya baru sahaja ditimpa malang minggu lepas kerana monitor komputernya di rumah dicuri orang.

Monday, September 04, 2006

Terkena Lagi

Peluang keemasan direhatkan hampir setengah purnama dimanfaatkan menghadiri kursus kusahawanan anjuran Jabatan Tenaga Rakyat di NIOSH Bangi pada 1 hingga 3 September 2006. Memang tidak dapat dinafikan input-input motivasi itu terkesan kepada aku tapi rasa bengang tertipu tidak dapat disembunyikan apabila hingga ke akhir program tidak sampai 1/10 pun "keusahawanan" yang dibincangkan seperti yang diwar-warkan. Nampaknya aku bergeruh lagi selepas isu baju 'T' dengan Majlis Perbandaran Klang telah ditamatkan minggu lepas. Selepas perbincangan dilakukan dengan Encik Syed selaku penganjur, akhirnya kata sepakat dicapai dengan dia memohon maaf dan akan memulangkan semula ufti yang berjumlah RM150.00 selepas menyiasat perkara ini dan terbukti mereka yang bersalah. Encik Nizar, Encik Shahrul dan Encik Nikman yang pada asalnya berkobar-kobar mahu menuntut wang mereka akhirnya "cair" selepas ditarbiyah oleh Encik Syed dan layanan kelas pertama oleh bidadari-bidadari penganjur. Encik Nizar sungguh kurang sopan mengatakan aku ini sangat degil walaupun ternyata ia sangat benar.
Nur Halimaton gadis hitam manis yang berasal dari Langkawi itu sudah tidak mahu berenggang dengan aku selama 3 hari berada di sana. Entah kenapa ramai mengatakan aku "ada kimia" dengan gadis yang berusia 21 tahun yang baru sahaja putus tunang itu. Aku berpesan dengannya jangan terlalu memuji lelaki Taurus hanya kerana sudi mendengar masalahnya kerana mereka mudah perasan hingga disambut dengan hilai ketawa olehnya. Rasanya tidak patut aku menangguk di air keruh kerana tidak kekal sifatnya dan sampai sekarang aku tidak ada jawapan kenapa dia menangis semasa aku mahu pulang ke rumah!

Tuesday, August 29, 2006

Siapa yang lebih patriotik

Entah apa yang terjadi di pejabat sekarang, yang pasti Encik Azam, Encik Fadhli dan Encik Syahril sedang bermaharajalela lebih daripada Dato’ Maharajalela sendiri kerana tiada siapa yang memantau pergerakan mereka kerana ketiadaan aku selama hampir setengah purnama. Entah kenapa sudah tiga hari cuba menghubungi Tengku tetapi masih juga gagal dan semua kiriman utusan tidak sekalipun dibalas. Semua manusia sekarang bercerita merekalah yang cukup patriotik sempena bulan kemerdekaan ini hanya dengan mengibarkan bendera, untuk lebih patriotik lagi Khairy Jamaluddin yang belum pupus itu mengatakan dia lebih patriotik apabila memperjuangkan masalah orang Melayu tetapi dalam masa yang sama telah menghidupkan “bom jangka” yang pernah meletup 13 Mei 1969. Bagi aku Mr. Tan lebih patriotik walaupun bercakap bahasa Melayu lagak seperti Dato’ Samy Vellu tetapi usahanya untuk mencapai piawai bahasa Melayu harus dipuji berbanding dengan rakan sekerja Melayu yang lebih banyak mengajuknya menggunakan bahasa pasar seperti “tatak boleh” walaupun dia sangat memahami jika kita menggunakan bahasa Melayu yang biasa digunakan. Aku pernah juga menanggung aib bila gagal menjawab soalan oleh Makcik Mah apa maknanya “Anjakan Paradigma” selepas mendengar Datuk Seri Anwar Ibrahim menginggeriskan bahasa Melayu semasa memberikan ceramah perdana di kalangan pemimpin UMNO di Dewan Tun Ghazali Jawi Slim River pada tahun 1993.

Rindu yang terlerai

Belumpun sempat satu hari keluar dari rumah sakit rindu terhadap larian begitu memuncak ditambah pula aku mengetahui akan ada Larian Merdeka pada Ahad 27 Ogos 2006. Di dalam hujan lebat aku ke Dataran Merdeka menaiki LRT untuk menyiksa diri sejauh 4.5km. Terlerai juga rindu walaupun stamina tidak mencapai piawai yang sebenar. Semalam keputusan dibuat untuk pulang ke kampung sehelai sepinggang demi memastikan diri betul-betul berehat dari apa-apa aktiviti sukan. Ini penting supaya kaki pulih dengan cepat kerana ada dua acara larian sebelum Ramadhan datang menjelma.